Ahmad Baei Jaafar
Pernahkah anda ditanya, pendakwah dan juga penerbit buku agama boleh dikira menjual agama kerana mereka yang terbabit mendapat wang untuk kesenangan mereka di dunia ini. Bukankah firman Allah yang bermaksud: “Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit (untuk kepentingan dunia), lalu mereka menghalangi (dirinya dan orang-orang lain) daripada agama Allah; sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah at-Taubat :9)
Sahabat baharu saya, Azmi yang kebetulan berkenalan di sebuah restoran mamak di Bandar Baru Bangi telah menyedarkan saya betapa isu ini masih kurang difahami. Malah kerana tidak faham itu, ramai umat Islam yang termasuk dalam kategori menjual agama.
Azmi berkata, agama tidak boleh jual, bagaimana kalau kita buat majalah agama dan menjual kepada orang ramai. Yang pasti motif daripada jualan itu adalah untuk keuntungan. Sudah tentu menjual majalah termasuk dalam menjual agama.
“Allah sebut dalam al-Quran, jangan menjual ayat Allah dengan harga yang murah, merujuk kepada sikap orang munafiq dan orang Yahudi yang mengambil peluang menyebarkan fahaman agama Islam seolah-oleh mereka tersangat faham ajaran Islam. Tetapi apabila orang ramai sudah percaya kepadanya, maka dia mula mempengaruhi pengikutnya ke arah dirinya,” jawabku.
Memang wujud pada hari ini golongan yang menjual agama untuk kepentingan diri, kumpulannya atau pemimpin politiknya. Golongan ini akan berhujjah dengan ayat al-Quran dan hadis atau hujjah tokoh-tokoh tertentu untuk meyakinkan orang ramai kepadanya. Tetapi dia cuba selewengkan kefahaman sebenar untuk kepentingannya.
Golongan ini tidak berani menggunakan al-Quran dan Hadis sepenuhnya terutama yang mesejnya agak bertentangan dengan dasar perjuangan mereka. Hujjahnya ialah, perkara ini tidak boleh disebut secara umum kerana terlalu sensitif dan boleh menyinggung perasaan orang lain. “Kita mesti jaga hati orang lain, kita perlu bersikap toleransi, itulah ajaran Islam,” kata mereka.
Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (al-Quran) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan ia dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayat-Ku (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah 41)
Umat Islam yang beriman tidak seharusnya menjadi penjual agama untuk kepentingan diri, tetapi sebaliknya mereka seharus menjual diri, harta dan nyawa mereka untuk kepentingan agama. Inilah yang membezakan orang yang beriman dengan orang munafiq dan kafir. Orang yang beriman sanggup menjual diri demi agama. Mereka sanggup dihina demi mempertahankan agama.
Mereka inilah yang dikatakan berjihad pada jalan Allah. Harta dan nyawa sanggup digadai, dihabiskan untuk menyebarkan Islam. Mereka tidak perduli tentangan orang ramai asalkan agama terus boleh didaulatkan. Mereka ini sudah pasti tidak termasuk dalam golongan yang menjual ayat al-Quran dengan harga yang murah.
Dengan penjelasan ini diharapkan umat Islam terutama pejuang Islam agar terus bermotivasi untuk mengangkat Islam ke tempat yang sewajarnya. Sabahat-sahabat yang seperjuangan dengan saya harus membetulkan kedudukan masing-masing agar ayat al-Quran tetap dirujuk dalam semua keadaan.
2 ulasan:
Semoga menjadi peringatan berguna buat muslimin dan muslimat supaya tidak terkeliru antara dakwah dan perjuangan dengan perniagaan.
Teruskan perjuangan agama dan menjadi pendakwah sejati.
Daripada sahabat baru ustaz, Azmi.
Terima kasih Azmi kerana melawati blog ini. Kita mengharapkan penerbit buku agama, majalah, bahkan nasyid dapat menghasilkan sebanyak mungkin bahan dakwah untuk menyedarkan umat islam yang masih jahil yang kini sedang bergolomang dengan dosa, zina, rasuah, mencuri dan sebagainya. Mereka perlu dididik agar kembali kepada Islam.
Biarlah keuntungan yang dihasilkan daripada penerbitan itu boleh dijadikan dana untuk menyebarluaskan dakwah itu sehingga negara dan dunia mencapai keamanan seperti zaman Rasulullah.
Jadi, betulkan niat, bukan untuk kepentingan peribadi atau orang tertentu yang boleh menjatuhkan Islam.
Catat Ulasan