Selalu kita dengar orang kata, kembalilah kepada Islam, kembalilah kepada al-Quran dan Sunnah. Apakah maksud ungkapan itu? Maaf cakap, ungkapan itu hanya sekadar ungkapan di bibir tetapi tidak betul-betul diterjemahkan ke dalam kehidupan.
Sebelum itu, apa yang boleh kita faham daripada perkataan kembali. Seseorang yang tinggal di Bangi sebagai contoh apabila dia keluar negara, dia akan kembali ke Bangi semula. Berbeza dengan balik, dia bertugas di Bangi, setelah bersara dia balik ke kampungnya di Pulau Pinang. Kemungkinan balik ini tidak kembali lagi.
Tetapi bagaimana seseorang boleh dikatakan kembali kepada Islam atau kembali kepada al-Quran dan Sunnah? Kalau dibandingkan dengan contoh di atas, bermakna seseorang itu memang berpegang dengan Islam, kemudian dia hanyun dan lalai dengan ajaran Islam. Maka mereka inilah yang selayaknya dikatakan, kembalilah kepada Islam.
Begitu jugalah dengan seseorang yang asalnya menggunakan al-Quran dan sunnah, tetapi dengan peredaran zaman dia tersasar lalu mengabaikan dua sumber itu. Maka wajarlah kita katakan kepadanya, kembalilah kepada al-Quran dan Sunnah.
Jelasnya istilah kembali itu tidak tepat kerana orang Melayu Islam sejak dahulu sehingga ke hari ini tetap dengan Islam mengikut cara mereka. Jadi, apabila diminta kembali kepada Islam, dia tidak tahu nak kembali ke mana. Mereka juga sudah lama faham al-Quran dan sunnah, bila diminta kembali dia pun tidak tahu nak kembali bagaimana.
Allah SWT berfirman,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisih) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu merujuknya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (Surah an Nisa : 52)Allah guna "ruddu" yang bermaksud tolaklah atau rujuklah. Maknanya kalau umat Islam berselisih pandangan tentang sesuatu itu, mereka kena tolak isu itu kepada pihak berwajib yang pakar dalam bidangnya. Jelas di sini pihak yang bertekak wajib berhenti dan tunggu keputusan dikeluarkan oleh pihak berwajib. Inilah sepatutnya difahami oleh umat Islam. Bukan kembali tapi merujuk.
Apa pula yang kita fahami dengan maksud Islam dalam konteks di atas? Ya, sudah pasti ajaran Islam yang merangkumi akidah, syariat dan tasauf. Umat islam perlu tahu dan amalkan ketiga-tiga sepanjang hidup.
Apa pula yang boleh difahami dengan al-Quran dan Sunnah? Ya, hukum hakam yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah perlu difahami dan diamalkan dalam kehidupan. Apabila semua umat Islam sama-sama berpandukan bahan rujukan ini tentu mereka tidak akan bertalagah.
Namun begitu, siapa yang arif dengan kedua-duanya? Tidak lain, melainkan ulama mujtahid yang sudah bertungkus lumus membina aliran mazhab mengikut kesesuaian masa dan tempat. Maka pilihlah mana yang sesuai di tempat dan masa anda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan