Ahmad Baei Jaafar
Melihat pergolakan politik akhir-akhir ini saya menjadi hairan bin pelik, mengapa apabila suatu parti politik dikatakan bergolak, parti lain yang sebuk membuat ulasan yang pelbagai. Ada yang kata, apa yang nak jadi dengan parti tersebut. Tidak kurang juga yang mengatakan, parti itu akan berkubur dan banyak lagi yang boleh kita dengar dan baca ulasan.
Menyorot perhimpunan PKR sejak daripada pemilihan ketua ranting, ketua cabang hingga ke pemilihan calon timbalan presiden banyak kekecohan yang kita boleh dengar daripada parti lawan. Yang peliknya isu itu timbulkan oleh pemimpin besar, benarkah mereka yang buat hal, malah berlaku tuduh menuduh. Peliknya, mengapa guna media? Apabila isu ini disambut oleh media tentu akan membesarkannya. Daripada situlah parti lain mengulas.
Dalam keadaan itu, pihak parti terbabit tidak pula menjawab segala tuduhan. Mungkin ada jawapan tetapi tidak dibesarkan berita itu. Ada juga sesekali disiarkan, tetapi hanya mana-mana berita yang boleh dibesarkan lagi. Kemudian semestinya untuk kepentingan pihak lain.
Saya tidak tahu apakah semua itu benar dan siapakah yang salah dalam hal ini. Saya tidak tahu apakah kekecohan itu benar-benar berlaku atau sengaja dicetuskan oleh pihak tertentu. Saya tidak tahu juga apakah niat parti lain membesarkan isu itu? Tetapi kalau melihat kepada strategi politik dan perniagaan agak sama saja, isu yang ditimbulkan untuk kepentingan pihak yang menimbulkannya.
Tetapi melihat kepada isu yang dibesarkan oleh pihak parti lawan, sudah tentu untuk kepentingan parti tersebut. Namun kita kena ingat, kadang-kadang silap-silap strategi, senjata boleh makan tuan. Oleh sebab itu berpadalah dalam membuat ulasan “jangan sampai hai pecah tembelang”.
Main politik yang tidak profesional boleh mencetuskan permusuhan, bukan sahaja antara ahli parti politik tertentu dengan ahli parti yang lain, bahkan boleh mencetuskan pergolakkan dalam parti terbabit. Padahal dalam Islam politik adalah untuk perpaduan, mengungkai kekelaruan, dan membangunkan yang belum ada.
Berbalik kepada isu ini, mengapa pihak lawan suka membesarkan isu dalaman parti lawan? Jawapanya, supaya menampakkan kegawatan parti lawan, gagal membawa perpaduan, gagal menjadi parti terbaik bagi menggantikan BN. Dengan paparan itu, orang ramai mahu dikejutkan bahawa parti yang terbaik masih berpihak kepada BN. Parti PKR yang menerajui PA tidak mampu bertahan sebagai jaguh. Oleh sebab itu jangan beri sokongan kepada PKR.
Isu sebegitu kalau terus digembargemburkan sehingga pilihan raya akan datang, sudah tentu keyakinan rakyat Malaysia kepada berita itu terus kukuh di hati mereka. Ketika itu mereka akan yakin kepada BN dan menolak PKR. Inilah strategi yang sering digunakan oleh peniaga dan ahli politik.
Cuma dalam hal ini, sudahkah mereka berfikir masak-masak, wajar atau tidak strategi sebegitu? Tidakkah dengan tidakan itu orang ramai akan berfikir sebaliknya? Biasalah, parti itu tidak ikhlas, parti itu berniat jahat, dan parti itu sengaja mereka cipta isu? Kalau begitulah persoalan yang ditimbulkan, orang ramai akan lebih benci kepada BN dan bertambah simpati kepada parti lawan.
Tentu orang akan berkata, kalau dia dedahkan keburukan untuk membaiki kelemahan itu, tentu tidak begitu caranya. Ingatlah, memburukkan suatu perkara yang secara lazimnya perkara itu dianggap baik, pasti mereka akan dianggap parti yang tidak suka kepada kebaikan. Maka kesannya orang ramai akan menolak parti tersebut. Kalau begitulah kedudukannya, usaha mereka akan gagal.
Walau bagaimanapun saya suka cara PKR berhadapan dengan isu ini. Tidak banyak menjawab pada media. Cara ini amat baik untuk memelihara maruah parti. Namun mereka pada masa yang sama perlu bertemu dengan ahli dan rakyat secara empat mata bagi menjelaskan kedudukan sebenar. Dengan cara itu segala tohmahan akan terhindar dan rakyat boleh terima dengan baik.
Sebenarnya saya suka situasi politik yang baik, harmoni dan bertindak secara profesional dalam menangani masalah yang dihadapi. Satu pesanan kepada semua parti politik, lebih baik kita jaga parti sendiri, dedahkan kebaikan kita kepada orang ramai, kemampuan kita dalam mentadbir. Manakala kegawatan orang lain, tidak perlu diulas sebaliknya jadikan pengajaran dan iktibar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan