19 April 2011

Betulkah DAP perjuangkan perkauman

Ahmad Baei Jaafar
Dalam blog bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad beliau berkata keputusan pilihan raya negeri Sarawak membuktikan bahawa DAP berjaya membawa ‘jenama politik perkauman’ ke negeri terbesar di Malaysia itu. Tetapi benarkah DAP bawa perkauman?
Saya secara jujurnya tidak percaya DAP membawa politik perkauman berdasarkan perlembagaan DAP dan ucapan pemimpin mereka. Sebaliknya, UMNO termasuk Tun sendiri memperjuangkan politik perkauman berdasarkan perlembagaan dan ucapan dan tulisan pemimpin UMNO. Itulah yang saya nampak, tetapi kalau saya tulis begini nanti orang Melayu akan marah kepada saya pula. Ini yang saya tidak mahu.
Kalau begitu mari kita tutup cerita perkauman, tidak payah tuduh orang DAP perkauman dan tak payah bangga UMNO tidak bawa perkauman. Selepas selesai pilihan raya dan keputusan pun sudah dibuat dan kerajaan pula sudah dibentuk, maka masing-masing buat kerjalah untuk membela rakyat tanpa berpihak kepada mana-mana kaum.
Maka mana-mana rakyat yang susah dan perlu dibantu dan dibimbing berilah keutamaan dalam perjuangan. Berapa ramai orang Melayu di Sarawak yang masih miskin, keluarkan mereka daripada kemiskinan itu. Begitu juga orang Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain kaum, kalau mereka sudah, jangan dipandang sebelah mata. Barulah kita tidak dikatakan perkauman.
Walau bagaimanapun saya agak hairan juga, ada pemimpin Melayu yang bercakap tidak boleh main isu perkauman, tetapi apabila orang Cina atau India ugut sedikit, mereka cepat-cepat luluskan atau ubah keputusan yang telah dibuat. Padahal kalau orang Melayu tuntut walaupun dengan demontrasi, suara mereka tidak diindahkan. Apakah sikap ini untuk menunjukkan bahawa pemimpin kita tidak perjuangkan perkauman?
Kenapa kita mengajar anak bangsa kita jadi begitu? Mengapa kita biarkan anak bangsa kita menjadi mangsa keadaan? Memanglah Islam mengajar, rakyat wajib taat kepada pemimpin, tidak boleh derhaka kepada pemimpin. Tetapi Islam juga mengajar, tidak perlu taat kepada pemimpin dalam soal yang menderhakai Allah.
Persoalan sekarang, tidak adakah keputusan pemimpin yang bercanggah dengan kehendak Allah? Tidak adakah tindakan pemimpin yang bercanggah dengan kehendak Islam? Realitinya, walaupun ada, mereka tetap taat kepada memimpin. Di sinilah kesilapan orang Melayu yang akhirnya boleh merosakkan masa depan mereka sendiri.
Berdasarkan itu, orang Melayu perlu merujuk segala hidup ini kepada Allah, kepada Islam. Walau siapapun pemimpin anda, walau apapun parti politik anda, Allah dan Islam harus dijadikan rujukan utama. Itulah pemimpin yang boleh menyelamatkan masa depan kita.
Hentikan pertikaian politik kepartian dengan menyalahkan orang lain hanya semata-mata untuk menaikkan golongan kita. Hentikan isu perkauman kerana orang yang memperjuangkan perkauman tiada jaminan syurga, sebaliknya mati sebagai orang jahiliah.
Jadi, bagi menyelamatkan keadaan ini, suka saya mencadangkan bahawa keahlian sesuatu parti politik perlu pelbagaikan bangsa. Pendekatan PAS menerima ahli kelab daripada pelbagai bangsa mungkin permulaan yang baik. Tetapi perlu kita ingat dan sedar, DAP dan Gerakan waktu diasaskan dahulu bukan untuk orang Cina, bahkan diasaskan oleh orang Melayu. Jadi, perjuangan mereka sudah pasti tidak berasaskan perkauman.
Menyedari keadaan ini, persepsi yang salah ini perlu diperbetulkan. Bahkan tentu tidak salah kalau orang Melayu termasuk ahli agama secara ramai-ramai menyertai DAP sekali gus memberikan roh Islam kepada perjuangannya. Ingatlah selagi kita membiarkan orang Cina menguasai DAP selama itulah perjuangan DAP akan dicap sebagai perjuangkan perkauman.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pandangan yang baik. Tetapi dalam hal ini orang Melayu mesti dalam jumlah ramai. Orang Melayu perlu berada di atas untuk menyelamatkan keadaan.