Ahmad Baei Jaafar
Isu bersatu atau perpaduan sudah lama dilagukan oleh pemimpin negara. Baru-baru ini ditimbulkan lagi oleh pihak tertentu dengan nada yang sama. Tegasnya, isu ini timbul bermusim. Bila berlalu musim itu berlalulah isu itu, bak kata orang sekarang macam biskut, sekejap ada dan sekejap tiada. Mengapa?
Susahkah orang Melayu hendak disatukan? Adakah isu ini sengaja dibesarkan sedangkan realitinya orang Melayu sudah bersatu. Atau adakah bersatu atau perpaduan yang dimaksudkan itu lain daripada yang difahami oleh orang Melayu?
Sebenarnya orang Melayu tidak susah untuk bersatu, buktinya apabila berlaku kematian orang jauh mahupun dekat akan datang berziarah mengucap takziah kepada keluarga itu walaupun mereka tidak pernah kenal. Selepas itu mereka boleh bergaul mesra dengan tetamu yang datang. Di sini sudah wujud kerjasama tanpa terancang.
Begitu juga apabila berlaku kenduri kahwin, semua sanak saudara, rakan taulan dan mereka yang menerima jemputan boleh datang dengan hati yang tenang. Antara tetamu itu dapat berbual mesra tanpa ada sebarang sangka buruk. Malah ada yang boleh bergurau senda yang mencuit hati.
Selain itu orang Melayu juga boleh bersatu dan bekerjasama ketika bergotong-royong untuk membersihkan kampung, taman, masjid dan surau. Berdasarkan itu apakah halangan untuk orang Melayu bersatu dan berpadu pada waktu-waktu lain?
Jawapan mudahnya ialah faham politik sempit dan amalan berpolitik yang tidak secara profesional dalam kalangan orang Melayu menjadi puncanya. Mereka menganggap golongan dalam parti lawan sebagai musuh lalu tidak boleh bertegur sapa kerana benci.
Kita bukan nak salahkan politik, malah politik itu perlu dalam membina negara yang cemerlang. Kita juga tidak salahkan orang yang menyertai parti politik tertentu, tetapi yang salahnya ialah matlamat orang yang menyertai politik itu tidak benar-benar jelas. Matlamat perjuangan parti tidak difahami oleh mereka. Hal ini kerana mereka tidak diberi ilmu tentang kepentingan politik dalam Islam.
Perlu difahami di sini bahawa bersatu dan berpadu adalah tuntutan agama disebut oleh Allah dan Rasul dalam banyak tempat. Bersatu dalam soal bertuhan, bersatu dalam matlamat hidup dan bersatu dalam perjuangan. Namun bersatu dalam konteks ini perlu diasaskan oleh hati yang tulus dan mulus.
Sungguhpun begitu tuntutan bersatu di atas asas itu tidak menghalang daripada umat Islam berfikir dan berhujah dalam sesuatu perkara. Malah Islam mahu umatnya kreatif dalam memberi pandangan dalam memajukan hidup di dunia ini.
Menyedari halangan di atas, usaha menyatukan umat Islam dan mengukuhkan perpaduan orang Melayu dua perkara berikut perlu diberi perhatian:
1. Parti politik berasaskan orang Melayu perlu diberi penjenamaan baru. Parti yang bukan mencipta musuh tetapi mendekatkan dan menjinakkan musuh. Selain itu, politik bukan untuk kepentingan kelompok tertentu tetapi untuk kepentingan rakyat.
2. Penyatuan ummah ini perlu ditaja oleh pihak berkecuali dan tiada berkepentingan dengan mana-mana parti politik.
Sesuai dengan bulan Ramadan, bulan yang boleh menghimpunkan orang Melayu dan Islam di masjid dan surau, sebaiknya perpaduan ini diterjemahkan kepada semua jemaah. Guru-guru yang memberi tazkirah Ramadan harus menyedarkan umat Islam agar mengelak permusuhan. Begitu juga mimbar-mimbar masjid harus memberi ilmu tentang perpaduan ummah.
Perpaduan tersebut seharusnya atas tujuan membina kekuatan ummah, meningkatkan ekonomi dan memantapkan kedudukan bangsa dan memelihara maruah Islam dan umatnya. Kalau semua orang Melayu sedar akan kepentingan itu, tidak mungkin mereka menolak untuk bersatu. Dan percayalah jika dengan bersatu atas dasar ini tidak mustahil orang Melayu yang berada dalam parti yang berlain juga boleh bersatu.
Mereka boleh bersatu dan berpadu dalam memperakui pandangan lawannya jika hujahnya munasabah dan relevan. Tetapi jika pandangan itu berlainan dan tidak elok, dibantu bagi mencantikkannya. Inilah kesan perpaduan yang dikehendaki Islam.
Dalam keadaan sekarang kita seharusnya berhati-hati dengan orang yang berjuang ke arah bersatu atau perpaduan tetapi mempunyai kepentingan politik tertentu. Sebagai contoh, mereka inginkan orang Melayu bersatu supaya menyokongnya dalam pilihan raya akan datang. Maka dengan cara ini kedudukan parti yang satu lagi akan lenyap.
Sudah sampai masanya kesatuan orang Melayu berani menaiktarafkan Islam di negara ini. Orang Melayu perlu bergerak atas semangat Islam, jiwa Islam dan akhlak Islam supaya dengan itu orang bukan Islam akan hormat dan tidak menghina Islam dan umatnya.
Pada masa yang sama orang Melayu seharus tidak menjadi batu penghalang kepada orang lain untuk mengenali Islam dengan sikap kita. Jangan sampai orang lain takut kepada Islam kerana sikap kita yang suka bermusuhan. Jangan juga sampai orang lain membenci Islam kerana sikap buruk yang kita miliki kini. Malah lebih malang lagi kalau ada orang lain yang hendak mengenali Islam, kita gambarkan yang negatif tentang Islam.
1 ulasan:
Pemimpin Melayu yang kononnya memperjuangkan melayu hakikatnya mengambil keuntungan daripada kesetiaan orang Melayu kepada mereka. Akhirnya orang Melayu jadi bodoh, tidak berfikiran tamadun. inilah yang perlu diubah untuk bersatu.
Catat Ulasan