12 Februari 2011

Di sebalik pengunduran Hosni Mubarak

Ahmad Baei Jaafar
Memang wajar Umat Islam seluruh dunia mengucapkan tahniah kepada rakyat Mesir yang telah berjaya meruntuhkan tembok besi yang melindungi Hosni Mubarak. Mereka dilihat tidak berganjak mengadakan bantahan selama 18 hari walaupun dihalang oleh tentera Presiden Mesir itu.
Lautan manusia melahirkan kegembiraan
Kebangkitan rakyat Mesir tentu berpunca daripada detik-detik pemerintahan Hosni yang banyak mempenjarakan fikiran mereka. Ya, berapa lama manusia yang normal boleh dikongkong kebebasan mereka? Apabila sampai masanya, mereka boleh hilang sabar.
Sepanjang pemerintahan Hosni Mubarak selama 30 tahun, bukan sahaja ulama tidak boleh bersuara dalam membetulkan pemerintahannya, universiti Al-Azhar berjalan tidak mengikut cita rasa ulama berwawasan Rasulullah. Akhirnya mahasiswa al-Azhar yang pulang berkhidmat di negara masing-masing berfikiran sempit. Tiada kreatif untuk membangunkan negara dan rakyat ke arah yang islami.
Saya tidak pasti apakah kebangkitan rakyat ini ada kaitan dengan kesusahan rakyat akibat kos sara hidup yang semakin melonjak dan kadar pengangguran yang tinggi, tetapi yang saya pasti rakyat sudah mual dengan keganasan pihak keselamatan. Apa sahaja yang diperintahkan oleh presiden, tentera pasti bertindak.
Antara keganasan tentera Mesir yang kita boleh lihat secara jelas ialah usaha bantuan kemanusian ke Gaza melalui Mesir dihalang. Mengapa? Tentu kerana tidak mendapat lampu hijau daripada Presiden. Dan yang terbaru, tentera bertindak tidak berperikemanusian terhadap penunjuk perasaan di Madinatul Tahrir. Ini tidak termasuk beberapa orang ulama yang hilang tanpa diketahui kuburnya.
Tetapi tahukah anda tentera yang ganas itu sebenar manusia yang hidup mereka seperti robot apabila di suruh itu, maka dibuatlah yang itu. Sebaliknya kalau mereka tidak diperintahkan itu dan ini oleh pihak yang berwajib, mereka mampu kembali kepada perikamanusian. Mereka juga tahu erti baik dan kebaikan.
Bukti yang jelas boleh anda lihat pada sikap tentera Mesir itu, setelah Mubarak meninggalkan pemerintahan, jiwa mereka kembali normal. Walaupun rakyat masih berkumpul di dataran tahrir, melakukan acara bagi menyambut kegembiraan menggulingkan presiden Mesir, tentera hanya melihat sahaja tanpa sebarang tindakan.
Tentera itu bukan sahaja tidak marah dengan sikap rakyat yang telah menjatuhkan majikannya, tetapi ada yang turut bersama mereka bergembira. Ertinya apa? Tentera juga tidak suka kepada keganasan, tidak suka juga kepada Mubarak. Mereka juga suka kepada kebaikan. Tetapi mereka telah dibisukan dan ditulikan pemerintah.
Itulah fitrah manusia apabila mereka kembali kepada normal. Manusia di manapun mereka adalah sama, mahukan kebaikan. Tetapi kalau mereka jahil malah apabila dikuasai nafu, syaitan sama ada syaitan manusia atau jin, fikiran mereka akan berubah. Jadi, berhati-hatilah agar anda tidak dikuasai semua makhluk itu.
Berbalik kepada peristiwa di atas, suka saya hendak ingatkan kepada orang-orang politik terutama mereka yang memegang tampuk pemerintahan negara mahupun negeri, peristiwa yang sama boleh berlaku di sini. Maksud saya, kalau kebencian rakyat sudah tidak dapat dibendung lagi, pelbagai usaha boleh mereka lakukan.
Jangan ingat, orang Melayu baik semua dan tidak suka berperang. Lihat sejarah orang Melayu masa silam. Mereka boleh bertindak apabila terdesak dan mendesak. Ketika itu boleh jadi, tentera yang selama ini bersikap “samikna waatakna” kami dengar dan taat, akan bertindak secara tidak ikhlas lagi. Boleh jadi mereka juga akan belot.
Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan negara kita tidak sama dengan Mesir, riak-riak kebencian rakyat sudah ada. Oleh sebab itu berpadalah dalam pemerintahan. Kalau sudah ada isyarat bahawa mereka tidak suka kepada anda, tukarlah kepada yang lebih baik. Tanyalah kepada yang pakar, ulama dan sebagainya. Jika anda masih rasa ego dengan cara anda, tunggulah kehancurananya.
Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...