28 Disember 2010

Di sebalik pesanan taqwa

Ahmad Baei Jaafar

“Bertaqwalah...” itu pesanan setiap minggu. Tetapi berapa orang yang mendengarnya dengan penuh perhatian? Yang saya pasti mereka berkata di dalam hati, “asyik-asyik taqwa, benda yang sama setiap minggu. Tidak perlu dengarlah, mari tidurlah.” Bayangkan kalau sudah tidur, apalagi yang kita nak kata, memang tidak fahamlah.
Khatib selalu berpesan, takutlah kamu kepada Allah dengan melaksanakan hukum Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Taqwa diterjemahkan sebagai takut, iaitu takut akan kehebatan Allah. Takut kepada Allah membawa kepada ketaatan yang tidak berbelah bahagi. Kita rasa Allah hebat hingga segala perintahnya kita wajib ikut dan kita rasa kagum dengan kekuasan Allah lalu larangan-Nya kita sanggup tinggalkan.
Inilah taqwa yang seharuskan kita faham dan hayati. Bayangkan kalau semua jemaah sesuatu masjid itu faham mesej taqwa itu, masih ada lagikah umat Islam yang ponteng solat lima waktu, masih ada lagikah umat Islam yang cuai dengan perintah zakat? Masih ada lagikah umat Islam yang main judi, berzina, minum arak dan membuat fitnah dan sebagainya?
Realitinya, umat Islam masih ramai yang cuai dalam melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Mengapa? Selain faktor di atas, taraf umat Islam pada masa kini masih rendah imannya. Hal ini kerana mereka tidak pernah didik bagaimana untuk memperkasakan iman mereka.
Sebenarnya perintah supaya bertaqwa ini merujuk kepada orang yang beriman. Maknanya taqwa banyak bergantung kepada tahap iman seseorang. Jika tahap imannya rendah maka rendahlah taqwanya dan jika imannya tinggi, tinggilah pula taqwanya. Jadi, orang yang beriman sahaja yang mampu memikul watak taqwa. 

Dapatkan artikel penuh dalam Solusi isu no 27.

27 Disember 2010

Apa persiapan anda menjelang tahun baru

Ahmad Baei Jaafar

Selepas menyambut Maal Hijrah baru-baru ini, kita bersiap-siap pula untuk menyambut tahun baharu Masihi, 2011. Kalau Maal Hijrah kita diingatkan tentang hijrah, tahun Masihi pula kita diingatkan dengan pakaian anak sekolah. Itulah realiti orang Melayu di negara ini.
Walaupun orang lain turut sebuk menguruskan hal itu, namun orang Melayu lebih nampak serius. Bukan serius kerana terlalu mengambil berat hal pendidikan anak-anak tetapi, baru gelabah mencari wang. Ada yang mengharapkan wang zakat, harapkan bonus kerajaan dan belas kasihan orang ramai.
Kenapa orang Melayu tidak membuat persiapan awal dari awal tahun lagi? Miskin sangatkah orang Melayu sehingga soal pendidikan anak terpaksa mengharapkan kerajaan dan bantuan zakat dan orang ramai? Bayangkan kalau sebulan seseorang bapa atau ibu boleh menyimpan RM10 sudah tentu pada akhir tahun sudah ada RM120. Rasanya jumlah itu cukup untuk membeli baju dan kasut serta peralatan sekolah anak-anak.
Sepatutnya orang Melayu tidak susah kerana Allah selalu memerintahkan mereka dengan solat dan mengeluarkan zakat. Dua ibadah itu adalah pakej yang wajib diutamakan oleh umat Islam. Orang Melayu yang beragama Islam pasti taat perintah Allah lalu mereka akan menunaikan solat dan berzakat. Soalnya bolehkah orang miskin mengeluarkan zakat?
Terfikirkah kita kalau Allah perintahkan orang Islam mendirikan solat, dan menunaikan zakat, maka wajiblah ditunaikan. Jadi, bagaimana orang Islam atau orang Melayu boleh mengeluarkan zakat kalau mereka miskin. Maknanya secara tidak langsung Allah perintah kita supaya menjadi orang kaya yang masing-masing boleh mengeluarkan zakat. Bayangkan kalau semua orang Islam kaya, semua orang Melayu banyak wang, akan berlakukan senario yang disebut di atas?
Kalaupun kita tidak jadi kaya, setidak-tidaknya kita pandai berjimat berbelanja dan pandai menabung. Menabung di mana? Bukankah kita ada Tabung Haji, kita ada bank, kita ada syarikat saham dan kita boleh sertai koperasi. Tetapi berapa ramai yang menabung dalam syarikat tersebut? Memang terlalu sedikit.
Hakikatnya ramai orang Islam tidak sedar atau terlepas pandang bahawa mereka seharusnya menabung dan tempat yang paling sesuai buat masa ini ialah di dalam syarikat takaful. Kenapa? Ya, dengan menyimpan di dalam syarikat takaful, mereka secara langsung mendapat tiga manfaat. Pertama menyimpan sekali gus melabur, kedua melakukan kebajikan dengan menyumbang khairat kepada peserta lain, dan yang akhir mendapat perlindungan harta dan pendapatan.
Bayangkan kalau semua orang Melayu berbuat begitu, bila anaknya ingin memasuki universiti, wang itu boleh digunakan sehingga tamat pengajian. Apatah lagi kalau bapa-bapa anak-anak tersebut telah menabung secara khusus untuk mereka dalam takaful. Selepas tamat ijazah pertama, boleh disambung lagi untuk membuat master.
Inilah yang tidak pernah difikirkan oleh ibu bapa semasa anak mereka masih kecil. Bila ditanya, kenapa tidak mahu menabung semasa anak itu masih kecil, katanya masih awal lagi. Nanti besar tahulah apa yang hendak dilakukan. Yalah, kena pinjam PTPTN. Jadi, kita telah mengajar anak kita supaya berhutang sejak bersekolah lagi.
Betapa zalimnya kita, ibu bapa termasuk saya. Semasa muda tidak sedar hal ini. Kita biarkan anak kita dalam keadaan terpaksa pinjam PTPTN. Atas kesedaran inilah saya pada hari ini mengajak anda kalian agar menabung dengan takaful dari sekarang. Sayangilah anak-anak sebelum anda tiada.

07 Disember 2010

Hijrah, lakukan tiga perkara untuk selamat

Ahmad Baei Jaafar

Hijrah secara fizikal sudah berlalu, malah Rasulullah tidak galakkan lagi umat Islam berhijrah. Kita tidak perlu lagi berhijrah ke kampung lain, selagi kampung itu baik dan aman. Selagi penduduknya tidak menghalau kita keluar, selama itulah kita perlu tinggal dalam kampung itu apatah lagi kampung itu sudah menjadi milik kita.

Tetapi hijrah dalam bentuk sikap perlu dilakukan secara tertib dan bersistematik. Jadi, marilah kita berhijrah ke arah itu demi menjaga iman. Rasulullah ketika ditanya seorang penduduk Sham, apakah iman yang paling afdal? Baginda bersabda, hijrah. Dia bertanya lagi, apa itu hijrah? Baginda menjawab, kamu meninggalkan kerja dosa.

Dalam hadis yang sama, dikatakan terdapat pelbagai jawapan kepada persoalan apakah hijrah yang paling afdal. Antaranya ialah:

1- Hendaklah kamu meninggalkan apa yang diharamkan ke atas kamu,

2- meninggalkan apa yang tuhan kamu benci.

3- Dan akhirnya ingatlah Allah banyak-banyak.

Untuk melakukan hijrah ini, seseorang itu perlu kepada jihad melawan nafsu. Di manapun anda berada, hijrah ini perlu dilakukan dan jihad ini tidak pernah terhenti apatah lagi nafsu memang sentiasa berada dalam diri kita.

Mari kita tanya diri sendiri, sudahkah kita meninggalkan apa yang diharamkan oleh Allah? Kalau anda masih bergelumang dengan dosa dan melakukan perkara haram, maka jelaslah anda masih tidak berhijrah. Begitu juga kalau anda sudah boleh meninggalkan apa yang dibenci oleh Allah, maka ketika itu sudah boleh dikatakan sudah berhijrah. Tetapi kalau belum, jelaslah dia belum berhijrah.

Ingat Allah banyak-banyak bukan merujuk kepada zikir, tahmid, dan hamdalah. Ingat Allah bukan sekadar menyebut subhanallah dll. Tetapi ingat kepada Allah merujuk kepada kerja hati dan tindakan. Ingat kepada Allah mendorong kita melakukan sesuatu dengan tekun dan sabar.

Jadi, buktikan anda semua sudah berhijrah dengan banyak zikir atau ingatkan Allah banyak-banyak. Orang yang banyak ingat Allah tidak akan melakukan dosa biasa. Mereka yang ingat Allah itulah tanda sudah berhijrah.


01 Disember 2010

Ketuanan Melayu kenapa kecoh sangat?

Ahmad Baei Jaafar

Setelah Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata konsep “Ketuanan Melayu” wajib ditinggalkan kerana ia didakwa hanya slogan untuk memperdaya bangsa itu sendiri, ramai orang Melayu melenting. Orang Melayu itu sudah tentu dalam kalarangan pemimpin UMNO dan Perkasa. Mereka kelihatan serius menentang lalu melabelkannya dengan pelbagai gelaran.

Kenapa mereka melenting? Benarkah Azizah menolak hak ketuanan Melayu? Betulkah Azizah dalam kenyataannya itu sangat tidak bertanggungjawab seperti yang disebut oleh Hishamuddin?

Kita sedut kenyataan Azizah,: "Ketuanan Melayu adalah slogan yang digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya orang Melayu yang ramai, demi kepentingan diri sendiri.

"Mereka adalah manusia yang melakukan rasuah, korup, pecah amanah dan pelbagai kebejatan lagi."

Ucapan itu diungkapkan ketika menyampaikan ucapan dasar presiden dalam Kongres PKR di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) baru-baru ini.

Berdasarkan ucapan itu, munasabahlah pemimpin Melayu itu melenting kerana ucapan itu tepat mengena pada sasarannya. Ucapan itu jelas merujuk kepada golongan pemimpin yang mempunyai kepentingan. Golongan Melayu inilah yang patut ditamatkan dalam sejarah kepimpinan Melayu menurut Azizah.

Tetapi agak malang, isu ini diterbalikkan seolah-olah Azizah hendak hapuskan ketuanan Melayu malah mahu menghapuskan institusi kesultanan. Bagaimana jadinya tafsiran itu? Apakah sengaja ditafsirkan begitu atau kerana tidak faham mesej yang sebenar?

Pada hari berikutnya, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita dengan segelintir orang Melayu yang tidak memiliki rasa megah dan bangga sebagai orang Melayu sehingga sanggup menggadaikan bangsa sendiri.

Titah baginda sewaktu merasmikan wacana Raja Berperlembagaan-Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan, di Shah Alam itu merujukan pemimpin politik yang berselindung di sebalik ketuanan Melayu.

"Matlamat mereka agar sistem Raja Berperlembagaan ini disemak dan dikaji semula atas alasan negara telah menjalani arus pemodenan, dan sistem yang diamalkan sekarang ini sudah tidak bersesuaian, adalah amat tidak bertepatan," titah baginda.

Tetapi sekali lagi kenyataan sultan itu dilaporkan secara salah bahawa sultan menegur ucapan Azizah. Ternyata laporan itu tersalah tafsir atau mengaja berniat jahat untuk kepentingan orang tertentu.

Kenapakah orang kita suka membuat kenyataan yang boleh menimbulkan kelamkabut?

Wahai orang Melayu hentikan kerja jahat, buat fitnah dan mencipta permusuhan sesama Melayu. Bersatulah wahai Melayu kalau mahu majukan bangsa Melayu. Ingatlah berlain parti bukan menjadi halangan ke arah perpaduan itu. Bukankah Islam mengajar kita bertolong bantu sesama umat Islam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...