Ahmad Baei Jaafar
Hijrah secara fizikal sudah berlalu, malah Rasulullah tidak galakkan lagi umat Islam berhijrah. Kita tidak perlu lagi berhijrah ke kampung lain, selagi kampung itu baik dan aman. Selagi penduduknya tidak menghalau kita keluar, selama itulah kita perlu tinggal dalam kampung itu apatah lagi kampung itu sudah menjadi milik kita.
Tetapi hijrah dalam bentuk sikap perlu dilakukan secara tertib dan bersistematik. Jadi, marilah kita berhijrah ke arah itu demi menjaga iman. Rasulullah ketika ditanya seorang penduduk Sham, apakah iman yang paling afdal? Baginda bersabda, hijrah. Dia bertanya lagi, apa itu hijrah? Baginda menjawab, kamu meninggalkan kerja dosa.
Dalam hadis yang sama, dikatakan terdapat pelbagai jawapan kepada persoalan apakah hijrah yang paling afdal. Antaranya ialah:
1- Hendaklah kamu meninggalkan apa yang diharamkan ke atas kamu,
2- meninggalkan apa yang tuhan kamu benci.
3- Dan akhirnya ingatlah Allah banyak-banyak.
Untuk melakukan hijrah ini, seseorang itu perlu kepada jihad melawan nafsu. Di manapun anda berada, hijrah ini perlu dilakukan dan jihad ini tidak pernah terhenti apatah lagi nafsu memang sentiasa berada dalam diri kita.
Mari kita tanya diri sendiri, sudahkah kita meninggalkan apa yang diharamkan oleh Allah? Kalau anda masih bergelumang dengan dosa dan melakukan perkara haram, maka jelaslah anda masih tidak berhijrah. Begitu juga kalau anda sudah boleh meninggalkan apa yang dibenci oleh Allah, maka ketika itu sudah boleh dikatakan sudah berhijrah. Tetapi kalau belum, jelaslah dia belum berhijrah.
Ingat Allah banyak-banyak bukan merujuk kepada zikir, tahmid, dan hamdalah. Ingat Allah bukan sekadar menyebut subhanallah dll. Tetapi ingat kepada Allah merujuk kepada kerja hati dan tindakan. Ingat kepada Allah mendorong kita melakukan sesuatu dengan tekun dan sabar.
Jadi, buktikan anda semua sudah berhijrah dengan banyak zikir atau ingatkan Allah banyak-banyak. Orang yang banyak ingat Allah tidak akan melakukan dosa biasa. Mereka yang ingat Allah itulah tanda sudah berhijrah.
1 ulasan:
Penuhi diri dengan manafaat
Tempis diri dari mudharat.
Catat Ulasan