09 September 2013

Kenapa Pertikai Takdir Allah

Ahmad Baei Jaafar

Sehari dua ini ramai yang memberi komen dalam fb kononnya kenaikan harga barang ketentuan Allah. Saya hairan kenapa timbul isu dengan kenaikan harga barang, apakah ada kaitan dengan kenaikan harga minyak. Tetapi yang saya perhatikan dalam hal minyak ini, bukan harga minyak yang naik tetapi sabsidi minyak yang dikurangkan. Maka dengan itu kita kena bayar lebih untuk beli minyak itu.
Nak kata barang lain naik, saya tidak pasti sangat sebab jarang ke pasar. Tetapi isu naik harga dan turun harga barang bukan baru hari ini. Harga ikan naik dan turun setiap hari, begitu juga dengan harga sayuran. tetapi kenapa waktu ini timbulkan isu kenaikan harga barang ketentuan Allah.
Sebenarnya, kalau umat Islam masing-masing kuat tauhidnya, masing-masing berpegang kepada qada dan kadar Allah, mereka tidak mudah melatah. Bukankah kita faham bahawa kita dan makluk seluruh alam ini ciptaan Allah. Dia yang menentukan hidup kita dan apa yang kita lakukan. Kita boleh menulis, boleh bernafas, boleh makan adalah dengan kehendak Allah dan itupun telah ditentukan Allah.
Percaya tak, ada orang yang sedang berjalan tiba-tiba terhenti lalu jatuh, kena angin ahmar. Itu menunjukkan Allah tak izinkan dia berjalan padahal sebelum itu sihat. Dan sudah pasti itu adalah takdir Allah. Sebaliknya, apbila segala yang ditentukan itu berlaku, barulah perkara itu dikatakan qada (maksudnya terlaksana ketentuan Allah itu).
Barangkali kalau apa yang dipaparkan itu dikaitkan dengan kenaikan harga barang dan turun kemudiannya, tentu bolehlah kita katakan "ketentuan Allah". Bagaimana boleh jadi begitu? Apabila barang banyak, harga akan turun dan apabila barang kurang atau permintaan ramai dan kehendak tidak mencukup maka harga barang dinaikkan. Memang harga barang itu ditentukan oleh pasaran dan permintaan tetapi siapa yang mengurangkan hasil dan menambahkan hasil, tidakkah itu kehendak Allah?
Sebagai orang Islam, kita harus sedar bahawa takdir Allah sudah ditentukan sejak kita belum lahir lagi termasuk apa yang kita hendak lakukan. Cuma sebagai makhluk Allah kita tidak tahu apa yang telah Allah takdirkan kepada kita. Maka berbekalkan akal dan hati budi, ilmu dan petunjuk Rasul dan ulama kita bertindak. Kita bukan bergerak ikut angin bertiup tetapi mengikut ilmu dan akal. Di situ kadang-kadang kita berjaya dan kadang-kadang kita gagal. Setelah itu terjadi baru kita sedar bahawa sudah ditakdirkan begitu.
Sungguhpun begitu, setelah kita sedar daripada kegagalan itu, kita bangun semula daripada kegagalan, kerana kita tidak tahu apa yang Allah takdirkan untuk kita selepas itu. Mungkin dengan sebab itu kita berjaya, maka sedarlah kita bahawa telah ditakdirkan Allah begitu.
Begitulah kefahaman yang sepatutnya kita hayati dalam hidup ini selepas ini. Kita tidak boleh serah kepada takdir kerana kita belum tahu apa yang Allah takdirkan kepada kita selepas ini. Berdasarkan ilmu ini jika kaitkan dengan isu harga naik, ya memang itu takdir Allah, tetapi apa yang Allah takdirkan untuk kita dengan harga barang itu. Kitapun tidak tahu. Boleh jadi dengan harga naik itu, kita menjadi usahawan berjaya. Boleh jadi dengan harga barang itu kita boleh mencipta barang baru. Inilah peluang yang selalu kita lupa dalam hidup ini. Percayalah kalau umat Islam belum mahu sedar dalam hal seperti ini, kita akan terus mundur.
Ayuh bangun segera wahai orang Islam. Kita ada Allah, Allah maha kaya. Dia boleh mengayakan kita kalau kita tidak banyak mempertikaikan takdir Allah. Wallahu aklam.

06 September 2013

Kasim Selamat tidak pernah menceraikan Sabariah

Ahmad Baei Jaafar

Anda masih ingat kisah dalam filem “ibu mentuaku” yang Nyonya Mansoor mengambil helah untuk memisahkan anaknya Sabariah dengan suaminya, Kasim Selamat. Dia datang meziarahi anaknya atas jemputan anaknya yang sedang mengandung. Setelah melihat keadaan anaknya, dia meminta izin menantunya Kasim Selamat untuk membawa pulang anaknya ke Singapura kononnya supaya dapat bersalin lebih selesa.
Atas permintaan itu suami Sabariah terpaksa merelakan pemergian isterinya bersama ibu mentuanya. Lagipun dia tidak dapat membaca niat buruk ibu mentuanya itu. Dia benar-benar menyangka bahawa ibu mentuanya sudah berubah dan insaf. Agaknya itulah mentaliti seorang ahli muzik, tidak mampu berfikir di luar kotak.
Sabariah meskipun sayang kepada suaminya Kasim Selamat, dia juga tidak dapat membaca niat buruk ibunya. Surat cinta yang dikirimkan kepada suaminya melalui ibunya semuanya ditongsampahkan tanpa disedari olehnya. Suami yang terputus hubungan masih bersangka baik kepada isterinya. Namun, isteri yang mengharapkan suratnya berbalas sudah menyangka sesuatu yang buruk terhadap suaminya.
Sebelum itu, pada hari kelahiran cucunya, Nyonya Mansoor telah menghantar telegram kepada menantunya bahawa Sabariah meninggal dunia sewaktu bersalin. Kerana berita sedih itu, Kasim Selamat menangis berhari-hari sehingga buta matanya. Tanpa kerja dan tanpa pendapatan akhirnya dia diusir keluar dari rumah sewanya itu.
Sabariah yang tidak tahu kisah sebenar, kecewa dengan sikap suaminya yang padanya tidak bertanggungjawab terhadapnya. Apabila perasaan itu diluahkan kepada ibunya, “pulang paku buah keras” digunakan secukupnya oleh ibunya. “Sudah aku katakan, suami kamu sudah lupakan kamu dan kini boleh jadi kembali menyanyi di kelab malam,” katanya.
“Kalau begitu apa yang saya patut buat?” tanya Sabariah.
“Senang sahaja, mula-mula tuntut fasakh di pejabat agama, selepas habis iddah kahwin dengan Dr Asmadi,” kata Nyonya Mansoor.
Akhirnya, Sabariah berkahwin dengan Dr Asmadi, namun mereka tidak dikurniakan anak lagi. Dipendekkan cerita, Kasim Selamat yang buta itu telah membuat persembahan di Singapura. Kebetulan persembahan itu turut dihadiri oleh Sabariah dan suaminya, Dr Asmadi.
Saya percaya anda tahu kisah seterusnya, maka sebab itu saya tidak mahu melanjutkan kisahnya di sini.
Saya percaya anda menonton filem ini bukan sekali tetapi berkali-kali. Bahkan saya percaya setiap kali anda menontonnya, pasti mengalirlah air masih sedih dan simpati. Namun berapa ramai yang mengambil pengajaran ke arah membaiki rumah tangga masing-masing.
Sebenarnya merujuk kepada kisah di atas, perkahwinan Dr Asmadi dengan Sabariah setelah berjaya difasakhkan dengan suaminya Kasim Selamat hasil tipu muslihat ibunya adalah sah. Hal ini kerana setelah habis iddah dia sudah boleh berkahwin dengan Dr Asmadi.
Tetapi tahukah anda perancangan rapi ibu mentua Kasim Selamat bagi memisahkannya dengan Sabariah adalah dosa. Dosa meruntuhkan rumah tangga anak menantunya sendiri. Dan tahukah anda, fasakh yang dirancang atas alasan suami yang tidak bertanggungjawab kepada isteri dan anak adalah satu penipuan besar. Perbuatan itu adalah dosa yang amat besar terhadap anaknya sendiri.
Sebenarnya menurut hukum Islam, seseorang suami yang hilang selama 4 tahun, isteri bolehlah beranggapan bahawa suaminya sudah meninggal dunia. Dengan itu dia boleh berkahwin dengan suami baru. Tetapi jika dalam tempoh beberapa bulan setelah berkahwin, suaminya muncul kembali, maka ketika itu hubungannya dengan suaminya masih sah sebagai suami isteri.
Berdasarkan peruntukan undang-undang, suaminya berhak memohon di mahkamah bagi memfasakhkan perkahwinan isterinya dengan suami baru itu. Dan mereka boleh meneruskan kehidupan suami isteri tanpa perlu dinikahkan semula.
Hukum ini kalau dirujuk kepada kisah dalam “ibu mentuaku”, Kasim Selamat sewaktu menyedari isteri Dr Asmadi yang merawat matanya adalah isterinya sepatutnya mengambil tindakan saman terhadap Dr Asmadi mohon difasakhkan perkahwinan isterinya dengan Dr Asmadi itu. Isterinya Sabariah adalah tetap miliknya yang tidak pernah diceraikan.
Jelas, kalau Kasim Selamat tahu kedudukan hukum ini, sudah pasti dia tidak akan bertindak untuk membutakan matanya semula hanya semata-mata mendengar kata-kata Dr Asmadi itu. Sebaliknya ucapkan ribuan terima kasih kepada Dr Asmadi kerana dia telah mengembalikan dua perkara kepadanya; penglihatan dan isterinya.

Alangkah baiknya kalau filem sebaik ini dihayati oleh penonton selaras dengan kehendak Islam.