14 Februari 2016

Umat Islam Terus dikelirukan

Menjelang tiba tahun baharu Hijrah, terdengar di sana sini isu bidah membaca doa akhir tahun dan awal tahu. Agaknya sampai bila isu ini akan terus dibincangkan secara umum. Kalau isu ini terus diperkatakan oleh orang yang sama, timbul dalam fikiran saya, “sudah orang tidak perduli dengan komen golongan itu.” Komen yang boleh diletakkan ke tepi.
Namun jika isu ini dibiarkan berlarutan menjadi viral tentu akan menjadi masalah pada masa hadapan umat Islam. Apa tidaknya, satu pihak menuduhnya sebagai Wahabi, dan di satu pihak lain menafikan mereka Wahabi walaupun mereka secara terus terang membidahkan golongan yang sedia ada.
Saya cuba melalui ruangan ini menjelaskan beberapa perkara semoga dengan usaha kecil ini dapat menghilangkan kekeliruan umat Islam. Namun tidak dinafikan, ada pihak yang tetap menolaknya demi fanatik yang tidak sudah-sudah.
Ulama muktabar sejak dahulu lagi tidak pernah membantah bacaan doa di awal tahun hijrah dan di akhir tahun hijrah. Hal ini kerana doa adalah senjata orang mukmin. Rasulullah menggalakan umatnya berdoa sesuatu yang baik sebelum membuat suatu perkara yang baik apatah lagi sewaktu melakukan kerja-kerja baik. Rasulullah contohkan banyak doa yang elok dilakukan oleh umat Islam. Sungguhpun begitu adalah lagi kerja baik yang Rasulullah biarkan umatnya mencipta doa sendiri. Di sinilah keindahan Islam.
Oleh sebab itu ulama mencipta doa dan zikir yang baik sesuai dengan zamannya. Maka doa awal tahun dan akhir termasukkan doa yang dicipta oleh ulama. Itu zaman dahulu, pada hari ini, Jabatan Mufti atau jabatan agama Islam negeri di Malaysia banyak mencipta doa-doa baru sempena sesuatu majlis yang dirasmikan.
Tiba-tiba datang kumpulan yang mendakwa mereka ahli sudah membidahkan ulama yang membaca doa akhir tahun dan awal tahun atas alasan Rasulullah tidak pernah buat. Apa beza doa itu dengan doa yang dibuat oleh pejabat mufti atau pejabat agama? Bidah juga ke? Janganlah sempitkan fikiran dalam seperti ini. Tidak semua yang Rasulullah tidak buat, bidah kita lakukan dan tidak semua yang Rasulullah buat kita wajar melakukannya.
Apabila orang ramai menuduh mereka Wahabi mereka cepat-cepat menafikannya. Saya pernah dengan satu dakwaan mereka, katanya, “mereka tak buat tahlil bukan wahabi tetapi kerana Rasulullah tidak pernah buat. Mereka tak baca qunut dalam solat subuh bukan wahabi tetapi mereka ikut mazhab Maliki, mereka tak buat talqin tak pernah buat seperti yang kita buat hari ini.” Jadi mereka bukan Wahabi.
Saya bersetuju dengan pandangannya kerana memang tahlil yang dibuat sekarang belum wujud pada zaman Rasulullah. Yang ada adalah Maksurat, tetapi sebahagian tahlil ada dalam maksurat. Tahlil yang dimaksudkan oleh Islam ialah ucapan “Lailahaillah”.  Maka kalau mereka tak buat atas alasan itu, baguslah.
Bagitu juga dengan doa qunut, semua mazhab kecuali Syafie tidak buat qunut. jadi mereka yang tidak buat qunut itu bukan wahabi, boleh jadi mereka ikut hanafi, maliki atau hanbali. Mereka juga ahli sunnah wajamaah.
Tetapi sepanjang kita bermazhab Syafie di negara ini, apakah pernah datang orang mazhab hanafi menafikan amalan kita, pernah datangkan mazhab maliki yang menyatakan kita sesat dan masuk neraka kerana buat tahlil dan qunut? Ya tidak pernah kita dengar sebegitu jadinya.
Mereka faham kedudukan khilaf kerana khilaf ulama itu rahmat. maka kita kena hormati perbezaan perdapat dalam kalangan ulama. Tetapi apa yang berlaku dalam situasi ini, mereka suka membidaahkan orang yang tidak sehaluan dengannya, menyesatkan golongan yang tidak mahu ikutnya. Golongan inilah yang sebenarnya golongan wahabi. Wahabi bukan  Mazhab tetapi golongan fanatik yang hanya mengganggap mereka sahaja yang betul. Maka orang lain semuanya salah. Jadi kalau anda marah digelar wahabi terimalah perbezaan dengan penuh adab dan sopan. Wallahu aklam.

Fitnah Ada Tiga Golongan

Kita selalu mendengar malah menyebut perkataan “fitnah” tetapi berapa ramai yang tahu maksud fitnah dalam konteks agama Islam. Ya, fitnah dalam bahasa Melayu memang ada tetapi kita meminjam daripada bahasa Arab, maka setiap pinjaman tidak bererti sama. Dalam undang-undang yang dipakaikan di Malaysia juga berbeza tafsirannya. Jadi sebagai orang Islam kita perlu fahami maksud yang terpakai dalam ajaran Islam.
Fitnah terdapat tiga keadaan iaitu:
1. Pembuat dan penyebar fitnah. Mereka itu mencipta cerita atau mengada-adakan cerita yang ternyata tidak benar. Mereka ini melakukan dosa besar malah dalam al-Quran disebut fitnah lebih dahsyat daripada pembunuhan.
2. Seseorang yang melakukan sesuatu pekerjaan atau amalan atau serupa dengan hingga menimbulkan tanda tanya orang ramai malah boleh bersangka buruk kepadanya. Maka perbuatan seseorang itu dikatakan menimbulkan fitnah. Dia berdosa tetapi orang lain tidak dikirakan berdosa.
3. Keadaan yang kelam-kabut hingga boleh mencetuskan huru-hara kerana masing-masing melakukan dosa tanpa terkawal atau sukar dikawal, maka keadaan ini dikatakan zaman fitnah. Maka mereka yang mencetuskan keadaan ini adalah berdosa. Dan kerajaan wajib mengembalikan kemurniah hidup masyarakat dengan pelbagai cara.
Sebagai orang islam kita tidak sewajarnya berada dalam mana-mana keadaan di atas. Umat islam adalah pendamai dan membawa kedamaian. Maka jadilah diri anda sebagai pendamai pada hari ini. Oleh sebab itu kita wajib mengelak diri kita daripada fitnah. Wallahu aklam

Erti Ikhlas Pada Anda

Ikhlas adalah kerja hati yang hanya Allah dan orang yang berkenaan sahaja yang tahu. Tiada sesiapapun yang boleh tahu sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak. Maka sebagai hamba Allah kita wajar bersangka baik kepada semua orang bahawa dia ikhlas. Dengan itu kita tiada ruang untuk memanda serong kepada orang lain.
Tetapi sebenarnya, walaupun setiap individu tahu keikhlasan dirinya namun dia tetap menyatakan bahawa dia ikhlas. Atas sikap itulah mereka berasa selesa dengan keadaan lalu tidak mahu membuat perubahan bagi mengikhlaskan harinya. Kesan daripada sikap itu, kehidupannya tidak mencapai kehidupan yang sempurna di sisi Allah.
Oleh sebab itu, sebagai hamba Allah, anda wajib ikhlaskan diri dalam melakukan ibadah kepada Allah. Berbuatkan kerja yang Allah kehendaki dengan penuh rela tanpa sebarang sungutan, tanpa mengharapkan ganjaran, apatah lagi beribadah supaya Allah melihat anda sebagai orang yang taat. Semua itu adalah tanda-tanda tidak ikhlas kepada Allah.
Ketahuilah, ibadah tanpa ikhlas seperti di atas akan menyebabkan ibadah anda tidak diterima oleh Allah. Allah tidak menilainya sebagai ibadah atau persembahan yang baik dan sempurna. Bayangkan kalau itu yang terjadi sepanjang hidup anda, peluang apa lagi untuk Allah masukkan anda ke dalam syurga Allah dengan Rahmat-Nya?
Kalau anda seorang anak, ikhlaskan diri anda dalam melakukan kerja untuk ibu bapa anda. Buatlah kerja yang diperintahnya tanpa sebarang sungutan, tanpa mengharapkan dipuji atau dihargai, apatah lagi melakukan kerja kerana ada udang di sebalik batu. Ingatlah persembahan anda kepada ibu bapa anda jika ikhlas akan menjadikan hidup anda kemudiannya tidak berkat.
Ya, biasanya anak akan buat kerja yang disuruh oleh ibu bapa dengan sempurna, tetapi di dalam hati anda tersimpan rasa tak rela, rasa marah, rasa sikit hati, “asyik-asyik suruh dia sahaja, kalau salah marah, kalau elok tak puji pun.” Itulah yang anda sebutkan walaupun di dalam hati, Allah menilainya sebagai tidak ikhlas.
Teringat suatu ketika semasa saya masih kecil dan remaja, selalu ayah saya menyuruh saya ke sawah untuk merumput (buang rumput sebelum proses menanam padi). Adik masih kecil, dan kakak ke sekolah, maka sayalah yang menjadi mangsa suruhan ayah. Saya tetap pergi sawah untuk tujuan itu. Tengah hari balik rumah dan berehat. Namun ayah tidak pernah tanya kerja saya dan tidak juga mengucapkan terima kasih.
Saya berasa lega apabila masuk sekolah menengah kerana masa untuk ke sawah sudah kurang kecuali hari Sabtu dan Ahad. Namun waktu itu saya tidak sedar bahawa sikap saya itu adalah tidak ikhlas. Kini setelah mengharung hidup yang serba mencabar, saya sering bertemu dengan masalah yang sukar diselesaikan. Kadang-kadang selesai satu masalah datang masalah lain pula.
Hari ini saya percaya semua itu adalah kerana saya tidak ikhlas kepada ibu bapa saya dalam segala yang dikerjakan untuknya. Walaupun setiap kali hari raya saya meminta maaf zahir dan batin, namun permohonan secara umum itu tidak termasuk amalan hati yang tidak ikhlas kepada mereka. Apakah daya hari ini mereka berdua sudah tiada, peluang untuk memohon ampun sudah tiada lagi. Hanya satu, kepada-Mu ya Allah, ampunkan dosa-dosaku yang tidak ikhlas kepada ibu bapaku dalam segala kerja yang diperintahkan.
Oleh hal yang demikian saya nak ingatkan kalian sekali lagi, kita semua adalah anak kepada ibu bapa kita, jika mereka masih hidup, ikhlaskan setiap kerja yang anda lakukan untuknya. Kalau dia sudah tiada, mohonlah ampun kepada Allah semoga Allah menilainya sebagai satu usaha yang baik.
Kalau anda seorang isteri ikhlaskan kepada suami anda dalam apa yang kamu lakukan untuknya. Ya, mungkin anda masuk untuknya, membasuh baju untuknya, melayan nafsu seksnya, tetapi di dalam hati anda ada rasa yang tidak reda. Ada ada rasa tak suka dengan sikap suami lalu persembahan anda seperti acuh tak acuh sahaja.
Mungkin kerana suami anda ada isteri maka anda rasa terpaksa melayan kehendak suami anda. Semua itu dikira tidak ikhlas, apatah lagi melayan secara buruk kepada suami. Kalau anda tidak ikhlas dan melakukan secara paksa, hidup anda tidak akan bahagia sepanjang hayat. Apabila suami tiada barulah anda menyesal yang tidak sudah-sudah.
Jadi, belajarlah untuk ikhlas dalam semua kerja kita sama ada sebagai hamba Allah, atau anak atau isteri. Jika sudah terlanjur, mohonlah kemaafan selagi anda masih bernyawa. Wallahu a’lam.

