23 Oktober 2013

Benarkah masjid tidak mesra kanak-kanak?

Ahmad Baei Jaafar

Persoalan yang bermain di dalam fikiran saya ialah mengapa semakin ramai lelaki yang suka membawa anak kecil mereka untuk solat Jumaat atau jemaah di masjid di sebelahnya sebaris dengan jemaah dewasa yang lain. Adakah kerana mereka hendak isytiharkan bahawa anaknya sudah berkhatan, atau adakah hendak beritahu bahawa dia berpegang kepada hukum tidak salah bawa anak bersolat kerana Rasulullah sendiri solat dalam keadaan mendokong cucunya.
Apabila persoalan ini diketengahkan kepada rakan facebook, ramai juga ahli feqah yang memberi komen. Sebahagiannya, mengatakan tidak salah bawa anak di sebelahnya bahkan sebaris dengan saf dewasa. Tidak kurang juga yang tidak bersetuju dengan sikap lelaki yang membawa anak itu. Dalam pada itu saya menunggu juga kalau-kalau ada ulama besar yang sudi memberi komen dan memberikan hujah yang ilmiah, tetapi tidak ada.
Secara peribadi saya tidak berani hendak menyanggah pendapat yang dikemukakan mereka apatah lagi kalau pendapat berasaskan pandangan ulama baik moden mahupun lama. Hal ini kerana mereka ada hujah yang semuanya diambil daripada hadis Rasulullah. Tetapi sebagai penulis yang kepakaran saya adalah dalam soal feqah rasa tercabar juga tatkala membaca pendapat yang tidak cermat hingga boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat.

Tarbiah anak solat
Saya bersetuju dengan pandangan yang mendakwa masjid tidak mesra kanak-kanak kerana sering menengking dan menghalau kanak-kanak yang membuat bisang. Tetapi saya tidak bersetuju dengan dakwaan yang sama terhadap masjid yang menyediakan ruang khas untuk kanak-kanak. Malah penyediaan tempat khas di belakang saf dewasa adalah tindakan mesra kanak-kanak.
Sebenarnya tidak siapapun yang boleh menghalang Jemaah lelaki mahupun perempuan untuk membawa anak ke masjid. Islam tidak larang perbuatan itu malah menggalakkannya demi tarbiah. Tetapi yang Islam larang ialah perbuatan membiarkan anak membuat bising hingga mengganggu Jemaah lain menunaikan solat.
Sungguhpun begitu untuk mencapai tujuan tarbiah, ibu bapa perlu terlebih dahulu melatih anaknya di rumah. Maknanya di rumah lagi anak itu diajar cara pergerakan solat, cukup yang asas dahulu. Sebelum keluar rumah pesan kepadanya berkali-kali “jangan bising dan berlari-lari di dalam masjid” dan sebagainya. Saya percaya kalau setiap kali membawanya ke masjid dilakukan latihan di rumah tentu lambat laun mereka akan faham dan terdidik.
Tetapi realiti yang berlaku pada hari ini, mereka bawa anak sama ada kerana anak itu hendak ikut bapa atau hendak senang jaga anak. Mereka yang membawa anak atas sebab pertama, sebaik sahaja sampai di masjid akan dilepas bebas anaknya di atas masjid membuat bising. Bagi mereka yang membawa atas alasan kedua akan meletakkan anak di sebelahnya waktu solat supaya senang dikawal. Padahal mereka dalam golongan itu tidak perdulipun anaknya sama ada solatnya betul atau tidak, pusing kanan dan kiri malah berjalan di hadapan saf pun dia tidak marah. Kalau keadaan ini yang terjadi, di mana tarbiahnya. Hakikatnya falsafah tarbiah sudah hilang.
Keadaan bapa yang membawa anak ini jangan disamakan dengan Rasulullah dengan cucu-cucunya. Ya, Rasulullah bawa cucu ke masjid, apakah cucu-cucu baginda buat bisang? Ya, cucu Rasulullah naik atas belakang baginda waktu sujud, adakah cucunya mengganggu saf Jemaah lain? Kedudukannya tidak sama, malah ibarat langit dengan bumi.
Perhatikan hadis yang sering digunakan sebagai hujah iaitu daripada Abu Qatadah al-Ansori r.h. beliau berkata:
رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى الله عليه وَسَلَّم يَؤُمُّ النَّاسَ وأُمَامَةُ بِنْت أبِي العَاص وَهِيَ ابنَةُ زَيْنَبَ بِنْت النبي صَلَّى الله عليه وَسَلَّم عَلَى عَاتِقِهِ، فَإذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِن السُّجُوْدِ أَعَادَهَا.
Maksudnya: “Aku melihat Nabi s.a.w mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulillah s.a.w. Apabila baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun daripada sujud baginda mengangkatnya semula.” (RiwayatImam Muslim)
Apa yang anda nampak pada hadis ini?
  1.  Rasulullah menjadi imam.
  2. Cucunya Umamah binti Abi al-As.
  3.  Rasulullah mengendung atau mendokong cucunya.

Berdasarkan pemerhatian ini, ternyata hadis ini tidak menjawab masalah yang ditimbulkan. Kenapa? Suka dinyatakan di sini kedudukan imam di hadapan makmum tidak boleh disamakan dengan kedudukan makmum yang ramai. Boleh jadi kalau Rasulullah menjadi makmum, dia tidak membawa cucunya itu. Selain itu cucu baginda yang diam tidak mengganggu makmum sangat berbeza dengan anak yang berada dalam saf makmum boleh mengganggu keselesaan makmum lain.
Cucu perempuan yang dibawa itu memang sah tidak mengandung najis kerana kedudukan anak lelaki dengan anak perempuan tidak sama. Selain anak perempuan tidak mengandung najis, ibu sangat menjaga kebersihan kanak-kanak. Berbeza pada zaman ini, kanak-kanak yang dibawa masih memakai pampers yang pastinya bernajis (kecuali kalau baru pakai).
Kita andaikan pula jika cucunya lelaki sama ada Hasan atau Husain melakukan amalan yang sama seperti Umamah, masih kita tidak boleh samakan dengan keadaan kita hari ini kerana lazimnya kanak-kanak pada zaman Rasulullah sudah berkhatan sebaik sahaja mereka dilahirkan. Ertinya pada bahagian zakar kanak-kanak itu sudah tidak mengandungi najis.
Saya tahu ada pihak yang mempertikaikan soal najis ini, kononnya tidak ada nas menyatakan kanak-kanak yang belum berkhatan bernajis. Memang tidak ada nas, tetapi jelas tujuan berkhatan untuk lelaki adalah untuk memudahkan najis kecing dibersihkan. Saya percaya semua orang lelaki tahu, kalau sebelum berkhatan, air kencingnya masih tersangkut pada bahagian kulupnya.
Bayangkan kalau seseorang yang sudah baligh tetapi belum berkhatan, maka sebelum solat dia perlu beristinjak dengan membersihkan bahagian dalam kulup itu. Tetapi bagaimana dengan kanak-kanak, tahukah mereka hal ini? Maka sebab itu kalau mereka belum berkhatan, mereka dianggap sentiasa dalam membawa najis kecing itu. Jadi, sekali lagi ditegaskan, kanak-kanak itu tidak najis tetapi dia menyimpan najis.
Berbalik kepada hadis di atas, baginda mengendung cucu waktu berdiri. Perbuatan Rasulullah itu juga langsung tidak mengganggu Jemaah. Tetapi keadaan yang berlaku dalam masyarakat kita, anak itu dibiarkan berlari-lari di hadapan saf dewasa. Dan kadang-kadang anak itu mengambil ruang yang luas kerana sering menoleh kiri, kanan dan belakang. Keadaan ini menjadikan Jemaah tidak selesa dengan kehadiran anak itu.

Saf kanak-kanak
Melihat kepada keadaan di atas memang wajarlah ulama membuat garis panduan tentang saf iaitu, selepas imam jemaah lelaki dewasa, kanak-kanak, kanak-kanak perempuan dan perempuan dewasa berada di akhir sekali. Kedudukan ini adalah releven dan sesuai dengan hadis daripada Anas r.h. beliau berkata:
أنَّهُ عَلَيْهِ الصَّلاَةُ وَالسَّلاَم صَلَّى في بيتٍ أُمِّ سُلَيْمٍ فَقُمْتُ أَناَ وَيَتِيْمٌ خَلْفَهُ وَأُمِّ سُلَيْم خَلْفَنَا
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. bersolat dirumah Ummu Sulaim, aku (Anas) dan seorang anak yatim mengikutnya bersolat dibelakang baginda dan Ummu Sulaim dibelakang kami.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Susunan saf berdasarkan hadis ini adalah untuk jemaah seramai tiga orang. Anas dan anak yatim (umurnya belum baligh) mestilah sebaris. Tentu tidak logik dalam keadaan itu anak yatin itu diletakkan di belakang. Lagipun anak yatim ini tidak berlari seperti anak orang Melayu. Manakala saf perempuan di belakang sekali.
Perlu dijelaskan lagi, kanak-kanak pada zaman Rasulullah seusia 7 tahun sudah mula solat dengan betul walaupun tidak selengkap orang dewasa. Kanak-kanak yang masih kecil seperti Umamah dan Hasan dan Husain mungkin belum diajar solat, tetapi yang pasti mereka ini sudah mumaiz maka sebab itu boleh dibawa ke masjid. Mereka ini tahu menghormati masjid dan orang yang solat.
Sebenarnya susunan saf di masjid kita pada hari ini masih mengikut apa yang disebut dalam hadis di atas. Maka susunannya hendak mengikut keutamaan yang kalau jemaah dewasa ramai biarkan kanak-kanak diletakkan di belakang tetapi di hadapan perempuan. Cuma biasanya di negara kita, saf perempuan tidak diletakkan di belakang tetapi di sebelah kiri belakang saf dewasa. Walaupun susunan itu tidak menepati sunnah namun masih releven buat masa ini.
Sesungguhnya pengasingan saf kanak-kanak di belakang bukan bermakna tidak mesra kanak-kanak tetapi supaya mereka berada dalam saf sesama kumpulan mereka. Susunan ini menjadi lebih cantik kalau kanak-kanak ini sudah dibiasakan dengan solat yang betul. Cuma suka saya betulkan kenyataan di sini, kedudukan saf kanak-kanak ini bukan kerana mereka belum berkhatan tetapi kerana mereka kanak-kanak. Maknanya kalau pun mereka sudah berkhatan tetapi belum baligh eloklah duduk di barisan kanak-kanak.
Suka ditegaskan juga, kanak-kanak yang tidak digalakkan berada di saf dewasa ini bukan kerana mereka belum baligh tetapi kerana mereka adalah kanak-kanak. Susunan ini adalah untuk menunjukkan adab atau disiplin yang ada dalam Islam. Sungguhpun begitu kanak-kanak yang belum baligh tidaklah diharamkan duduk di saf dewasa malah dia boleh menjadi imam kalau dia sudah boleh membaca al-Quran dengan baik.

Saranan kepada lelaki
Wahai kaum lelaki, kalau anda masih hendak bawa anak ke masjid pastikan perkara berikut:
  1. Sudah mumaiz
  2. Sudah diajar disiplin solat
  3. Sudah diajar adab di dalam masjid
  4. Awasi anak kalau dia mengganggu jemaah
  5. Jika hendak solat bersama anak duduklah di saf belakang yang tidak menggangu jemaah lain.
  6. Jika anak membuat najis di dalam masjid (terkencing atau terberak), tolong bersihkan kawasan itu.


Kalau syarat ini dapat dipenuh, anda boleh bawa anak anda seramai manapun ke masjid. Ingatlah masjid untuk melakukan ibadah dan belajar agama. Biarlah anak yang dibawa itu boleh mendapat manfaat seperti yang anda dapat. Wallahu aklam.

17 Oktober 2013

Buat Tanpa Ilmu; Tidak Tahu Elok Bertanya

Ahmad Baei Jaafar

Dalam satu majlis sambutan hari raya Eiduladha semalam, pengerusi majlis meminta semua jemputan bertakbir raya. Lalu bergemalah suara takbir pada malam itu. Persoalannya, apakah takbir itu masih disunatkan atau dalam kata lain menj
adi sunah Rasulullah atau tidak?
Persoalan ini jika diajukan kepada orang ramai, mereka kata, takbir itu kan perkara baik takkan tidak disunatkan. Jawapan lain, kan radio dan televesyen sering menyiarkan takbir itu sehingga 13 Zulhijjah. Jelas daripada jawapan itu, mereka tidak berlandaskan ilmu yang sebenar. Beramal tanpa ilmu tentulah tidak dinilai oleh Allah.
Sebenarnya, ramai yang terkeliru tentang hukum takbir raya. Memang pada dasarkannya sunat bertakbir sebagai tanda syukur. Tetapi untuk melaksanakannya amalan itu tentu terdapat sunnahnya pula, ada kaedah dan ada tatacaranya. Maknanya kalau kita tidak ikut garis panduannya tidak dapat pahala walaupun tidak berdosa. Inilah yang selalu disebut sebagai makruh.
Takbir hari raya sama ada Eidulfitri atau Eiduladha terbahagi kepada dua jenis; takbir mulsal dan takbir muqaiyad. Lihatlah perbezaan kedua-duanya:
Takbir Muqaiyad: Takbir yang mengiringi solat termasuk solat sunat dan jenazah. Takbir ini terikat dan berkait dengan solat yang dilakukan. Waktunya bermula dari waktu Subuh hari Arafah sehingga sebelum terbenam matahari hari ke 13 Zulhijjah. Walaupun waktunya panjang tetapi masa untuk takbir tidak luas. Maka tidak bolehlah kita bertakbir daripada rumah ke rumah sewaktu ziarah selepas solat hari raya. Tidak bolehlah juga takbir sebagai pembukaan sesuatu majlis untuk jamuan hari raya.
Tetapi untuk hari raya Eidulfitri, masanya hanya selepas masuk 1 Syawal hingga imam mulakan solat eidulfitri. Maknanya takbir ini amat terhad. Sebab itu sesiapa yang terlepas waktu takbir ini amat besar ruginya.
Takbir Mursal: Takbir yang tidak terikat dengan masa dan tempat, boleh dilakukan dalam keadaan apa juga sekalipun kecuali di dalam tandas. Waktu takbir ini bermula daripada terbenam matahari hari raya; Eidulfitri pada satu syawal dan Eiduladha pada 10 Zulhijjah. Berakhir takbir ini pada sebelum imam takbiratul-ihram solat sunat hari raya.
Takbir ini boleh dialunkan bukan sahaja di rumah-rumah yang kita ziarah pada malam raya itu, malah boleh dibaca dalam kenderaan dan sewaktu membeli belah pada malam raya atau pagi raya. Selepas Solat hari raya tidak ada lagi takbir mursal.

Supaya kita tidak terlepas begitu sahaja amalan sunat dan sunnah ini marilah kita baca takbir ini sendiri sewaktu solat sunat dan ikut imam jika kita solat berjemaah. Rugi kalau tak takbir kerana ganjarannya amat besar. Wallahu aklam.

01 Oktober 2013

Korban bukan sekadar tumpahkan darah

Ahmad Baei Jaafar

Korban dalam bahasa Melayu boleh difahami dalam banyak maksud. Orang yang terinaya oleh sesuatu keadaan dikatakan korban. Mangsa yang terlibat dalam kemalangan juga dikatakan korban. Memberi sesuatu demi agama juga dikatakan korban. Tetapi kalau perkataan korban dirujuk kepada bahasa Arab bermaksud dekat – dekat dengan Allah.
Sungguhpun begitu kalau korban itu dirujuk kepada ibadah menyembelih binatang ternakan pada hari-hari 10-13 Zulhijah diistilahkan sebagai “udhiyah”. Namun dalam bahasa Melayu masih menggunakan istilah korban. Ibadah ini akan bermula selepas solat hari raya Aiduladha sehingga hari ke 13 Zulhijah sebelum terbenam matahari.
Ibadah ini disebut korban kerana untuk melakukan penyembelihan binatang ternakan perlukan pergorbanan. Maknanya sebelum boleh menyembelih seseorang itu perlu korbankan wang untuk membeli binatang tersebut. Atau perlu korbankan perasaan sayang kepada binatang yang dipeliharanya sekian lama. Yalah, kalau dia jual dapat hasil keuntungannya.
Walau apapun makna korban, ada pihak terseksa atau terkorban kecuali mereka beriman kepada Allah dan Rasul. Bayangkan kalau orang yang terinaya kerana sesuatu keadaan lalu dia berserah kepada Allah kerana akur dengan takdir Allah pasti jiwanya tentang. Begitu juga dengan yang terkorban dalam sesuatu kemalangan, jika redha dengan takdir ini tentu besar pahala. Apatah lagi kalau dia korbankan kambing kesayangannya tentu besar nilaian Allah.

