23 Julai 2011

Bagaimana mendapat taqwa dengan berpuasa?

Ahmad Baei Jaafar
Untuk memiliki rasa takut atau taqwa, umat Islam perlukan latih-tubi dalam tempoh yang panjang, bahkan lebih berkesan kalau dilakukan secara beramai-ramai. Oleh sebab itu bulan Ramadan adalah masa yang sesuai untuk umat Islam memulakan latihan taqwa. Kenapa? Bukankah dalam bulan Ramadan semua orang berpuasa dan sama-sama mahu meningkatkan ibadah masing-masing.
Sebenarnya dalam bulan Ramadan itu Allah sediakan banyak latih tubi yang seharusnya diikuti oleh umat Islam. antara bentuk latihan itu ialah:
1.    Berlatih untuk patut perintah Allah yang sunat di samping yang wajib. Islam perintahkan umatnya sahur pada waktu akhir, berbuka puasa diawalkan waktunya, membaca al-Quran dan berzikir. Allah juga perintahkan solat Tarawih sebanyak mungkin.
Kalau semua perintah Allah ini dapat dipatuhi umat islam secara  istiqamah sehingga akhir Ramadan, pasti mereka akan beroleh sebahagian rasa taqwa.
2.    Berlatihlah untuk meninggalkan larangan Allah yang makruh apatah lagi yang haram. Oleh sebab itu janganlah makan sahur pada jam 12 malam tetapi bangun pagi jam 7 pagi sehingga lewat Subuh. Janganlah melambatkan berbukan puasa dan makan dalam jumlah yang banyak hingga tidak sempat melakukan solat Maghrib. Lebih-lebih lagi tidak patut, kalau berbuka puasa dengan rokok.
Perlu diingatkan di sini, merokok walaupun pada sesetengah orang masih berpegang kepada makruh, seharusnya bermula Ramadan ini mereka bertanya diri kenapa masih mahu menempah kebencian Allah? Bukankah maksud makruh ialah dibenci. Sedangkan yang benci itu sekurang-kurangnya ada tiga pihak iaitu Allah, Rasul dan orang ramai. Bayangkan kalau Allah benci anda, bolehkah anda rasa bahagia. Bagaimana kalau kekasih anda bencikan anda, bolehkah anda rasa tenang?
Ketahuilah kalau Allah benci bukan sahaja ibadah kita dan kebaikan kita tidak diterima, malah boleh jadi kita tidak beroleh rasa taqwa. Jadi, jauhilah perkara makruh dan haram di mana-mana demi rasa takut kepada Allah. Anda mampu mengubahnya.
3.    Dalam tempoh berpuasa itu setiap umat Islam diminta supaya bercakap dengan baik, membaca al-Quran, tidak bercakap sia-sia apatah lagi mengumpat dan membuat fitnah.
Bayangkan kalau selama sebulan kita boleh menjaga lidah ke arah kebaikan, apakah mungkin masih ada lagi dosa lidah. Percayalah mereka yang boleh mempertahankan sikap itu sudah pasti layak beroleh taqwa.
Dapatkan banyak lagi ilmu dan maklumat mengenai puasa dalam majalah Fardu Ain edisi 3.
Kenapa tidak meningkat?
Jika umat Islam memahami KPI puasa sebagaimana yang ditetapkan Allah, wajarkah mereka terus berpuasa pada tahap yang sama dari awal balighnya hingga ke usia ini? Secara logiknya mereka akan berasa tidak wajar. Semua yang berlaku di dunia itu berkembang dan bertambah hatta dalam ibadah.
Mutu puasa seseorang perlu ke arah yang lebih baik dari masa ke masa. Begitu juga dengan ganjaran yang akan Allah berikan, mengikut mutu yang dipersembahkan hamba-Nya. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Ramadan itu awalnya rahmah, pertengahannya maghfirah dan akhirnya pembebasan daripada api neraka.” (Riwayat  Ibn Khuzaimah)
Makannya kalau mereka tahu begitulah peningkatan dan perubahan yang disediakan Allah pasti pada 10 hari pertama bulan Ramadan dilakukan dengan sebaiknya. Dan ditingkatkan lagi pada 10 Ramadan kedua dan tingkatkan mutunya lagi pada 10 Ramadan yang terakhir. Tawaran duniawi yang sehebat ini tidak harus diabaikan begitu sahaja.
Sungguhpun begitu, ramai umat Islam yang tidak tahu kehendak Allah itu. Mereka tidak tahu bahawa ibadah yang dilakukan itu harus lebih baik dari hari ke hari. Hal ini kerana mereka lupa bahawa syurga yang disediakan itu berbeza-beza mengikut tahap ibadah yang kita lakukan.
Rata-rata umat Islam tidak menyedari tuntutan Allah itu lalu ibadah yang dilakukan cukup setakat memenuhi syarat dan rukun sahaja. Yang penting pada mereka ibadah itu sah dan diterima Allah. Padahal Allah hendak lebih daripada itu iaitu takwa. Jadi, Ibadah yang dilakukan tidak seharusnya statik tanpa berkembang.
Kalau anda mahu berubah, bacalah rencana ini seterusnya dalam Solusi isu 34

Tiada ulasan: