31 Mei 2011

Empat perkara untuk menguji keimanan mereka

Ahmad Baei Jaafar
Seseorang dalam kehidupan seharian akan mendapat antara empat perkara; nikmat, bala, taat dan maksiat. Malah kadang-kadang keempat-empat itu diperoleh dalam sehari. Semua itu bergantung kepada sejauhmana keimanan seseorang.
Nikmat: Seseorang itu akan memperoleh nikmat apabila dia berusaha ke arah kebaikan selain berdoa kepada Allah. Antara nikmat yang akan diperoleh ialah kesenangan, ketenangan, kekayaan, kemudahan dan banyak lagi.
Tetapi apabila nikmat yang diperoleh itu tidak disyukuri, tidak menghargai apa yang diperoleh itu semua itu akan hilang. Itulah yang dikatakan bala.
Bala: Seseorang itu akan menerima kesusahan, kemiskinan, permusuhan, apabila hubungannya dengan Allah diputuskan. Nikmat yang diperoleh tidak disyukuri, manfaatnya digunakan secara tidak serius. Sikapnya itu dianggap sebagai tidak menghargai pemberian Allah.
 Inilah bala yang jarang dianggap bala. Sepatutnya umat Islam sedar bahawa apabila usaha seseorang tidak dihargai, dia telah membina permusuhan sesama muslim. Hakikatnya semua termasuk dalam kategori bala.
Taat: Seseorang yang bersyukur akan taat kepada Allah. Segala perintah Allah ditunaikan segala yang dilarang Allah ditinggalkan. Jadi, orang yang taat ada kaitan dengan nikmat. Inilah regu yang seharusnya dikawal oleh umat Islam. Hal ini kerana tanpa taat manusia akan melakukan dosa.
Maksiat: maksiat adalah lawan kepada taat. Maka orang yang buat maksiat akan menerima bala daripada Allah. Orang yang buat maksiat bukan sahaja mencuri, berzina dan sebagainya, tetapi tidak melaksanakan perintah Allah juga dikategorikan sebagai buat maksiat.
Umat Islam perlu sedar empat perkara ini akan ada pada setiap orang. Namun, apa yang digambarkan itu menjadi satu peluang untuk masing-masing bermuhasabah. Maka kalau bala atau maksiat sudah bersarang dalam diri seseorang agak sukar dihapuskan. Oleh sebab itu, kita perlu iringi dengan doa yang serius.
Walau bagaimanapun wanita yang tidak ada iman, mereka mudah memperoleh bala dan maksiat. Jadi, iman perlu diusahakan secepat mungkin dan ditingkatkan ke tahap yang lebih baik.

24 Mei 2011

Larangan berkhawat untuk elak zina

Ahmad Baei Jaafar

Rasulullah s.a.w. dalam hadis daripada Ukbah bin Amir menyebut bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Maka jangan sekali-kali seorang lelaki bersendirian dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya kerana yang ketiga ialah syaitan." (Riwayat Al-Imam At-Tirmidzi)
Mungkin ramai yang tidak tahu mengapa rasulullah melarang lelaki berkhalwat dengan wanita. Mungkin pada mereka larangan itu menyekat kebebasan hak asasi mereka. Sebab itu ada yang berkata, pertemuan itu hanya sekadar bualan biasa, tidak lebih daripada itu. Tetapi sebenarnya rasulullah sendiri sudah memberi jawapan yang jelas, iaitu tatkala mereka berduaan akan ada syaitan di antara keduanya.
Syaitan yang sifatnya suka menggoda, akan meniupkan ransangan seks wanita dan kemudiannya lelaki. Ransangan syaitan itu lambat laun akan berhasil dan ketika itu pasti berlaku perzinaan. Tetapi jika antara mereka ada orang ketiga tentu pasangan itu akan merasa malu untuk melakukan zina itu. Sebab itu bagi menyelamatkan keadaan rasulullah menyarankan pasangan itu berteman orang yang ketiga seperti sabdanya yang bermaksud:

"Tidak halal bagi seseorang lelaki berkhalwat dengan seseorang wanita yang tidak halal buatnya kecuali ditemani mahram (mahram-orang yang diharamkan nikah/ kahwin dengannya. Maka orang atau pihak ketiga yang ada bersama-sama ketika mereka berdua berkhalwat itu adalah syaitan". (sila rujuk bukuFiqh As-Sunnah oleh Syed Sabiq).
Sebenarnya larangan berduaan di tempat yang mencurigakan dan sebaliknya digalakkan bertiga dalam sesuatu pertemuan adalah untuk merealisasikan perintah Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu menghampiri zina sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." (Surah al-Isra' :32)
Jelas dalam ayat di atas Allah tidak melarang berzina secara langsung tetapi melarang umat Islam menghampir perbuatan zina. Bayangkan kalau menghampiri zina tidak berlaku, bolehkah berlaku perzinaan. Sudah pasti tidak berlaku zina. Jadi, larangan menghampiri zina itu merujuk kepada larangan berkhalwat, pergaulan bebas dan seumpamanya.

Undang-undang Jenayah Syariah
Umat Islam yang memahami perintah Allah dalam al-Quran dan larangan Rasul dalam hadis di atas, pasti tidak tergamak untuk melakukan dosa khalwat. Malah dalam Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, kesalahan khalwat dijelaskan bahawa; lelaki atau perempuan yang didapati berada bersama seorang atau lebih yang bukan mahramnya di mana-mana tempat terselindung dalam keadaan boleh menimbulkan syak mereka sedang melakukan perbuatan tidak bermoral. 
Manakala hukuman kesalahan jenayah khalwat ini diperuntukkan dalam undang-undang jenayah syariah pada Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, bila sabit kesalahannya, dendanya tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. 
Walaupun sudah ada larangan Allah tetapi umat Islam belum terdidik dengan perintah Allah dan larangan Rasulullah. Malah tidak gentar dengan peruntukan undang-undang Syariah di atas. Umat Islam tidak takut dengan ancaman undang-undang itu kerana pada mereka kalau kena denda, tidak sukar untuk membayarnya. Dan kalau kena penjara, tidaklah lama bahkan akan dihidangkan dengan makanan yang terkawal lagi baik.
Jelas, penjenayah ini bukan sahaja tidak takut kepada undang-undang dan hukumannya malah tidak takut kepada Allah dan hukuman-Nya. Mereka juga tidak malu kepada Rasulullah dan jiran-jirannya. Ya, kalau begitu keadaannya, boleh jadi mereka ini tidak pernah sujud menyembah Allah.

Kenapa wanita dan lelaki ambil jalan pintas?
Menyedari keadaan ini, suka saya mengingatkan wanita yang terlibat juga mereka yang berniat untuk terlibat dalam aktiviti khalwat, hargailah diri anda. Tubuh wanita adalah ciptaan Allah yang termahal, maka tidak wajar diberikan percuma kepada seseorang lelaki. Ya, wajarkah barang yang mahal milik anda diberikan kepada seseorang begitu sahaja? Tentu tidakkan?
Sebenarnya dalam kes khalwat ini, wanita tersebut telah menggadaikan maruahnya kepada lelaki tanpa mendapat apa-apa manfaat kecuali mengandung anak luar nikah. Tetapi tahukah anda, seorang lelaki dalam keadaan ini boleh menyelamatkan diri dan meninggalkan anda bersama kandungan yang memalukan.
Jadi, apa faedahnya wanita menggadaikan maruahnya hanya kerana keseronokan sementara. Sebenarnya walaupun wanita itu tidak mengandung anak luar nikah,hati wanita itu tetap menderita dan hidup dalam keadaan ketakutan. Walaupun secara zahirnya mereka rasa seronok melakukan dosa dan maksiat tetapi hakikatnya hati mereka diburu rasa takut.
Percayalah ketika melakukan melakukan kesalahan itu, hati mereka sentiasa rasa bersalah orang kampung dan mereka takut kalau dikesan oleh mereka. Mereka juga takut kalau-kalau ditangkap pihak berkuasa agama. Pada masa yang sama, mereka takut kalau-kalau diketahui ibu bapa masing-masing.
Bayangkan kalau setiap hari mereka dalam keadaan itu, di manakah kebahagiaan mereka. Kenapa memilih kebahagiaan sementara sedangkan kebahagiaan sebenar boleh diperoleh dengan berkahwin? Tetapi bagaimana kalau wanita itu mengandung anak luar nikah, di mana hendak disimpankan rasa malu kepada jiran, keluarga terutama ibu bapa.
Sesungguhnya ibu bapa dalam keadaan ini akan lebih terasa malu jika anak yang dididiknya sehingga dewasa mencemarkan nama baik mereka. Malah akan terlebih malu kalau anaknya dibiarkan mengandung tanpa suami. Tetapi bolehkah si anak itu membayangkan akan kesedihan dan kekecewaan ibu bapanya?
Percayalah kalau semua ini dapat dirasakan oleh wanita sebelum atau semasa hendak melakukan dosa dan maksiat itu, pasti kenikmatan sementara itu boleh ditinggalkan dengan senang hati. Apatah lagi kalau dia rasa takut kepada Allah dan hukuman yang bakal diterima nanti.

Umat Islam mesti mencegah
Gejala bersekedudukan atau khalwat ini boleh dibasmi dalam sesuatu komuniti jika semua pihak dapat berintak sebagai pencegah. Di sini, masyarakat tempatan perlu peka dengan jiran mereka dan mengenal pasti siapa jiran mereka itu. Seseorang yang baik akan mengambil tahu status jirannya supaya dengan itu dapat mengesan mana jiran yang melakukan dosa dan maksiat sama ada pada waktu malam atau siang.
Perhatian jiran ini akan menjadikan lelaki dan perempuan yang berniat untuk melakukan dosa dan maksiat terhalang. Hal ini kerana sikap masyarakat setempat itu telah menjadi mata dan telinga masjid dan kerajaan.
Oleh sebab itu ibu bapa perlulah sentiasa mengingatkan anak-anak mereka sama ada lelaki mahu perempuan agar menjauhi dosa dan maksiat. Ingatkan anak perempuan bahawa sentuhan lelaki boleh menyebabkan mereka mengandung. Ingatkan juga, jika mereka mengandung bukan sahaja dia akan malu tetapi ibu bapa juga malu. Dan ingatkan juga anak lelaki jika mereka merosakkan maruah wanita, hakikatnya dia telah merosakkan maruah ibu bapanya sendiri.
Inilah asas didikan iman yang boleh diberikan kepada anak-anak. Jiwa mereka perlu disuburkan dengan rasa takut kepada Allah, gerun kepada neraka-Nya dan cintakan syurga-Nya. Jika semua ini dapat direalisasikan diri diri semua umat Islam pasti mereka akan menjaga maruah masing-masing.
Ketika itu umat Islam akan berada dalam masyarakat harmoni, yang tidak diselubungi gejala maksiat. Kalau di rumah boleh rasa bahagia, dalam masyarakat juga boleh rasa bahagia, dan pastinya dalam negara turut rasa bahagia.

16 Mei 2011

Selamat hari guru buat kalian yang berjiwa guru

Ahmad Baei Jaafar

16 Mei datang lagi, tarikh karamat buat semua guru. Tarikh ini mengingatkanku pada waktu menjadi guru di Maktab Adabi Maharani, Muar, Johor iaitu pada tahun 80-an, meskipun tidak lama di sana, anak-anak muridnya amat menghargai guru. Aku bangga menjadi guru walaupun gaji pada waktu itu bukanlah besar.
Sebelum aku melibatkan diri dalam penulisan sepenuh masa seperti sekarang, sudah banyak negeri di Malaysia yang kududuki, mengajar anak murid ke arah mengenal Allah. Kalau hendak dikira berapa ramai anak murid tentu tidak terkira. Aku tidak pasti, berapa ramai anak murid yang dapat mengenali guru mereka itu dan seterusnya mengucapkan sesuatu kepada guru mereka pada hari ini.
Tetapi aku percaya, kebanyakan anak murid ingat gurunya, cuma apabila bertemu dia sudah tidak cam itulah gurunya dahulu. Aku sendiri pernah mencari guru-guruku semasa sekolah rendah, menengah, tetapi tidak berjumpa. Tetapi guru semasa di pusat pengajian tinggi masih bertemu, walaupun sudah ada yang meninggal dunia.
Walau bagaimanapun peluang untuk berhubung dan mengucapkan ucapan selamat hari guru tidak dapat dilakukan kerana alamat perhubungan tidak ada. Lainlah kalau mereka sering bertemu di sekitar Kuala Lumpur. Namun begitu, pada hari ini kita sudah banyak kemudahan dan kemudahan yang paling berkesan ialah facebook (fb). Kita boleh mencari guru kita dengan hanya memasuki fb.
Jadi, alasan tidak tahu alamat atau no telefon untuk mengubungi guru kita sudah tidak relevan lagi. Umumkan saja di situ, nanti fb akan mencari. Jika guru itu masih ingat anak muridnya dan selagi dia masih hidup dan ada akaun fb, pasti dia akan menyahut dan seterusnya menjadi rakan.
Di sinilah baru kita sedar, betapa bergunanya fb kepada kita. Aku percaya jika semua guru dapat dihubungi dengan cara ini, tentu meriah sambutan hari guru pada tahun ini. Biarpun kita tidak bertemu pada alam realiti tetapi kita bertemu di alam maya.
Sungguhpun begitu, ada pihak yang terlupa dalam menilai guru mereka, maka sambutan hari guru di sisihkan ustaz dan ustazah apatah lagi tok-tok guru. Pada hal, ustaz dan ustazah lebih banyak mengajar ilmu yang boleh menyelamatkan mereka daripada kesesatan dalam beragama. Apatah lagi tok-tok guru yang mengajar anak muridnya di masjid dan surau. Apakah mereka tidak layak mendapat ucapan dalam sambutan hari guru?
Inilah yang perlu diperbetulkan dalam masyarakat kita. Walau bagaimanapun pada hari ini aku bersyukur kerana ramai juga guru agama yang dianugerahkan sebagai tokoh guru. Walaupun anugerah itu diberi semasa tuanya, pemberian itu tetap ada nilai. Tetapi alangkah baiknya kalau anugerah itu diberikan sebelum dia bersara.
Pada kesempatan ini aku dengan ini mengucapkan “Selamat Hari Guru” kepada semua guruku yang masih hidup, terutama pensyarah di Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan, Nilam Puri dari tahun 1975-1981. Guru ku di Madrasah al-Mashoor Islamiah katanya sudah meninggal dunia kecuali Syeikh Abdullah Bukhari (sudah Datuk). Aku pernah bertemu dengannya tahun lalu dalam keadaan sudah uzur, namun masih menjadi imam di Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang.
Begitu juga guru di Madrasah Faqiyatut Daimiah, Permatang Janggus Pulau Pinang, guru besarnya sudah meninggal dunia. Ustaz Husin masih bertemu dan ustazah sudah lama terpisah. Semoga mereka terus berjasa dan dirahmati Allah. Manakala guru sekolah menengah dan rendah tentu tidak dapat dikesan lagi, mungkin sudah lama meninggalkan dunia ini. Apa tidaknya, aku sendiri sudah 57 tahun tentu perbezaan umur lebih 20 tahun. Kalaupun masih hudup sudah 80 tahun lebih.
Tidak lupa juga, kawan-kawan seperjuangan dalam perguruan sama ada masih mengajar atau sudah bersara, teruskan kecemerlangan mu dalam mendidik masyarakat. Berikan kepada mereka ilmu yang benar. Wallahuaklam. 

07 Mei 2011

Hari ibu kenapa tidak boleh disambut oleh orang Islam?

Ahmad Baei Jaafar
Hari Ahad ini (setiap Ahad minggu kedua bulan Mei) semua yang bergelar ibu termasuk ibu tunggal diraikan dalam sambutan Hari Ibu. Maka pada kesempatan ini saya mengucapkan selamat menyambut Hari Ibu kepada semua ibu termasuk isteri saya yang masing-masing ada anak yang sedang membesar. Jasa ibu dalam membesarkan anak ini sungguh tidak ternilai dengan wang ringgit.
Tanpa didikan ibu, anak-anak tidak akan menjadi manusia walaupun rupanya manusia. Kesabaran ibu mendidik anak walaupun dalam keadaan tertekan, berjaya juga membawa mereka ke universiti. Namun jasa ibu itu tidak diminta untuk dibalas oleh anak.
Saya sendiri dibesarkan oleh ibu yang amat penyayang. Walaupun dia buta huruf, tidak boleh membaca dan menulis, namun dia diberi keistimewaan boleh membaca al-Quran dengan baik malah boleh mengajar anak kampung bacaan al-Quran dengan baik. Maka berkat didikannya kini saya jadi seperti hari ini. Terima kasih ibu, semoga rohmu damai di alam barzakh.
Sememangnya ibu diberi amanah yang berat, namun mereka tetap terima dengan sabar. Firman Allah:
$uZøŠ¢¹urur z`»|¡SM}$# Ïm÷ƒyÏ9ºuqÎ/ çm÷Fn=uHxq ¼çmBé& $·Z÷dur 4n?tã 9`÷dur ¼çmè=»|ÁÏùur Îû Èû÷ütB%tæ Èbr& öà6ô©$# Í< y7÷ƒyÏ9ºuqÎ9ur ¥n<Î) 玍ÅÁyJø9$# ÇÊÍÈ  
Maksudnya: “dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; kerana ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman : 14)
Persoalannya, adakah anak-anak hari ini menyedari perintah Allah ini? Adakah anak-anak hari sedar penderitaan ibu yang mengandungnya dalam rahim ibu? Adakah mereka tahu bahawa ibu amat sayang kepadanya hingga sanggup memberi susu ibu sendiri selama dua tahun?
Menyedari keadaan ini, saya menyeru kepada semua manusia khususnya yang beragama Islam, anda tentunya ada ibu walaupun sudah meninggal dunia, berbuat baiklah kepada ibu. Dalam hal ini kita kena ingat, kalau ibu sudah tiada, berbuat baiklah kepada orang yang pernah dikasih ibu. Menghubungkan silaturrahim adalah pahala yang amat besar di sisi Allah.
Selain itu Allah mahu anak-anak yang bersyukur kepada Allah kerana dengan kurnianya anda berjaya dibesarkan oleh ibu bapa tanpa cacat celanya. Oleh sebab itu, syukur jugalah kepada kedua-dua ibu bapa anda terutama ibu yang banyak terlibat secara langsung dalam membesarkan anda. Dalam hal ini Allah terus mengingatkan anak-anak dalam firmannya:
4Ó|Ós%ur y7/u žwr& (#ÿrßç7÷ès? HwÎ) çn$­ƒÎ) Èûøït$Î!ºuqø9$$Î/ur $·Z»|¡ômÎ) 4 $¨BÎ) £`tóè=ö7tƒ x8yYÏã uŽy9Å6ø9$# !$yJèdßtnr& ÷rr& $yJèdŸxÏ. Ÿxsù @à)s? !$yJçl°; 7e$é& Ÿwur $yJèdöpk÷]s? @è%ur $yJßg©9 Zwöqs% $VJƒÌŸ2    
Maksudnya: “dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan-Mu, maka janganlah Engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah Engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’ : 23)
Tuhan perintahkan manusia dalam ayat di atas pastinya merujuk kepada anak supaya menyembah Tuhan iaitu Allah, dan pada masa yang sama berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Berbuat baik tentunya dalam tempoh membesar dan setelah berkeluarga.
Tetapi Allah pesan lagi dengan sedikit penekanan, apabila sampai kepada kamu suatu tahap yang kedua-dua ibu dan bapa sudah tua, atau salah satu daripada keduanya, maka janganlah berkata kepada kedua-duanya “uppin”. Mungkin dalam konteks orang Melayu, “Uh” “Ah” dan seumpamanya.
Allah ingatkan manusia kerana Allah tahu, akan ada manusia yang bersikap suka menengkin ibu apatah lagi sewaktu tua. Jadi, ingatan ini amat berguna buat anak-anak seperti saya, walaupun ibu sudah tiada. Oleh sebab itu, buatlah yang terbaik untuk ibu. Ingatlah kalau hari ini kita derhaka kepada ibu, esok anak anda pula akan menjejaki sikap anda. Lalu dia juga akan menderhakai akan anda.
