26 Disember 2012

Kejahilan Umat Islam Merosakkan Ummah Sendiri


Ahmad Baei Jaafar

Membaca surat khabar Utusan Melayu pagi ini (24 Disember 2012), hati saya berasa amat sedih, bukan kerana berita kemalangan yang menyebabkan satu keluarga terkorban tetapi tentang berita ketaksuban bekas ahli PAS terhadap Amanat Haji Hadi. Sedih saya kerana masih ada lagi umat Islam yang jahil dalam dunia serba canggih ini. Bagaimana mereka boleh jahil dalam agama sehingga boleh taksub kepada pemimpin mereka.
Saya tidak tahu keadaan sebenar, adakah keadaan ini kerana ulama tidak benar-benar mengajar umat Islam tentang bahaya taksub atau ahli sesuatu parti itu tidak mahu belajar agama hingga boleh taksub sebegitu rupa. Walau apapun andaiannya, saya boleh pastikan bahawa seseorang yang boleh taksub kepada pemimpin mereka hakikatnya mereka tidak beragama atau dalam kata lain jahil dalam agama.
Merujuk kepada laporan akhbar tersebut, seorang bekas ahli Pas dari Kampung Bukit Payong Hulu Besut, Mat Ali Mat Resat, 62, beliau mendedahkan bahawa sebahagian ahli Pas mengelak daripada mengambil lauk daging sewaktu menghadiri kenduri ahli dan penyokong UMNO kerana percaya sembelihan mereka tidak sah dan haram dimakan.
Kalau betul dakwaan Mat Ali itu, memang saya salahkan pemimpin parti kerana mereka gagal mengajar fardu ain kepada ahlinya. Sepatutnya semua ahli diberi bimbingan agama yang cukup bukan sekadar ceramah semangat yang berapi-api. Tetapi kalau parti sudah menyediakan kelas-kelas fardu ain, sedangkan ahli tersebut gagal untuk menghadirinya kerana kesebutan atau malas, maka salahnya ialah ahli berkenaan. Namun natijahnya tetap kita boleh salahkan pemimpin atas kegagalan itu.
Rendah Ilmu
Sebenarnya saya sehingga ke hari ini tidak dapat hendak menggambar betapa rendahkan tahap ilmu umat Islam kini sehingga mereka tidak tahu menilai mana satu ajaran yang benar dan mana pula ajaran yang tidak benar. Namun pada masa yang sama saya juga berasa hairan betapa ceteknya akal orang-orang Islam pada hari ini dalam memahami bahasa ilmu walaupun ilmu itu dalam bahasa Melayu.
Cetek akal boleh menyebabkan seseorang itu tidak dapat memahami makna tersirat. Saya percaya mereka yang seangkatan dengan bekas ahli PAS itu gagal memahami makna tersirat itu. Untuk membuktikannya, saya cuba dapatkan teks Amanat Hadi seperti yang didakwakan itu. Rupa-rupanya amanat itu sudah diarkibkan dalam Wikipedia.
Supaya umat Islam terus selamat dan tidak lagi ditipu oleh syaitan-syaitan manusia maka izinkan saya untuk memperturunkan amanat tersebut dan kemudiannya cuba kita fahami maksudnya agar kita tidak terus taksub pada perkara yang salah.
“Saudara-saudara sekelian percayalah, kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.
“Percayalah saudara-saudara sekelian, perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'.”
Berdasarkan teks amanat di atas, saya dapati tidak ada satu kenyataan pun yang menyebut bahawa UMNO kafir. Maka jelaslah, mereka yang membuat dakwaan itu tersalah faham atas kejahilan dalam memahami bahasa. Dalam hal ini kalau ada orang UMNO yang memahami bahawa kenyataan itu sebagai menuduhnya kafir, ternyata mereka telah membuat sangkaan yang salah. Ini seolah-olah mereka mengiktiraf bahawa mereka adalah kafir. Perhatikan catatan Abu Hurairah berikut:
عن أَبي هُرَيْرَةَ، وَهُوَ قَائِمٌ عِنْدَ مِنْبَرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : قَامَ فِينَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي مِثْلِ هَذَا الْيَوْمِ وَفِي مِثْلِ هَذَا الشَّهْرِ ، فَقَالَ : " أَحْسِنُوا يَأَيُّهَا النَّاسُ بِرَبِّ الْعَالَمِينَ الظَّنَّ ، فَإِنَّ الرَّبَّ عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِهِ بِهِ " .(ابن النجار)
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah yang ketika itu dia berdiri di sisi mimbar Rasulullah SAW katanya, pernah Rasulullah SAW berdiri dalam majlis kami seperti hari ini dan seperti bulan ini, maka baginda bersabda; “perelokkan sangkaan kamu wahai manusia terhadap tuhan sekelian alam, kerana sesungguhnya tuhan bersama sangkaan hambanya.

Salah faham
Memahami kenyataan di atas, sepatutnya orang UMNO tidak cepat membuat andaian buruk terhadap kenyataan Haji Hadi itu, sebaliknya berkata dengan tenang; “kita perlu cek semula perlembagaan kita adakah benar masih berbau penjajah.” Kalau betul ubahlah, kalau tidak betul maka bersyukur kerana kita tidak termasuk dalam kenyataan itu. Bayangkan kalau kita besar-besarkan isu kafir ini, sedangkan amanat itu tidak katakan begitu, sudah tentu kita sendiri yang akui kekafiran itu. Nanti Allah bersama sangkaan itu.
Sebenarnya amanat itu tidak merujuk kepada isu akidah pun, sebaliknya merujuk kepada isu politik, mengapa mereka menentang UMNO. Menurut amanat itu mereka menentang Umno kerana Umno mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Jadi, isunya hanya pada tiga perkara itu. Maknanya kalau tiga perkara itu tiada, pastilah PAS boleh berbaik-baik dengan UMNO.
Seterusnya pada perenggan kedua mereka mengisytiharkan jihad menentang kerajaan yang masih mengekalkan tiga perkara di atas. Memanglah berjihad menentang perkara ini boleh mati syahid. Jelasnya, mereka bukan menentang kerana kerajaan itu kafir tetapi kerana kerajaan yang masih mengekalkan tiga perkara itu.
Selain itu dalam perenggan itu juga ditambahkan satu ilmu bagaimana untuk mengelak diri daripada menjadi kafir. Katanya, kita boleh jadi kafir hanya dengan menyebut “Agama atau Islam satu perkara dan politik satu perkara lain”. Ertinya kedua-duanya berada pada kedudukan berasingan, tidak bercampur. Padahal dalam Islam, politik itu sebahagian daripada urusan agama.
Jadi, kita boleh ukur diri sendiri, adakah aku berfikiran begitu atau tidak? Kalau memang kita begitu, taubatlah semoga kita dikembalikan kepada iman yang betul. Kalau tidak begitu, abaikan sahaja kerana perkara itu boleh menjadi ilmu kepada orang lain. Semoga dengan itu tidak seorang pun yang boleh menjadi kafir di negara ini.
Selain itu ada sebuah hadis lagi yang sangat berkaitan dengan persoalan di atas.
عَنْ معاوية بن حيدةِ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ الْغَضَبَ يُفْسِدُ الإِيمَانَ، كَمَا يُفْسِدُ الصَّبْرُ الْعَسَلَ، ثُمَّ قَالَ : " يَا مُعَاوِيَةُ بْنَ حَيْدَةَ، إِنِ اسْتَطَعْتَ أَنْ تَلْقَى اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ، وَأَنْتَ تُحْسِنَ الْظَنَّ بِهِ، فَافْعَلْ، فَإِنَّ اللَّهَ عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِهِ بِهِ." (ابن عساكر الدمشقي)
Maksudnya: Daripada Muawiyah bin Haidah dia berkata, Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya marah itu merosakkan iman sepertimana jadam merosakkan madu. Kemudian baginda bersabda lagi, wahai Muawiyah bin Haidah, jika kamu berpeluang bertemu Allah Azzawajalla, dan boleh bersangka baik, buatlah, sesungguhnya Allah sentiasa bersama sangkaan hambanya.
Berdasarkan hadis ini, kita tidak sewajarnya marah kepada orang lain apatah lagi orang yang boleh menasihatkan kita ke arah kebaikan. Kalau kita cepat marah apatah lagi kalau panas baran, iman akan hilang, dan lambat laun mereka boleh jadi kafir pula. Oleh sebab itu, sebagai orang Islam kita kena bersangka baik atas apa yang berlaku. Nanti Allah akan merestui sangkaan kita itu. Wallahu aklam.

17 Disember 2012

Perkahwinan yang berkat bawa ke syurga

Ahmad Baei Jaafar

Semua orang yang berkahwin mengharapkan keberkatan. Maka atas sebab itu mereka memilih masjid untuk dijadikan tempat akad nikah. Harapan mereka dengan berkat masjid perkahwinan mereka juga berkata. Tetapi apakah perkahwinan mereka berkat selepas itu? Ya, dalam pemerhatian saya sungguhpun mereka berkahwin di masjid, kehidupan mereka tetap tidak berkat juga. Kenapa mereka tidak beroleh berkat?
Menyentuh isu itu, kali akan memberi tumpuan kepada maksud berkat di sisi Allah. Di segi bahasa, berkat bermaksud bertambah atau subur atau beruntung. Maknanya kalau berkat itu dikaitkan dengan perkahwinan maka jadilah perkahwinan yang bertambah, yang subur atau yang beruntung.
Berdasarkan makna itu, barangkali ramai perempuan yang berfikiran negatif lebih rela untuk tidak mendapat berkat itu. Mereka tidak mahu berkat itu kerana dia tidak mahu suaminya menambahkan isteri lain. Yalah, bukankah berkat bermakna bertambah. Tetapi bagi mereka yang berfikiran positif difahamkan maksud itu sebagai bertambah rezeki, bertambah kebaikan dan kasih sayang. Inilah yang seharuskan difikirkan dalam rumah tangga.
Oleh sebab itu persoalan berkat, hanya individu sahaja yang boleh menilai. Malah mereka sendiri yang perlu pilih sama ada mahu berkat atau tidak. Kalau pada awal perkahwinan sudah baik, dan dengan bertambah usia perkahwinan bertambah pula kebaikannya. Itulah nilai keberkatannya. Tetapi kalau berlaku sebaliknya, semakin lama berkahwin semakin rasa benci kepada pasangannya, barangkali perkahwinan itu tidak berkat.

Bagaimana Perkahwinan Berkat
Semuanya bermula daripada majlis akad nikah, malah kesan daripada majlis itu boleh menjadikan perkahwinan itu berkat atau tidak. Soal majlis itu buat di mana, di rumah atau masjid tidak penting dan tiada isu pun. Tetapi yang benyak memberi kesan ialah bagaimana majlis itu diadakan. Boleh jadi majlis yang dibuat di dalam masjid, namun acara di dalamnya terdapat kemungkaran. Jadi, keberkatannya akan hilang. Sebaliknya, kalau majlis itu dilakukan di rumah dengan atur cara yang penuh adab sopan seperti yang dianjurkan Islam, maka di dalamnya ada keberkatan.
Sebenarnya semasa majlis akad nikah perlu dijaga beberapa perkara termasuk:
  • 1.       Kedua-dua pasangan itu hendaklah mengambil wuduk seperti dia hendak bersolat. Maklumlah berkahwin juga termasuk dalam kategori ibadah. Dalam hal ini saya dapati pengantin lelaki ada yang mengambil wuduk, tetapi kebanyakkan pengantin perempuan tidak berwuduk. Kononnya, mekap sudah tebal, tidak boleh ambil wuduk lagi, nanti rosaklah solehkan itu.
Kalau inilah yang berlaku bagaimana majlis perkahwinan itu beroleh berkat. Perlu dijelaskan di sini, Islam tidak halang bermekap, tetapi sebelum bermekap itu ambillah wuduk dulu. Selepas itu kekalkan wuduk sehingga selesai majlis. Tetapi perlu diingat, juru solek tersebut hendaklah juga perempuan, kalau tidak terbatal pula. Kalau cara ini boleh dipertahankan berkatlah perkahwinan itu.
  • 2.       Kalau mereka membuat majlis itu di dalam masjid, masuklah ke dalam masjid dengan hormat; iaitu lakukan solat sunat tahiyat masjid dua rakaat. Malah semua rombongan pengantin patut melakukan perkara yang sama. Perkara ini juga dilihat gagal dilaksanakan oleh pengantin perempuan. Agaknya sudah hendak pakai kain telekong. Kenapa susah? Bukankah pakaian yang dipakai itu sudah menutup aurat, solatlah dengan baju pengantin itu.
  • 3.       Sekali lagi kalau mereka membuatnya di dalam masjid, niatlah iktikaf dalam masjid dan menjaga adab masjid dengan tidak berbual perkara yang lagha. Banyakkan isytighfar memohon keampunan atas dosa yang pernah dilakukan sebelum ini.
  • 4.       Ambil perhatian ketika khutbah dibacakan, faham mesej yang disampaikan semoga dapat dihayati bersama dalam rumah tangga nanti.
  • 5.       Orang ramai yang hadir perlu doakan untuk pengantin kebaikan dan kebahagian mereka hingga ke dalam syurga.
  • 6.       Pengantin setelah selesai akad nikah bolehlah melakukan sujud syukur jika dilakukan bukan selepas solat asar.

Sebenarnya enam perkara ini bukan susah hendak dilakukan jika mereka mahu. Apatah lagi kalau mereka mahukan keberkataan daripada perkawinan mereka, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Setelah selesai majlis akad nikah binalah kehidupan rumah tangga mengikut kacamata Islam. Sudah pasti sebagai suami ada beberapa hak dan tanggungjawab yang mesti dipikul. Suami semestinya menjadi pemimpin yang sentiasa membawa isterinya kepada syurga Allah. Begitu juga isteri ada hak dan tanggungjawab yang mesti diberi perhatian. Dia wajib taat kepada suami selain memberi kegembiraan kepada suaminya.
Percayalah jika suami dan isteri dapat mematuhi hak dan tanggungjawab dengan sempurna, tidak syak lagi mereka akan dikurniakan keberkatan hidup. Dan tanda keberkatan hidup, mereka boleh hidup dalam ketenangan dan bahagia. Oleh sebab itu, jika dalam sesebuah rumah tangga itu wujud rasa seperti tidak sempurna dan sentiasa keluh kesah, eloklah dilihat semula kehidupan mereka. Boleh jadi terdapat  beberapa amalan mereka yang bercanggah dengan Islam. Boleh jadi keberkatannya sudah tiada.
Seterusnya jika mereka sudah dikurniakan anak, perlulah diberi perhatian kepada kaedah mendidik anak yang betul. Didikan harus dimulakan dengan menunjukkan contoh terbaik sebagai seorang Islam. Antara yang utama ialah, apabila anak itu mencapai umur tujuh tahun suruhlah dia solat. Ini juga perlu ditunjukkan contoh. Dan apabila anak itu secara tiba-tiba malas pada usia 10 tahun, ibu bapa dibenarkan memukul sehingga dia mahu bersolat.
Didikan seterusnya perlu disusuli kemudian setelah solat itu dapat dilakukan dengan sempurna. Jika semua itu dapat dilaksanakan di situlah keberkatan sebenar. Cuma persoalan sekarang, berapa ramai umat Islam yang mengambil berat soal solat? Kadang-kadang mereka sendiri cuai dengan solat. Kalau begitu, mampukah mereka mendidik anak mereka supaya bersolat. Inilah antara sebab mengapa kebanyakan keluarga Islam tidak mendapat keberkatan.

Kekalkan keberkatan
Berdasarkan kenyataan di atas, sekurang-kurangnya terdapat tiga fasa yang perlu dilalui; fasa majlis akad nikah, fasa pasca akad nikah, dan fasa mendapat anak. Saya percaya semua pasangan yang berkahwin melalui fasa itu, cuma tidak dapat dipastikan apakah mereka mengikut panduan itu atau tidak.
Hari ini kita lihat ikatan keluarga Islam agak rapuh berbanding keluarga Islam sebelumnya. Rumah tangga yang baru dibina juga kecoh – tidak sefahaman. Padahal mereka sudah lama bercinta. Keluarga yang sudah anak ramai juga berakhir dengan perceraian. Malah keluarga yang sudah melepasi separuh abad juga boleh bergaduh. Boleh jadi panduan di atas tidak dipraktikkan dalam kehidupannya.
Di sini mungkin ada yang mempersoalkan, keluarga yang boleh bertahan sehingga separuh abad itu membuktikan sudah ada keberkatan, tetapi mengapa mereka boleh bergaduh pula. Adakah keberkatan itu boleh hilang semula setelah diperoleh?
Sememangnya keberkatan itu boleh hilang kalau tidak dijaga dengan baik. Oleh sebab itu setiap fasa yang dibentangkan di atas perlu dibawa bersama sepanjang hayat. Walaupun dia gagal pada fasa pertama atas kejahilannya, bertaubat atas kesilapan pada fasa pertama, semoga keberkatan akan datang kembali.
Selepas melepasi fasa pertama mereka sepatutnya membina hubungan keluarga dengan baik, mematuhi hak dan tanggungjawab masing-masing. Bahkan kerukunan rumah tangga akan bertambah baik dengan adanya anak. Cuma di sini kadang-kadang hak dan tanggungjawab itu akan sedikit terabai apabila sudah ada anak. Dan akan berkurang lagi setelah ada dua orang anak. Apabila keadaan ini terjadi maka keberkatan akan hilang juga.
Pengabaian hak dan tanggungjawab inilah yang menjadi punca keretakan hubungan suami isteri. Bayangkan kalau isteri lebih memberi perhatian kepada anak dan mengabaikan suami, kebahagiaan akan musnah. Keadaan ini juga boleh berlaku apabila isteri sudah putus haid. Lazimnya suami ketika itu langsung diabaikan keperluannya.

Hindar Dosa
Sebenarnya hilang keberkatan ini ada kaitan dengan dosa yang dilakukan pasangan atau salah satu daripada keduanya. Dosa yang dilakukan sering tidak dianggap lalu dilakukan tanpa rasa bersalah. Antara dosa tersebut ialah, suami berurusan dengan perempuan pada kadar melampaui batas. Isteri melayan lelaki lain tanpa rasa malu. Dosa ini belum dicampur dengan dosa mendera isteri atau suami dan sebagainya.
Tidak dinafikan semua orang tidak boleh elak daripada melakukan dosa, tetapi sebagai umat Islam kita diajar bertaubat kerana Allah Maha Pengampun. Maka Allah sangat suka kepada hambanya yang setiap kali melakukan dosa segera meminta ampun. Tetapi oleh sebab mereka tidak merasa itu satu dosa maka mereka tidak bertaubat.
Sebaiknya suami dan isteri bermuhasabah dengan dosa dan pahala mereka setiap hari. Maka sebelum tidur mohon kemaafan kepada pasangan dan bertaubatlah segera. Inilah ruang dan peluang yang seharusnya diambil bahagian untuk bertaubat. Ingatlah dosa walaupun kecil boleh menghilangkan keberkataan itu.
Untuk menambahkan keberkatan elok juga dikoreksi diri tentang hak dan tanggungjawab sama ada telah dilasanakan atau tidak. Ketika itu suami dan isteri bolehlah secara rendah hati memohon kemaafan. Walaupun masing-masing sudah melaksanakannya, tentu tidak salah kalau mereka sanggup mengaku berdosa.
Selain itu mereka juga perlu tingkatkan kerja-kerja kebajikan. Sebenarnya dalam rumah tangga yang dibina itu banyak kebajikan yang boleh diusahakan. Kebajikan yang dimaksudkan tidak semestinya melibatkan kewangan. Malah membuat baik kepada pasangan dan anak-anak termasuk dalam kebajikan juga.
Tetapi kalau mereka ada kewangan yang mencukupi, bolehlah sesekali memberi sumbangan kepada masjid, dan tempat yang memerlukan kewangan. Hal ini kerana sumbangan itu boleh membantu keberkatan kewangan yang mereka peroleh setaip bulan.
Percayalah keberkatan yang diharapkan oleh pasangan suami isteri, boleh terhasil dengan usaha yang gigih tanpa jemu. Allah akan kurniakan keberkatan itu sepanjang masa melalui kehidupan yang harmoni. Jika semua ini dapat dikekalkan sehingga ke akhir hayat tidak syak lagi mereka amat berpeluang untuk ke syurga.