Ucapan penghargaan dan tahniah ditujukan
kepada Prof. Emeritus Dato' Paduka Dr.
Mahmood Zuhdi Hj. Ab. Majid kerana telah berjaya mengerakkan satu Multaqa
Perpaduan Ummah yang perhimpunan sulung ini melebih jangkaan awal. Pertemuan
pada 18 Mei 2016 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi sangat besar
impaknya kerana disertai oleh pelbagai golongan masyarakat.
Hasil pertemuan itu
mereka berjaya memuktamatkan satu resolusi iaitu membentuk Sekretariat Khas
yang dianggotai oleh ilmuwan dan tokoh-tokoh berwibawa yang merangkumi
ahli-ahli yang merentasi sempadan ideologi politik dan kefahaman agama bagi
memenuhi beberapa tujuan yang antaranya:
a. Menghadap
Duli-Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja
Melayu untuk memohon Baginda-baginda semua campur tangan atas sifat sebagai
payung bagi agama Islam dan rakyat Malaysia seluruhnya.
b. Mengadakan
kunjung hormat kepada tokoh-tokoh utama parti politik Islam, Menteri-Menteri
Besar dan Ketua-ketua Menteri bagi membuka ruang ke arah mencapai pendekatan
yang sesuai sebagai jalan penyelesaian terhadap perpecahan yang berlaku.
c. Menganjurkan
dialog secara meluas dalam kalangan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan entiti
masyarakat madani bagi mencari kesepakatan dalam usaha memahami pandangan dan
pendirian masing-masing seterusnya mencari titik penyelesaian ke arah
perpaduan.
Saya mengambil ruang
yang sempit ini untuk memperluaskan perkara kedua di atas iaitu “mengadakan
kunjung hormat kepada tokoh-tokoh utama parti politik Islam, Menteri-Menteri
Besar dan Ketua-ketua Menteri bagi membuka ruang ke arah mencapai pendekatan
yang sesuai sebagai jalan penyelesaian terhadap perpecahan yang berlaku.”
Sebenarnya saya
melihat agenda ini amat penting kerana pemimpin politik adalah pilihan tepat
untuk memulakan perubahan ke arah perpaduan. Hal ini kerana pemimpin politik
selalu dijadikan rujukan dan ikutan. Maka cakap mereka amat berguna dan
berkesan. Untuk mencapai misi ini, wakil-wakil yang dipilih untuk membuat
kunjungan ini mestilah membawa misi yang jelas dan mudah diterima.
Untuk mencapai
perpaduan ummah, mestilah bermula dengan perpaduan ahli parti terlebih dahulu.
Maknanya dalam sesi pertemuan dengan pemimpin parti itu perlu ditekankan soal
perpaduan dalam kalangan ahli parti. Bayangkan kalau semua pemimpin parti
bercakap perkara yang sama kepada ahlinya, sudah tentu akan tercapai satu titik
perpaduan ummah.
Suka dijelaskan di
sini, asas kepada perpaduan ialah, bercakap perkara yang disuka oleh orang
ramai. Bercakap sesuatu yang tidak menimbulkan kecil hati pihak lain. Dan
akhirnya tidak bertindak berdasarkan sangka buruk atau persepsi yang salah.
Bayangkan kalau semua ahli parti menerima kaedah itu, berpadulah mereka, malah
tidak akan ada yang iri hati.
Selain itu pemimpin
antara parti pula akan bertindak seiring dengan misi ini, mereka sesama
pemimpin akan masing-masing menjaga hati, tidak menyakitkan hati lawan dan
selalu bersangka baik sama mereka. Bayangkan kalau seluruh negara mengamalkan
sikap ini dan antara satu sama lain, tidak berlaku lagi sindir menyindir dan
hina menghina, akan amanlah negara ini.
Suka saya
mencontohkan sesuatu yang tidak harmoni pada hari ini dan inilah yang
menjadikan mereka tidak boleh berpadu. Hari ini apabila kerajaan Malaysia
pimpinan Perdana Menteri apabila hendak melaksanakan sesuatu projek dia akan
canangkan ke seluruh negara bahawa “ini adalah satu lagi projek kerajaan
Barisan Nasional.”
Di mana lojiknya
slogan ini? Bila wujud kerajaan Barisan Nasional? Yang jelas wujud ialah
kerajaan Malaysia. Pimpinan kerajaan ini ialah Perdana Menteri yang dipilih
daripada Parti Barisan Nasional. Dia Presiden Barisan Nasional betul, tetapi
dia bukan perdana menteri Barisan Nasional. Dia bukan berakyatkan ahli Barisan
Nasional tetapi berakyatkan rakyat Malaysia yang pelbagai bangsa dan parti.
Jadi, kata-kata ini tidak benar dan boleh menyakitkan hati pihak lain.
Inilah contoh
terdekat yang boleh diberi perhatian demi perpaduan ummah. Semoga semua pihak
dapat memahami mesej ini dengan jelas. Semoga perpaduan ummah akan menjadi
realiti suatu hari nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan