Oleh: AHMAD BAEI JAAFAR
Pada hari ini kesalahan qazaf sering berlaku dalam kalangan umat Islam secara tidak sedar. Namun oleh kerana kejahilan umat Islam dan tidak ada undang-undang yang boleh menghukum mereka, kesalahan itu terus berlaku sekalus meningkatkan dosa setiap hari.
Sebenarnya suami yang tidak mahu mengiktiraf anak yang dilahirkan oleh isterinya hanya kerana pernah melihat isteri keluar dengan lelaki lain adalah termasuk dalam qazaf. Hal ini kerana suami itu seolah-olah telah menuduh isterinya berzina dengan lelaki tersebut.
Terdapat beberapa kes yang kita dengar tentang pasangan suami isteri yang sekian lama mengharapkan kelahiran anak sulung. Setelah sekian lama menunggu, akhirnya mereka dikurniakan anak. Tetapi setelah anaknya membesar dilihat wajahnya tidak sama dengannya, maka si ayah anak itu memandang serong kepada isterinya.
Ada juga kes yang suami menghantar SMS kepada isterinya dengan melafazkan cerai kerana dikatakan isterinya telah curang. Kes seumpama ini sudah banyak kali kita dengar dan sesetengahnya telah menjadi kes yang dibicarakan di mahkamah. Sungguh memalukan.
Berdasarkan contoh kes di atas ternyata kesalahan qazaf yang dilakukan oleh suami terhadap isterinya atas kejahilan. Oleh sebab itu, kes itu tidak pernah didakwa di mahkamah dan tidak pernah diadukan oleh isteri. Kalau adapun kes, tetapi dendanya amat rendah dan tidak langsung menginsafkan.
Menurut Seksyen 41 Akta Kesalahan Syariah Wilayah Persekutuan, kesalahan Qazaf hanya didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.
Sebenarnya dalam perundangan Islam, qazab ialah membuat tuduhan terhadap perempuan yang baik bahawa dia melakukan zina. Mereka yang membuat tuduhan ini boleh dihukum sebat sebanyak 80 rotan.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasiq.
“Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
“Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya dia dari orang-orang yang benar” (Surah an-Nur: 4 – 6).
Berdasarkan kes suami yang tidak mahu mengiktiraf anak yang dikandung dan dilahirkan oleh isterinya, hakikat dia telah menuduh isterinya berzina dengan lelaki lain. Si suami ini walaupun secara jelas tidak menuduh isteri tetapi dengan tidak mengakui anaknya adalah satu tuduhan bahawa isterinya berzina. Kalau tidak, bagaimana isterinya boleh mengandung anak itu?
Menurut firman di atas, suami itu wajib bersumpah sebanyak empat kali di hadapan hakim. Jika dia sanggup bersumpah, maka mahkamah boleh menerima pertuduhan itu sebagai benar.
Sebaliknya, jika dia enggan bersumpah, dia boleh dianggap membuat tuduhan palsu dan boleh dijatuhkan hukuman sebat sebanyak 80 rotan. Demikian hukum hudud yang ditetapkan oleh Allah S.W.T.
Bagaimanapun undang-undang seperti itu belum dilaksanakan di negara ini sehingga setakat ini. Namun dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor)1995 menyediakan peruntukan Qazab seperti berikut:
Seksyen 36. “Kecuali dalam kes li’an, mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syara’; empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebih tiga tahun atau kedua-duanya.”
Islam sangat berhati-hati dalam melaksanakan undang-undang ini kerana dalam Islam seseorang wanita yang belum berkahwin juga boleh mengandung tanpa perzinaan atau perogolan. Jadi, orang lelaki terutama suami tidak boleh cepat menuduh seseorang wanita itu berzina hanya semata-mata kerana dia mengandung.
Oleh sebab itu suami tidak seharusnya rasa curiga dengan isterinya, sebaliknya memberi didikan iman terhadap mereka. Sikap menuduh isteri curang hanya kerana isteri berbual dengan seorang lelaki adalah tidak adil.
Ketahuilah suami yang baik akan dikurniakan perempuan yang baik juga, oleh sebab itu peliharalah amanah Allah S.W.T. itu dengan sebaik-baiknya. Takutilah laknat Allah S.W.T. seperti firman-Nya yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar,”(Surah an-Nur: 23).
Ambillah peluang bersama isteri untuk membawanya ke arah kebahagian di dunia dan akhirat. Didiklah isteri dengan iman dan amal agar dia takut kepada Allah dan taat kepada suami.
Menyentuh soal qazaf, suka dijelaskan di sini bahawa tuduhan lazimnya datang dari pihak lain yang meragui akan seseorang lalu mendakwanya. Seperti dalam kes di atas, suami menuduh isteri curang atau isteri menuduh suami berzina dengan jirannya, sebagai contoh.
Walau bagaimanapun dalam keadaan tertentu pihak mangsa juga boleh mengaku dan mendakwa seseorang itu telah meliwat atau merogolnya. Namun pihak yang mendakwa perlu memahami risiko tindakannya kerana dia boleh disabitkan sebagai qazaf jika tidak boleh mendatangkan empat orang saksi atau bersumpah sebanyak empat kali.
Tersebut dalam sebuah hadis bahawa seorang wanita datang menghadap Rasulullah dan mengaku dia telah berzina. Dalam kes ini dia tidak mendakwa mana-mana lelaki yang berzina denganya. Dan Rasulullah sendiri tidak pula bertanya kepada wanita itu, siapa lelaki yang terlibat.
Di sini Rasulullah hanya menghukum wanita itu setelah anak yang dikandungnya itu sudah putus menyusu ibu. Sedangkan lelaki yang terlibat tidak dicatat dalam sejarah sama ada sudah dihukum atau tidak. Kenapa wanita itu tidak mahu membawa kes lelaki itu. Ternyata dia tidak mahu terlibat dengan kesalahan qazaf.
Alangkah cantiknya dunia ini kalau umat Islam boleh kembali ke zaman Rasulullah, tiada kes jenayah yang dibesar-besarkan.
4 ulasan:
Salam ustaz...
Kes mcm ni banyak berlaku. Saya masih ingat seorang tentera (kalau tak silap) bertindak mencampakkan bayi (anaknya) yg berusia 6 bulan ke dalam tong sampah di sekitar Melawati/Keramat. Dipercayai suami ini mengamuk kerana kononnya si isteri telah berlaku curang. Kenapalah singkat betul akalnya dengan mencampakkan bayi ke tong sampah? Kenapa tak campakkan saja isterinya ke tong sampah...?
Kesian baby tu... nasib baik umurnya masih panjang dan dijumpai seorang pak guard.
Kita harapkan ada undang-undang yang lebih baik difikirkan oleh cerdik pandai Islam bagi menyelamatkan umat Islam dan maruah Islam.
salam,
sebagai seorg isteri apa yg bleh kite buat.. Setelah dituduh berkali2 melakukan perkara terkutuk sedangkan kite tdak melakukan.. Dan si saumi kadang2 meragui yg anak bukan anaknya.
Dalam Islam perbuatan suami menuduh isteri melakukan zina dll tanpa membawa empat orang saksi dikira qazaf yang hukumannya ialah 80 kali sebat.
Namun dalam kes ini jika suami masih nak pertahan tuduhannya dan isteri menafikannya maka suami perlu lakukan "lian" iaitu bersumpah mempertahankan tuduhan itu dan sanggup menerima hukuman Allah jika tersalah.
Isteri juga boleh melakukan lian bagi menafikannya. Semua itu perlu dilakukan di mahkamah.
Catat Ulasan