Waktu anda sudah berumah tangga
Sewaktu anda sudah ada rumah sendiri dan ada anak isteri, sama ada anda kaya atau miskin, jangan sombung terhadap ibu. Sebaliknya Allah perintahkan agar anak-anak anda merendahkan sayap, menurunkan ego untuk bertemu mereka. Firman Allah:
ôÙÏÿ÷z$#ur $yJßgs9 yy$uZy_ ÉeA%!$# z`ÏB ÏpyJôm§9$# @è%ur Éb>§ $yJßg÷Hxqö$# $yJx. ÎT$u­/u #ZŽÉó|¹
Maksudnya: “dan hendaklah Engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, Dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Surah al-Isra’ : 24)
Merendahkan sayap boleh dibahagikan kepada dua iaitu, menjengok dan bertanya khabar tentang kesihatan ibu, dan kedua berdoa selalu. Sesungguhnya berdoa tidak perlukan modal untuk pulang ziarah. Tetapi bolehkah amalan itu dijadikan budaya? Di sinilah kelalaian umat Islam masa kini.
Oleh sebab itu jika anda sudah ada anak, didiklah mereka dengan betul sesuai dengan kehendak Allah dan Rasul. Dalam hal ini Rasulullah ada berpesan dalam sabdanya:
كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه وينصرانه ويمجسانه
Maksudnya: “Setiap seorang dilahirkan dalam keadaan fitrah (bersih) maka kedua-dua ibu bapanyalah yang mengyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya.” (Riwayat Bukhari)
Maknanya, ibu dan bapalah yang seharusnya mendidik anak menjadi cemerlang. Ibulah yang bertanggungjawab membentuk peribadinya. Tetapi kalau salah didik maka jadilah anak itu sama ada berpengaruh kepada yahudi, nasrani atau majusi. Dalam hadis tersebut Rasulullah mencontohkan kepada tiga golongan tersebut bagi menunjukkan bahawa didikan ibu mesti berasaskan agama. Jadi, kalau didikan tidak kepada agama Islam sudah pasti akan terarah kepada agama lain.
Tugas mendidik anak dalam konteks ini ialah ibu kerana ibu lebih banyak masa dengan anak. Oleh sebab itu, ibu tidak boleh memberi alasan sebuk atau tidak pandai dalam mendidik agama kepada anaknya. Ingatlah kalau ibu gagal mendidik anak ke arah itu, nanti anak tersebut akan menjadi penderhaka terhadap ibunya sendiri.
Tindakan anak soleh
Di sini saya menyenaraikan tindakan wajar yang patut dilakukan oleh anak terhadap ibu mereka.
1. Mentaati perintah ibu
Sebagai anak anda wajib mentaati perintah ibu berdasarkan ayat di atas. Malah Rasulullah ada bersabda dalam hadis yang masyhor:
الجنة تحت اقدام الامهات
Maksudnya: Syurga di bawah tapak kaki ibu.
Maknanya untuk menikmati syurga anak perlu mengikut langkah dan rentak ibu. Apa yang dikata dan apa yang disuruh perlu diikut. Namun ketaatan itu hendaklah pada perkara yang tidak menderhakai Allah. Sabda Rasulullah:
لا طاعة لمخلوق فى معصية الخالق
Maksudnya: Tiada ketaatan kepada perkara yang menjurus kepada maksiat terhadap Allah.
Maknanya jika ibu menyuruh anak mencuri barang orang atau menyuruh anaknya menyebarkan fitnah, maka perkara itu tidak boleh ditaati. Tetapi perlu diingat, larangan ini tidak bermaksud anak boleh menentang ibu. Malah anak tidak boleh memusuhi ibu. Sebaliknya anak perlu memberi alasan yang islami mengapa dia tidak boleh mentaati perintah ibu itu.
Ingatlah ibu tetap ibu walaupun mereka terdiri daripada orang yang pernah derhaka kepada Allah. Walaupun anak tidak boleh mentaati ibu dalam perkara maksiat, tidak bermakna si anak boleh mengisytiharkan perang terhadap ibu. Jadi, perkara baik yang disuruh tetap wajib ditaati, hanya perkara yang bercanggah dengan Islam sahaja yang patut diabaikan.

2. Berdoa untuk ibu
Berdasarkan ayat 24 Surah al-Isra’ di atas, si anak wajar mendoakan ibunya semasa hidupnya apatah lagi selepas dia mati. Sabda Rasulullah:
اذا مات ابن الادم انقطع عمله الا ثلاث، صدقة جارية،
علم ينتفع به، وولد صالح يدعوله
Maksudnya: “Apabila mati anak Adam terputus amalannya melainkan tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya.”
Namun tiga perkara di atas banyak bergantung kepada usaha ibu semasa hidupnya. Kalau ibu banyak buat sedekah yang berupa wakaf, tentu faedahnya berkekalan, kalau ibu ada mendidik anaknya dan anak orang lain dengan ilmu yang berfaedah atau dia menghasilkan buku yang boleh dimanfaatkan orang lain, tentulah manfaatnya berpanjangan. Begitu juga kalau anaknya soleh, pasti dia mendoakan ibunya baik waktu hidup mahu waktu matinya.

3. Tidak menyakitkan hati ibu
Anak tidak boleh menyakitkan hati ibu walau dalam keadaan apa sekalipun. Walaupun anak tidak suka kepada tindakan ibu, tidak bolehlah bertindak menyakitkan hatinya. Carilah jalan yang boleh membuatkan ibu sentiasa gembira. Ingatlah sabda Rasulullah yang antara lain bermaksud: “Keredaan Allah s.w.t. ada dalam keredaan ibu bapa, dan murka Allah ada dalam kemurkaan ibu bapa.”

4. Tidak menyusahkan ibu
Anak juga tidak wajar menyusahkan ibu dalam apa tindakan. Kadang-kadang anak tidak sedar bahawa tindakannya boleh menyebabkan ibu menjadi susah hati. Permintaan yang bukan-bukan juga boleh menyebabkan ibu rasa susah untuk mendapatkannya. Kalau ibu orang yang berada, bolehlah dia mengadakannya, namun hati ibu tetap tidak senang. Apatah lagi kalau ibu orang yang miskin.
Berdasarkan senarai ini saya dapati pengorbanan ibu yang begitu besar, jarang dihargai. Anak-anak sering mengabaikan ibu, apatah lagi sesudah tua. Oleh sebab itu amat wajarlah hari ini disambut sebagai Hari Ibu. Setidak-tidaknya anak yang terlalai seketika dapat dikejutkan semula. Walaupun dalam Islam, mentaati, menghormati dan mengasihi ibu perlu dibuat setiap hari, tetapi realitinya tidak begitu. Oleh sebab itu mulai hari ini kasihilah ibu dan kekalkanlah dalam keadaan itu sehingga ke akhir hayat.
Ingatlah pesanan Rasulullah, tiga keadaan umat manusia yang mereka tidak akan masuk syurga iaitu orang yang membuat dosa kepada ibu bapa, orang yang tiada cemburukan anak atau isterinya bertemu dengan orang laki-laki (yang bukan mahram), dan orang perempuan yang (berpakaian) menyerupai laki-laki. Wallahu aklam.

02 Mei 2011

Sumpah orang jahil apa kesannya

Ahmad Baei Jaafar

Kalau kita pernah pergi ke Makkah, kita akan berhadapan dengan sikap orang Arab yang berniaga. Setiap ayat yang hendak diucapkan pasti dimulakan dengan sumpah. “Wallahi ya akhi” sudah biasa dibibir mereka. Sudah jadi kelaziman dalam perbualan mereka. Dan pada peniaga ini sumpah cari makan namanya. Kalau tidak, pembeli tidak yakin dengan barang jualannya.
Pasangan yang sedang bercinta, kerap juga bersumpah. Ada yang sumpah hendak hidup semati, juga sumpah tidak ada kekasih lain dan sumpah untuk buat itu dan ini demi cinta, kononnya. Inilah sumpah orang yang bercinta. Sumpah ini kadang-kadang sumpah palsu bagi tujuan mengambil hati kekasihnya. Mereka ini tidak tahu kesan kalau melakukan sumpah palsu.
Ada juga pasangan yang bergaduh membuat sumpah. Sumpah untuk tidak berjumpa lagi, sumpah untuk tidak berkahwin dan sebagainya. Inilah sumpah orang yang bergaduh, sumpah waktu marah. Sumpah ini kadang-kadang gagal ditepati. Apabila hati reda mereka berbaik semula.
Seseorang yang hendak dibicarakan di mahkamah, mereka diminta bersumpah untuk bercakap benar. Maka sebelum bicara dimulakan dengan sumpah yang dipimpin oleh petugas mahkamah. Sumpah itu dilakukan di hadapan hakim. Sumpah di mahkamah ini boleh memberi kesan jika mereka memberi maklumat palsu.
Walaupun bentuk-bentuk sumpah di atas tidak termasuk dalam perintah syarii tetapi sumpah yang diungkapkan jika dilanggar, dia telah berdosa. Walaupun sumpah ini hanya sumpah sesama manusia yang mereka sendiri kena adili tetapi Allah tetap melihat dan mendengar. Maka jika mereka engkar, mereka akan tanggung risiko sendiri. Maka bagi mengelak risiko pelanggaran, batalkan sumpah itu dan bayar kifarat.
Tetapi realitinya, umat Islam tidak faham lalu berkali-kali bersumpah dan berkali-kali pula melanggarnya. Bayangkan kalau setiap kali melanggar sumpah perlu membayar kifarat, berapa banyak yang mereka perlu tanggung dosa.

Sumpah syarii
Seterusnya sumpah yang dilakukan di hadapan Allah. Biasanya seseorang itu bersumpah itu dan ini jika mereka berjaya mendapat impiannya. Sumpah ini juga dipanggil nazar. Sumpah ini wajib mereka laksanakan. Jika mereka gagal melaksanakan sumpah itu, mereka wajib membayar denda iaitu kifarat nazar.
Wajib membayar kifarat sumpah dengan takhyir dan tartib, ertinya memilih dengan mengikut urutan seperti berikut:
1. Memerdekakan hamba atau budak; jika tidak, maka
2. Memberi makan atau pakaian kepada sepuluh orang fakir miskin; jika tidak
3. Puasa tiga hari.

Ada satu lagi sumpah iaitu “ila’” namanya. Ini sumpah suami untuk tidak mahu mensetubuhi isterinya dalam tempoh tertentu. Selepas habis tempoh ila’ itu dia perlu ceraikan isterinya, kalau tidak hakim boleh menceraikan isterinya bagi pihaknya. Tetapi kalau dia batalkan sebelumnya dengan mensetubuhi isterinya maka dia perlu membayar kifarat.
Akhir sekali sumpah laknat yang dalam fiqhnya disebut “li’an”. Sumpah ini hanya untuk pasangan suami isteri. Iaitu apabila suami yang menuduh isterinya berzina atau isteri menuduh suami berzina, maka mereka telah melakukan satu kesalahan kecuali kalau mereka berjaya membawa empat orang saksi. Jika tidak ada saksi, pihak yang menuduh wajib bersumpah li’an bahawa isterinya berzina atau suami berzina.
Jika tuduhan itu tersasar, sedangkan dia sudah bersumpah maka layaklah dia menerima hukuman Allah seperti yang disumpahkan. Tapi ingat sumpah ini hanya untuk suami isteri sahaja. Bapa mentua, ipar tidak boleh bersumpah dalam kes ini apatah lagi orang luar.
Ketiga-tiga jenis sumbah yang terakhir ini adalah termasuk dalam sumpah syarii. Jika mereka tersalah maka hukuman hanya Allah sahaja yang tahu. Jadi, orang yang beriman harus berhati-hati dengan sumpah ini, tidak harus dimain-mainkan kerana kifaratnya amat berat.

Cara sumpah li’an
Sumpah li’an ini dikenakan kepada pihak yang membuat tuduhan zina dalam kalangan suami isteri tetapi mereka gagal membawa empat orang saksi. Maka suami hendaklah bersumpah naknat sebanyak empat kali. Selepas selesai sumpah suami, isteri bolehlah bersumpah balas menafikannya sebanyak empat kali juga. Tetapi kalau suami sahaja yang bersumpah, isteri wajib dikenakan hukuman hudud.
Ungkapan sumpah itu pelbagai iaitu: “Saya bersaksi dengan Allah bahawa saya dalam kalangan orang yang benar pada apa yang saya tuduhkan ka atas isteri saya (sebut nama) dengan berzina.”
Atau: “Bahawa anak ini atau itu anak zina bukan anak saya.”
Dan pada akhir kedua-dua sumpah itu hendaklah disambungkan dengan ungkapan ini: “Maka ke atas saya laknat Allah jika saya dalam kalangan orang yang berdusta.”
Isteri pula selepas itu harus bersumpah menafikannya: “Saya bersaksi dengan Allah bahawa (sebut nama suami) dalam kalangan orang yang berdusta yang menuduh saya sebagai orang yang berzina.” Kemudian akhirinya dengan, “ke atas saya kemurkaan Allah jika adalah dia dalam kalangan orang yang benar.”
Jika selesai upacara sumpah itu, terlepaslah mereka berdua daripada hukum hudup iaitu qazab terhadap suami dan rejam terhadap isteri. Walau bagaimanapun hubungan suami isteri selepas itu tercerai secara automatik. Juga ternafi anak itu nasabnya walaupun sememangnya anak itu anaknya. Seterusnya diharamkan mereka berkahwin semula.
Tetapi pada hari ini, jarang kita dengan suami isteri yang melakukan li’an mungkin kerana tidak tahu atau tidak mahu. Walau bagaimanapun kita sering mendengar suami atau isteri yang membuat tuduhan terhadap pasangan masing-masing. Mereka ini secara tidak langsung telah melakukan qazab. Bayang berapa banyak dosa yang mereka lakukan dalam hal ini setiap hari.