AHMAD BAEI JAAFAR
RAMAI yang tahu Rasulullah memulakan gerak kerja dakwah selama 13 tahun di Makkah dan 10 tahun berjuang di Madinah. Tetapi berapa ramai yang tahu misi perjuangan Rasulullah ketika itu. Dan berapa ramai pula yang mengambil misi itu untuk meneruskan gerak kerja dakwahnya kini?
Ya betul Rasulullah berdakwah di Makkah selama 13 tahun sebelum diarahkan berhijrah ke Madinah, tetapi apa ertinya semua ini? Sudah tentu Rasulullah bertindak mengikut kehendak Allah dalam menyampaikan risalah Allah. Sudah tentu, dua tempat dengan tempoh masa sebegitu sebagai tanda bahawa dalam perjuangan itu ada dua fasa yang berbeza.
Fasa Makkah
Fasa pertama ialah fasa Makkah yang misinya ialah menyeru kepada tauhid dan membina akhlak mulia. Manusia yang berada di Makkah ketika itu diperkenalkan dengan Tuhan yang satu secara rahsia. Kemudian setelah ada kekuatan apabila sudah mencapai pengikut yang ramai, dilakukan dakwah secara terang terangan.
Pada masa yang sama, mereka yang sudah menerima Islam ditanamkan rasa keimanan. Jiwa mereka dipasak dengan rasa takut kepada Allah, takut dengan hukuman Allah, rasa gerun dengan neraka Allah, rasa kagum dengan Allah dan rasa rindu dengan syurga Allah. Dengan rasa-rasa itu mereka teguh dengan Islam dan tidak mahu berpisah dengan Rasulullah dan Sahabat. Meskipun mereka diancam dengan pelbagai mereka sanggup mati mempertahankan Islam. Ini semua kerana iman yang tertanam di dada.
Pada masa yang sama juga Baginda Rasul mendidik pengikutnya dengan akhlak mulia, sentiasa bercakap benar, berkasih sayang, berukhuwah, memaafkan kesalahan orang dan suka saling membantu. Semua itu dilatih sehingga menjadi pakaian mereka. Semua itu tidak pernah berlaku dalam kehidupan mereka sebelum ini.
Rasulullah sendiri dalam kehidupannya sentiasa membawa akhlak itu dalam masyarakatnya malah dengan yang belum memeluk Islam. Bahkan banyak juga kes yang orang bukan Islam boleh menerima Islam dengan akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah dan Sahabat.
Inilah misi dakwah sepanjang 13 tahun di Makkah. Dan sebagai bukti mereka sudah memilik akhlak mulia, baginda mempersaudarakan antara Muhajin dan Ansur setibanya di Madinah. Ternyata mereka terima tanpa sebarang bantahan.
Fasa Madinah
Fasa kedua di Madinah yang mana mereka baru diajar soal syariat. Mereka dididik untuk dekat dengan Allah secara solat lima waktu, mereka ajar berpuasa, menjaga aurat daripada dilihat orang lain dan diminta meninggalkan arak, perzinaan dan sebagainya. Kemuncak ibadah yang difardukan ialah Haji. Semua itu didatangkan daripada Allah secara berdikit-dikit.
Perintah jihad untuk mempertahankan Agama dan Maruah juga dipraktikkan semasa Madinah. Jadi, jihad pada waktu itu bukan untuk dakwah tetapi untuk mempertahankan agama dan maruah Islam. Sebab itu kebanyakan perperangan berlaku di sempadan Madinah atau di sempadan tanah milik negara Islam. Sesekali yang berlaku diluar kawasan adalah kerana kita dicabar atau diancam.
Melihat kepada dua fasa ini, apa yang anda fikir? Adakah ia hanya sekadar sirah dan sejarah? Mesej yang paling jelas, dua misi harus kita bawa bersama dalam dakwah kita pada hari ini. Ya, betul kini Islam sudah lengkap maka kita sudah boleh mempraktikkan dalam masyarakat Islam, tetapi bagaimana dengan dakwah kepada orang bukan Islam? Bagaimana dengan orang Islam yang banyak ketinggalan dari arus Islam?
Dua fasa ini perlu digunakan secara tertib. Maknanya penekanan kepada fasa pertama mesti lebih berbanding fasa kedua. Namun tidak boleh tinggalkan fasa kedua kerana beranggapan tidak penting. Maknanya dalam mendidik mereka perlu mengikut tahap dan fasa di atas.
Kegagalan Kita
Di sinilah kegagalan pendakwah kita pada hari ini, mereka gagal memperkalkan Allah kepada sasarannya dan keduanya mereka gagal mempamirkan akhlak yang terpuji kepada madwunya. Kita tidak boleh sabar dengan serangan orang bukan Islam sebagaimana Rasulullah dan para Sahabat.
Begitu juga halnya apabila mereka sudah menerima Islam, perkara pertama yang diberi perhatian ialah syariah ialah berkhatan dan solat. Sedangkan tauhid dan akhlak tidak diberi perhatian. Ini semua boleh melambatkan perkembangan Islam di dunia ini.
Jadi sebagai pendakwah, dari manapun anda, golongan NGO atau parti politik atau ulama persendiri, mulakanlah dengan berpandukan dua fasa di atas untuk mencapai kejayaan pada masa dengan dengan cemerlang. Wallahu aklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan