Ahmad Baei Jaafar
Setelah Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata konsep “Ketuanan Melayu” wajib ditinggalkan kerana ia didakwa hanya slogan untuk memperdaya bangsa itu sendiri, ramai orang Melayu melenting. Orang Melayu itu sudah tentu dalam kalarangan pemimpin UMNO dan Perkasa. Mereka kelihatan serius menentang lalu melabelkannya dengan pelbagai gelaran.
Kenapa mereka melenting? Benarkah Azizah menolak hak ketuanan Melayu? Betulkah Azizah dalam kenyataannya itu sangat tidak bertanggungjawab seperti yang disebut oleh Hishamuddin?
Kita sedut kenyataan Azizah,: "Ketuanan Melayu adalah slogan yang digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya orang Melayu yang ramai, demi kepentingan diri sendiri.
"Mereka adalah manusia yang melakukan rasuah, korup, pecah amanah dan pelbagai kebejatan lagi."
Ucapan itu diungkapkan ketika menyampaikan ucapan dasar presiden dalam Kongres PKR di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) baru-baru ini.
Berdasarkan ucapan itu, munasabahlah pemimpin Melayu itu melenting kerana ucapan itu tepat mengena pada sasarannya. Ucapan itu jelas merujuk kepada golongan pemimpin yang mempunyai kepentingan. Golongan Melayu inilah yang patut ditamatkan dalam sejarah kepimpinan Melayu menurut Azizah.
Tetapi agak malang, isu ini diterbalikkan seolah-olah Azizah hendak hapuskan ketuanan Melayu malah mahu menghapuskan institusi kesultanan. Bagaimana jadinya tafsiran itu? Apakah sengaja ditafsirkan begitu atau kerana tidak faham mesej yang sebenar?
Pada hari berikutnya, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita dengan segelintir orang Melayu yang tidak memiliki rasa megah dan bangga sebagai orang Melayu sehingga sanggup menggadaikan bangsa sendiri.
Titah baginda sewaktu merasmikan wacana Raja Berperlembagaan-Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan, di Shah Alam itu merujukan pemimpin politik yang berselindung di sebalik ketuanan Melayu.
"Matlamat mereka agar sistem Raja Berperlembagaan ini disemak dan dikaji semula atas alasan negara telah menjalani arus pemodenan, dan sistem yang diamalkan sekarang ini sudah tidak bersesuaian, adalah amat tidak bertepatan," titah baginda.
Tetapi sekali lagi kenyataan sultan itu dilaporkan secara salah bahawa sultan menegur ucapan Azizah. Ternyata laporan itu tersalah tafsir atau mengaja berniat jahat untuk kepentingan orang tertentu.
Kenapakah orang kita suka membuat kenyataan yang boleh menimbulkan kelamkabut?
Wahai orang Melayu hentikan kerja jahat, buat fitnah dan mencipta permusuhan sesama Melayu. Bersatulah wahai Melayu kalau mahu majukan bangsa Melayu. Ingatlah berlain parti bukan menjadi halangan ke arah perpaduan itu. Bukankah Islam mengajar kita bertolong bantu sesama umat Islam.
1 ulasan:
ketuanan melayu??
mcm2 kalau dah nak start mengundi nie
Catat Ulasan