03 Mei 2016

Mintalah Taufiq dan Hidayah

Ahmad Baei Jaafar

Apa yang anda tahu tentang taufik? Kita selalu menyebutnya tetapi saya pasti ramai yang tidak mengerti maksud kedua-duanya. Mungkin penceramah yang berkaitan dengan agama tahu maksudnya kerana mereka boleh berbahasa Arab. Tetapi tidak semua yang boleh berbahasa Arab.
Taufik berasal daripada kata dasar “waffaqa - dan sebelumnya wafaqa”. Maknanya sama dan selari atau sepadan. Daripada perkataan itu juga kita pernah dengar perkataan “muwafakat” dan “muttafa alaih” yang bererti bersetuju secara bersama. Jadi, taufiq bolehlah kita katakan,  bersesuaian. Dan apabila dikaitkan dengan Islam tentulah bermaksud, bersesuain dengan kehendak Allah.
Jelas di sini, orang yang sudah mendapat taufiq Allah akalnya sudah selari dengan kehendak Allah. Cakapnya sudah sama dengan firman Allah dan sabda Rasulullah. Kadang-kadang cakap mereka mengalahkan ustaz dan tok guru. Hujjah mereka tepat dan susah hendak dipatahkan. Tetapi realitinya dia tidak mampu melakukannya, cakapnya tak serupa bikin. Cakapnya dikagumi tetapi tidak pada realitinya.
Apa pula yang anda faham dengan hidayah? Hidayah berasal daripada kata dasar “hada” yang bererti beri hadiah atau petunjuk. Apabila hadiah ini dikaitkan dengan Islam sudah tentu ia bermaksud hadiah yang diberikan oleh Allah kepada hamba-Nya, atau dalam bahasa yang lebih tepat diberi petunjuk oleh Allah.
Seseorang yang sudah mendapat hidayah bererti dia telah mendapat petunjuk daripada Allah. Maka dia seperti disuluh jalannya dengan cahaya yang terang. Dia ketika itu mudah berjalan menuju ke destinasi dengan selamat. Mungkin sesekali dia tersilap maka dia dipimpin lagi dengan penuh santun.
Berdasarkan keterangan ini, seseorang Islam perlu memiliki kedua-dua, taufiq dan hidayah serentak. Dengan kedua-dua itu, dia akan selamat di dunia dan akhirat. Jika dia baru dapat taufik, sekadar pandai bercakap tetapi tidak mampu melakukannya, dia perlu memohon petunjuk Allah. Semoga dengan itu Allah akan berikan hidayah kepadanya.
Bagi seseorang yang belum Islam, mereka sesetengahnya sudah diberi taufiq. Mereka yang selalu bergaul dengan orang Islam, sedikit sebanyak sudah ada taufiq dalam hatinya. Tetapi mereka tidak pernah minta hidayah sebab itu mereka tidak diberi hidayah. Berbeza dengan mereka yang selalu membaca buku Islam dan selalu bertanya orang Islam hal-hal agama, maka mereka seolah-olah telah meminta hidayah. Mereka ini lambat laun akan memeluk Islam.
Jelas di sini, hidayah perlu minta sedangkan taufik sudah tersedia pada diri seseorang. Allah sudah berikan taufiq secara semula jadi walaupun dia tidak meminta, apatah lagi kalau kita memintanya. Maka betullah ulama ketika mengarang buku menyebutnya “billahi taufiq walhidayah”, begitu juga kita menutup ceramah yang disampaikan mereka. Semoga kita kekal dalam taufiq dan hidayah Allah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...