Ambil Hati dengan Jaga Hati berbeza

Kita selalu dengar orang kita berkata, kita kena jaga hati orang. Tetapi dalam keadaan lain pula kita dengar pula orang berkata, jangan ambil hati. Kedua-dua ungkapan mengenai hati itu adalah simpulan bahasa orang Melayu. Berdasarkan susunan katanya, sudah pasti membawa maksudnya yang berlainan, namun kedua-duanya membawa kepada natijah yang sama ialah kecil hati atau terasa hati jika tidak diselenggarakan dengan baik.
Hari ini saya nak mengajak anda untuk memahami kehendak dua simpulan bahasa ini sekaligus dapat kita menangani isu yang berkaitan dengan hati. Jika kita rujuk kepada buku simpulan bahasa, ambil hati bermaksud kemungkinan; (a) menarik perhatian seseorang atau membuat sesuatu supaya yakin kepadanya atau disukai orang; memikat hati. atau (b) perubahan sikap kerana tersinggung; merajuk atau menaruh perasaan marah.
Manakala simpulan bahasa, jaga hati bermaksud; bertolak ansur dan saling menghormati. Maknanya kedua-dua simpulan bahasa ini merupakan hukum komunikasi masyarakat. Maka jika seseorang itu gagal dalam salah satu daripada kedua-duanya akan gagallah sebuah perhubungan. Nanti akan ada satu pihak yang berkecil hati atau merajuk.
Jadi, dalam komunikasi yang berkesan perlu ada pada mana-mana pihak sikap ambil hati dan jaga hati. Dalam rumah tangga sebagai contoh, suami perlu tahu bagaimana menjaga hati isteri, sebagai bapa dia perlu tahu untuk menjaga hati anak-anak. Begitu juga sebaliknya, isteri terhadap suami dan anak-anak terhadap bapa, malah mereka lebih aula untuk menjaga hati suami atau bapa. Cuma persoalannya bagaimana seseorang itu perlu menjaga hati?Perlu ditegaskan di sini bahawa menjaga hati ini merujuk kepada ucapan atau perbualan. Maknanya setiap tutur kata mereka dengan pihak lain perlu disusun dengan baik agar hatinya tidak tercalar.
Lain pula halnya dengan ambil hati, seseorang itu perlu ambil seseorang dalam tindakan dan sikap, bukan pada percakapan. Seorang suami sebagai contoh perlu bertindak atau bersikap baik dengan isteri dalam semua keadaan. Jika suami bertindak hingga menimbulkan curiga isteri akan berlakulah kecil hati. Jadi, ambil hati penting untuk menjadikan rumah tangga harmoni. Kalau begitu, adab dan sopan semua pihak adalah menjadi keutamaan dalam rumah tangga.
Selain rumah tangga, masyarakat setempat, organisasi apatah lagi dalam sesebuah negara, pemimpin perlu juga mempraktikkan amalan ambil hati dan jaga hati ini. Sebagai pemimpin masyarakat dia perlu pandai jaga hati dalam ucapanya. Begitu juga pemimpin dalam organisasi, dia perlu pandai jaga hati anak buahnya dalam semua arahan. Begitu juga dengan amalan ambil hati dalam semua tindak tanduk pemimpin. Lebih-lebih lagi seseorang pemimpin negera dengan rakyat pemerintahannya.
Sudah banyak pengalaman yang berlaku di depan mata di mana pemimpin terlepas cakap hingga menyebabkan orang bawahnya merajuk. Pernah juga pemimpin bertindak membelakangkan kehendak rakyat, akhirnya mereka marah kepada pepimpin tersebut. Ya, kita nampak perkara ini mudah tetapi sering diabaikan oleh pemimpin, kesannya mereka bencikan pemimpin tersebut. Demikian dalam sesebuah negara.
Keadaan yang sama kalau tidak dipraktikkan dalam rumah tangga, akan terjadilah ketidakbahagiaan rumah tangga tersebut. Apabila semua pihak tertekan dengan keadaan itu, mereka akan bertindak di luar batas agama dan moral. Bayangkan kalau orang bawahan tidak berpuas hati dengan sikap pemimpin, tentu mereka sukar memberi taat setia kepada pemimpin lagi. Jadi, ambil hati dan jaga hati bukanlah perkara kecil yang boleh dikesampingkan dalam hidup bermasyarakat.
Walau bagaimanapun umat Islam perlu ingat, ambil hati dan jaga hati ini mempunyai tujuan yang lebih utama iaitu mendidik isteri. Namun berdasarkan pengalaman yang lalu, ramai umat islam yang tersalah dalam mempraktikan dua simpulan bahasa tersebut. Apa tidaknya, dia hendak jaga hati seseorang dengan menunjukkan sikap atau tindakan, kononnya hendak jaga hati. Sebaliknya dia mengambil hati seseorang dalam perbualan maka kesannya perbuatannya itu akan disalah anggap. Kata-katanya itulah yang sering dikatakan "buat baik ada makna tu."
Selain itu dalam amalan menjaga hati dan ambil hati ini, kita perlu berhati agar sentiasa berada pada tahap bersederhana. Sedarlah jika amalan melampau, akan terjadi tidak ikhlas atau menipu dan berdosa. Bayangkan demi mengambil hati isteri dia memuji isteri berlebih-lebih, padahal kalau sedikit cukup mengembirakannya. Tetapi dengan berlebih-lebihan memuji, dia rasa bangga dan ego lalu tidak rasa bersalah. Padahal tujuan suaminya adalah untuk menginsafkannya.
Begitu juga kalau dalam menjaga hati isteri, dia bertindak berlebih-lebihan seperti memberi hadiah dan sebagainya, kerana dengan sikap itu dia merasai dia adalah sempurna dan disayang oleh suaminya. Padahal suami amat tersiksa dengan karenah isterinya. Jadi, ingat sederhana ini dianjurkan oleh Islam. Semua yang dilakukan ada batas dan hadnya. Wallahu aklam.

Separuh Ramadhan Apa Harapan Kita

KITA telah melakukan puasa selama 15 hari dan berbaki lagi 14 atau 15 hari lagi. Sehingga ke hari ini apa yang kita rasa dengan puasa kita. Apakah ada harapan untuk mendapat puasa yang sempurna, tidak sekadar lapar dan dahaga sahaja dan seterusnya beroleh anugerah takwa daripada Allah pada Syawal nanti. Adakah kita berjaya melangkah daripada puasa golongan awam kepada Khawas? Sepatutnya kita boleh muhasabah hari ini.

Ya, kita berjaya tidak makan dan minum dan melakukan persetubuhan pada siang hari, maknanya tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa. Tetapi bolehkah kita meninggalkan dosa sepanjang kita berpuasa? Bagaimana dosa besar dan kecil terhadap Allah, terhadap manusia termasuk pasangan suami atau isteri? Bagaimana dengan sifat mazmumah yang masih bersarang di hati kita, sudahkan dibuang sedikit demi sedikit? Dan akhirnya sudahkah sepanjang bulan ini kita penuhi dengan amalan sunat selain tarawih. Ya Allah, tidak mampu hendak dijawab. Nampaknya sekali lagi kita gagal untuk mencapai puasa golongan khawas.

Sifat mazmumah itu sifat tercela sepatutnya kita buang dan gantikan dengan sifat terpuji, tetapi bagaimana sifat terpuji boleh masuk ke dalam hati kita kalau sifat mazmumah masih bertapak kemas dalam hati kita. Ulama sufi sudah membuat teori tetapi sudah hendak dilaksanakan sebab sifat ini hanya boleh dibuang dengan mujahadah dan untuk itu perlu dibimbing dan diselia oleh guru yang mursyid.

Namun begitu, kita masih wajib melakukan pembersihan ini sekadar yang mampu. Antara sifat mazmumah yang ada dalam diri kita ialah hasad dan dengki, benci kepada Allah dan suka marah yang tidak menentu. Daripada sinilah lahirnya tabiat suka mengumpat dan membuat fitnah. Maka tabiat ini tidak akan hilang daripada seseorang manusia selagi mazmumah hasad dengki, benci orang dan suka marah orang tidak boleh dibersihkan daripada hati mereka.

Teori mudah yang dianjurkan oleh Allah dan Rasul ialah, tinggalkan bersangka buruk; sangka buruk kepada Allah dan kepada manusia jua. Cuba kita bayangkan setiap kali kita buka mata, kita sangka rezeki kita tiada. Kita sangka jiran kita menzaliminya. Sebagai isteri sangka suaminya melakukan curang terhadapnya. Dengan sangkaan itu hati kita tidak boleh tenang sebaliknya terus bertindak memarahi pihak yang disangka itu. Kesannya kita yang menderita, manakala pihak yang satu jika tidak berindak balik akan beroleh ketenangan.

Sedarlah wahai umat Islam sifat di atas kalau sampai menguasai jiwa umat Islam tidak akan ada umat manusia yang baik. Mujurlah peratusnya bukan 100 peratus, sebahagian lagi mampu menolak mazmumah itu dengan baik. Maka jadilah dunia seperti sekarang. Tetapi percayalah tiada faedah langsung kalau kita mengekalkan atau membela mazmumah itu. Anggaplah semua yang berlaku itu ada kebaikan kepada kita, nanti Allah akan kurniakan kepada kita kebaikan iaitu ketenangan.

Apabila wadah kita (hati) sudah bersih Allah akan campakkan kebaikan itu ke dalam hati kita. Dengan sebab itu kita akan mempu melakukan kebaikan, mudah berderma, membuat kebajikan selain ibadah-ibadah sunat. Bayangkan kalau semua itu dapat dilakukan dalam bulan Ramadan, sudah tentu kita berpeluang mendapat pengampunan Allah daripada dosa yang lalu dan dibebaskan daripada api neraka. Inilah jalan-jalan untuk mencapai takwa seperti yang ditawarkan oleh Allah kepada orang yang berpuasa.

Jadi, latihlah dari sekarang untuk membuang sifat mazmumah itu dengan banyak bersangka baik sesama umat Islam dan manusia.

Kawal Lidah Daripada Dosa

Meskipun mulut boleh menahan nafsu makan dan minum sewaktu berpuasa, tetapi lidah yang terdapat dalam mulut sukar dikawal daripada melakukan dosa. Ya, lidah yang tidak bertulang ini amat sinonim dengan tabiat seseorang yang suka menipu, maka walaupun mereka berpuasa, tabiat itu akan terus dibawa ke mana-mana. Sebenarnya selain tabiat menipu banyak lagi yang lidah boleh cetuskan dosa-dosa baru. Lidah boleh menghina orang lain, boleh menuduh seseorang melakukan kejahatan dan banyak lagi.
Lazimnya lidah mudah untuk menuturkan kata-kata memburukkan seseorang sama ada dalam bentuk fitnah atau mengumpat. Malah lidah senang-senang memindahkan sesuatu isu daripada seseorang kepada orang yang lain. Hal ini kerana lidah hanya boleh aktif dalam aktiviti seumpama ini apabila berlaku komunikasi antara satu lidah dengan lidah yang lain. Oleh sebab itu selagi manusia yang berpuasa bertemu dengan manusia lain, lidah sukar dikawal kecuali mereka yang beriman dan bertakwa kepada Allah.
Realitinya kebanyakan manusia Islam tidak bertakwa walaupun mereka beriman. Atas dasar itulah maka Allah perintah dalam al-Quran yang maksudnya: "Wahai orang yang beriman, difardukan kepada kamu puasa sebagaimana yang pernah difardukan kepada umat yang terdahulu, semoga kamu bertakwa."
Maknanya Allah perintahkan orang yang beriman supaya melakukan puasa semoga dengan ibadah itu, mereka akan mencapai tahap takwa. Tetapi daripada pengalaman yang lalu orang yang beriman ini walaupun sudah berpuasa saban tahun, belumpun mencapai takwa. Kenapa? Jelas di sini, mereka belum betul-betul menjaga lidah daripada dosa sewaktu berhadapan dengan manusia lain.
Persoalannya bolehkah manusia tidak bertemu dengan manusia lain sepanjang berpuasa demi mengelak daripada dosa lidah? Jawapannya, sudah tentu tidak boleh kerana lazimnya kita perlukan masyarakat. Dalam hal ini Rasulullah mengingatkan kita dalam sabdanya yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka berkata-katalah yang baik-baik atau diam."
Jelas daripada hadis ini, kita hanya ada dua pilih untuk jadi orang yang baik iaitu berkata baik atau diam. Oleh sebab itu sebelum seseorang itu hendak berkata-kata dengan orang lain, pastikan setiap ucapannya terdapat butiran yang baik-baik. Jika butiran yang hendak diucapkan itu mengandungi unsur fitnah atau mengumpat lebih baik tutup mulut, kunci lidah daripada berkata-kata.
Sebenarnya amalan atau tabiat ini harus menjadi pakaian semua manusia apatah lagi umat Islam yang sedang berpuasa. Percayalah kalau tabiat ini belum dibiasakan sebelum Ramadan, sukarlah dipraktikkan sepanjang bulan ini. Walau bagaimana pun, kita belum terlambat untuk mencuba dan berlatih untuk mengunci lidah bermula Ramadan ini. Semoga mujahadah kita akan diterima oleh Allah dan seterusnya dikurniakan takwa pada hujung Ramadan ini.

Menuju Puasa Golongan Khas

Keazaman untuk meningkatkan tahap puasa kepada golongan khas mesti disertakan dengan tindakan ke arah itu. Perkara ini perlukan mujahadah dan mungkin memakan masa yang panjang. Semoga tempoh sebulan dalam bulan Ramadan ini cukup untuk mencapainya. Saya akan cuba memaparkan langkah-langkahnya sepanjang bulan Ramadan ini, semoga ada manfaat kepada semua umat Islam.
Langkah pertama ialah membuang sifat mazmumah di dalam diri masing-masing. Dan langkah kedua ialah mengisi dengan mahmudah secara segera. Demikian itulah yang perlu dilakukan setiap hari sepanjang bulan Ramadan semoga anda tidak jemu melakukannya. Ingatlah Allah sentiasa menerima perubahan kita ke arah kebaikan kecuali apabila seseorang itu telah jemu melakukannya lagi.
Untuk hari ini, marilah kita buangkan sifat ego dalam diri kita. Hal ini kerana ego adalah punca segala kemaksiatan seseorang. Cukup hari ini saya sebutkan satu contoh ego yang ada dalam diri seseorang iaitu suka salahkan orang untuk menutup kelemahan dan kesilapan diri sendiri. Mari kita cek diri sendiri, pernah tak kita buat kesilapan atau kesalahan? Saya percaya setiap hari kita melakukan kesilapan. Tetapi apabila ada orang lain tegur kesilapan anda, anda terus menyalahkan orang lain hingga menyebabkan anda buat silap. Anda sedar telah melakukan kesilapan tetapi anda tetap tidak mengaku salah sebaliknya menyalahkan orang lain.
Ada yang lebih terus daripada itu, dia langsung tidak mengaku salah malah menyalahkan orang lain dalam isu tersebut. Golongan ini amat ramai dalam masyarakat kita. Percayalah kalau dunia ini dikuasai atau dipenuhi oleh dua golongan di atas, orang yang salah tidak pernah salah sebaliknya orang yang tidak salah sudah dianggap salah oleh masyarakat. Inilah bahaya penyakit ego.
Jadi, kalau anda rasa penyakit ini sudah ada dalam diri anda, buanglah sempena Ramadan ini. Pada masa yang sama, gantikan sifat itu dengan sifat terpuji iaitu bersangka baik kepada orang dan selalu muhasabah diri agar tidak lagi melakukan kesalahan pada masa yang lampau. Sama ada kita sedar atau tidak, seseorang yang bersangka baik kepada orang lain dia akan tenang dan damai kerana kita tidak nampak kesalahan orang. Dan kita tentu ada masa yang cukup untuk membaik diri.
Semoga puasa anda hari ini beroleh kebaikan sepenuhnya. Jumpa lagi pada hari esok. Selamat berpuasa.

Renungan Buat Yang Belum Sedar

Tahukah anda apa maksud "bertaklid membabi buta". Dan apa pula yang dimaksudkan dengan "raikan pandangan orang lain". Dua perkara ini harus difahami dengan betul agar Islam yang kita amalkan ini sentiasa berada dalam keadaan yang betul. Sebaliknya, seseorang Islam akan teraba-raba mencari jalan pulang.
Apabila dikatakan bertaklid buta atau membabi buta tentu merujukkan kepada orang yang tiada ilmu. Mereka yang tiada ilmu asas tentang Islam atau ilmu yang kurang sempurna akan mengikut pendapat seseorang tokoh yang dikagumi sama ada A atau B. Mereka percaya segala ilmu yang dibawa oleh tokoh itu walaupun selama ini dia sudah mengamalkan yang sebaliknya. Golongan inilah yang akhirnya menjadi pemuja taksub atau ektrem dalam agama.
Berbeza dengan orang yang ada ilmu, pandangan tokoh itu dinilai mengikut ilmunya yang sedia ada. Jika ada percanggahan dia akan segera membuat rujukan lain bagi menentukan kesahihan pendapat tokoh tersebut. Mereka ini walaupun mengikut mana-mana mazhab yang muktabar, mereka tidak juga terikat kepada pandangan mazhab itu. Mereka tahu bagaimana untuk mengamalkan ilmu tersebut.
Jelas di sini, orang yang ada ilmu bertaklid dengan mazhab tokoh mereka, tetapi mereka tidaklah bertaklid secara buta tuli atau membabi buta. Mereka ikut hukum hakam yang diputuskan oleh ulama tersebut kerana sesuai dengan kehendak al-Quran dan Hadis. Tetapi kalau didapati bercanggah mereka ada hak mengubahnya. Namun sehingga ke hari ini, saya sebagai pengikut Mazhab As-Syafii belum bertemu hukum atau pandanganya yang bercanggah. Al-Hamdulillah.
Oleh sebab itu, mereka yang masih pada tahap tidak ada ilmu atau kurang ilmu, segeralah belajar dan mendalami ilmu agama agar mereka tidak termasuk dalam golongan bertaklid buta atau membabi buta.
Selain itu, apa pula yang anda faham dengan raikan pandangan orang lain? Pandangan orang lain ini tentu merujuk kepada pandangan mazhab atau tokoh lain dalam soal fiqh. Mazhab terbesar adalah empat iaitu Hanafi, Hambali, Maliki dan Syafii. Namun kita tidak nafikan mazhab lain yang wujud di dunia ini. Pandangan mereka berbeza antara satu sama lain bergantung kepada tahap ilmu dan bahan rujukan mereka.
Sesetengah negeri atau negera tidak menentukan mazhab yang dipegang oleh rakyat. Berbeza dengan negara kita, telah ditetapkan sebagai mazhab Syafii mazhab utama dan rasmi. Sungguhpun begitu kerajaan tidak menghalang mazhab lain diamalkan oleh pengikutnya secara bersendiri. Tetapi untuk urusan rasmi atau negara mestilah mengikut mazhab Syafii. Walau bagaimanapun demi maslahah ummah dan negara, pandapat mazhab lain boleh dipakai setelah diwartakan kerajaan.
Dalam hal-hal seperti inilah perlunya semua umat Islam meraikan pandangan orang lain. Namun berapa orang yang tahu maksud ungkapan tersebut? Untuk mudah faham perhatikan kisah ini, Imam Syafii telah singgah di kota Kufah, tempat berkembangnya mazhab Hanafi. Imam al-Syafie telah diberi peluang mengimamkan solat subuh dan beliau tidak membaca qunut.
Apabila selesai solat makmum yang bermazhab Hanafi bertanya: Bukankah tuan telah menuntut supaya dalam solat subuh dibaca qunut dan orang yang tertinggal pula tuan meminta sujud sahwi? Kami dapati tuan bukan sahaja meninggalkan qunut malahan tuan juga tidak sujud sahwi?.
Lalu imam al-Syafie sambil menunjukkan makam imam Abu Hanifah dengan ibu jarinya dan menjawab: Adakah patut aku menyanggahi beliau sedang beliau berada di hadapan ku?
Inilah yang dimaksudkan dengan meraikan pandangan atau pengangan orag lain. Jadi, kalau orang mazhab lain datang ke Malaysia dan berada dalam majlis orang mazhab Syafii, dia perlu meraikan mahzab Syafii dengan mengamalkan ajarannya. Maknanya kalau dia solat subuh bersama imam mazhab Syafii dia perlu juga membaca doa qunut mengikut imam. ini soal qunut, sama jugalah dengan hal ini. Kalau semua orang dapat memahami konsep ini tidak timbullah konflik seperti sekarang ini.
Orang yang bermazhab lain boleh amalkan ajaran daripadanya di tempatnya, sebagai contoh orang India yang melakukan solat di masjid India dan Pakistan, mereka bebas melakukan ibadah dengan mazhab mereka. Berdasakan itu kita boleh amalkan ajaran Islam mengikut ilmu dan kefahaman kita. Maka tidak perlulah kita menyalahkan pandangan mazhab lain atau mempengaruhi orang lain supaya mengikut pandangan kita pula. Inilah yang perlu kita fahami maksud meraikan padangan orang lain. Wallahu aklam.

Ketaatan Anak Hanya Kepada Ibu Bapa

Rupanya masih ramai umat Islam yang terkeliru antara ketaatan, penghormatan dan keutamaan terhadap ibu bapa. Hukum asalnya, anak-anak wajib mentaati ibu bapa berdasarkan al-Quran dan Hadis. Tetapi setelah masing-masing mentaati ibu bapa, bertemu pula dengan sebuah hadis yang menyebut tiada ketaatan dalam perkara yang membawa maksiat atau dosa. 
Di sini mereka mula keliru sama ada hendak taat kepada mereka atau tidak apabila mereka mendapati ibu bapa mereka melakukan dosa dan maksiat. Maka sebahagian mereka sanggup memaki hamun ibu bapa yang membuat dosa dan maksiat. Mereka langsung tidak hormat ibu bapa mereka hanya kerena melihat ibu bapanya melakukan dosa.
Perlu dijelaskan di sini, mentaati ibu bapa adalah hanya pada perintah mereka. Maknanya kalau ibu bapa memerintah anak itu melakukan sesuatu yang baik maka wajiblah ditaati sama ada dengan redha atau tidak. Maka kalau ibu bapa suruh anaknya bercakap baik sebagai contoh, wajiblah dia mentaatinya. Kalau ibu bapa suruh anak itu beri sedekah kepada orang miskin, maka wajiblah dia memberi, dan kalau ibu bapa suruh anaknya belajar bersungguh-sungguh, wajiblah dia mentaatinya. Tapi kalau dia suruh anaknya main judi, tak wajib taat, dan kalau ibu bapa suruh anaknya beli rokok untuknya tidak wajib taat.
Persoalan sekarang, jika berlaku keadaan itu, bolehkah mereka menengking atau membenci ibu bapanya? Ya, anak-anak tidak wajib taat perintah ibu bapa dalam perintah tersebut, tetapi anak-anak sama sekali tidak boleh bertindak sedemikian terhadap ibu bapa. Sebaliknya anak-anak tetap wajib menghormati ibu bapanya dalam keadaan apa sekali pun. Maknanya anak wajib menghormati ibu bapanya sebagai ibu bapa, bukan melawan apatah lagi bermusuh dengannya. Bercakap dengan sopan dan tidak meninggikan suara di hadapannya.
Jelas di sini, menghormati ibu bapa bukan sahaja pada keadaan dia memerintah tetapi dalam semua keadaan. Sebagai contoh, isteri wajib taat kepada suaminya, dan tidak wajib taat kepada ibu bapanya, namun dia tetap wajib menghormati kedua-duanya. Kalau begitu tentu tidak wajar anak menengking ibu bapanya apabila ibu bapa tidak mahu mengikut kehendaknya. Ingatlah sikap anak ini adalah termasuk dalam kategori anak derhaka.
Menyedari keadaan itu, si anak tidak boleh bersangka buruk kepada ibu bapanya. Maka kalau ada desas desus orang lain menceritakan keburukan ibu bapanya dia wajib mempertahankan ibu bapanya dan pada masa yang sama perlu mendapatkan pejelasan ibu bapanya dengan cara terhormat. Kalau memang mereka bersalah nasihatkan dengan baik agar bertaubat, bukan memulaukan mereka.
Selain itu timbul soalan lain berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata: Seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya: “Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ayah kamu.” (Bukhari dan Muslim)
Apa yang disebut dalam hadis ini bukan isu mentaati atau menghormati tetapi di sudut keutamaan antara kedua ibu bapa itu siapa yang lebih berhak diberi perhatian. Rasulullah menetapkan bahawa ibu yang patut diberi keutamaan berbanding bapa. Maknanya soal taat sama, soal menghormati sama, tetapi dalam soal keutamaan berbeza. Jadi, jangan ada dalam kalanang umat Islam yang mengatakan anak wajib lebih mentaati ibu daripada bapanya. Kesilapfahaman ini perlu diperbetulkan semula.
Sebenarnya konsep ini boleh dipakai dalam soal mentaati pemimpin dan suami. Maka rakyat wajib mentaati pemimpin dalam soal perintah dan wajib menghormati pemimpin atas sifatnya sebagai seorang pemimpin. Semoga dengan penjelasan ini umat Islam akan lebih harmoni dalam rumah tangga dan bernegara. Wallahu aklam.

Islam Tidak Larang Kanak-kanak Masuk Masjid

Siapa yang pandai-pandai melarang anak-anak kecil masuk masjid? Adakah wujud jawatankuasa masjid yang melarang kanak-kanak masuk masjid? Saya belum pernah nampak larangan seperti itu. Tetapi saya pernah dengan larangan supaya jangan bising.
Memang tidak ada nas yang melarang anak-anak kecil masuk ke dalam masjid. Malah Rasulullah sendiri pernah membawa cucunya ke dalam masjid dan berada di sininya sewaktu bersembahyang. Maknanya tiada hujah bagi orang yang melarang umat islam membawa anak-anak kecil ke dalam masjid. Maka dengan kenyataan ini marilah kita membawa anak-anak kecil ke dalam dewan solat dengan niat untuk melatih mereka menghormati masjid dan orang ramai yang melakukan ibadah.
Walau bagaimanapun, mereka yang membawa anak itu perlu menyedari bahawa ketika berada dalam masjid, semua pihak perlu menjaga adab-adab masjid. Antara adab masjid ialah:
1. Tidak mambuat bising di dalam masjid.
2. Tidak berlari-lari dalam masjid
3. Tidak bersembang perkara yang sia-sia
4. Masuk masjid dengan solat tahiyatul masjid
5. Menghormati jemaah yang sedang solat
6. Berada dalam saf solat yang betul iaitu Imam di hadapan, di belakang imam orang lelaki dewasa selepas itu kanak-kanak lelaki dan selepas itu kanak-kanak wanita dan akhir sekali wanita dewasa.
Kalau semua pihak dapat menjaga adab tersebut dengan baik maka tiada halangan untuk mereka masuk masjid. Ya, kanak-kanak yang kecil mana tahu adab masjid, maka tugas ibu atau bapa yang membawanya mengajarnya adab tersebut di rumah lagi. Kalau anak-anak tersebut tidak dapat menjaga adab, orang ramai dan jawatankuasa masjid tidak boleh melarang kerana biasanya teguran mereka tidak diindahkan. Maka yang wajar menegur ialah ibu bapanya. Inilah yang malangnya, ibu bapa biarkan sahaja anak itu membuat sesuka hati.
Pernah suatu ketika sewaktu solat tarawih, anak-anak tersebut berlari di hadapan sof lalu terpijak cermin mata jemaah dan pecah. Adakah perbuatan itu tidak mengganggu jemaah? Di sudul lain adakah ibu bapanya mahu bertanggungjawab untuk menggantikan cermin mata tersebut. Inilah realiti yang masih berlaku pada hari ini.
Ada satu lagi, seorang bapa bawa anaknya solat di tepinya dalam jemaah dewasa. Waktu solat anak itu bermain-main sambil berbaring di atas sejadah. Tidakkah tindakan itu mengganggu ketenteraman jemaah lain. Kita tidak bercakap soal bernajis atau tidak anak itu. Kita hanya bincang soal adab sahaja kita sudah gagal, betapa kalau kita bincang soal najis yang dibawa oleh anak-anak itu.
Memang orang yang bawa anak bersama dengannya waktu solat itu ada hujah, katanya Rasulullah juga membawa cucunya dalam solat. Dia memang canggih dalam mencari hujah yang pada saya bukan hujah tetap helah. Tahukah wahai umat Muhammad, kedudukan Rasulullah sebagai imam tidak akan mengganggu sesiapa waktu solat jika ada cucunya di sisinya. Tetapi kita yang menjadi makmum, keadaan anak itu boleh mengganggu jemaah lain. Inilah hujah yang boleh kita renungkan bersama. Tetapi sedarkah kalian bahawa Rasulullah sewaktu menjadi imam tidak pernah digangu oleh cucunya. Adapun cerita yang cucunya berada di atas tengkuknya sewaktu sujud adalah sewaktu baginda melakukan solat sunat. Sudah tentu isunya berbeza. Wallahu aklam.

Isteri Ada Hak Halang Anda Berpoligami

Ada lelaki atau suami bertanya kepada saya mengapa isteri orang Melayu sangat suka menentang poligami atau menghalang suaminya daripada berkahwin lain. Soalan macam ini sukar dijawab oleh lelaki kerana boleh jadi jawapannya tidak adil atau berat sebelah. Namun untuk jawapan yang tepat kita kena bertanya kepada isteri kita sendiri secara jujur. 
Persoalannya, siapakah dalam kalangan suami pada hari ini yang berani bertanya isterinya, mengapa dia menentang suaminya berkahwin dengan wanita lain. Saya percaya, ramai yang tak mahu bertanya isteri masing-masing, lalu mereka mengandaikan pelbagai jawapan.
Sebenarnya, semua wanita di dunia ini sama sahaja fitrahnya, tak mahu berkongsi kasih. Hal ini kerana dalam diri wanita ini ada satu perasaan yang membuatkan mereka ingat dan perasan. Mereka tidak mahu apa yang dia peroleh bersama suami, diperoleh sama oleh orang lain. Dan sudah tentu dia tidak rela keadaan itu berlaku dalam dirinya.
Dalam hal suka saya tegaskan, isteri kita memang berhak malah relevan untuk menentang suaminya berkahwin lain selagi dirinya seperti Khadijah, isteri nabi dan Fatimah anak nabi. Hal ini kerana Rasulullah SAW sudah cukup dengan Khadijah kerana Khadijah terus-menerus membantu perjuangannya, memberinya anak yang ramai dan setiasa berada di belakang nabi memberi semangat sewaktu susah.
Pada masa yang sama baginda juga pernah melarang Ali daripada berkahwin lain kerana Fatimah sentiasa berada di belakang Ali dalam apa jua keadaan. Selain itu Fatimah adalah wanita yang sentiasa suci daripada haid. Maknanya dia setiasa menyelesaikan urusan dan keperluan suami semahunya.
Oleh sebab itu, mana-mana isteri yang tidak mahu suami berpoligami dan tidak mahu hidup bermadu, maka bertindaklah sebagai Khadijah dan Fatimah. Saya percaya kalau anda seperti itu tentu suami anda tidak sanggup untuk berkahwin lagi walaupun dia teringin untuk berkahwin lain. Untuk itu hendaklah kalian menjadi isteri sepanjang masa, keperluan suami sentiasa diberi perhatian walaupun di usia tua. Hati suami yang gersang perlu disuburkan tanpa rasa jemu.
Tetapi kalau kalian sebagai isteri tidak boleh melakukan seperti itu, angkat tangan mengaku kalah dengan Allah dan suami anda. Pada masa yang sama, berilah peluang kepada suami untuk mendapatkan pembantu anda bagai meringankan mana-mana yang anda tidan mampu lakukan. Percayalah kalau semua itu dapat dilakukan dengan penuh rela, anda sebagai isteri akan mendapat banyak kelebihan berbanding dengan orang baru yang mendatang.
Percayalah, Allah longgarkan hukum poligami ini bukanlah sia-sia. Tentu di sini ada kebaikan kepada semua manusia dan alam seluruhnya.

Mengapa Besarkan Isu Hudud?

Selagi HUDUD dipandang orang ramai sebagai isu politik, selama itu perbahasan mengenai undang-undang jenayah Islam tidak akan selesai. Selagi HUDUD dilihat oleh orang politik sebagai isu politik selagi itulah polimiknya terus bincangkan tanpa noktah. Hal ini terjadi mungkin kerana Hudud telah dan terlalu lama dipolitikkan oleh pihak tertentu. Lalu apabila hudud benar-benar hendak diwartakan, pemikiran politik terus melekat dalam jiwa umat manusia walaupun niat asalnya semata-mata kerana melaksanakan perintah Allah.
Saya hairan mengapa hudud menjadi besar dan dibesar oleh orang politik padahal hudud terlalu kecil dalam Islam. Hudud satu daripada undang-undang Islam. Salah satu undang-undang Islam ialah undang-undang Jenayah, dan hudud sebahagian daripada undang-undang jenayah. Sebenarnya saya sendiri sudah melihat dan membaca Rang Undang-undang Jenayah Syariah Negeri Kelantan, dan melihat kepada tajuknya jelas tidak langsung menyebut perkataan hudud. Jadi, kenapa disebut pada umum sebagai hudud?
Islam datang dengan membawa undang-undang untuk menyelamatkan umat manusia dan membawa mereka keamanan, ketenteraman dan kebahagian. Jadi, kenapa orang islam suka membesarkan sesuatu yang boleh menakutkan orang Islam dan orang lain. Walhal apa yang dibesarkan itu tidaklah sebesar itu. Apa perlu kita membesarkan hukuman potongan tangan dan rejam atau rotan sedangkan kita tidak pernah sebutkan kesan positif apabila hukuman itu diwartakan? Penyampaian kita yang salah hingga menyebabkan orang jauh daripada Islam. Salah siapakah kalau orang ramai membenci Islam.
Saya sudah teliti Rang undang-undang yang telah diluluskan Dewan Undangan Negeri Kelantan baru-baru ini. Saya dapati semua yang digubalkan itu tidak lari daripada undang-undang syariah yang terdapat dalam kitab-kitab muktabar. Cuma cara perlaksanaannya mungkin berubah mengikut iklim negera kita di sini. Saya percaya kalau undang-undang ini dikuatkuasakan di negeri Kelantan, hukuman terhadap jenayah syariah akan berkurangan atau mungkin tiada. Hal ini bukan kerana tiada orang yang melakukan jenayah tetapi kerana penjenayahnya sukar dikesan.
Sebenarnya untuk mensabitkan sesuatu kes jenayah zina sebagai contoh bukan mudah. Jika tidak dibawa aduan oleh empat orang saksi yang benar, nescaya jenayah itu tidak boleh dihududkan. Sebaliknya pembawa aduan yang tidak cukup saksi itu boleh dihukum menuduh (Qazab). Jadi, dia yang kena hukum hudud. Sungguhpun begitu kalau kes jenayah itu boleh dibuktikan dengan karenah yang lain, dia boleh dihukumkan secara takzir sahaja. Berdasarkan itu siapa dalam kalangan umat islam yang hendak hukuman hudud ini? Penzina ke atau pengadukah? Maka jalan selamat jangan berzina dan jangan mengadu kerana kedua-dua mereka akan tetap dihukum.
Ini baru dicontohkan kepada kes zina, kes jenayah mencuri, merompak dan murtad bagaimana? semuanya sudah diperincikan untuk menjamin umat islam tetap dalam melaksanakan hukum Allah dengan sempurna.
Dalam hai orang bukan islam tidak perlu risau langsung dengan hukuman Islam ini kerana mereka tetap dijamin oleh undang-undang Islam. Mereka selamat kerana tidak berpeluang melakukan zina dengan orang Islam di negara ini. Hal ini kerana orang Islam takut dan malu dihukum ditempat awam. Akhirnya, percayalah undang-undang jenayah syariah ini bukan untuk anda tetapi untuk penjenayah. Jadi orang yang baik seperti anda jangan takut dan bimbang.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...