Bercakap isu politik, ramai rakyat Malaysia yang ambil tidak kisah sebab pada mereka politik tidak memberi apa-apa faedah kepada mereka. Kata mereka, siapa pun yang memerintah kedudukan mereka sebagai rakyat Malaysia tetap ada dan mereka boleh meneruskan hidup seperti biasa. Malah mengundi atau tidak sama sahaja.
Tetapi sebahagian yang lain amat mengambil besar soal politik terutama mereka yang menganggotai mana-mana parti politik. Mereka akan bercakap soal politik berdasarkan pemikiran pemimpin mereka. Hitam kata pemimpin, hitamlah mereka, putih kata pemimpin putihlah mereka. Pemimpin politik mereka amat berpengaruh.
Akan tetapi pada sesetengah keadaan, mereka yang suka bercakap soal politik ini, tidak fahampun persoalan politik yang sebenar. Mereka bercakap bukan berasaskan ilmu tetapi apa yang mereka dengar dan baca daripada sumber yang tidak bertanggungjawab. Keadaan ini amatlah malang bagi rakyat Malaysia.
Salah Faham
Menyedari keadaan ini, saya mengambil ruang ini untuk menjelaskan beberapa isu yang sering disalahfahami oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Isu tersebut ialah mengenai memilih pemimpin, melantik pemimpin dan taat pemimpin. Adakah mengundi dikira sebagai memilih pemimpin?
Sebenarnya semua itu bukan melibatkan semua rakyat, malah kedudukan hukumnya berbeza seperti berikut:
Memilih pemimpin; dalam sesebuah negara mahupun negeri, perdana menteri adalah ketua pemerintah. Manakala ketua menteri dan menteri besar menjadi ketua pemerintah negeri. Ketua inilah yang bertanggungjawab memilih dalam kalangan wakil rakyat untuk menjadi pemimpin bagi mentadbir sesuatu bahagian atau unit. Pemimpin di peringkat negara dipanggil menteri, manakala pemimpin di peringkat negeri dipanggil exco.
Melantik pemimpin; Ketua pemerintah dilantik oleh Yang DiPertuan Agong bagi kerajaan persekutuan. Manakala pemerintah di peringkat negeri dilantik oleh Sultan atau Yang diPertua Negeri. Perlantikan mereka ini berdasarkan nasihat presiden sesebuah parti yang menang secara majoriti dalam pilihanraya. Biasanya pelantikan itu dalam kalangan mereka yang berpengaruh dan disegani dalam kalangan Wakil Rakyat yang menang dalam pilihanraya.
Berdasarkan kedudukan di atas, rakyat keseluruhannya tidak terlibat dalam pemilihan dan pelantikan pemimpin secara langsung. Jadi, sebagai rakyat kita tidak boleh dipersalahkan kalau pemimpin itu melakukan kesilapan dalam tadbir urus negara. Sebaliknya yang perlu bertanggungjawab ialah perdana menteri yang memilih pemimpin. Dan Sultan atau Yang diPertuan Agong perlu menegur kesilapan perdana menterinya.
Mengundi
Kerajaan menetapkan setiap lima tahun satu pilihanraya untuk memilih wakil rakyat yang kemudiannya mereka boleh dipilih sebagai pemimpin. Menyedari keperluan itu maka rakyat wajib keluar mengundi (walaupun kerajaan tidak mewajibkan rakyat mengundi) bagi menyediakan bakal-bakal pemimpin negara.
Umat Islam wajib memilih wakil rakyat yang berwibawa yang mereka itu boleh buat kerja untuk rakyat, untuk negara, untuk Islam dan Allah dengan sebaiknya. Pemimpin tersebut disifatkan di dalam al-Quran sebagai "Qawiul Amin" ialah kuat fizikal dan mentel dan beramanah. Soal pilihan kita itu menang atau tidak, kita tetap diberi pahala oleh Allah.
Ya benar, yang kita pilih ialah wakil kita untuk bercakap bagi pihak kita di dewan yang disediakan. Yang kita pilih itu bukan pemimpin kita tetapi wakil kita sebab rakyat tidak berpeluang bercakap di dalam dewan. Oleh sebab pengundian itu bukan sebagai pemimpin maka bolehlah kita memilih wakil rakyat dalam kalangan orang bukan Islam.
Walau bagaimanapun kemungkinan wakil rakyat kita itu dipilih menjadi pemimpin di peringkat negeri atau negara bukan dalam bidang kuasa kita. Perlu dijelaskan, tidak salah pemimpin dalam kalangan orang bukan Islam untuk tugasan yang tidak melibatkan agama. Selain itu, kemungkinan juga wakil rakyat kita itu akan dilantik sebagai perdana menteri atau ketua menteri dan menteri besar. Jadi, undi kita adalah penting.
Wajib Taat Pemimpin
Setelah pemimpin dilantik oleh Yang DiPertuan Agong, dan setelah pemimpin dipilih oleh Perdana Menteri atau ketua menteri dan menteri besar, terbentuklah kerajaan yang sah. Maka dari saat itu, sebagai rakyat kita wajib taat kepada pemimpin di mana pun kita berada. Sebagai contoh, jika kita berada dalam negeri Selangor maka wajib kita taat pemimpin Selangor dan pemimpin kerajaan Malaysia. Kewajiban ini berdasarkan firman Allah: “Wahai orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan taatlah Rasul dan pemerintah dalam kalangan kamu.”
Allah sebut perkataan taat sebanyak dua kali dalam ayat di atas iaitu taat kepada Allah dan taat kepada Rasul. Tetapi untuk taat kepada pemimpin tidak diulang perintah taat sebaliknya dikaitkan dengan Rasul. Berdasarkan itu ulama mengambil kefahaman bahawa ketaatan kepada pemimpin berada pada tahap ketiga selepas Allah dan Rasul. Ini bermakna ketaatan kepada pemimpin amat berkait dangan ketaatan pemimpin tersebut kepada Allah dan Rasul.
Pemahaman ini mengambil kita sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang masyhur: “Tiada ketaatan kepada manusia dalam hal-hal menderhakai Allah.” Jelas, mereka yang menderhakai Allah adalah orang yang tidak taat kepada Allah dan Rasul. Jadi, gugurlah perintah taat kepada pemimpin dalam hal itu.
Berdasarkan ayat dan hadis di atas jelaslah bahawa ketaatan itu hanya pada perkara yang melibatkan perintah dan larangan. Maknanya apa sahaja yang disuruh atau dilarang dalam batas yang tidak membawa kepada kemaksiatan wajib ditaati. Mungkin dalam sehari terdapat sebanyak 10 perintah dan larangan, namun terdapat satu perkara yang menjurus kepada maksiat, maka perkara itu sahaja yang tidak boleh ditaati.
Oleh sebab itu mana-mana pemimpin sama ada pemimpin negara atau negeri mahupun rumah tangga, wajib ditaati oleh rakyat bawahan akan segala perintah dan larangan. Namun jika terdapat antara perintah yang bertentangan dengan hukum Allah, maka bolehlah diabaikannya. Sebaliknya jika dituruti, dia telah melakukan satu dosa.
Oleh sebab itu, tidak timbul isu, bagaimana jika seseorang pemimpin yang zalim, merampas harta rakyat dengan sewenang-wenangnya, masih relevankah rakyat mentaatinya. Yang demikian itu adalah dosanya dengan Allah dan negara. Kita tidak perlu risaukan semua itu. Tetapi kalau pemimpin itu mengarahkan pegawainya merampas harta rakyat, maka pegawai itu sahaja yang tidak wajib taat. Atau dalam contoh lain, seorang pemimpin itu sudahlah tidak solat, dia melarang umat Islam mendirikan solat jemaah, maka larang itu boleh diabaikan sahaja. Tidak wajib ditaati.
Jelas di sini, apabila tidak ada arahan atau larangan daripada pemimpin, maka tidak timbul isu ketaatan. Maka sebagai rakyat, buatlah kerja-kerja rakyat. Kezaliman pemimpin tidak terpalit dosanya kepada rakyat. Namun sebagai rakyak, kita boleh mendakwanya di mahkamah. Dan pada masa yang sama kita boleh menghukumnya dengan tidak mengundinya lagi pada masa akan datang. Tapi yang pasti Allah tetap menghukumnya. Namun begitu, tidak bolehlah dengan sebab kezaliman itu rakyat bangun memberontak, lalu segala perintah yang baik pun diabaikan oleh rakyat.
Sikap Pemimpin
Setelah negara dibentuk oleh oleh parti yang memenangi kerusi yang dipertandingkan secara majoriti, pemimpin yang dilantik dan dipilih hendaklah berlaku adil kepada rakyat tanpa berkecuali. Pemimpin tidak boleh bersikap berpilih dalam mengagihkan kemakmuran negara. Semua rakyat sama ada menyokongnya atau tidak dalam pilihanraya adalah sama. Mereka berhak mendapat keadilan daripada pemimpin mereka itu.
Oleh sebab itu semua rakyat wajib taat kepada pemerintah selagi dia tidak memerintahkan rakyatnya melakukan perkara yang melanggar syariat. Pemimpin yang memerintah negara perlu sedar bahawa dia ketika itu milik rakyat bukan milik parti yang diwakilinya. Wallahu aklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan