Ahmad Baei Jaafar
Melihat perkembangan terbaru apabila Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), saya dapati banyak iktibar yang boleh diambil oleh parti dan ahli termasuk komponen Pakatan. Maka beruntunglah mereka yang mahu menilainya dengan hati yang ikhlas.
Menyingkap kisah YB Zulkifli, 48, seorang peguam yang banyak menyelesaikan kes di mahkamah juga yang gagal terutama dalam membela Datuk Seri Anuar Ibrahim, beliau bukanlah selayaknya untuk menjadi seorang ahli politik. Sebenarnya bukan semua peguam mampu menjadi ahli politik. Mungkin Karpal boleh mengesahkan pandangan saya ini.
Peguam yang pandai menyelesaikan kes dengan hujjah yang logik walaupun mengelirukan hingga meyakinkan hakim, mungkin boleh menjadi ahli politik yang baik. Hal ini kerana dalam politik 2 x 2 bukan semestinya memberi jawapan 4, begitu juga 5 + 3 bukan semestinya memberi jawapan 8. Inilah yang dikatakan strategi dalam perjuangan.
Sebaliknya orang yang lurus bendul, bercakap dan berhujjah mengikut fakta dan kenyataan yang sebenar adalah watak hakim yang baik. Mereka ini tidak layak menjadi ahli politik tetapi amat sesuai jika menjadi pembela kepada ahli politik. Maka apa-apa isu yang membabitkan undang-undang, mereka boleh membantu menyelesaikannya dengan mudah.
Merujuk kepada isu pemecatan YB Zulkifli, saya difahamkan pemecatannya kerana disiplin parti bukan isu Allah seperti yang didakwanya. Saya bersetuju kerana saya sering memerhatikan perkembangan Zulkifli dari awal pembabitannya dalam politik. Beliau sering bercanggah pendapat dan menungkah arus daripada perjuangan parti apatah lagi Islam.
Saya tidak pasti adakah semua wakil rakyat yang terpilih dalam pilihanraya lalu telah diberi tunjuk ajar tentang dasar parti, adab, dan disiplin sebagai wakil rakyat. Pada saya tidak mungkin mereka dilepaskan begitu sahaja tanpa akujanji yang ditandatangani pada hari penerimaan tugas itu. Agak malanglah kalau mereka ambil tidak kisah kerana dengan sikap itu boleh merosakkan dirinya dan partinya.
Dalam Islam, sesuatu isu rumah tangga perlu diselesaikan dalam rumah tangga sama ada dengan berbincang antara suami dengan isteri secara hati ke hati, atau dengan mengadu kepada ibu bapa supaya dinasihatkan yang terbaik untuk mereka. Dan jika itupun tidak mampu diselesaikan barulah dibawa kepada pejabat agama untuk diberi kaunseling sebelum ke mahkamah.
Begitulah hal dengan isu yang membabitkan orang politik, perlu diselesaikan dalam parti, cari penyelesaian yang boleh menguntungkan pihak yang bertikaian. Jika isu itu dibincangkan di khalayak ramai, dan maklumat itu diambil oleh media, nescaya isu yang kecil dijadikan besar apatah lagi kalau isu besar akan dibesarkan lagi. Ketika itu, sudah tidak boleh dinafikan apatah lagi kalau pekung sudah dibuka seluas-luasnya.
Oleh sebab itu, dalam Islam pemimpin yang mewakili rakyat perlu diberi kefahaman Islam sepenuhnya. Mereka perlu diberikan tunjuk ajar tentang adab dan panduan menjadi pemimpin. Walaupun pemimpin bukan Islam, mereka juga perlu didedahkan perkara yang sama. Malah dalam keadaan ini saya nampak mereka yang bukan Islam lebih beradab daripada orang Islam sendiri.
Sebenarnya isu Allah yang dibesarkan oleh YB itu pada saya amat kecil malah boleh dimaafkan atas kejahilannya dalam soal agama. Tetapi yang menjadi besar pada isu ini ialah perdebatannya secara terbuka yang sepatutnya cukup diselesaikan dalam rumah tangga. Kesannya, bukan sahaja ahli parti menjadi begung, orang luar parti juga kabur. Orang bukan Islam juga keliru sedangkan mereka mahu berpaut dengan parti tersebut.
Jadi, iktibar yang boleh diambil oleh umat Islam sama ada ahli parti atau tidak, pemimpin atau tidak, belajarlah ilmu Islam sepenuhnya agar setiap gerak kerja kita terpandu dengan panduan yang jelas. Selain itu, jika kita ditegur dengan nasihat yang baik, ubahlah ke arah yang baik itu. Ingatlah tiada teguran yang berniat jahat. Sebaiknya dalam keadaan ini, bertaubat dan kembali kepada jalan yang lurus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan