Ahmad Baei Jaafar
16 Mei datang lagi, tarikh karamat buat semua guru. Tarikh ini mengingatkanku pada waktu menjadi guru di Maktab Adabi Maharani, Muar, Johor iaitu pada tahun 80-an, meskipun tidak lama di sana, anak-anak muridnya amat menghargai guru. Aku bangga menjadi guru walaupun gaji pada waktu itu bukanlah besar.
Sebelum aku melibatkan diri dalam penulisan sepenuh masa seperti sekarang, sudah banyak negeri di Malaysia yang kududuki, mengajar anak murid ke arah mengenal Allah. Kalau hendak dikira berapa ramai anak murid tentu tidak terkira. Aku tidak pasti, berapa ramai anak murid yang dapat mengenali guru mereka itu dan seterusnya mengucapkan sesuatu kepada guru mereka pada hari ini.
Tetapi aku percaya, kebanyakan anak murid ingat gurunya, cuma apabila bertemu dia sudah tidak cam itulah gurunya dahulu. Aku sendiri pernah mencari guru-guruku semasa sekolah rendah, menengah, tetapi tidak berjumpa. Tetapi guru semasa di pusat pengajian tinggi masih bertemu, walaupun sudah ada yang meninggal dunia.
Walau bagaimanapun peluang untuk berhubung dan mengucapkan ucapan selamat hari guru tidak dapat dilakukan kerana alamat perhubungan tidak ada. Lainlah kalau mereka sering bertemu di sekitar Kuala Lumpur. Namun begitu, pada hari ini kita sudah banyak kemudahan dan kemudahan yang paling berkesan ialah facebook (fb). Kita boleh mencari guru kita dengan hanya memasuki fb.
Jadi, alasan tidak tahu alamat atau no telefon untuk mengubungi guru kita sudah tidak relevan lagi. Umumkan saja di situ, nanti fb akan mencari. Jika guru itu masih ingat anak muridnya dan selagi dia masih hidup dan ada akaun fb, pasti dia akan menyahut dan seterusnya menjadi rakan.
Di sinilah baru kita sedar, betapa bergunanya fb kepada kita. Aku percaya jika semua guru dapat dihubungi dengan cara ini, tentu meriah sambutan hari guru pada tahun ini. Biarpun kita tidak bertemu pada alam realiti tetapi kita bertemu di alam maya.
Sungguhpun begitu, ada pihak yang terlupa dalam menilai guru mereka, maka sambutan hari guru di sisihkan ustaz dan ustazah apatah lagi tok-tok guru. Pada hal, ustaz dan ustazah lebih banyak mengajar ilmu yang boleh menyelamatkan mereka daripada kesesatan dalam beragama. Apatah lagi tok-tok guru yang mengajar anak muridnya di masjid dan surau. Apakah mereka tidak layak mendapat ucapan dalam sambutan hari guru?
Inilah yang perlu diperbetulkan dalam masyarakat kita. Walau bagaimanapun pada hari ini aku bersyukur kerana ramai juga guru agama yang dianugerahkan sebagai tokoh guru. Walaupun anugerah itu diberi semasa tuanya, pemberian itu tetap ada nilai. Tetapi alangkah baiknya kalau anugerah itu diberikan sebelum dia bersara.
Pada kesempatan ini aku dengan ini mengucapkan “Selamat Hari Guru” kepada semua guruku yang masih hidup, terutama pensyarah di Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan, Nilam Puri dari tahun 1975-1981. Guru ku di Madrasah al-Mashoor Islamiah katanya sudah meninggal dunia kecuali Syeikh Abdullah Bukhari (sudah Datuk). Aku pernah bertemu dengannya tahun lalu dalam keadaan sudah uzur, namun masih menjadi imam di Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang.
Begitu juga guru di Madrasah Faqiyatut Daimiah, Permatang Janggus Pulau Pinang, guru besarnya sudah meninggal dunia. Ustaz Husin masih bertemu dan ustazah sudah lama terpisah. Semoga mereka terus berjasa dan dirahmati Allah. Manakala guru sekolah menengah dan rendah tentu tidak dapat dikesan lagi, mungkin sudah lama meninggalkan dunia ini. Apa tidaknya, aku sendiri sudah 57 tahun tentu perbezaan umur lebih 20 tahun. Kalaupun masih hudup sudah 80 tahun lebih.
Tidak lupa juga, kawan-kawan seperjuangan dalam perguruan sama ada masih mengajar atau sudah bersara, teruskan kecemerlangan mu dalam mendidik masyarakat. Berikan kepada mereka ilmu yang benar. Wallahuaklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan