18 Julai 2016

Perpaduan Ummah Impian atau Realiti

Ucapan penghargaan dan tahniah ditujukan kepada  Prof. Emeritus Dato' Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Hj. Ab. Majid kerana telah berjaya mengerakkan satu Multaqa Perpaduan Ummah yang perhimpunan sulung ini melebih jangkaan awal. Pertemuan pada 18 Mei 2016 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi sangat besar impaknya kerana disertai oleh pelbagai golongan masyarakat.
Hasil pertemuan itu mereka berjaya memuktamatkan satu resolusi iaitu membentuk Sekretariat Khas yang dianggotai oleh ilmuwan dan tokoh-tokoh berwibawa yang merangkumi ahli-ahli yang merentasi sempadan ideologi politik dan kefahaman agama bagi memenuhi beberapa tujuan yang antaranya:
a. Menghadap Duli-Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk memohon Baginda-baginda semua campur tangan atas sifat sebagai payung bagi agama Islam dan rakyat Malaysia seluruhnya.
b. Mengadakan kunjung hormat kepada tokoh-tokoh utama parti politik Islam, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri bagi membuka ruang ke arah mencapai pendekatan yang sesuai sebagai jalan penyelesaian terhadap perpecahan yang berlaku.
c. Menganjurkan dialog secara meluas dalam kalangan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan entiti masyarakat madani bagi mencari kesepakatan dalam usaha memahami pandangan dan pendirian masing-masing seterusnya mencari titik penyelesaian ke arah perpaduan.
Saya mengambil ruang yang sempit ini untuk memperluaskan perkara kedua di atas iaitu “mengadakan kunjung hormat kepada tokoh-tokoh utama parti politik Islam, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri bagi membuka ruang ke arah mencapai pendekatan yang sesuai sebagai jalan penyelesaian terhadap perpecahan yang berlaku.”
Sebenarnya saya melihat agenda ini amat penting kerana pemimpin politik adalah pilihan tepat untuk memulakan perubahan ke arah perpaduan. Hal ini kerana pemimpin politik selalu dijadikan rujukan dan ikutan. Maka cakap mereka amat berguna dan berkesan. Untuk mencapai misi ini, wakil-wakil yang dipilih untuk membuat kunjungan ini mestilah membawa misi yang jelas dan mudah diterima.
Untuk mencapai perpaduan ummah, mestilah bermula dengan perpaduan ahli parti terlebih dahulu. Maknanya dalam sesi pertemuan dengan pemimpin parti itu perlu ditekankan soal perpaduan dalam kalangan ahli parti. Bayangkan kalau semua pemimpin parti bercakap perkara yang sama kepada ahlinya, sudah tentu akan tercapai satu titik perpaduan ummah.
Suka dijelaskan di sini, asas kepada perpaduan ialah, bercakap perkara yang disuka oleh orang ramai. Bercakap sesuatu yang tidak menimbulkan kecil hati pihak lain. Dan akhirnya tidak bertindak berdasarkan sangka buruk atau persepsi yang salah. Bayangkan kalau semua ahli parti menerima kaedah itu, berpadulah mereka, malah tidak akan ada yang iri hati.
Selain itu pemimpin antara parti pula akan bertindak seiring dengan misi ini, mereka sesama pemimpin akan masing-masing menjaga hati, tidak menyakitkan hati lawan dan selalu bersangka baik sama mereka. Bayangkan kalau seluruh negara mengamalkan sikap ini dan antara satu sama lain, tidak berlaku lagi sindir menyindir dan hina menghina, akan amanlah negara ini.
Suka saya mencontohkan sesuatu yang tidak harmoni pada hari ini dan inilah yang menjadikan mereka tidak boleh berpadu. Hari ini apabila kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri apabila hendak melaksanakan sesuatu projek dia akan canangkan ke seluruh negara bahawa “ini adalah satu lagi projek kerajaan Barisan Nasional.”
Di mana lojiknya slogan ini? Bila wujud kerajaan Barisan Nasional? Yang jelas wujud ialah kerajaan Malaysia. Pimpinan kerajaan ini ialah Perdana Menteri yang dipilih daripada Parti Barisan Nasional. Dia Presiden Barisan Nasional betul, tetapi dia bukan perdana menteri Barisan Nasional. Dia bukan berakyatkan ahli Barisan Nasional tetapi berakyatkan rakyat Malaysia yang pelbagai bangsa dan parti. Jadi, kata-kata ini tidak benar dan boleh menyakitkan hati pihak lain.

Inilah contoh terdekat yang boleh diberi perhatian demi perpaduan ummah. Semoga semua pihak dapat memahami mesej ini dengan jelas. Semoga perpaduan ummah akan menjadi realiti suatu hari nanti.