Korban Zaman Rasulullah
Jika kita lihat kepada amalan ibadah korban pada zaman Rasulullah, hanya melibatkan kibas dan unta. Hal ini kerana pada zaman itu kibas dan unta sahaja yang dipelihara untuk tujuan perdagangan selain untuk makanan mereka sendiri. Selain itu setiap individu dipercayai memelihara kibas dalam kadar yang kecil untuk kegunaan sendiri.
Walau bagaimanapun unta ini tidak dipelihara kecuali untuk tujuan komersial sama ada dijual atau untuk sewaan kenderaan. Oleh sebab unta tidak mampu dimiliki oleh semua orang, maka unta dianggap bahan mewah. Berdasarkan kedudukan itu orang Islam dicabar supaya berkorban dengan menyembelih unta atau kibas dalam sabdanya yang bermaksud:
“Barang siapa mempunyai kesanggupan dan kemampuan (untuk berkorban) tapi tidak mahu berkorban maka janganlah dia mendekati Musholla kami.”
Tentu dengan cabaran ini semua sahabat boleh berkorban dengan menyembelih kibas. Hal ini kerana mereka masing-masing memelihara kibas.  Tetapi kalau semua menyembelih seekor kibas, kepada siapa pula daging itu boleh diagihkan. Ya, kalau mereka memikirkan hak dan kepentingan sendiri tentu mereka akan sembelih dan makan sendiri. Tetapi dalam ajaran Islam setiap korban, pemilik hanya boleh makan sendiri sebanyak 1/3 sahaja.
Berdasarkan hukum itu, mereka akur dan mengagihkan daging korban itu sesama mereka dengan tukar menukar daging korban. Jadi, mereka dapat merasai daging korban orang lain. Di sini tidak timbul isu pembaziran kerana lazimnya seekor kibas boleh dimakan oleh satu keluarga orang Arab.
Tetapi bagaimana dengan korban unta? Tidak semua sahabat mampu memilik unta. Maka di sini orang yang layak berkorban untuk ialah orang yang memelihara unta terebut. Tetapi kalau orang lain mampu membeli unta tentu mereka boleh lakukan. Tapi bolehkah mereka lakukan perintah korban kalau mereka tidak ada wang?

Falsafah korban lebih besar
Sebenarnya amalan korban yang direalisasikan pada zaman Rasulullah SAW berdasarkan falsafah yang ditetapkan. Berdasarkan korban zaman Rasulullah dapat kita fahami falsafah korban iaitu suatu tuntutan perjuangan untuk mengenepikan rasa cinta kepada wang, perasaan, dan nyawa. Mungkin dalam hal ini pengorbanan seseorang tidak sama antara satu sama lain.
Mungkin pada orang kaya mereka perlu korbankan perasaan. Mereka banyak harta, banyak unta dan kibas tetapi untuk menyahut seruan korban, mereka perlu korbankan perasaan sayang kepada harta tersebut. Namun mungkin pada orang miskin lain pula cabarannya. Mereka perlu korbankan wang yang sentiasa tidak cukup. Maka mereka perlu mencari wang tambahan untuk membolehkan mereka mendapat kibas dan sembelih.
Falsafah korban yang berjaya dilakukan oleh golongan kaya mahupun miskin adalah tanda mereka redha dengan cabaran Allah. Sungguhpun begitu bentuk pengorbanan ini adalah cabaran awal yang merupakan latihan ke arah pengorbanan yang lebih besar. kalau umat Islam boleh melakukan korban wang dan perasaan tentulah suatu hari nanti mereka mampu melakukan korban yang melibatkan nyawa dan darah.
Lihatlah sahabat Rasulullah seperti yang telah disebut di atas, apabila mereka mampu korbankan wang dan perasaan dengan menyembelih kibas dan unta, maka tiada halangan untuk mereka turun ke medan perang melawan musuh bagi mempertahankan Islam dan negara. Tawaran sukar ini disambut dengan baik.  Mereka tidak sayangkan nyawa dan darah mereka, malah terus mengejar syahid.
Keadaan itu kalau kita bawa ke zaman ini tentu jauh bezanya. Lihatlah berapa ramai umat Islam yang kaya boleh korbankan perasaannya? Biasanya orang kaya sekarang sanggup berkorban adalah kerana wang sudah banyak, lalu dengan itu dia tidak ada rasa sayang dengan berkurangan wang mereka. Manakala orang miskin pula, mereka bukan sahaja tidak sanggup berkorban wang ringgit malah menjadi alasan kuat untuk mereka tidak melakukan korban.
Kalau begitulah kedudukan kita pada hari ini mampukah kita sahut cabaran untuk korbankan nyawa dan darah di medan perang? Inilah realiti umat Islam pada hari ini. Mereka tidak sanggup untuk korbankan nyawa dan darah untuk mempertahankan Islam dan negara. Percayalah mereka yang sanggup masuk angkatan tentera, asalnya bukan kerana mahu berkorban tetapi kerana jaminan gaji tetap dan pencen sepanjang hidup.

Sudahkah kita berkorban?
Tahun ini kita akan menempuh hari-hari korban lagi. Kalau orang di Kelantan dan Terengganu amalan membuat korban adalah secara keluarga. Tetapi kalau orang negeri-negeri lain mereka buat korban melalui anjuran masjid. Walaupun sesebuah masjid membuat korban lebih 10 ekor lembu, namun kalau hendak dibandingkan dengan peratus penduduk sekitar kariah tersebut adalah masih kecil mereka yang sanggup berkorban.
Oleh sebab tidak ramai yang berkorban, maka agihan kepada anak kariah tidak boleh merata dan tidak boleh dalam kadar yang banyak. Persoalannya, adakah mereka yang tidak berkorban itu kerana tiada wang atau sayangkan wang? Kalau jelas mereka tiada wang kenapa tidak usahakan untuk mendapatkan wang tambahan untuk membolehkan mereka membeli lembu atau kambing korban?
Kalau kita sedar pentingnya seruan supaya berkorban tentu mereka akan usahakan untuk mengumpul wang secara bulanan untuk membolehkan mereka berkorban. Kalau cara ini boleh dilakukan sudah layaklah mereka dianggap telah melakukan korban. Ingatlah orang kaya yang sanggup berkorban kerana wang banyak belum tentu boleh dinilai sebagai telah berkorban.
Sebenarnya orang kaya yang hendak berkorban seharusnya bertindak atas dasar hendak korbankan perasaan sayangkan terhadap harta atau wang. Kalau dia sanggup korbankan perasaan sayang kepada wang ringgitnya lalu wang itu dibelinya binatang korban, barulah nilai korbannya tercapai. Saya percaya kita semua mampu berkorban pada tahun ini berdasarkan falsafah korban di atas.
Dalam hal ini Rasulullah memberi jaminan dengan sabdanya yang bermaksud:
“Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan redha akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Riwayat al-Tirmizi)

Yakinlah kalau Allah redha dengan pengorbanan yang kita laku apa lagi yang kita harapkan dengan korban ini. Oleh sebab itu sewaktu kita melakukan korban dengan sembelihan binatang ternakan redhalah dengan wang yang dikeluarkan, lepaskan rasa sayang kepada harta yang dimiliki dengan ketentuan Allah. Saya yakin dengan cara ini kita akan mampu tingkatkan korban kita ke arah korban nyawa dan darah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...