17 April 2016

Betulkan Tindakan Anda Demi Masa Depan

Ahmad Baei Jaafar

Sudah banyak tanda-tanda kiamat telah berlaku berdasarkan hadis-hadis Rasulullah SAW. Sebahagiannya telah berlaku pada zaman Rasulullah lagi. Bakinya sedang berlaku dan akan berlaku sehinggalah berlakunya tanda-tanda besar kiamat.
Tamda besarnya sudah tentu kedatangan al-Mahdi dan Nabi Isa AS. berdasarkan hadis nabi SAW.  Dari Abu Said al-Khudri RA, bahawasanya Nabi SAW bersabda: “Akan ada di kalangan umatku (ketika itu) seorang al-Mahdi. Jika (umur dan pemerintahannya) dipendekkan (selepas kematian al-Masih Dajjal), lamanya tujuh tahun, jika tidak (dipendekkan tempoh pemerintahannya) maka sembilan tahun. Umatku akan memperoleh (sebanyak-banyak) kenikmatan, yang belum pernah diperoleh oleh mereka sama sekali nikmat yang seperti itu. Mereka diberikan makanan (yang sangat banyak) sedangkan kamu tidak menyimpan sesuatu pun daripada mereka (yang sehingga sebanyak itu). Dan harta benda pula pada waktu itu, terlonggok dengan amat banyak. Hingga jika seorang lelaki berdiri (di hadapan al-Mahdi) meminta harta itu katanya, “Berilah aku (harta).” Kata Imam Mahdi, “Ambillah (sebanyak yang engkau mahu).” (Ibnu Majah)
Pada saya tanda itu masih jauh dengan kita pada hari ini. Bayangkan kalau turun Dajjal selama 40 hari untuk menjahanamkan umat Islam, kemudian setelah berjaya dibunuh oleh al-Mahdi, dia memerintah paling kurang tujuh tahun. Jadi selagi dajjal tak muncul al-Mahdi takkan turun.
Cuma persoalannya siapa yang sanggup berada pada zaman dajjal itu? Walaupun 40 hari tetapi sehari seperti sebulan atau seminggu. Kuatkah iman kita ketika itu untuk berhadapan dengan godaan atau pengaruh dajjal? Kalau tidak, apa persiapan anda?
Sebenarnya makluman mengenai tanda besar kiamat itu bukan untuk menakutkan kita, tetapi untuk mengajak kita membuat persiapan awal menjelang ketibaan dajjal. Maknanya kalau kita berjaya menyelamatkan diri daripada dajjal, kita akan selamat bersama dengan al-mahdi nanti.
Jadi, dalam tempoh yang masih panjang ini, Rasulullah tinggalkan beberapa pesanan melalui hadis-hadis tentang tanda-tanda kiamat untuk kita muhasabah diri. Namun setiap kali kita temui peringatan itu, bukanlah layak kita menuding jadi atau melihat siapa yang bersalah dan perlu dihukum, tetapi untuk kita lihat pada diri dan sama-sama mencegahnya. Semuga semua itu tidak berlaku pada diri dan keluarga kita.
Sebagai contoh, berdasarkan hadis riwayat Abu Bakrah ra., ia berkata: “Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda: Apabila dua orang muslim saling bertarung dengan menghunus pedang mereka, maka pembunuh dan yang terbunuh, keduanya akan masuk neraka. Aku (Abu Bakrah) bertanya atau beliau ditanya: Wahai Rasulullah, kalau yang membunuh itu sudah jelas berdosa, tetapi bagaimana dengan yang terbunuh? Baginda menjawab: Karena sesungguhnya ia juga ingin membunuh saudaranya. (Shahih Muslim No.5139)  
Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda: Hari kiamat tidak akan terjadi kecuali setelah dua golongan besar saling berperang sehingga pecahlah peperangan hebat antara keduanya padahal hala tuju mereka adalah satu. (Shahih Muslim No.5142)
Hadis riwayat Abu Hurairah ra.: Bahwa Rasulullah saw. bersabda: Tidak akan terjadi hari kiamat kecuali setelah banyak peristiwa haraj. Mereka bertanya: Wahai Rasulullah, apakah haraj itu? Beliau menjawab: Pembunuhan demi pembunuhan. (Shahih Muslim No.5143)
Berdasarkan hadis-hadis di atas, Rasulullah menggambarkan akan berlaku peperangan saudara yang kedua-dua belah pihak akan dihumbankan ke dalam neraka. Sebenarnya peperangan ini telah pun berlaku dan akan terus berlaku sehingga datangnya dajjal.
Persoalannya, dengan membaca hadis ini, apa yang kita fikirkan. Apakah kita rasa bangga, takut, bimbang atau ambil tak kisah? Sebenarnya umat Islam pada hari ini ambil tidak kisah dengan hadis ini, ambil tidak kisah dengan perkhabaran hadis ini dan ambil tidak kisah dengan ancaman Rasulullah melalui hadis di atas.
Malah kita selalu memberi persepsi yang salah dalam menilai hadis. Sepatutnya dengan kita membaca mesej dalam hadis di atas, kita akan cuba berusaha mengelak peperangan atau permusuhan sesama Islam. Apabila semua itu tidak berlaku maka kita sebenarnya sedang berusaha untuk mengelak daripada berlaku kiamat lebih awal.
Maknanya kalau kita terus berperang sesama umat Islam sama ada secara lisan atau senjata, yang pastinya kedua-duanya berdosa, mereka sebenarnya sedang mendekatkan kepada kiamat. Ya kiamat akan berlaku, tetapi kita tidak tahu bila masanya. Maka kalau kita berusaha supaya tidak berlaku tanda-tanda itu, maknanya kiamat akan lambat.
Jadi, wahai umat Islam, cukuplah dengan peperangan yang berlanjutan sehingga kini terutama dalam politik. Carilah kedamaian demi mengelak daripada berlakukan kiamat yang tanpa diduga. Wallahu aklam.