Ahmad Baei Jaafar
Maulidul Rasul datang lagi dan untuk itu sebahagian umat Islam telah membuat persiapan bagi menyambutnya dengan pelbagai cara sebulan sebelumnya. Di peringkat negeri dan negara, perarakan dan perhimpunan dilakukan pada 12 Rabiulawal. Tetapi di peringkat kampung surau dan masjid turut mengadakan majlis ceramah dan marhaban.
Perarakan Maulidul Rasul tahun lalu |
Saban tahun kita membuat sambutan dengan acara yang sama tetapi bagaimana tahap kecintaan kita kepada Rasulullah. Realiti yang dapat dilihat pada hari ini, tidak terdapat sebarang perubahan pada diri umat Islam. Bukan sahaja ibadah tidak berkualiti, dosa dan maksiat pula bertambah. Inilah yang perlu kita lihat semula fungsi sambutan Maulidul Rasul malah perlu dibedah siasat bagi menambahbaikkan program itu pada masa hadapan.
Kenapa sambut maulidul rasul
Walaupun di sana sini kedengaran suara sumbang yang menyatakan sambutan maulidul Rasul satu bidaah tetapi umat Islam di negara ini tidak perdulikan itu semua, sebaliknya terus menyambutnya dengan pelbagai cara. Apakah ertinya sambutan itu kepada kita hingga kita sanggup terus mempertahankannya hingga kini?
Sebenarnya sambutan hari kelahiran baginda Rasulullah kalau hendak disamakan dengan sambutan hari kelahiran kita setiap tahun tentulah tidak ada apa ertinya. Yalah kalau kita sambut hari kelahiran kita hanya sekadar mengingati pertambahan usia. Selepas meniup lilin, dan makan-makan, semua tetamu yang diundang pulang begitu sahaja. Mungkin hadiah yang dibawa tetamu satu keistimewaan namun hanya sekadar tanda ingatan.
Tetapi lain halnya kalau kita menyambut maulidul Rasul, iaitu tokoh agung yang sudahpun meninggal dunia. Tentulah sambutan itu adalah sebagai tanda rasa cinta kepada Rasul, bukan saja nak meraikan majlis itu. Secara logiknya begini, umat Islam selalu menyebut nama Rasulullah s.a.w., namanya diulang berkali-kali walaupun tidak pernah kita berjumpa dengannya. Walaupun selama ini kita digambarkan watak dan sifat rasul begitu dan begini, sedangkan kita tidak bertemu dengannya. Jadi wajarlah kita merindui malah mencintainya.
Sungguhpun begitu, rasa rindu dan cinta umat Islam terhadap Rasulullah hanya bermusim setahun sekali. Hanya datang setiap kali tibanya 12 Rabulawal, lalu kisah sirahnya disebut sepanjang bulan. Tetapi mengapa tidak dapat diteruskan setiap hari sepanjang tahun? Susahkah bagi seseorang untuk merindui Rasulullah dan mencintainya?
Sebenarnya untuk mencintai rasul amat mudah, iaitu cukup dengan ikut apa kata Rasulullah. Untuk itu umat mesti membaca hadis yang terdapat di dalamnya pesanan nabi tentang kehidupan ini. Pendek kata, kita perlu ikut sunnah nabi iaitu apa yang disabdakan, apa yang diperintahkan, dan apa yang dilarang semuanya mesti kita ikut.
Selain itu sebagai tanda cinta kepada baginda, kita perlu mewarisi tugas rasul iaitu berdakwah. Sebagai pendakwah kita hendaklah mengikut strategi dakwah sebagaimana yang pernah dilakukan sepanjang tugas Baginda. Baginda memiliki adab sopan dalam berdakwah, baginda juga sabar dan serius dalam mengajar seseorang kepada Islam.
Bayangkan baginda berdakwah di Makkah dalam berhadapan dengan tentang orang dalaman yang sangat mengenalinya sebagai orang baik. Namun baginda bersabar sehingga Allah perintahkan baginda berhijrah ke Madinah. Waktu di sana baginda tidak serik sebaliknya mengatur strategi dakwah sehingga membawa kepada pembukaan kota Makkah dengan cara aman.
Jadi, buktikan kecintaan kita kepada Rasulullah dengan membuat kerja rasulullah dan mengutamakan baginda dalam semua hal. Jika ada pertentangan amalan kita dengan apa yang dibawa rasul, batalkanlah dan ambillah yang dibawa Rasul. Kalau anak kita nak pakaian mendedah aurat, halanglah dan gantikan dengan pakaian sopan dan menutup aurat kerana itulah kehendak Rasul.
1 ulasan:
Kita doakan semoga ikhwan musliman dapat kekuatan membentuk kerajaan.
Catat Ulasan