04 Disember 2009

BTN sepatutnya untuk negara bukan untuk parti

Ahmad Baei Jaafar

Benarkah BTN menyeleweng? Adakah sekarang masih terus menyeleweng? Di mana dan setakat mana menyelewengnya? Ramai yang tidak tahu kedudukan sebenarnya kerana ramai yang belum menyertai BTN itu. Tapi mereka pernah terlibat sudah tentu ada jawapannya yang tepat.

Saya tidak berani hendak memberi jawapan kepada persoalan itu kerana saya sendiri tidak pernah mengikuti kursus BTN. Tetapi saya pernah mengikut kursus yang dikendalikan oleh pegawai BTN. Malah saya antara orang yang sangat meminati Dr Nordin Kardi ketika menjadi pengarah BTN.

Saya bersetuju dengan tujuan kursus kenegaraan yang dianjurkan oleh Biro Tatanegara yang antara lain ialah:

1- Untuk memberi pendedahan dan pembentukan ketahanan diri anggota perkhidmatan awam dari segi fizikal dan mental bagi meningkatkan patriotisme kepada negara dan kerajaan;
2. Untuk memberi penjelasan tentang pengurusan disiplin dan pembentukan sahsiah anggota perkhidmatan awam dalam menjalankan tugas.

Tetapi dalam menyampaikan ceramah untuk mencapai tujuan di atas silibasnya tidak dipatuhi sepenuhnya. Hal ini kerana penceramah diberi kebebasan untuk memberi contoh dan bandingan yang munasabah. Mungkin Dr Nordin Kardi dalam ceramahnya agak mencapai sasaran, namun apa jaminan penceramah yang lain?

Berdasarkan pengalaman saya, penceramah BTN itu akan membuat kesimpulan pada akhir ceramahnya bahawa UMNO berjuang untuk menyelamatkan orang Melayu. Namun dia tidak pula mengajak peserta menganggotai UMNO. Dan pada peringkat negara, akan dinyatakan bahawa kerajaan Barisan Nasional berjaya membawa keamanan.

Pada saya, kenyataan itu adalah biasa dan tidaklah memberi apa-apa kesan, tetapi kalau dilihat pada tujuan kursus BTN, ternyata ada penyelewengannya. Inilah yang saya maksudkan dasar yang tercatat tidak sama dengan apa yang menjadi realiti.

Kalau tulisan itu turut dibaca oleh pemimpin BN dan UMNO, suka saya cadangkan satu pendekatan yang lebih releven pada masa ini. Saya percaya kalau pendekatan ini diambil, semua orang bersetuju termasuk pembangkang.

Semua penceramah yang dijemput sama ada pegawai BTN atau dari jabatan lain, mereka wajib kembali kepada tujuan dan maktlamat kursus. Biro Tatanegara tentu merujuk kepada negara Malaysia maka kecintaan kepada negara Malaysia perlu ditanamkan.

Oleh sebab itu penceramah tidak perlu menyebut soal parti dalam ceramahnya kerana ia akan menjadi halangan kepada pihak parti lain. Perlu diingat pegawai kerajaan bukan semua sokong satu parti, jadi dengan menyebut satu parti yang mereka tidak menyertainya tentu akan menimbulkan masalah. Yang pasti mereka tidak akan hadir atau hadir sekadar untuk memenuhkan ruang kuliah sahaja.

Selain itu, penceramah itu tidak seharusnya menyebut kerajaan BN kerana hakikatnya kerajaan BN tidak wujud. Yang wujud hanyalah kerajaan Malaysia. Walaupun kerajaan itu dipimpin oleh wakil BN, kerajaan itu bukan milik BN. Sebaliknya kerajaan itu milik rakyat Malaysia. Hal ini kerana rakyat Perdana Menteri bukan orang BN tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Jadi, kejayaan kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri perlu dipulangkan kepada rakyat Malaysia. Dengan cara itu semua orang dalam kalangan rakyat Malaysia boleh hadir kursus tanpa ragu. Malah mereka rasa bangga jadi rakyat Malaysia dalam kursus tersebut.

Oleh hal yang demikian, apa yang berlaku kepada negara, itu jugalah yang sepatutnya berlaku dalam negeri. Negeri Selangor sebagai contoh, seharusnya disebut kerajaan Selangor bukan kerajaan PR. Jika cara ini diterima, siapa yang memerintah di negeri itu tidak akan ditentang. Rakyat tahu pemimpin yang dipilih pasti akan membuat rakyat bahagia, aman dan makmur.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Perlu diceritakan apa kerajaan-kerajaan pakatan rakyat buat kerana media tak menyediakan ruang yang adil dan selalu memburukkan pakatan sehingga berita diterima oleh rakyat sarawak berita yang tak sahih. Walau apapun kelantan dimata orang sarawak adalah negeri mundur sehingga pas menang dengan majoriti besar baru rakyat Sarawak bukak mata..bahawa petugas-petugas di jabatan kerajaan adalah proksi UMNO yang merosak nilai berita dimata raakyat.

baei berkata...

Terima kasih kerana memberi respons. Maaf, ini bukan media kerajaan pakatan. Apa yang saya tulis adalah hasil kajian dan penelitian saya sendiri dan cuba dikaitkan dengan islam. Saya tidak memihak kepada sesiapa kecuali Allah dan Rasul.