24 Mei 2010

Belajar daripada alam kukuhkan aqidah kita


Selepas kita mengetahui hikmah musibah, marilah kita belajar daripada alam pula pada kali ini. Banyak perkara yang perlu kita tahu sebagai hamba Allah. Manusia yang dapat belajar dengan baik, tidak akan ada manusia yang sombong, sombong kepada manusia, apatah lagi kepada Allah.
Umat Islam yang baik akan akur dengan ciptaan Allah, malah dapat mengambil manfaat daripada ciptaan Allah itu. Umat Islam dalam keadaan ini akan kuat aqidahnya kepada Allah, tauhid tetapi kepada Allah dan mereka menjadi umat yang paling bersyukur.
Bencana alam Allah sediakan kepada manusia untuk menguji manusia dan jika mereka dapat belajar daripada bencana alam itu sudah tentu mereka boleh bertaubat. Sekali gus mereka akan berjaya membangunkan alam ini mengikut kehendak Allah. Selamat memiliki Solusi no 20 dan selamat membaca dan membuat perubahan ke arah kebaikan.

22 Mei 2010

Bebaskan diri anda daripada tipuan

Ahmad Baei Jaafar

Subhanallah, Subhanallah, Subhanallah, Maha Suci Allah daripada sikap manusia yang berkepentingan, Maha Suci Allah daripada kejahilan pengikut yang taasub, Maha Suci Allah daripada ummat yang syirik secara sedar. Ya Allah aku berlindung di sisi-Mu daripada ummat yang sesat atas kebodohan mereka sendiri.
Belumpun seminggu ustaz Ashaari Mohammad meninggal dunia, pelbagai cerita dalaman yang boleh kita dengar. Ada yang dapat dihidu oleh bekas pengikutnya dan banyak lagi yang terus disembunyikan demi muslihat tertentu. Walau apapun semuanya adalah terkandung dalam agenda yang tersembunyi golongan tertentu.
Bagi bekas pengikut ustaz Ashaari, pengikut al-Arqam (bukan rufaqa dan global ikhwan), apa saja dakwaan yang didengari dari sana tidaklah pelik. Malah mereka sudah dapat menyangkakan apa yang akan terjadi selepas Ashaari meninggal dunia. Oleh sebab itu mereka tidak terkejut dengan dakwaan Khatijah Aam yang mengesahkan bahawa Ustaz Ashaari tidak mati, tetapi ghaib seperti ghaibnya Syeikh Suhaimi dan dia akan kembali sedikit masa lagi sementara anak-anak buah 'ikhwan' melakukan mujahadatunafsi.
Hakikatnya semua dakwaan itu melambangkan betapa mereka terlalu sayang dan cinta kepada pemimpin mereka sekali gus meletakkannya sebagai penyelamat ummah. Sebenarnya peristiwa seperti ini pernah berlaku dalam sejarah silam. Bukankah apabila Rasulullah disahkan wafat, orang pertama yang menolak berita kewafatan itu ialah Umar al-Khattab. Dia tidak boleh terima Rasulullah boleh mati dan tidak sanggup melihat Rasulullah dikebumikan seperti orang lain dikebumikan.
Mujurlah ketika itu datang Abu Bakar as-Siddiq, dia dengan tegas berkata, "Barang siapa menyembah Muhammad, maka Muhammad sekarang telah wafat, dan barang siapa menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah kekal, hidup, dan tidak akan mati."
Dengan penegasan itu Umar dan orang yang seumpama dengannya mula tersedar daripada lamunan taasub, lalu menerima hakikat kewafatan Rasulullah. Tidak ada yang murtad dengan peristiwa itu kerana kepantasan dan ketegasan Abu Bakar dalam tindakan. Tetapi peristiwa seperti ini kemudiannya turut berlaku dalam kalangan pengikut Syiah iaitu apabila seorang pemimpin mereka dikatakan ghaib dan akan muncul sebagai iman Mahdi kelak. Oleh sebab tidak ada watak Abu Bakar ketika itu, maka pengikut syiah terus tersesat dengan keyakinan itu.
Begitu juga yang pernah berlaku kepada Syeikh Suhaimi, mengikutnya mendakwanya dia juga ghaib bukan mati. Mujur cucunya, Taha Suhaimi juga seorang alim, dia tidak taasub dengan berita itu. Tetapi apa yang berlaku kepada ustaz Ashaari, kematiannya dinafikan oleh isterinya (orang lain saya tidak dengar pula ceritanya), kononnya ghaib dan akan kembali semula. Sayang waktu ini tidak ada watak Abu Bakar lagi. Maka apa yang didakwa oleh isteri Ashaari itu diterima sepenuhnya oleh pengikutnya.
Walaupun kemudiannya dakwaan itu dinafikan oleh menantunya, Loqman al-Hakim tetapi penafian itu masih kabur dan berbau taqiah. Loqman belum menyamai watak Abu Bakar malah lebih jauh untuk dibandingkan dengannya.
Saya dalam tulisan ini tidak berniat untuk memanjangkan kisah khurafat ini tetapi sekadar hendak mengingatkan kawan-kawan juga adik-adik saya yang masih ada iman di hati mereka. Ketahuilah, anda selama ini ditipu oleh orang yang berkepentingan. Yang pasti dia bukan ustaz Ashaari, tetapi saya percaya anda tahu siapa dia.
Bagi mereka yang masih tertutup pintu hati mungkin akan marah kepada saya, itu hak mereka, namun saya tetap doakan agar hidayah Allah sampai juga kepada mereka akhirnya. Namun saya yakin, mereka yang masih ada iman kepada Allah akan mampu mencelikkan hati masing-masing.
Kawan-kawan, sedarkah anda, kenapa anda masih kekal bersama Rufaqa dan kini Global Ikhwan? Saya yakin, anda di sini kerana telah digula-gulakan bahawa daulah akan berlaku di tangan Abuya. Anda termakan dengan janji-janji keramat yang anda yakin datang daripada Abuya. Walaupun Abuya sakit tidak boleh bercakap, anda yakin Abuya masih boleh memberi mesej kepada anda.
Selain itu, Ashaari yang tidak boleh bercakap kerana masalah geraham dan mulut itu didakwa direhatkan Allah daripada berkata-kata. Alasannya, sebelum ini dia sudah lama dan banyak bercakap memberi nasihat, maka sampai masanya dia berehat.
Anda semua percaya dakwaan itu kerana anda percaya kenyataan itu datang daripada Abuya sendiri walaupun anda tahu bahawa dia tidak boleh bercakap. Memang dia tidak boleh bercakap dengan baik tetapi didakwa boleh bercakap dengan orang tertentu atau setidak-tidaknya boleh difahami oleh orang tertentu. Malah orang tertentu itu boleh mentafsirkan yang tersirat daripada apa yang diucapkan olehnya. Anda semua percaya sebab anda yakin Abuya ada karamahnya.
Tahukah anda kenapa dakwaan itu boleh lahir daripada orang yang berkepentingan itu? Saya percaya malah anda juga percaya kalau ustaz Ashaari telah disahkan tidak boleh bercakap dan akan mati dan daulah tidak akan berlaku di tangannya, tidak siapa yang akan sanggup menghabiskan wang setiap bulan menyumbang kepada Ashaari dan keluarganya. Tidak akan ada orang yang mahu bersimpati menginfakkan hartanya untuk perjuangan Ashaari yang belum selesai itu. Tidak akan ada pengikutnya yang sanggup bekerja siang malam dengan syarikat-syarikatnya dengan hanya gaji yang sedikit.
Menyedari hakikat itu, maka pihak yang berkepentingan itu akan mencipta cerita-cerita baru yang kononnya datang daripada Abuya. Sebagai membuktikan dakwaannya, Abuya dibawa ke sana sini untuk berjumpa dengan pengikutnya seluruh Malaysia, malah ke Thailand. Bayangkan dalam keadaan sakit itu dia diusung ke sana ke sini semata-mata untuk memberitahu pengikut bahawa Ashaari masih relevan. Padahal hakikatnya adalah untuk mendapatkan simpati.
Saya percaya kalau ustaz Ashaari boleh bercakap dan berkuasa menepis sesuatu dakwaan, dia akan nafikan apa yang diberitahu oleh orang yang berkepentingan itu. Tetapi dia tidak mampu kerana ada kuasa lain yang mengatasinya. Bayangkan kalau semasa dia boleh bercakap pun ada pihak yang memonitor tutur katanya, apatah lagi sewaktu uzurnya.
Sebenarnya Allah sayangkan ustaz Ashaari, lalu pada 13 Mei, 2010 jam 2.10 petang rohnya diambil di sebuah hospital swasta di Ipoh. Allah tidak mahu dia terus diperalatkan oleh orang yang berkepentingan. Itupun ketika itu, semua pengikut setianya tidak diberitahu berita sebenar. Masing-masing apabila ditanya berkata, berita itu belum sahih sedangkan doktor telah membuat pengesahan.
Tahukah anda kenapa berita itu tidak diberitahu dengan segera? Mereka tahu, kalau pengikut tahu tentu mereka akan kecewa kerana daulah yang diharapkan tidak berlaku. Oleh sebab itu berita itu disembunyikan sementara mencari idea bagaimana untuk meyakinkan pengikut bahawa daulah akan tetap berlaku di tangan Abuya. Di sinilah timbulkan idea bahawa Abuya ghaib dan akan kembali semula setelah semua pengikutnya bertaubat.
Dengan dakwaan ini, pengikut akan kembali yakin dan akan terus memberi sumbangan kepada keluarga Ashaari. Pada masa yang sama pengikut akan bertaubat dan bekerja kuat untuk daulah dan terus menyumbang wang bulanan kepada keluarganya. Hakikatnya pengikut yang memberi gaji kepada mereka.
Inilah agenda sebenar golongan yang berkepentingan ini. Inilah agenda yang tersebunyi yang tidak pernah didedahkan kepada umum. Tetapi demi menyelamatkan iman pengikutnya yang ikhlas berjuang bersama Ashaari, saya doakan mereka agar kembali kepada kebenaran. Semoga ada pengikut Abuya sudi membaca kenyataan ini dengan hati yang terbuka.
Mengakhiri tulisan suka saya nyatakan bahawa orang yang berkepentingan ini memang berniat jahat terhadap Arwah, maka sebab itulah tidak digalakkan sebarang majlis tahlil dan Yasin atau menghadiahkan al-Fatihah kepada Arwah. Sedangkan orang yang mati, lazimnya dibacakan doa dan tahlil, apatah lagi gurunya, tentu wajar dibacakan tahlil dan Yasin oleh anak muridnya.
Saya doakan Ustaz Ashaari selamat di alam barzah dan damai di sana tanpa gangguan orang yang berkepentingan lagi. Pada masa yang sama, pengikut setia yang masih ada iman itu, diseru sekali lagi agar kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, semoga kita tidak lagi ditipu sepanjang hidup.

16 Mei 2010

Selamat Hari Guru kepada kalian guruku

Ahmad Baei Jaafar

Tanggal 16 Mei disambut seluruh Malaysia sebagai Hari Guru. Walaupun kita baru sahaja menyambut hari ibu, hari pekerja, hari jururawat dan juga hari belia namun hari guru perlu diberi lebih perhatian oleh semua pihak. Kenapa? Jawapannya mudah, sebab setiap seorang yang hidup di dunia ini tidak terkecuali daripada dididik oleh guru.

Siapapun ada, pensyarah, peguam, hakim, perdana menteri, menteri, penghulu dan siapa juga bermula dari guru darjah satu. Dia yang mengajar membaca dan mengira sehingga kita mereka menjadi orang yang hebat. Jadi, semua orang harus mengenang jasa guru kita sama ada yang masih hidup mahupun yang sudah mati.

Ketahuilah seramai-ramai guru yang ada di dunia ini, guru agama tidak boleh dilupakan kerana merekalah yang menyelamat iman manusia. Kalau guru biasa memberi ilmu mengenali alam ini tetapi guru agama menjaga manusia daripada melakukan dosa. Guru agama lebih penting dalam hidup malah dia boleh menyelamatkan di akhirat.

Jadi, hormatilah guru agama seadanya. Mutiara ilmu yang disampaikan perlu disebarkan kepada orang ramai. Tetapi keburukan dan kelemahannya harus disembunyikan. Hal ini kerana yang manfaat lebih besar daripada mudaratnya. Maka yang mudarat tinggalkanlah.

Kepada guru biasa anda tetap berjasa, tanpa anda saya dan orang lain tidak kenal dunia. Tidak tahu bagaimana hendak mengurus dunia. Namun guru agama melengkapkan dunia itu dengan menyempurnakan kehidupan di akhirat. Jadi kedua-dua guru itu amat diperlukan dalam satu masa.

11 Mei 2010

Kenapa pula sambut hari ibu haram?

Ahmad Baei Jaafar

Tiba-tiba saja semalam saya terbaca kenyataan bahawa sambut hari ibu haram kerana perayaan itu mula disambut oleh orang kafir iaitu masyarakat yang beragama Kristian. Kononnya Greek kuno memanggilnya sebagai hari cybele iaitu ibu kepada dewa-dewa mereka. Manakala Roman kuno pula meraikan hari matronalia sebagai tanda memperingati dewa juno iaitu mak kepada juventas, vulcan dan mars.

Persoalannya adakah Greek kuno dan Roman kuno beragama Kristian? Kalau begitu jawapannya, sah hari ibu itu diasaskan oleh orang Kristian. Tetapi kalau benarlah diasaskan oleh Kristian, tidak bolehkah kita mencontohinya? Apakah sambutan hari ibu itu terdapat pengaruh agama Kristian atau atas kesedaran mereka sendiri yang tiada kaitan dengan agama?

Dr. Yusuf al-Qaradhawi pernah berkata, “Hari ibu ini timbul kerana pihak orentalis/doktrin barat memikirkan bahawa inilah cara yang terbaik untuk mereka menarik minat anak-anak remaja barat agar menghormati orang tua mereka. Umumnya kita tahu bahawa masyarakat barat amat tipis dengan adab tatasusila, jadi dengan mengadakan/mengkhususkan hari-hari tertentu sekaligus dapat memupuk remaja mereka agar menyayangi dan menghormati orang tua mereka.”

Pendapat Dr Yusuf itu mengesahkan bahawa sambutan hari ibu itu tiada kaitan dengan agama Kristian tetapi timbul kesedaran masyarakat barat betapa perlunya mereka menyayangi ibu. Pada mereka kalau tidak boleh setiap hari kenang ibu, cukuplah sehari yang khususkan untuk ibu.

Jadi, kalau sambutan ini tiada kaitan dengan agama, sudah tentu tidak salah kita mencontoh sesuatu yang baik daripada orang lain. Tetapi kalau memang ada kaitan dengan agama Kristian tidak bolehkah kita mengambilnya sebagai contoh tetapi pengisiannya kita sesuaikan dengan Islam?

Sebenarnya sambutan hari ibu seperti yang disambut oleh masyarakat dunia tiada langsung kaitan dengan agama. Pengajur memilih hari ibu sesuai dengan keadaan negara. Negara kita memilih setiap hari Ahad minggu kedua bulan Mei.

Walau bagaimanapun bagi orang Islam, setiap kerja dan usaha kita pasti dinilai sebagai ibadah termasuk menyambut hari ibu. Maka kalau kita ikut panduannya kita akan beroleh pahala dan dinilai sebagai kerja agama. Jadi, sambutan hari ibu walaupun orang lain sebagai sambutan biasa, kita diberi pahala oleh Allah. Kalau begitu, bagaimana kita menghukumkan sambutan hari ibu sebagai haram?

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Israa’, Ayat 23 hingga 24)
Selain ayat ini terdapat banyak hadis yang menyebut tentang perintah menghormati ibu. Dalam sebuah hadis yang masyhor, sahabat bertanya rasul siapa yang harus mereka hormati dan memberi ketaatan, rasul menjawab ibu, mereka tanya lagi siapa lepas itu, baginda jawab ibu. Soalan yang sama diulang untuk kali ketiga, dan jawapan baginda tetap ibu. Cuma yang keempat barulah disebut bapa.

Jelas di sini, kita yang lebih patut menyambut hari ibu berbanding orang lain. Sayang kita kepada ibu sepatutnya berganda berbanding orang lain. Oleh sebab itu, sambutlah hari ibu dengan memberi penghormatan kepadanya. Berikah kasih sayang yang paling tinggi pada hari tersebut. Namun pada hari-hari lain, kasih dan sayang kepada ibu harus dikekalkan setiap hari. Menghormati ibu tidak ada musim cutinya. Inilah yang membezakan Islam dengan bukan Islam.

02 Mei 2010

Mewujudkan Hubungan Baik Anak Dengan Ibu Bapa

Ahmad Baei Jaafar

Anak wajib berbuat baik terhadap ibu bapanya. Sekiranya tidak, ia telah melakukan satu dosa. Di dalam al-Quran tidak terdapat perintah khusus agar seseorang bapa mengasihi anaknya, tetapi sebaliknya yang lebih banyak ialah perintah kepada anak supaya mengasihi ibu bapa.

Walaupun tidak banyak ayat yang memerintah ibu bapa untuk mengasihi anak, namun banyak hadis yang menyebut mengenainya.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَلَمْ يُكْرِمْ كَبِيرَنَا

Ertinya: Bukan daripada golongan kami (Nabi Muhammad) mereka yang tidak mengasihi orang kecil (anak muda) dan tidak memuliakan orang besar (orang lebih umur – pemimpin).

Memang secara outomatik ibu bapa akan mengasihi anaknya. Seorang bapa, apatah lagi ibu, amat sayang kepada anaknya sehingga ia sanggup berkorban apa saja demi keselamatan dan kesejahteraan anaknya. Ia sanggup bersusah payah bekerja siang dan malam, menggerakkan segala usaha dan tenaga, di mana semuanya itu adalah untuk kebahagiaan anaknya.

Namun ada anak yang tidak sedar atau tidak dapat merasai bahawa ibu bapanya mengasihi dan menyanginya. Teguran dan nasihat ibu bapa selalu dianggap sebagai mengganggu kebebasannya. Kesalahan mereka yang cuba dibetulkan oleh ibu bapa sering di anggap sebagai segaja mencari kesalahan mereka. Padahal kalau semua itu tidak diingatkan akan menjadi satu kebiasaan yang merosakkan masa depannya.

Menyedari keadaan ini, mereka perlu terus disedarkan hakikat ini. Maka wajarlah anak berbuat baik terhadap ibu bapa. Di sini mungkin seorang anak akan bertanya, bagaimana mereka harus berbuat baik terhadap ibu bapanya.

Imam Ghazali telah menggariskan dua belas panduan, iaitu:

  • Mendengar kata mereka.
  • Berdiri apabila mereka berdiri kerana menghormati.
  • Taat perintah mereka selagi mereka tidak menyuruh membuat perkara-perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T.
  • Tidak melintas di hadapan mereka, tetapi hendaklah berjalan di sisi atau di belakang kecuali atas perintah mereka untuk sesuatu maksud.
  • Tidak meninggikan suara melebihi suara mereka.
  • Menjawab panggilan mereka dengan suara yang lembut.
  • Sentiasa memelihara dan merawat apabila mereka sakit. Jangan sampai melakukan sesuatu yang melanggar keredhaan mereka baik dalam sikap, perkataan ataupun perbuatan.
  • Merendah diri dengan sopan dan lemah lembut serta sentiasa berusaha meringankan beban mereka.
  • Tidak melakukan sesuatu kebaikan kepada mereka atas dasar membalas jasa melainkan atas dasar kewajipan demi keredhaan mereka dan keredhaan Allah S.W.T.
  • Tidak memandang mereka dengan menjeling, mengerling, marah atau masam muka.
  • Tidak bermuram hati apabila menghadapi wajah mereka.
  • Tidak keluar rumah sama ada jauh atau dekat kecuali dengan izin mereka.

Jika anak-anak dapat mengikut adab sopan ini, masa depan anak-anak akan terurus ke arah kejayaan. Ibu bapa tentu akan senang hati dengan kejayaan anak mereka itu.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...