03 April 2011

Kemanisan iman anugerah Allah

Apabila seseorang itu berada pada tahap iman yang kukuh nescaya dia akan dikurniakan rasa kemanisan iman. Ketika itu, pasti imannya sukar digugat lagi. Oleh sebab itu iman pada tahap tinggi ini perlu diusahakan oleh umat Islam. Persoalan sekarang, mampukah umat Islam memilikinya sedangkan iman bertaraf rendah pun masih gagal?
Inilah cabaran yang harus dibawa oleh umat Islam jika mereka mahu berjaya dalam perjuangan hidup di dunia ini. Mereka wajar memburu bagi memiliki kemanisan iman. Untuk itu, tiga peluang dibentangkan oleh Rasulullah.
Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: “Ada tiga perkara, yang jika tiga perkara itu ada pada seseorang, maka dia akan berasa manisnya iman. (Iaitu) Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada yang lain. Keduanya; mencintai seseorang, yang dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah. Ketiganya; benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkan darinya, seperti bencinya dicampakkan ke dalam api.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik ra)
Bagaimana dengan peluang pertama, bolehkah anda memilikinya? Atau sudahkah anda rasa kemanisan itu? Marilah kita sama-sama menilai situasi ini, anda tentu ada rasa cinta kepada ibu bapa, rasa cinta kepada isteri, rasa cinta kepada anak, rasa cinta kepada harta dan sebagainya. Mana yang lebih anda cintai antara perkara di atas dengan cinta kepada Allah dan rasulnya?
Anda tentu cinta kepada isteri anda. Sebagai tanda cinta, maka segala kehendaknya diturutinya. Satu hari dia hendak memakai baju cantik yang pastinya mendedahkan aurat. Apakah tindakan anda? Membenarkannya atau melarang. Allah melarang umat  Islam mendedahkan aurat, maka sebagai tanda cinta kepada Allah, kita perlu patuh kepada perintah Allah. Kehendak isteri itu wajar dilarang. Tapi kalau anda membiarkan isteri anda mendedahkan auratnya ternyata anda lebih cintakan isteri berbanding cinta kepada Allah.
Begitu juga dengan harta yang anda cari, tentu anda sayang lalu menjaganya dengan baik daripada dicuri orang. Kerana sayangkan harta anda tidak mahu membayar zakat. Tidak mahu mendermakan untuk membantu orang yang susah. Sedangkan Allah mewajibkan umat Islam mengeluarkan zakat dan membantu orang yang susah. Jadi kalau anda tidak mahu membayar zakat kerana sayang, maka anda ternyata lebih sayang harta daripada Allah.
Kemudian dalam soal cinta sesama manusia pula, sama ada lelaki cintakan perempuan ataupun sesama lelaki, apakah anda boleh bercinta kerana Allah iaitu bercinta sebagaimana yang Allah perintahkan. Tetapi lazimnya percintaan pada hari ini adalah kerana nafsu lalu berlakulah pergaulan bebas hingga sanggup berkhalwat. Malah kerana cinta, mereka sanggup berzina atau meliwat. Tegasnya wujud pasangan lesbian dan gay secara berleluasa adalah kerana cinta berasaskan nafsu.
Cinta sesama manusia tidak salah malah digalakkan, tetapi cinta itu hendaklah kerana Allah. Cinta berdasarkan perintah Allah, maka apa yang dilarang ditinggalkan. Cintakan wanita sebagai contoh, lelaki mesti menghormati wanita dengan melindungi mereka daripada didera, dirogol dan dizinai. Lalu wanita tidak boleh disentuh tubuh dan perasaannya kerana semua itu dilarang oleh Allah.
Seterusnya, sebagai umat Islam kita perlu benci untuk kembali kepada kekufuran dan kesesatan. Ini kalau sebelumnya kita berada dalam keadaan sesat dan kufur, maka setelah disedarkan dan diberi hidayah, perlulah dijaga betul-betul aqidah itu. Mereka ini bukan sahaja tidak mahu kembali kepada jahiliah malah akan mengajak orang lain kepada Islam.
Sudahkah anda berada di salah satu daripada tahap iman di atas? Jika ada sesungguhnya anda sudah memiliki kemanisan Islam. Tetapi kalau semua itu sudah ada dalam diri anda, percayalah keimanan yang anda miliki sukar digugat lagi. Rasa kemanisan iman itu sudah berada di tahap tinggi.
Percayalah semua umat Islam boleh mencapai kemanisan iman itu. Tiga peluang dibentangkan itu tidak susah untuk dilaksanakan oleh umat Islam. Sebaiknya, laksanakan mana yang senang dahulu, setelah itu laksanakan yang kedua dan ketiga.
Artikel lengkap boleh anda baca dalam Solusi isu 30
Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...