26 Oktober 2010

Mujahadah Melawan Nafsu Jadi Agenda Utama


Mujahadah Melawan Nafsu menjadi fokus Solusi Isu no25 kali ini. Mengapa perlu kita melawan hawa nafsu? Bagaimana hendak melawan hawa nafsu dalam diri kita sendiri? Semua persoalan itu akan dikupas dan dijelaskan penyelesaiannya.

Nafsu merupakan musuh manusia yang sangat hampir dengan manusia. Nafsu bersama dengan syaitan tidak pernah mengisytiharkan genjatan senjata dengan manusia. Oleh sebab itu, mereka akan terus berusaha menggagalkan manusia daripada taat kepada Allah.

Jalan Keluar kepada isu ini ialah masing-masing perlu bertindak mengawal nafsu dan syaitan dan kita perlu menunggang kedua-duanya bukan kedua-duanya menunggang kita. Dalam hal ini ulama perlu mampu menundukkan nafsu dan syaitan, dan selepas itu baru orang ramai boleh mengikutnya.

Semoga kita berjaya menyelamatkan diri kita daripada dikudai nafsu dan syaitan. Solusi akan memberi panduan kepada anda semua. Selamat Membaca.

15 Oktober 2010

Banggakah anda sekadar jadi Muslim?

Oleh Ahmad Baei Jaafar

Kita harus berasa bangga kerana dilahirkan daripada keluarga Islam, nama sudah pun direkodkan sebagai Islam, dan pasti kalau mati pula akan dikebumikan secara Islam di tanah perkuburan Islam. Dan kita juga harus bersyukur kerana sebaik sahaja kita boleh mendengar dan bercakap kita sudah dibiasakan dengan perkataan Allah.

Kita tidak susah untuk mencari Islam kerana semuanya sudah tersedia buat kita. Sedangkan kawan-kawan kita ada yang terpaksa bersusah payah mencari Islam, dan dalam pada itu mereka dihalang dan dihina malah disisihkan keluarga. Namun mereka tetap bersyukur kerana telah diberi hidayah walaupun sudah agak terlambat daripada kita.

Walau bagaimanapun kedudukan kawan kita itu kadang-kadang lebih baik daripada kita yang sudah lama beragama Islam. Kita hanya boleh berbangga dengan keislaman yang kita milik, tetapi kita tiada upaya menjaga iman dan agama kita. Kita belum bebas dan terselamat daripada gangguan syaitan yang tugasnya untuk menyesatkan kita.

Tahukah anda setelah kita mengucap dua kalimah syahadah maka secara rasmi kita telah digelar sebagai seorang Muslim. Bagi yang Muslim keturunan, sejak baligh dan mendirikan solat, mereka sudah direkodkan sebagai muslim secara rasmi. Tetapi setelah bergelar Muslim banyak kemungkinan boleh berlaku, ada yang boleh meningkat menjadi Mukmin atau berubah menjadi kafir atau musyrik atau munafiq.

Dalam ruang yang terbatas ini, saya cuba untuk menghuraikan kemungkinan itu semoga kita boleh berhati-hati dalam kehidupan ini:

  1. Apabila anda kuat hubungan dengan Allah, tauhidnya mantap, taqwa kepada Allah pada tahap tinggi, perintah Allah dilaksanakan dan larangannya ditinggalkan, maka terbinalah sebahagian mukmin pada diri anda. Seterusnya dikuatkan hubungan dengan manusia; akhlaknya, muamalatnya, dan toleransinya sesama manusia, maka sempurnalah mukminnya.
  2. Apabila anda mula meragui kekuasaan dan kehebatan Allah; perintah Allah diabaikan seolah-olah mencabar hukum Allah, dan larangan Allah dibuat secara sedar seolah-olah tidak takut kepada hukuman Allah, ketika itu jadilah anda seorang kafir.
  3. Apabila anda menyembah Allah tetapi pada masa yang sama anda turut memperakui tuhan-tuhan lain setaraf dengan Allah. Anda memperakui ubat yang dimakan mampu menyembuhkan sakit anda. Meyakini bahawa jin boleh memberikan sakit dan sihat terhadap seseorang manusia. Dan juga sanggup tunduk sujud kepada manusia yang bertaraf pemimpin atau pembesar. Sedangkan semua kelakuan itu hanya layak untuk Allah, maka mereka yang berbuat begitu telah dikira musyrik.
  4. Apabila anda bersifat talam dua muka, sering bermuka-muka dengan seseorang kerana sesuatu kepentingan maka anda termasuk dalam kalangan orang munafiq. Anda tahu kebenaran pada seseorang, tetapi anda selewengkan maklumat kerana hendak menjatuhkan orang itu, sahlah anda bukan Muslim yang jujur. Ketahuilah golongan itu terdapat tiga sifat berikut: Apabila berkata-kata dengannya dia berbohong; apabila dia berjanji dia akan mungkiri; dan apabila diberi amanah dia akan khianati.

Dalam sebuah hadis, ditambah satu sifat lagi iaitu sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafiq yang jelas. Sesiapa melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafiq hingga dia meninggalkannya, iaitu apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengetepikan kebenaran (menegakkan benang yang basah).” (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan kemungkinan di atas, mampukah kita sekadar berbangga sebagai seorang Islam atau Muslim? Anda janganlah mudah terpengaruh dengan jaminan Rasulullah bahawa setiap yang mengucap dua kalimah syahadah akan dimasukkan ke dalam syurga. Janganlah berasa senang hati dengan tawaran bahawa seseorang Islam pasti akan masuk syurga juga akhirnya.

Memang betul ada jaminan dan tawaran itu, tetapi kita perlu ingat, seorang Muslim dalam kategori kafir itu akan dicampakkan ke dalam neraka terlebih dahulu. Entah berapa tahun di situ, bukan sehari dua. Kemudian kalau masih ada terselit kalimah syahadah pada dirinya, mungkin bolehlah setelah dibakar hagus dipindahkan ke dalam syurga. Walaupun akhirnya masuk ke syurga, sanggupkah anda dibakar dalam neraka sebegitu lama?

Seorang musyrik pula, Allah memberi jaminan bahawa dosanya tidak akan diampunkan. Dosa lain boleh ampunkan tetapi dosa syirik tidak boleh diampunkan begitu sahaja. Hal ini kerana syahadahnya sudah terbatal, maka perlu diulangi syahadah yang baru. Bagaimana kalau anda mati sebelum mengucap syahadah? Kadang-kadang kita mati mengejut, tidak sempat hendak bertaubat? Apakah masih ada jaminan ke syurga? Jadi, insaflah segera.

Seterusnya seorang munafiq, mereka ini akan diazab dalam neraka jahanam pada bahagian bawah sekali. Entah berapa lama mereka akan disimpan di situ. Kalaupun mereka ada peluang ke syurga (bergantung kepada syahadahnya kalau masih ada, tentu ada peluangnya, tapi kalau tiada, melepaslah) tentulah mereka itu orang yang paling akhir masuk syurga. Mahukah begitu, orang lain sudah bersenang hati menikmati syurga, anda baru hendak bermula.

Jika anda rasa tidak senang hati dengan keadaan dan kedudukan itu, pastikan anda tidak memilih tiga jalan di atas. Sebaliknya pilih yang satu iaitu mukmin. Tidak susah untuk menjadi seorang mukmin kerana Allah hanya memberi tiga syarat untuk menjadi mukmin sejati iaitu:

1. Apabila disebut nama Allah gementar hatinya;

2. Apabila dibacakan ayat Allah bertambah imannya;

3. Dan kepada Allah mereka berserah diri.

Mungkin kita boleh menilai diri sendiri, adakah ketika kita berbuat dosa, hati kita boleh tersentak apabila diingatkan kawan atau sahabat bahawa Allah sedang memerhatikan perbuatan kita? Barangkali kita boleh tersentak apabila diberitahu bahawa polis ada membuat sekatan jalan raya, tatkala lesen kereta kita sudah tamat tempoh. Kalau begitulah keadaannyaa, taraf mukmin anda masih rendah.

Kita selalu membaca al-Quran, tetapi berapa kali anda terasa iman meningkat ketika membaca al-Quran itu. Iman boleh meningkat kalau kita faham apakah teguran Allah terhadap kita, apakah sindiran Allah terhadap kita, dan apakah pengajaran yang disampaikan kepada kita. Tetapi kebanyakan kita tidak faham mesejnya, lalu dibacakan begitu sahaja. Bolehkah dengan cara itu boleh meningkat iman? Inilah yang perlu difikirkan semula.

Seterusnya setelah berusaha dan berikhtiar dalam kehidupan ini, kita harus berserah kepada Allah, bertawakal mengharapkan kejayaan. Hasil dan keputusan sama ada jaya atau gagal hanya Allah yang menentukannya. Jadi, sebagai seorang mukmin kita perlu redha dengan apa yang tentukan Allah.

Sehingga di saat ini, di manakah anda sekarang? Anda boleh pilih mana yang anda suka tetapi ingat, Allah hanya mahu hamba-Nya berada di tempat yang terbaik di dunia dan akhirat.

12 Oktober 2010

Bersatu bukan mesti berada dalam satu parti

Ahmad Baei Jaafar

Saya percaya ramai yang bersetuju dengan pandangan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang katanya, perpaduan nasional tidak akan tercapai selagi bumiputera dan orang Melayu tidak bersatu. Realiti yang berlaku pada hari ini cukup menguatkan hujahnya.

Memang pun, kalau orang Melayu bersatu, cakap satu bahasa, bertindak satu nada, apa lagi yang menghalang mereka berpadu. Tidak lagi caci mencaci, hina menghina, umpat mengumpat dan fitnah memfitnah, dan jatuh menjatuhkan, apakah ada lagi pergeseran sesama mereka?

Saya yakin kalau beginilah sikap orang Melayu (tidak termasuk bumiputera di Sabah dan Sarawak), bukan sahaja Melayu menjadi tenang, malah orang bukan Melayu akan hormat kepada orang Melayu. Malah dengan keadaan itu mereka akan tertarik kepada Islam yang diamalkan oleh orang Melayu.

Walau bagaimanapun teori yang dibawa itu menimbulkan sedikit kebimbangan, bolehkah bersatu itu direalisasikan dalam masa terdekat. Siapakah yang boleh menjadi penggerak utama yang cakapnya boleh menjadikan orang Melayu bersatu?

Adakah Datuk Ibrahim Ali layak di tempat itu? Secara peribadi, saya tidak yakin kebolehannya ke arah itu kerana realiti perjuangannya tidak pernah menampakkan hasil yang baik. Pendek kata, cakap tak serupa bikin. Lain yang dicakapkan lain pula yang dibuatnya, akhirnya masyarakat menjadi kelam kabut.

Menyentuh isu ini suka saya hendak ingatkan Datuk Ibrahim Ali (kalau beliau tidak membaca maka sesiapa yang hampir dengan beliau bolehlah sampaikan kepadanya), kalau hendak mengajak orang Melayu bersatu, beliau kenalah ubah perangai buruknya. Demikian itulah kunci kegagalannya selama ini.

Antara yang boleh saya cadangkan kepadanya ialah:

1. Hentikan kutuk orang Melayu yang tidak sehaluan dengannya.

2. Mana yang tidak betul pada orang Melayu itu, jumpa empat mata dan betulkan segera.

3. Komunikasi yang berkesan ialah saling memberi dan menerima pandangan yang baik untuk ummah.

4. Tidak berat sebelah dalam memberi pandangan hanya kerana kita bersetuju dengan satu kumpulan.

Selagi Ibrahim Ali tidak membuat perubahan itu tidak perlulah beliau bercakap soal perpaduan. Nanti semua pihak akan berasa meluat dan jijik untuk mendengarnya. Apakah rasionalnya pandangan saya ini? Cuba anda menilai sendiri, dalam bercakap fasal perpaduan, dia boleh secara terang-terangan mengutuk PAS dan PKR. Tetapi tidak pula mengutuk UMNO atas dasar nasihat.

Ibrahim bercakap di Forum Perpaduan Melayu Dalam Menjamin Masa Depan Bangsa, peringkat Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini Isnin lalu cuba menyalahkan PAS kerana bersama DAP. Tetapi tidak salahkan UMNO yang bersama dengan MAC dan MIC, padahal kedua-duanya ada persamaan.

Jadi, Ibrahim Ali perlu menjadi orang yang adil bagi menyelesaikan perpaduan orang Melayu. Cuma perlu diingatkan, perpaduan Nasional bukan sahaja mengajak orang Melayu supaya bersatu tetapi seluruh rakyat Malaysia. Manakala bersatu pula tidak bermakna perlu bergabung dalam satu kumpulan. Malah dalam satu parti pun tiada jaminan ahlinya boleh bersatu terutama semasa berebut jawatan.

Berdasarkan itu, tidak perlulah UMNO risaukan PAS bersama DAP kerana dalam keadaan itu tidaklah menjadi penghalang kepada orang Melayu bersatu. Apatah lagi orang UMNO Islam dan PAS juga Islam, agama yang sama, aqidah yang sama sudah tentu boleh bersatu. Bersatu di sudut ini sudah kuat. Yang menjadi masalahnya, mengapa atas dasar Islam orang UMNO kutuk PAS atau sebaliknya? Tidak bolehkah berbincang dengan baik untuk sesuatu isu? Berlainan parti sepatutnya tidak menghalang mereka bersatu dan berbincang untuk kebaikan Melayu dan Islam.

Oleh sebab itu Ibrahim Ali perlu menilai semula ucapannya, sama ada relevan atau tidak pada zaman ini di Malaysia. Saya memang tidak akan bersetuju kalau UMNO dan PAS bersatu dalam satu kumpulan atas nama perpaduan. Tetapi saya amat bersetuju kalau mereka kekal dalam keadaan sekarang tetapi jiwa mereka tetapi bersatu.

Jika ini boleh berlaku, orang Melayu akan terus berbaik sangka dan saling menyokong pemerintahan yang ada. Mana yang baik disokong dan mana yang salah perlu dibetulkan dengan segera bagi menyelamatkan ummah. Ingatlah kalau usaha ini berjaya, orang bukan Melayu dan Islam akan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan yang memerintah baik negeri mahupun pusat.

09 Oktober 2010

Kehidupan yang Berkat

Ahmad Baei Jaafar

الحمد لله القائل : وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لاَ يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

أشهد أن لا اله الا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن سيدنا ونبينا محمدا عبده ورسوله. اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.

أما بعد، فيآ أيها المسلمون، اتقوا الله، قال الله تعالى: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ.

Muslimin sidang Jumaat sekalian, takutlah kalian kepada Allah, Firman Allah s.w.t: “Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan kamu mati kecuali dalam keadaan menyerah diri kepada Allah.” (Surah Ali Imran 3: 102)

Kehidupan yang berkat menjadi idaman semua manusia terutama umat Islam. Malah ungkapan berkat itu sudah menjadi buah mulut dalam kalangan umat Islam. Persoalannya apa yang kita tahu tentang berkat itu? Tercatat dalam sebuah kitab:

هي ثبوت الخير الإلهي في الشيء؛ فإنها إذا حلت في قليل كثُرته، وإذا حلت في كثير نفَع، ومن أعظم ثمار البركة في الأمور كلها إستعمالها في طاعة الله عز وجل.

"Sesuatu kepastian kebaikan di sisi Ilahi pada sesuatu perkara iaitu apabila jatuh sesuatu perkara kepada yang sedikit akan menambah banyak jumlahnya, dan apabila jatuh kepada yang banyak, akan menambah manfaatnya, dan sehebat-hebat hasil keberkatan dalam seluruh perkara adalah apabila digunakan kembali untuk membawa ketaatan kepada Allah Azzawajalla.

Berdasarkan kenyataan itu, apa pun yang kita lakukan dalam kehidupan ini mestilah hasilnya adalah untuk ketaatan kepada Allah, barulah semua apa yang dilakukan itu beroleh berkat. Dalam hal ini mari kita rujuk kepada firman Allah yang berbunyi:

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

Maksudnya: “Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Talaq 65: 2-3)

Menyentuh persoalan berkat dalam kehidupan ini suka saya memberi fokus kepada kehidupan rumah tangga kerana keberkatan berpunca dari sini. Mana mungkin pasangan suami isteri yang masing-masing cara hidupnya tidak menjurus ke arah taat kepada Allah, boleh mendapat berkat? Mana mungkin anak yang tidak taat kepada ibu bapa boleh pula taat kepada Allah dan seterusnya beroleh berkat.

Tanda kehidupan tidak berkat, hidup suami isteri tidak tenang, asyik bergaduh walaupun dalam perkara yang kecil. Anak-anak tidak hormat ibu bapa malah selalu menengking ibu bapa dengan kata-kata yang kesat. Dan di sudut ekonomi, walaupun mereka beroleh pendapatan yang banyak, rezekinya tidak pernah cukup.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Menyentuh soal ini ingin saya mengajak sidang Jumaat sekalian melihat kembali mengapa kita memilih untuk berkahwin. Apakah niat kita untuk berkahwin? Ya, memang ramai yang akan menjawab ikut sunah Rasulullah. Tetapi benarkah kita berkahwin kerana ikut sunat Rasul? Apakah sunahnya yang ikut?

Waktu akad nikah mungkin ikut Rasulullah, tetapi selepas itu bagaimana? Waktu bersama suami dan isteri pada waktu makan bagaimana? Waktu bersama dalam bilik tidur bagaimana? Waktu berjauhan semasa masing-masing melaksanakan amanah Allah, bagaimana? Adakah kita ikut sunah Rasulullah?

Kalau Rasulullah berkahwin kerana melaksanakan perintah Allah; bagi merapatkan keluarga yang jauh; bagi menghalalkan perkara yang sebelumnya haram; bagi mencambahkan zuriat secara halal dan berkualiti. Bagaimana dengan kita? Kita boleh jawab sendiri tepuk dada tanya iman.

Waktu bersama dengan isteri, Rasulullah sangat berhemah dan sangat manja tingkah lakunya. Isteri pula menghormati suami atas sifat suami. Waktu makan, suami didahulukan, malah baginda selepas itu memberikan makanan kepada isterinya. Dan pada waktu malam, kasih sayang dibina melalui hubungan kelamin yang amat romantik. Bagaimana dengan keadaan kita dengan isteri kita pada waktu-waktu tersebut?

Selagi suami bersikap kasar dan keras terhadap isteri, tidak memberi muka kepada isteri dalam banyak perkara, tentu tidak akan wujud keserasian dalam rumah tangga. Atau suami terlalu bertolak ansur hingga semua kehendak isteri diikut semua, lambat laun akan mencetuskan kompleks dalaman yang serius.

Jika waktu makan, masing-masing bersaing untuk makan dahulu. Suami atau bapa tidak lagi dihormati. Dan kalau bersama dalam hubungan kelamin tidak dilakukan dengan penuh kasih sayang. Isteri melayan suami kerana perintah dan kehendak suami dan suami melayan isteri kerana tuntutan nafsu. Bolehkah apa yang dilakukan oleh suami dan isteri itu dinilai sebagai mentaati perintah Allah? Yang jelas Allah tidak mahu hambanya melakukan sedemikian.

Sidang Jumaat yang berbahagia

Kalau berkat yang ingin kita cari dalam kehidupan, maka amalan yang bercanggah dengan amalan Rasulullah itu harus ditinggalkan. Segala perkara yang telah menjadi amalan buruk selama ini harus diubah segera. Niat kita biar satu iaitu mengikut perintah Allah dan mencontohi sunnah Rasulullah.

Tetapi bagi mereka yang belum berkahwin, masih tercari-cari pasangan maka memilih pasangan hidup mestilah mengikut lunas Islam iaitu, sekufu atau taraf yang seimbang antara lelaki dengan perempuan. Lelaki mesti lebih di sudut ilmu pengetahuan Islam berbanding perempuan. Lelaki mesti lebih kuat imannya berbanding perempuan dan lelaki mesti lebih tinggi akhlaknya berbanding perempuan. Sudah pastinya lelaki lebih matang daripada perempuan.

Semua itu harus diusahakan oleh lelaki mahupun perempuan. Oleh sebab itu jika lelaki ingin berkahwin dia harus belajar ilmu agama, tingkatkan iman, dan perbaiki akhlak yang ada. Begitu juga bagi seseorang perempuan, dia juga perlu ada ilmu pengetahuan agama, iman dan akhlak. Inilah yang dimaksudkan dengan sekufu.

Setelah dikenal pasti pasangan, masuklah meminang untuk beberapa tempoh bagi membolehkan pasangan itu menilai secara lebih dekat. Namun perlu diingat, dengan pertunangan belum ada kelonggaran untuk mereka berdua-duaan di tempat yang mencurigakan. Jadi, ke mana pun mereka, perlu ada teman mahram bagi mengawasi pergerakan dan perhubungan mereka berdua.

Jika sehingga peringkat ini, pasangan lelaki dan perempuan itu dapat menjaga peradaban Islam, tidak syak lagi mereka sudah dikira mentaati Allah dan mengikut sunnah Rasulullah. Tetapi persoalan sekarang, adakah masih wujud pasangan lelaki dan perempuan seperti itu? Masih beroleh berkatkah pasangan yang semasa bertunang boleh bebas ke mana-mana tanpa diragui oleh ibu bapanya?

Sidang Jumaat yang berbahagia

Pilihan tempat berlangsungnya majlis akad nikah juga penting. Tren pada hari ini, upacara perkahwinan dilakukan di dalam masjid. Tujuannya sudah tentu untuk keberkatan. Memang masjid tempat yang paling sesuai untuk upacara pernikahan kerana setidak-tidaknya di masjid tidak ada orang yang berniat jahat. Maka upacara akad nikah berlaku dalam keadaan tiada seorang pun yang menanggung dosa. Itulah erti keberkatan.

Tetapi satu hal yang jarang diberi perhatian dalam soal ini ialah, terdapat adab sopan yang perlu dipatuhi oleh orang yang berada dalam majlis itu. Antara yang penting ialah:

1. Berpakaian menutup aurat dengan sempurna khususnya kepada wanita.

2. Niat iktikaf di Masjid.

3. Menghormati jemaah lain yang sedang beribadah di dalam masjid.

4. Mulakan dengan solat Tahiyatul Masjid dan solat sunat yang berkaitan.

5. Tidak bercampur dan bergaul terlalu bebas antara lelaki dan perempuan.

6. Jika pengantin perempuan didatangi haid dan tidak dapat hadir ke masjid, maka wali boleh menjemput jurunikah datang ke rumah terlebih dahulu untuk proses wali meminta izin dan menyerahkan wakilnya kepada jurunikah.

7. Pengantin perempuan yang haid boleh juga hadir ke masjid pada hari akad nikah tetapi dinasihati agar tidak masuk ke dalam Dewan Solat masjid.

8. Barang-barang hantaran diserahkan selepas akad nikah di rumah pengantin perempuan.

9. Jika boleh, hanya mas kahwin sahaja yang dibawa ke masjid. Majlis penyerahan mas kahwin suami kepada isteri boleh dilakukan di masjid, tetapi upacara menyarungkan cincin hendaklah dilakukan di rumah pengantin perempuan.

10. Jangan bergambar atau berposing untuk bergambar secara melampau di dalam masjid atau di sekitar kawasan masjid.

Panduan ini jika dapat dipatuhi oleh semua pihak, akan sempurnalah keberkatan kehidupan umat Islam. Mereka akan bahagia di dunia dan bahagia di akhirat. Bukan sahaja Allah restui kehidupan mereka, bahkan ibu bapa dan kaum kerabatnya juga akan menyukai mereka.

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الْمَآَبِ. قُلْ أَؤُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرٍ مِنْ ذَلِكُمْ لِلَّذِينَ اتَّقَوْا عِنْدَ رَبِّهِمْ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَأَزْوَاجٌ مُطَهَّرَةٌ وَرِضْوَانٌ مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِالْعِبَادِ.

Dihias indah untuk manusia; rasa suka kepada keinginan nafsu sama ada perempuan-perempuan, anak-pinak, harta benda yang banyak yang terdiri daripada emas dan perak, kuda yang terlatih, dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). Katakanlah (wahai Muhammad): Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu sesuatu yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan/isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredhaan daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Melihat akan hamba-hamba-Nya.” (Surah Ali Imran 4: 14-15)

بارك الله لي ولكم بالقرآن العظيم، ونفعني وإياكم بما فيه من الايات والذكر الحكيم، وتقبل مني ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم.

أقول قولي هذا وأستغفرالله العظيم لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات، فاستغفروه إنه هو الغفور الرحيم.

07 Oktober 2010

Nasihat dan Panduan Akad Nikah di Masjid

Ahmad Baei Jaafar

Pilihan tempat berlangsungnya majlis akad nikah juga penting dalam menentukan keberkatan dalam kehidupan suami isteri. Kita bersyukur kerana sudah menjadi tren pada hari ini, upacara perkahwinan dilakukan di dalam masjid. Tujuannya sudah tentu untuk keberkatan. Memang masjid tempat yang paling sesuai untuk upacara pernikahan kerana setidak-tidaknya di masjid tidak ada orang yang berniat jahat. Maka upacara akad nikah berlaku dalam keadaan tiada seorang pun yang menanggung dosa. Itulah erti keberkatan.

Tetapi dalam keghairahan mereka menggunakan kemudahan rumah Allah ini, mereka lupa beberapa pantang larang. Ada beberapa perkara yang jarang diberi perhatian. Mereka lupa dalam masjid terdapat adab sopan yang perlu dipatuhi oleh orang yang berada dalam majlis itu. Antara yang penting ialah:

1. Berpakaian menutup aurat dengan sempurna khususnya kepada wanita.

2. Niat iktikaf di Masjid.

3. Menghormati jemaah lain yang sedang beribadah di dalam masjid.

4. Mulakan dengan solat Tahiyatul Masjid dan solat sunat yang berkaitan.

5. Tidak bercampur dan bergaul terlalu bebas antara lelaki dan perempuan.

6. Jika pengantin perempuan didatangi haid dan tidak dapat hadir ke masjid, maka wali boleh menjemput jurunikah datang ke rumah terlebih dahulu untuk proses wali meminta izin dan menyerahkan wakilnya kepada jurunikah.

7. Pengantin perempuan yang haid boleh juga hadir ke masjid pada hari akad nikah tetapi dinasihati agar tidak masuk ke dalam Dewan Solat masjid.

8. Barang-barang hantaran diserahkan selepas akad nikah di rumah pengantin perempuan.

9. Jika boleh, hanya mas kahwin sahaja yang dibawa ke masjid. Majlis penyerahan mas kahwin suami kepada isteri boleh dilakukan di masjid, tetapi upacara menyarungkan cincin hendaklah dilakukan di rumah pengantin perempuan.

10. Jangan bergambar atau berposing untuk bergambar secara melampau di dalam masjid atau di sekitar kawasan masjid.

Panduan ini tidaklah susah untuk dipatuhi, namun masih terdapat lelaki atau perempuan yang sering mengabaikannya. Masih terdapat perempuan yang memakai pakaian yang tidak sesuai dengan suasana masjid. Ada yang mempamerkan wajah mekap yang mempesonakan, bahagian dada yang masih tidak ditutup sepenuhnya meskipun sudah mengenakan kain tudung.

Manakala lelaki pula ada yang memakai rantai dan gelang. Semua itu adalah haram bagi lelaki walaupun bukan dibuat daripada emas. Perhiasan perempuan itu tidak layak untuk lelaki kecuali gelang yang disahkan untuk perubatan. Kita tidak pasti sama ada mereka ini degil atau tidak tahu tentang hukum tersebut.