09 Mac 2016

Tenang dan Damai dalam Poligami

Ahmad Baei Jaafar

Siapa kata, poligami menguntungkan lelaki dan memenderitakan isteri? Siapa kata, poligami membahagiakan suami dan menyakitkan hati isteri? Siapa kata, poligami hukum yang tidak adil kepada wanita? Berhati-hari dengan pandangan sebegini kerana poligami diharuskan dalam islam maka sesuatu yang harus pasti ada kebaikannya.

Sebenarnya baik suami atau pun isteri kedua-duanya menderita, menyakitkan dan tidak adil jika pelaksanaan poligami tidak mengikut sunnah atau peraturan yang betul. Apa tidaknya, suami saban hari menipu isteri, bolehkah bahagia begitu? Isteri asyik mengintai pergerakan suami kalau-kalau pergi ke rumah isteri lain. Mana hati isteri yang boleh tenang begitu?

Sebenarnya hukum Allah diturunkan bersama peraturan yang cantik. Bukan itu sahaja, Allah sediakan contoh yang boleh dirujuk oleh umat Islam iaitu Rasulullah sendiri. Semua itu perlu diikut sepenuhnya oleh umat islam. Jadi, kalau seseorang itu memilih untuk poligami dan nak tenang dan bahagia ikut sahaja peraturan dan panduan yang ada. Maknanya ikut sahaja kehendak Allah dan Rasulullah. Bagaimana?

1. Suami yang hendak berkahwin lain adalah dengan niat untuk menyelamatkan wanita yang masih belum bersuami. Hal ini kerana tanpa suami dia boleh melakukan dosa dan maksiat bila-bila masa sahaja.
2. Isteri sewajarnya bersimpati dengan kaum sejenisnya lalu turut mahu menyelamatkan diri dan maruah wanita yang mudah terdedah kepada dosa dan maksiat.
3. Suami tidak menyembunyikan sesuatu daripada pasangan tentang perkahwinan kecuali yang boleh mengecilkan hati pasangan.
4. Isteri mestilah memberi kepercayaan kepada suami dengan apa yang dilakukan terutama dalam usaha membawa mereka masukkan ke dalam syurga.

Saya percaya dengan tindakan itu isteri tidak ada peluang untuk fikir keadaan suami dengan madunya. Pada masa yang sama suami dapat memberi perhatian kepada isterinya tanpa memikirkan masalah yang mendatang daripada isterinya setiap kali balik ke rumah isteri. Mereka yang berada dalam keadaan ini pasti bahagia dan damai. Wallahu aklam.

Untungnya Maskahwin Secara Hutang

AHMAD BAEI JAAFAR

“Aku terima nikahnya dengan maskahwin RM80 tunai” itulah bunyilah lafaz qabul yang dilafazkan oleh pengantin lelaki. Pernah saya tanya kepada seorang pengantin, maskahwin tunai atau hutang? Dia macam terkejut lalu berkata, “eh, tunailah”. Pernah juga saya berseloroh kepada seorang pengantin, “maskahwin hutang ye?” Sambil ketawa kecil dia menafikan, “mana boleh.”

Ya, barangkali mereka malu, kalau dalam hal maskahwin pun nak berhutang, hilang maruah. Memanglah malu kalau maskahwin RM80 pun nak berhutang. Lainlah kalau RM1000. Itulah realiti masyarakat Islam di negara ini. Malah sesetengah mereka tidak mengetahui pun bahawa maskahwin boleh dibayar secara hutang.

Sebenarnya, Islam menyediakan pilihan kepada pasangan yang hendak berkahwin dua pilihan sama ada dengan maskahwin secara tunai atau hutang. Tetapi tidak ramai yang memilih untuk hutang bukan kerana malu tetapi kerana maskahwin terlalu kecil yang boleh dibayar dengan pejam mata sahaja. Yalah, kalau maskahwin termurah di Malaysia ini ialah RM22 (saya tidak pasti di negeri mana), manakala yang paling tinggi RM300 iaitu di Selangor.

Jelasnya, hutang maskahwin wujud dalam hukum perkahwinan malah pernah diamalkan pada zaman Rasulullah dan di akhir zaman ini. Mungkin bukan pada hari ini tetapi berlaku pada zaman datuk kita dahulu. Mereka berhutang kerana memang kerana tiada duit tunai atau untuk tujuan mengikat kesetiaan antara mereka berdua.

Jadi, keharusan berhutang dalam maskahwin mempunyai maslahah yang akan kembali kepada pasangan tersebut juga. Supaya lebih jelas, saya datangkan apakah resoanalnya di sini.

Dalam hukum perkahwinan Islam tidak ada istilah hantaran, tetapi yang ada hanyalah maskahwin. Maskahwin yang paling rendah berlaku pada zaman Rasulullah ialah cincin besi. Dan tiada had yang paling tinggi untuk maskahwin. Maknanya selagi seseorang itu mampu maka dia boleh memberi maskahwin semahunya. Setakat yang saya temui sepanjang bertugas sebagai Penolong Pendaftar Perkahwinan di negeri Selangor ialah RM10,000.

Pada hari ini, ramai lelaki yang mengadu kepada saya, tidak mampu hendak berkahwin kerana maskahwin terlalu tinggi. Saya segera nafikan, “siapa kata maskahwin tinggi, di Selangor hanya RM300 sahaja. Takkan RM300 kamu tidak mampu?”

Dia senyum dan berkata, “bukan maskahwin tetapi hantaran - pihak perempuan minta terlalu tinggi. Kalau nak kumpul sebanyak itu alamat tak kahwinlah saya.”

Saya katakan kepadanya, hantaran di Selangor tidak ada. Awak tidak perlu cari duit hantaran. Yang wajib hanyalah maskahwin. Dia jawab, “walaupun tiada hantaran tetapi mereka minta juga sebagai persiapan perkahwinan.” Ya, kalau begitulah memang malanglah bagi orang lelaki kerana mereka perlu sediakan persiapan untuk pihak perempuan selain untuknya sendiri. Di sinilah datangnya hukum Islam untuk menyelamatkan keadaan yang sukar ini.

Sebenarnya Islam menyediakan hukum, bahawa sebaik-baik perkahwinan ialah “mudah maskahwinnya”. Rasulullah sebut “mudah” bukan murah. Maka mudahnya di sini adalah merujuk pada pihak perempuan. Maknanya pihak perempuan sama ada ibu bapanya atau perempuan itu sendiri yang memudahkan urusan maskahwin ini. Maka dengan sikap memudahkan urusan itu akan menyenangkan pihak lelaki pula.

Bagaimana? Katalah pihak perempuan mahu maskahwinnya RM20,000 dengan memansuhkan hantaran. Bagi membolehkan mereka berkahwin segera demi mengelak daripada dosa dan maksiat, maskahwin bolehlah dibayarkan secara ansuran (hutang). Untuk merealisasikannya perlulah ada surah hitam putih yang dimatrai bersama antara suami dan isteri. Antara contoh perjanjian itu, setiap bulan perlu dijelaskan RM100. Jika suami gagal membayar pada bulan itu suami tidak boleh tidur dan menyentuh isterinya.

Percayalah jika perjanjian sebegitu boleh dimatraikan, bukan sahaja perkahwinan boleh disegerakan, malah hubungan suami isteri akan lebih mesra dan panjang. Yalah, bila hendak bergaduh suami akan ingat pada hutang. Bila dia hendak bersama isterinya dia akan segera ingat hutang. Bayangkan kalau hutang RM20,000, berapa lama dia perlu jelaskan jika sebulan dia dapat dibayar RM100.

Tahukah anda, jika suami berhutang dengan isteri adalah lebih baik dan berkat daripada berhutang dengan bank yang pastinya ada interesnya. Bayangkan kalau RM20,000 dia berhutang dengan bank, setiap bulan dia akan membayarnya bersama dengan interesnya. Boleh berkatkah hidup mereka menanggung hutang bersama interes? Inilah yang seharusnya kita elak.


Percayalah kalau hukum Islam ini dapat dipraktikkan dalam masyarakat kita, keluarga Islam akan lebih baik pada masa hadapan. Pada masa yang sama akan terhindarkan isu perceraian seperti yang berlaku pada hari ini. Jadi hutang maskahwin lebih banyak kebaikan dan untungnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...