27 Januari 2014

Salah Suami Kalau Isteri Tolak Poligami

Ahmad Baei Jaafar

Saya hampir-hampir mencadangkan kepada lelaki agar jangan berkahwin dengan ustazah kerana setiap kali saya ditanyakan soalan atau masalah poligami, mereka mengakui mendapat tentangan hebat daripada isteri pertama yang berjawatan ustazah malah daripada lulusan Universiti al-Azhar. “Ustaz, saya sudah ada pilihan untuk kahwin lain, tetapi isteri saya tidak bersetuju sedangkan dia ustazah, apa yang patut saya buat?” tanya seorang suami.
“Ustaz, saya isteri kedua tetapi suami saya sudah jarang balik setelah madu saya tahu yang kami telah berkahwin. Saya boleh bersabar dan rela memberi hak saya kepada madu saya. Tetapi dia tetap membenci saya dan melarang suami saya untuk berjumpa saya. Untuk pengetahuan ustaz, madu saya itu ustazah,” tanya seorang madu.
Itulah realiti yang boleh kita lihat di mana-mana, namun tidak dinafikan ramai juga isteri pertama yang mencadangkan kepada suami agar berkahwin satu lagi. Malah ada isteri yang boleh reda dengan keadaan itu demi cintakan suaminya. Jadi, bolehkah disalahkan ustazah dalam hal ini?
Perlu dijelaskan di sini bukan semua golongan ustazah boleh membenarkan suaminya kahwin lagi, dan tidak semua wanita menolak poligami. Memanglah secara fitrah wanita tidak sanggup berkongsi suami dengan wanita lain. Oleh sebab itu tidak bolehlah lelaki atau suami marahkan isteri kerana menolak poligami. Apatah lagi di dalam al-Quran tidak ada satu ayat pun yang memerintahkan isteri supaya menerima poligami atau ancaman menghukum mana-mana perempuan yang menolak poligami.
Sebenarnya dalam al-Quran Allah mencadangkan poligami kepada para suami seperti firmannya:
÷bÎ)ur ÷LäêøÿÅz žwr& (#qäÜÅ¡ø)è? Îû 4uK»tGuø9$# (#qßsÅ3R$$sù $tB z>$sÛ Nä3s9 z`ÏiB Ïä!$|¡ÏiY9$# 4Óo_÷WtB y]»n=èOur yì»t/âur ( ÷bÎ*sù óOçFøÿÅz žwr& (#qä9Ï÷ès? ¸oyÏnºuqsù ÷rr& $tB ôMs3n=tB öNä3ãY»yJ÷ƒr& 4 y7Ï9ºsŒ #oT÷Šr& žwr& (#qä9qãès? ÇÌÈ  
Maksudnya: “…dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap golongan yatim, maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan (ibu tunggal): dua, tiga atau empat. Namun jika kamu bimbang tidak boleh berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka cukuplah dengan seorang sahaja, atau (gunalah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (Surah al-Nisa : 3)
Jelas perintah kahwin ini untuk kaum lelaki yang sudah ada isteri. Dan tujuan perintah ini adalah untuk membela golongan yatim agar mereka tidak terbiar. Dalam ayat itu Allah tawarkan kepada suami agar memilih mana-mana ibu tunggal yang ada anak yatim supaya dengan itu dia dapat memberi perhatian kepada anak yatim. Jadi, fokus perintah dalam ayat ini adalah kepada anak yatim bukan ibunya.
Fokus Poligami
Bayangkan kalau semua suami memahami mesej ayat ini sudah tentu mereka akan lihat kepada anak yatim dengan penuh simpati lalu sanggup mengambil mereka sebagai anak. Tentu dengan sikap itu, tidak wujud rumah anak yatim seperti hari ini. Bukan itu sahaja, isteri suami yang sedia ada itu tidak terlalu marah dengan perkahwinan keduanya dengan ibu anak yatim itu. Hal ini kerana dia juga bersimpati dengan nasib anak yatim lalu perkahwinan suaminya sudah menjadi kecil.
Hari ini fokus poligami lebih kepada nafsu lalu dipilih anak dara atau janda muda yang belum ada anak. Kalau itulah fokusnya tiada sebab mengapa isteri yang bertaraf ustazah dan lain-lain akan marah. Memang fitrah isteri, tidak suka suaminya kahwin lain kerana dengan perkahwinan itu mencabar kemampuan dirinya sebagai isterinya. Dia rasa suaminya sudah tidak suka kepadanya lalu mencari perempuan alternatif. Dia rasa suami sudah tidak perlukan dirinya lagi. Oleh sebab itulah dia menolak poligami.
Tetapi saya yakin kalau isteri tersebut sedar dan tahu hakikat perkahwinan suaminya kerana membela anak yatim, tentu kemarahannya kepada suaminya akan berkurangan, marahnya tidak lagi 100 peratus. Tetapi hakikat inilah yang tidak pernah berlaku dalam perkahwinan poligami. Suaminya berkahwin bukan untuk anak yatim tetapi untuk isterinya yang cantik molek. Apabila fokusnya bukan lagi kepada perintah Allah, dan bila tujuan poligami diabaikan pasti ada kepincangannya.
Sebenarnya poligami yang dibina atas asas membela anak yatim adalah satu-satunya yang masih relevan pada masa ini. Kita tidak nafikan tujuan poligami yang ditunjukkan oleh Rasulullah banyak tetapi sebahagian besarnya sesuai untuk golongan pemimpin masyarakat. Walau apapun tujuan poligami, cara mengurus rumah tangga tetap sama. Keadilan dalam menggilirkan antara isteri perlu diutamakan daripada soal-soal lain.
Keadilan Dalam Kasih Sayang
Allah kurniakan satu hati kepada seseorang manusia baik lelaki mahu pun perempuan. Namun hati seorang lelaki amat unik kerana dia mampu memberikan kasih sayangnya kepada empat orang isteri. Malah dia mampu memberikan 100 peratus kasih sayang kepada semua isterinya kalau dia mahu. Walau bagaimanapun rasa kasih dan sayang itu bukan milik kita, sebaliknya Allah yang mendorong.
Dalam hal ini Rasulullah SAW sendiri berdoa seperti yang diriwayatkan oleh ‘Aishah:
عَنْ عَائِشةَ، أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْسِمُ بَيْنَ نِسَائِهِ فَيَعْدِلُ ، وَيَقُولُ : " اللَّهُمَّ هَذِهِ قِسْمَتِي فِيمَا أَمْلِكُ فَلَا تَلُمْنِي فِيمَا تَمْلِكُ وَلَا أَمْلِكُ "
Maksudnya: Daripada ‘Aishah bahawasanya Nabi SAW membahagikan antara isteri-isterinya maka dia boleh mengadili dengan baik. Namun dalam soal kasih sayang dia berdoa: “Ya Allah inilah pembahagianku mengikut apa yang aku miliki, maka janganlah Kamu mencelaku pada perkara yang Kamu miliki sedangkan aku tidak miliki.” (Riwayat al-Tarmizi)
Jelas, Allah yang menguasasi kasih dan sayang dan apa yang diberikan kepada kita bukan milik mutlak. Jadi, kita tidak boleh memberi keadilan dalam soal kasih sayang. Tetapi keadaan ini pada saya amat baik buat isteri yang mengharapkan kasih sayang suami masing-masing. Kalau isteri-isteri ini boleh diibaratkan seperti juru jual tentu mereka akan berusaha menawan hati pelanggannya. Sikap dan cakapnya akan diberi perhatian oleh pelanggan.
Sewaktu suami balik ke rumah, adakah isteri sambut suami dengan senyum? Sewaktu suami masuk rumah, adakah isteri menyejukkan hati suami dengan air suam atau mineral? Sewaktu suami kelihatan penat, adakah isteri membuka baju suami dan membawanya ke dalam bilik? Jika semua itu dapat dilakukan oleh isteri, suami mana yang akan membenci isteri tersebut.
Keadilan Dalam Nafkah
Dalam poligami memberi nafkah kepada isteri hendak mengikut keperluan isteri. Sebenarnya antara isteri tidak sama keperluannya. Pastinya keperluan isteri yang kurus tidak sama dengan keperluan isteri yang gemuk. Begitu juga dengan isteri yang mempunyai anak ramai dengan isteri yang belum ada anak. Jadi, adil dalam konteks nafkah tidak merujukkan kepada kesamarataan. Boleh jadi nafkah isteri pertama lebih besar daripada yang kedua yang masih baru.
Perlu dijelaskan di sini, nafkah terbahagi kepada tiga iaitu makan dan minum, pakaian dan tempat tinggal. Semua itu perlu disediakan oleh suami mengikut kemampuan suami. Suami kaya perlu menyediakan semua itu pada kadar kekayaannya, tetapi suami yang miskin, lakukan sekadar mana yang dia mampu. Oleh sebab itu isteri dalam keadaan itu tidak boleh menuntut sesuatu yang tidak dimiliki suami.
Keadilan dalam giliran
Berbeza dalam soal giliran, suami perlu adil dalam menetapkan hari yang perlu digilirkan antara isteri. Oleh sebab itu giliran bermalam dengan isteri perlu dibahagikan dengan adil jumlah harinya. Maknanya kalau seseorang isteri itu mendapat giliran tiga hari seminggu, maka suami tidak boleh melebih hari pada isteri yang lain. Kalau suami mahu melebihkan mana-mana isteri atas permintaan salah satu isterinya, maka dia perlu meminta izin isteri lain dahulu. Jika isteri tersebut tidak membenarkannya, haramlah suami itu melanggarnya.
Bagi suami yang memiliki ramai isteri wajib membuat jadual giliran yang jelas. Jika antara isteri itu tinggal dalam jarak yang dekat, sebaiknya membuat giliran setiap hari secara selang seli. Tetapi kalau masing-masing isteri berada di tempat yang jauh yang jarak perjalanannya memakan masa setengah hari, bolehlah berbincang secara baik dengan isteri-isteri sama ada dua hari dan dua hari atau tiga hari dan tiga hari.
Sebenarnya kiraan giliran adalah 24 jam malam dan siangnya. Maknanya kalau malam ini pada giliran isteri pertama, esok siangnya juga masih giliran isteri pertama. Walau bagaimanapun suami itu boleh datang ziarah untuk sesuatu urusan di rumah isteri lain seperti isteri sakit, menghantar makanan atau melihat anak-anak atau ada kerja yang perlu dilakukan di situ. Isteri lain dalam keadaan ini perlu meredhai tindakan suaminya.
Jaga hati dan perasaan isteri
Selain keadilan, suami dalam hidup poligami perlu tahu menghormati isteri-isterinya yang sanggup berkorban untuknya. Oleh sebab itu suami perlu pandai menjaga hati isteri-isteri dengan tidak membawa sebarang kesan daripada rumah isteri yang lain. Apatah lagi kalau suami suka menceritakan kebaikan atau keburukan seseorang isteri kepada isteri yang lain.
Pada masa yang sama, isteri-isteri tidak seharusnya membuat sesuatu yang boleh melukakan hati suami atau madunya. Sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain perlu wujud antara mereka demi mencintai suami mereka yang satu. Apa ertinya isteri mengakui cintakan suami kalau setiap hari bertemu suami, membuatkan suami susah hati dengan pelbagai persoalan.
Bagi mencapai kehidupan bahagia sebaiknya pasangan suami isteri yang berpoligami ini meletakkan Allah di hadapan. Jadi, mereka perlu tahu kehendak Allah dan mendahulukan Allah dalam semua urusan. Kalau suami meletakkan Allah di hadapan, tidak mungkin isteri yang beriman kepada Allah akan menentang suaminya. Namun begitu kalau rumah tangga tersebut masih bermasalah, ada kemungkinan isteri itu yang tidak beriman kepada Allah atau suami itu yang membelakangkan Allah.

Walau bagaimanapun kita harus sedar bahawa isu yang selalu ditimbulkan oleh orang yang terlibat dalam poligami semua berpunca daripada sikap suami yang tidak adil pada diri, pada agama dan pada isteri. Percayalah jika semua yang dibentangkan di sini dapat direalisasikan oleh umat Islam, pasti tiada banyak masalah dalam rumah tangga umat Islam. Ketika itu tidak akan ada lagi isteri-isteri yang menentang suaminya berkahwin lain.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...