Ahmad Baei Jaafar
Hari ini 300 penunjuk perasaan berhimpun di perkarangan Bangunan SUK yang kononnya rakyat Selangor mendesak supaya Menteri Besar, Tan Seri Abdul Khalid Ibrahim letak jawatan. Mereka mendakwa Menteri Besar itu menderhaki Sultan kerana membantah perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri. Alasannya MB berkata sultan tiada kuasa melantik dan menolak seseorang yang dicadangkan.
Saya tidak tahu pula bila MB itu berkata begitu, tetapi apa yang saya baca dalam laporan media beliau menyebut akan mengusulkan pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa sultan.
"Kita dapati enakmen yang ada sekarang tidak memberikan kuasa jelas kepada Tuanku Sultan dan seterusnya Menteri Besar dalam atur cara pemilihan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan juga Penasihat Undang-undang," kata Menteri Besar Selangor pada sidang media, di Shah Alam hari ini.
Adakah dengan kata-kata MB itu bermakna beliau derhaka? Berdasarkan kenyataan itu beliau mengatakan enakmen yang sedia ada tidak memberi kuasa kepada sultan. Maknanya kalau seseorang itu dicadangkan untuk jawatan, sultan kena terima dan tidak boleh menolak.
Rasanya kenyataan itu tidak ada penghinaan. Penjelasan itu bagi menyatakan realiti yang berlaku pada hari ini. Jadi, usul yang akan dibawa nanti akan memberi kuasa kepada sultan bukan menggugurkan. Dengan sebab itu ADUN dari BN wajar menyokong usul pindaan itu kalau mereka mahu mendaulatkan Sultan. Kalau mereka menolak usul itu bermakna mereka yang menderhakai sultan.
Sebagai rakyat Selangor, kita mengharapkan kepimpinan negeri bijak menggunakan kuasa yang ada untuk kepentingan rakyat. Segala keadaan yang tidak menyenangkan rakyat hendaknya dapat diatasi dengan berhikmat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan