11 Januari 2017

Redha Allah pada redha ibu bapa

Ahmad Baei Jaafar

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah bergantung kepada kemurkaan ibu bapa.”  (Hadis dikeluarkan oleh al-Tir
mizi dalam Sunannya)
Kenyataan Rasulullah di atas sangat besar ertinya kepada anak-anak yang masih mempunyai ibu dan bapa. Maknanya berdasarkan hadis ini anak-anak perlu pandai menjaga hati ibu bapa agar mereka tidak terguris hati dengan tindakan mereka. Maka sebagai anak mereka perlu mendapat keredhaan atau dalam bahasa mudah mendapat restu ibu bapa.
Seorang anak yang hendak berniaga sendiri sebagai contoh perlu mendapat keredhaan ibu bapa, barulah dengan itu perniagaannya menjadi berkat. Seorang anak yang hendak bermusafir meninggalkan kampung halaman perlu mendapat keredhaan ibu bapa, barulah perjalanannya mendapat pahala.
Pendak kata, apa sahaja yang hendak dilakukan oleh anak-anak perlu mendapat keredhaan ibu bapa apatah lagi soal perkahwinan. Untuk mendapat keredhaan ibu bapa tidak susah apatah lagi dalam soal perkahwinan kerana biasanya ibu bapa tidak akan menghalang jika semua itu baik dan padan dengan mereka. Tetapi dalam hal inilah yang kadang-kadang ibu bapa boleh berkecil hati.
Meniti umur yang semakin penghujung ini, baru saya sedar betapa dulunya saya telah banyak kali mengecilkan hati kedua ibu bapa dalam urusan perkahwinan. Saya pernah menguruskan sendiri pertunangan bagi perkahwinan yang pertama kali. Ibu bapa saya hanya diberitahu setelah semuanya diterima oleh ibu bapa perempuan.
Walaupun mereka tahu hubungan kami sebelum itu, namun tindakan saya mungkin mengecilkan hati mereka. Namun saya percaya mereka redha dengan perkahwinan kami apabila mereka sudi datang pada hari pernikahan dan kenduri kahwin yang dibuat pada hari yang sama.
Perkahwinan seterusnya juga tanpa pengetahuan ibu bapa, sebaliknya diuruskan oleh jemaah yang saya anggotai pada masa itu. Saya percaya kedua-dua ibu bapa saya redha dengan perkahwinan itu sebab mereka tidak menolak kehadiran semua menantunya. Tetapi hati kecil mereka tetap terasa terguris kerana saya telah membelakangkan mereka.
Semoga mereka berdua dapat dan telah memaafkan daku sebelum mereka meninggal dunia. Ya Allah ampunkanlah dosa-dosaku kepada mereka berdua, sama ada mereka sedar atau tidak, apa lagi yang aku tidak sengajakan, amin ya rabbal alamin.
Inilah kesilapan yang jarang sebagai anak merasainya. Dengan ini saya berharap anak-anak saya tidak mengulangi kesilapan seperti itu lagi. Biarlah urusan perkahwinan mereka selepas ini diserahkan kepada orang tua kerana merekalah yang selayaknya ditua-tuakan. Biarpun zaman berubah adab dan sopan yang diajarkan oleh Islam itu wajar dipertahankan. Wallahu aklam.

06 Januari 2017

Jangan Kagumi Tokoh Anda Berlebihan

Ahmad Baei Jaafar Nabi Muhammad, Rasulullah SAW adalah sesempurna manusia, maka tindak tanduknya diperhatikan oleh manusia dari jauh mahu pun dekat. Mereka yg tertawan dengannya akan menerima Islam sama ada secara segera atau kemudiannya. Para sahabat baginda walaupun hampir dengan baginda, mengambil ilmu langsung daripada baginda, namun selepas wafat baginda mereka tidak mampu mengambil tempat baginda di sudut watak dan akhlak. Sanggup pun begitu, Islam terus berkembang atas usaha mereka yang penuh ikhlas. Sebahagian mereka keluar daerah untuk menyebarkan Islam. Manakala ulama amilin yang jauh daripada baginda dan sahabat tentu lebih jauh daripada watak dan akhlak sahabat dan baginda. Mereka tidak berkesempatan melihat watak sahabat baginda untuk dicontohi. Namun ilmu yang mereka perolehi daripada warisan sahabat mampu membimbing pengikut dan umat islam akhir zaman. Tetapi ulama akhir zaman bukan saja mereka jauh dari akhlak rasul dan sahabat, ilmu ulama amilin pun dipertikaikan oleh mereka. Mereka rasa lebih pandai daripada ulama terdahulu, lalu umat islam akhir zaman jadi keliru. Kini mereka bercakaran menyalahkan satu sama lain. Masing-masing membawa fahaman yang didakwa sebagai benar. Oleh sebab itu, sehebat manapun ulama atau guru anda pada hari ini, jangan dikagumi melampau batas. Jangan ada yang kerana kagum dengan cakapnya, kagum dengan tulisannya, rasa teruja lalu hendak melihat rumah tangga dan keluarganya. Kononnya untuk mencontohinya. Jangan, nanti anda akan kecewa terutama apabila melihat realiti kehidupan mereka tidak sama seperti yang dicakapkan tokoh anda. Ingat, boleh jadi mereka itu sama macam anda juga. Dia boleh cakap berapi-api di pentas dakwah adalah untuk isteri dan anak-anaknya yang berada di rumah. Dia tulis yang jelas-jelas juga untuk nasihat kepada anak dan isterinya. Cuma malangnya. Isteri dan anak mereka tidak mahu dengar dan membaca tulisannya. Jadi, mereka tidak boleh berubah sebagai mana orang lain boleh berubah. Kesian ulama akhir zaman.

02 Januari 2017

Lahir 'Tuan' kerana salah didikan ibu

Ahmad Baei Jaafar

Saya percaya anda pernah membaca atau mendengar sebuah hadis dalam hadis 40 catatan Imam Nawawi yang terpanjang iaitu hadis mengenai Jibril bertemu Rasulullah. Menurut hadis itu seorang lelaki luar (bukan penduduk tempatan Madinah) bertemu Rasulullah tetapi keadaanya seperti terlalu rapat dan biasa dengan baginda. Namu sahabat tidak mengenalinya.
Dalam perbualan santai, baginda ditanyakan beberapa soalan, namun semua soalan itu dapat dijawab dengan baik dan tepat. Tetapi terdapat satu soalan akhir, yang baginda tidak terus menjawab sebaliknya memulangkan soalan itu dengan menyebut, "orang yang bertanya lebih mengetahui daripada yang ditanya."
Ya, siapa ingat hadis apa itu? Betul, ramai yang tahu. Dalam peristiwa itu baginda ditanyakan tentang IMAN, ISLAM dan IHSAN. Dan soalan akhir adalah mengenai hari kiamat. Itulah yang tidak mahu dijawab oleh baginda. Namun soalan itu ditukarkan kepada persoalan tanda-tanda kiamat.
Jibril berkata, “Kalau begitu khabarkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya” Baginda Rasulullah SAW menjawab. “Apabila seorang hamba melahirkan tuannya dan engkau akan melihat rakyat jelata yang miskin tinggal lama di dalam bangunan.” (Riwayat Muslim)
Saya tidak pasti, orang generasi sekarang pernah dengar hadis tersebut atau tidak. Kalau pun pernah mendengarnya, tidak dipastikan sama ada mereka faham atau tidak mesej hadis tersebut. Sebenarnya bukan sahaja generasi sekarang yang tidak faham, saya sendiri waktu belajar dahulu tidak bagitu faham mesejnya. Malah mungkin guru yang mengajar tentang hadis itu juga kurang faham mesej sebenar.
Saya ingat lagi, ustaz saya berkata, akhir zaman nanti ibu-ibu akan melahirkan tuan-tuan. Dan orang miskin akan berlumba-lumba membuat bangunan tinggi. Menurut ustaz itu, pada zaman itu akan berlaku dua keadaan dan itulah tanda hampir berlaku kiamat. Katanya lagi, zaman itu amat berbeza dengan zaman sekarang yang manusia masih ada yang beriman dan takut kepada Allah.
Dalam hati saya ketika itu, kan bagus kalau begitu, seorang ibu mampu mendidik anak sehingga akhir menjadi tuan-tuan. Dan orang miskin yang semuanya menjadi kaya sehingga mampu membina bangunan sendiri. Yalah kalau fikiran ini saya luahkan kepada umum nescaya ramailah mengutuk saya.
Tetapi, pada hari ini setelah saya mempunyai anak dan umur saya pun sudah sampai ke penghujungnya, fikiran saya berubah lagi dan kali ini betul-betul realistik. Berdasarkan pengalaman dan kajian semasa, saya mendapati hadis di atas bukan merujuk kepada zaman tetapi merujuk kepada sikap dan gaya hidup umat Islam.  Peristiwa anak menjadi tuan kepada ibunya sendiri ini sangat berganting kepada cara ibu-ibu mendidik anaknya.
Anak-anak berdasarkan hadis yang masyhor, "semua anak dilahirkan fitrah maka ibu bapanya lah yang mencorakkannya." Ibu dalam konteks hadis di atas, tidak mendidik anak-anaknya gaya hidup Islam sebenar. Mereka tidak diajar adab dan sopan, mereka tidak dibentuk dalam suasana kasih dan sayang dan mereka tidak dididik bergaul dengan masyarakat yang baik.
Akhirnya anak-anak ini terbiasa dengan kasar dan tidak tahu menghormati orang terutama orang tua-tua. Dalam keadaan anak yang sudah dewasa itu, agak sukar dibetulkan semua melainkan kalau Allah memberinya hidayah ke arah kebaikan. Apabila anak-anak sudah pandai mengarah ibu bapanya supaya mengikut kehendaknya dan nasihat dan pandangan ibu bapa sudah tidak diperdulikan, maka itulah yang dimaksudkan dengan tuan.
Saya percaya, tuan-tuan seperti ini sudah ramai dilahirkan sehingga kini. Dan inilah tanda-tanda kecil kiamat. Namun bila kiamat yang sebenar kita tidak tahu, cuma yang pasti tanda-tandanya sudah ada. Saya percaya, kalau lebih separuh manusia di muka bumi ini masing-masing melahirkan tuan-tuan, tentulah kiamat benar-benar terjadi. Ini sesuai dengan kenyataan ulama bahawa sebelum kiamat, Allah akan datangkan angin yang tenang lalu mematikan orang yang beriman. Manakala yang tidak beriman diberi ruang dan peluang untuk seketika sebelum dikiamatkan mereka secara yang hina.
Jadi, wahai ibu bapa didiklah anak-anak anda adab sopan agar mereka tahu menghormati orang lain. Wahai anak-anak, kalau anda sedar bahawa anda termasuk dalam kategori anak yang bertaraf tuan kepada ibu bapa anda, turunkan egomu dan jadilah anak yang berakhlak mulia. semoga anda tidak termasuk dalam orang-orang yang akan dimatikan dalam keadaan yang terhina. Wallahu aklam.