Dalam rumah tangga suami dan isteri tanggungjawab sesuai dengan kedudukan masing-masing. Suami tanggungjawabnya tentu lebih besar kedudukannya sebagai ketua kepada wanita. Dan sudah tentu isteri mempunyai tanggungjawab yang tidak kurang besarnya sebagai seorang isteri atau pengurus rumah tangga.
Tanggungjawab mereka dapat difahami daripada firman Allah dalam surah An-Nisā':34 yang antara lain bermaksud:
"Kaum lelaki itu adalah pemimpin terhadap kaum perempuan sesuai dengan kurniaan Allah beberapa kelebihan kepada mereka terhadap yang lain (isteri). Dan juga sesuai dengan apa yang mereka belanjakan daripada harta mereka sebagai nafkah untuk keluarganya. Maka perempuan-perempuan yang solehah itu adalah mereka yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara maruah dan kehormatan diri ketika ketiadaan suami seperti yang Allah peruntukkan. Dan mana-mana perempuan yang kamu takut berlaku derhaka (nusyuz) maka hendaklah kamu membimbing mereka, dan (jika masih berdegil) pisahkan tempat tidur, dan kalau masih degil pukullah mereka (dengan niat mendidik). Maka jika mereka sudah kembali taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari jalan sukar. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar."
Berdasarkan ayat ini saya cuba keluarkan tanggungjawab suami terhadap isteri dan apa pula tanggungjawab isteri terhadap suami. Semoga dengan ini kita dapat memahami kehendak Allah dalam membina rumah tangga.
Ada dua tanggungjawab suami yang disenaraikan dalam ayat di atas iaitu:
1. Memimpin isteri agar menjadi isteri yang solehah. Didikan ini perlu berterusan sepanjang hidup kerana iman seseorang ada kala naik dan adakalanya menurun. Ciri-ciri wanita solehah ialah taatkan suami dan dia dapat menjaga maruah dirinya ketika ketiadaan suami. Biasanya isteri boleh menjaga maruahnya ketika di hadapan suami, tetapi apabila dibelakang suami, dia akan melakukan sebaliknya.
2. Memberi nafkah agar isteri berada dalam keadaan selesa. Nafkah seseorang isteri ialah tempat tinggal, makan minum dan pakaian. Semua itu perlu disediakan oleh suami agar isteri terjaga maruahnya dan selesa hidupnya. Jika isteri tidak mendapat itu semua fikirannya akan memerontak yang akhir boleh bertindak di luar batas.
Tanggungjawab isteri pula ialah:
1. Taatkan perintah suami. Ketaatan kepada suami bergantung kepada perintah atau larangan suami yang sesuai dengan ajaran Islam. Mana-mana arahan atau larangan yang bercanggah dengan Islam tidak perlu ditaati.
2. Jaga maruah ketika tiada suami. Isteri perlu menjaga maruah dirinya, kerana dengan mengabaikan maruah diri, maruah suami juga akan terjejas. Malah maruah Islam juga akan terjejas.
Dalam soal mendidik, Allah memberi panduan seperti berikut:
1. Apabila terbuka ruang-ruang isteri ingin derhaka, maka hendaklah membetulkan kesilapannya.
2. Jika dengan didikan itu dia masih tidak boleh berubah, pisahkan tempat tidurnya.
3. Jika dengan cara itupun dia belum sedar, pukullah dengan niat mendidik.
Kaedah ini boleh dipakai pada zaman ini, namun jika dilihat cara ini tidak sesuai bolehlah mencari jalan yang lain. Jika semua usaha gagal, lebih baiklah menceraikan isteri dengan cara yang baik sebagaimana kamu mengambilnya daripada kedua ibu bapanya.
Inilah kaedah yang tidak lagi digunapakai oleh para suami. Sebaliknya mereka terus menganiaya isteri dengan gantung tidak bertali. Mereka di kala ini telah mencemarkan kurniaan Allah kepada mereka. Jadi, mana-mana isteri dalam keadaan ini tidak perlu menunggu suami lagi, sebaliknya terus bertindak memohon cerai di Mahkamah Syariah setempat. Bercerai dalam keadaan itu tidak dilarang oleh Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan