31 Julai 2013

Hari Raya Menguji Ketakwaan Umat Islam

Ahmad Baei Jaafar

Setelah kita berhempas pulas bermujahadah menahan nafsu sepanjang bulan Ramadan, kini sampai masanya kita bersuka ria menyambut hari kemenangan yang dinamakan Aidilfitri. Tarikh 1 Syawal tetap menjegah kita tanpa gagal sama ada kita berpuasa atau pun tidak. Namun Aidilfitri datang secara khusus untuk meraikan umat Islam melakukan puasa sepenuhnya.
Walau bagaimanapun mereka tidak melakukan puasa sepenuhnya termasuk kanak-kanak boleh turut menyambut hari kemenangan ini, malah dalam realitinya merekalah orang yang paling gembira dengan kedatangan Syawal ini. Yalah, bagi kanak-kanak mereka akan mendapat duit raya, malah sesetengahnya mendapat beratus ringgit juga. Manakala golongan yang puasanya kurang sempurna berasa gembira kerana tekanan lapar sudah berakhir dan kini boleh membalas dendam, makan sepuasnya. Selain itu, mereka boleh berhibur semahunya.
Sebaliknya mereka yang mampu berpuasa dengan sebaiknya tidak sebegitu ghairah menyambutnya. Mereka selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri akan berziarah sanak saudara. Selepas itu mereka akan menyambung puasa sunat Syawal pada 2 Syawal. Barangkali mereka inilah golongan yang akan beroleh taqwa. Persoalannya di mana kedudukan anda?

Siapa yang layak menyambut
Sememangnya orang yang berpuasa diharapkan mencapai tahap taqwa seperti yang difirmankan Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183; “Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Jadi, bagaimana dengan puasa anda, mencapai taqwa atau tidak? Sudahkah anda berpuasa dengan penuh rasa iman dan taqwa? Ya, mereka yang beriman dan bertaqwa berpuasa bukan sekadar tidak makan dan minum dan tidak melakukan perkara yang membatal puasa, tetapi turut menjaga lidah, tangan, kaki, mata dan telinga daripada melakukan dosa kecil apatah lagi besar.
Selain itu mereka yang berjaya menambah pahala sunat seperti solat sunat tarawih yang sempurna, membaca al-Quran dan memberi makan orang berbuka puasa dengan seikhlasnya berpeluang menambahkan mutu Ramadannya. Ibadah ini merupakan bonus untuk menjadikan mereka bertaqwa seperti yang diharapkan Allah dalam ayat di atas.
Mereka yang berjaya melaksanakan ibadah puasa dan segala amalan sunat dalam bulan Ramadan tentu Allah melihatnya dengan penuh rahmat. Apa tidaknya, mereka ini boleh berakhlak baik dengan manusia apatah lagi dengan Allah. Mereka juga boleh berakhlak dengan haiwan dan alam sekitar. Jika inilah hasil daripada ibadah puasanya, tidak syak lagi mereka ini adalah orang yang paling layak untuk menyambut Aidilfitri.
Sejarah Rasulullah dan Sahabat mencatatkan bahawa mereka menyambut hari raya secara sederhana malah mereka bersedih dengan pemergian Ramadan. Oleh sebab itu mereka akan melakukan segala amalan sunat sebaik sahaja diisytiharkan sudah masuk satu syawal. Mereka mulakan dengan takbir dan tasbih raya.
Seterusnya pada siang hari diulang lagi amalan takbir sehingga sebelum solat sunat Aidilfitri dimulakan imam. Sebelum itu sebelum solat subuh mereka akan mandi sunat hari raya. Dan selepas solat subuh mereka  akan makan sebagai tanda tidak berpuasa lagi.
Lazimnya selepas solat Aidulfitri mereka akan melakukan amalan ziarah rumah ke rumah, bermula dengan jiran terdekat dan kemudiannya menziarahi sanak saudara terdekat. Mereka rapatkan hubungan terutama silaturrahim dalam kalangan kaum keluarga.

Siapa yang dihalang menyambut
Sebenarnya Islam tidak pernah menghalang sesiapa pun untuk menyambut hari raya ini. Malah orang bukan Islam juga boleh bersama-sama orang Islam meraikannya. Oleh sebab itu tidak salahlah orang yang gagal berpuasa sebagaimana yang sewajarnya, menyembut hari raya seperti orang lain. Hal ini kerana mereka adalah golongan yang berpuasa kategori orang awam.
Tetapi lazimnya kita dapati mereka ini menyambut hari raya bak kata ibarat “lebih sudu dari kuah”. Sambutan mereka lebih hebat daripada orang yang layak dalam kalangan golongan khawas dan khususul khawas. Mereka menyambut secara melampau dalam berhibur. Malah hiburan adalah keutamaan mereka, sedangkan amalan ziarah sudah dikesampingkan.
Sepatutnya mereka dalam kategori awam ini menyambut Syawal sebagai meraikan golongan yang berjaya termasuk kanak-kanak. Mereka sepatutnya bertemu orang yang berjaya dan mengucapkan tahniah dan doakan kebaikan. Tetapi bagaimana kita hendak kenal mereka yang berjaya kerana lazimnya orang yang berjaya pun tidak mahu mengaku berjaya.
Maka atas semangat itu Islam menganjurkan amalan menyambut Syawal dengan mengucapkan tahniah dan doa kepada orang yang kita temui. Dengan saling mengucap tahniah yang sekali gus berdoa akan kejayaan orang lain, diharapkan kita semua beroleh kejayaan. Kalaupun tidak sampai ke tahap taqwa, setidak-tidaknya kita menjadi orang yang redha dengan keputusan Allah.
Pada masa yang sama, kita digalakkan bersedekah kepada anak-anak semoga dengan sumbangan ikhlas itu Allah ampun dosa kita dan meningkatkan keimanan dan ketaqwaan. Kita tidak tahu sejauhmana amalan kita diterima Allah, tetapi kalau kanak-kanak yang suci hati turut mendoakan kita tentu sedikit sebanyak ada penambahan kebaikan untuk kita.

Amalan Sunnah
Rata-rata umat Islam di sini telah melakukan aturcara di atas tetapi sejauhmana mereka dapat melakukannya sebagai yang dianjurkan oleh Islam. Berapa ramai umat Islam yang bangun melakukan mandi sunat Aidilfitri? Wanita yang uzur juga tidak harus ketinggalan untuk melakukan mandi sunat. Kalau begitu semua umat Islam patut melakukannya tanpa gagal.
Begitu juga dengan amalan berkunjung ke tempat solat Aidilfitri, wanita yang uzur masih ada tempat dan ruang untuk sama-sama mendengar khutbah raya. Kalau semua umat Islam datang lebih awal untuk mengambil tempat yang sesuai tentulah besar ganjaran untuk mereka. Wanita uzur walaupun tidak boleh solat mereka boleh duduk di tempat khas di luar masjid untuk sama-sama mendengar khutbah hari raya.
Tetapi saya tidak pasti, berapa buah masjidkah yang menyediakan tempat khas untuk wanita uzur? Atau adakah wanita uzur sendiri tidak berminat untuk mendengar khutbah lalu kerana itu tempat mereka tidak disediakan? Realitinya wanita yang uzur lebih selesa berada di dalam rumah semasa orang lain bersolat hari raya. Alangkah ruginya mereka kerana tidak mendapat nasihat yang baik pada pagi hari raya.
Sebenarnya solat sunat hari raya dan khutbahnya amat besar faedahnya. Selain solat berjemaah itu mendapat pahala berlipat kali ganda, dapat pula umat Islam berkenal mesra antara satu sama lain. Ya, kadang-kadang jiran rumah pun kita tidak berpeluang bercakap, maka pada hari ini kita berpeluang berbual sambil mengucap tahniah atas kejayaan menjalankan ibadah puasa.
Namun tidak dinafikan, ada umat Islam yang walaupun berkumpul ramai-ramai, mereka tidak mahu mengambil perluang berkenalan dengan rakan solat di sebelahnya. Adakah mereka malu untuk berkenalan atau mereka sombong kerana menilai orang tidak layak berkenalan dengannya. Kalau itu yang difikirkan bagaimana kita boleh berjaya dalam menempuh ujian Allah. Boleh jadi inilah tanda awal kita gagal melaksanakan ibadah puasa.
Sebaiknya sewaktu bersalaman kita memperlawa mereka ke rumah anda. Inilah amalan orang soleh sejak zaman berzaman. Mereka akan berziarah jiran terdekat selain sanak saudara dengan saling mengucap tahniah kerana berjaya memenuhi ibadah puasa. Cuma dalam amalan masyarakat Melayu, kita sering ucapkan “Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin” kepada orang yang kita temui. Semoga ucapan itu dinilai sebagai doa juga.
Bagi menambah baik ucapan itu bolehlah juga kita susuli dengan ucapan; “tahniah anda berjaya beroleh taqwa, tahniah anda berjaya melaksanakan puasa dengan sempurna dan yang seumpamanya. Bagi masyarakat Arab mereka sering ucapkan كل عام وأنتم بالخير yang bermaksud semoga setiap tahun kamu dalam keadaan baik.
Sebenarnya pada zaman Rasulullah ada satu ucapan yang turut dipakai, ini berdasarkan sebuah hadis
 daripada Wasilah bin al-Asqa’ katanya, aku bertemu Rasulullah SAW pada hari raya lalu aku berkata: تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ maka baginda berkata: ya  تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ maksudnya: “Semoga Allah terima amalan daripada kami dan kamu juga.”
Amalan yang diucapkan oleh sahabat ini untuk Rasulullah adalah untuk menunjukkan adab memberi ucapan tahniah. Selain itu apabila baginda membalas dengan ucapan yang sama menunjukkan ucapan itu boleh digunakan oleh umat Islam.

Berdasarkan itu ucapan sebegini masih releven diucapkan sewaktu kita berziarah ke rumah orang yang kita hormati juga kawan-kawan yang kita sayangi. Semoga amalan ini juga boleh dijadikan hiburan buat kita sepanjang berhari raya.

18 Julai 2013

Sembunyi status wali, anak jadi mangsa wati syubahah

Ahmad Baei Jaafar

Sepanjang saya mengendalikan urusan perkahwinan umat Islam, terdapat pelbagai kes yang membabitkan anak tak sah taraf. Tidak kurang juga yang datang memohon perkahwinan dalam keadaan mereka sedang mengandung anak luar nikah. Sedih memang sedih tetapi sebagai Penolong Pendaftar Nikah, saya tidak menghukum sebaliknya akan memudahkan urusan perkahwinan setakat yang dibenarkan syarak dan undang-undang agama Islam negeri. Yang penting mereka boleh berkahwin secara sah.
Namun saya agak terkilan dengan dua kes yang pernah saya hadapi; satu kes telah saya nikah pasangan itu tetapi selepas beberapa jam pernikahan itu, seorang bapa saudara pengantin membuat aduan di pejabat agama bahawa anak yang dinikahkan itu adalah anak tak sah taraf. Satu lagi kes, belum sempat mengahwinkan lagi apabila bapanya mengubah fikiran dengan membuat pengakuan di hadapan kadi daerah.
Kes pertama, bila dihubungi bapa saudara pengantin itu saya agak terkejut. Yalah, bagaimana boleh jadi anak tak sah taraf sedangkan mengikut penelitian surat nikah ibu bapa menunjukkan anak itu sah taraf. Subhanallah, rupanya ibu bapa itu setelah melakukan dosa berzina dan berkahwin selepas pasangannya disahkan mengandung. Apabila anak itu lahir, pendaftaran tarikh lahir anak itu dilewatkan sebulan.
Kenapa mereka sanggup menipu anak sendiri, menipu kerajaan dan menipu orang ramai. Kenapa ibu bapa sanggup meminda tarikh kelahiran anak untuk menutup kesalahan mereka sedangkan kesannya ialah anak apabila hendak berkahwin. Kenapa mereka sanggup menyembunyikan status anaknya yang tidak sah sedangkan yang bersalah ialah mereka bukan anak itu?
Alasan mereka supaya anak itu tidak malu, tetapi sebenarnya mereka buat semua itu kerana mahu menutup keaiban mereka sendiri. Apakah ibu bapa ini tidak sedar bahawa dengan perbuatan itu akan memberi kesan kepada pernikahan anaknya iaitu nikah tidak sah.
Ya, seperti dalam kes di atas, ibu bapa anak itu melewatkan tarikh lahir dari yang sebenar. Dengan cara itu, kelihatan anak itu adalah sah taraf. Maka kalau tiada siapa yang mendedahkannya nescara anak itu berkahwin secara tidak sah. Mujurlah, bapa saudara anak itu menyedarinya sebelum pasangan itu bersama.
Cuma dalam kes ini, saya rasa terkilan kerana bapa saudaranya tidak memberi teguran awal sebelum pasangan itu berkahwin. Bukankah dengan makluman awal, isu yang memalukan ini dapat dielakkan sebelum berkahwin. Anak yang terpinga-pinga dengan keadaan itu akhirnya terpaksa dinikahkan semula dengan menggunakan wali hakim.
Tetapi dalam kes kedua, ibu bapanya meminda tarikh pernikahan mereka agar munasabah dengan tarikh kelahiran anaknya. Dalam kes ini, ibu bapanya berkahwin baru sebulan, tetapi sudah mendapat menimang anak sulung, luar biasa. Supaya tidak mengaibkan status anak kononnya, mereka meminda tarikh perkahwinan mereka dengan memadam bulannya. Mereka memang cerdik menipu Allah dan menipu anak sendiri.
Sebenarnya sebelum membuat permohonan perkahwinan anaknya, seorang lelaki (bapa gadis yang memohon kahwin) datang ke pejabat saya untuk bertanyakan  tentang kedudukan anak tak sah taraf, dan dia mengaku terlibat. Saya telah memberi jaminan untuk membantunya bagi mendapatkan wali hakim. Tetapi sewaktu dia membawa anaknya untuk menandatangi borang permohonan nikah itu, dia tidak mengulangi isu yang pernah dibincangkan dengan saya suatu ketika dahulu.
Sememang saya sudah lupa akan wajah (lelaki) yang datang bersama anak perempuan itu adalah lelaki yang sama pernah berjumpa saya bertanyakan soal anak tak sah taraf. Orang sebab tidak mengesyaki sesuatu yang tidak kena, saya menyokong borang itu seperti biasa. Dengan sokongan saya pejabat agama meluluskan permohonan itu.
Walaupun semua berjalan baik, lelaki ini mula rasa bersalah lalu berpatah balik ke pejabat agama lalu membuat pengakuan sebenar di hadapan tuan kadi. Alhamdulillah, berkat Ramadan dan tarikh perkahwinannya pun masih lambat, maka borang permohonan itu bolehlah dipinda untuk mendapatkan wali hakim.
Sungguhpun begitu, saya masih terkilan kerana dia masih mahu menyembunyikan status anaknya sebagai tidak sah taraf. Sampai bila keadaan ini mahu dirahsiakan? Sesungguhnya tidak menyesal kalau diberitahu awal keadaan sebenar daripada membiarkan keadaan itu. Bagaimana kalau dia mendapat tahu keadaan sebenar selepas berkahwin daripada orang lain?
Wahai ibu dan bapa juga yang bakal menjadi ibu dan bapa, ambillah iktibar daripada dua kes ini. Jangan ulangi demi maruah Islam dan diri umat Islam. Memang dalam hukum Islam, anak yang dilahirkan selepas enam bulan satu lahzah ibu bapanya berkahwin, dianggap sah taraf. Tetapi kalau ada pihak yang mendakwa bahawa isterinya sudah mengandung, maka anak itu tetap dihukumkan tak sah taraf.
Begitulah juga kalau berlaku perkahwinan secara tidak sah, sedangkan pasangan itu tidak menyedarinya, pergaulan mereka dikira wati syubahah dan anak yang dilahir dalam tempoh itu dikira anak wati syubahah. Anak yang dilahirkan itu boleh dibin/bintikan kepada bapanya. Hakikatnya anak itu adalah sah taraf. Tetapi kalau pasangan itu menyedari bahawa perkahwinan itu tidak sah, kedudukan mereka sebagai suami isteri perlu dipisahkan serta merta.
Berdasarkan isu di atas, berterus teranglah wahai ibu dan bapa kepada anak-anak demi masa depan mereka. Pada masa yang sama, wahai ibu bapa kalau anda sedar bahawa anak anda sudah mengandung anak luar nikah, laporkan kepada pejabat agama atau sekurang-kurangnya kepada Penolong Pendaftar Nikah semasa memohon pernikahan mereka. Tindakan ini penting demi masa depan mereka di dunia dan akhirat.
Selain itu sebagai Penolong Pendaftar Nikah kami perlu serius mengesan status ibu bapa dan anak yang hendak disokong. Pada kami biar pasangan yang melakukan kesalahan jenayah syariah diambil tindakan undang-undang selain berkahwin demi menyelamatkan maruah mereka dan Islam.

09 Julai 2013

Selamat Menyambut Ramadan Mubarak 1434H

Selamat Datang Ramadan 1434H, selamat kita melakukan ibadah puasa. Ibadah yang satu-satunya mampu menguji tahap ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Oleh sebab itu marilah kita mulakan siri ibadah Ramadan malam ini dengan solat Tarawih.
Solat Tarawih tidak akan ditemui kecuali pada bulan Ramadan, maka rebutlah peluang ini dengan memperbanyakkan jumlah rakaat pada solat Ramadan. Mulakan juga membaca al-Quran pada setiap kali melakukan solat fardu lima waktu, sebelum dan selepas solat dua muka surat.
Seterusnya mulakan sahur pagi nanti dengan makanan yang boleh memberi tenaga sepanjang hari. Ingatlah bersahur adalah satu-satunya amalan yang membezakan puasa umat Islam dengan umat Yahudi.
Percayalah sesuatu yang dimulakan dengan betul dan bersungguh-sungguh akan menghasilkan natijah yang baik pada akhir Ramadan nanti. Selamat Menyambut Ramadan.

08 Julai 2013

Niat Puasa Ramadan Kerja Hati

Ahmad Baei Jaafar

Niat masih dibincangkan oleh umat Islam meskipun sudah selalu diterangkan oleh tok-tok guru. Barangkali mereka belum pernah dengar, maklum sahaja tok guru itu bercakap di hadapan 100 orang, tetapi 1000 lagi yang tidak dengar. Jadi, persoalan itu terus ditimbulkan.
Sebenarnya, niat yang selalu dibincangkan ialah lafaz niat, sedangkan yang lebih penting ialah niat. Oleh sebab niat tidak dijelaskan dengan cara yang betul, maka timbul pelbagai tanggapan mengenainya. Sepatutnya isu niat tidak sukar untuk difahami kerana niat adalah kerja hati, bukan lidah.
Contoh mudah, seseorang yang keluar rumah untuk sesuatu distinasi, tentu sewaktu melangkah keluar itu dia telah berniat untuk ke satu tujuan. Bukan dia melangkah keluar mengikut gerak kaki, lalu penat berhenti, dan berjalan tanpa tujuan. Kalau dia keluar tanpa tujuan tentulah tiada niat khusus, maka kerjanya sia-sia.
Baiklah, jika dia berniat untuk pejabat sebagai contoh, adakah dia melafazkan sesuatu atau terus melangkah. Ya, kalau dia melafazkan dengan lidah untuk keluar ke pejabat, mungkin dia menyatakan demikian kepada isterinya atau temannya. Tetapi niat di dalam hatinya tidak siapa yang dengar. Allah sahaja yang mendengar malah Dia hanya mahu menerima niat hati hamba-Nya.
Dalam hal ini ulama menyediakan lazat niat adalah hanya sebagai panduan untuk kita berniat, bukanlah lafaz itu yang penting. Jadi, kalau kita baca lafaz niat itu belum lagi diterima, tetapi lafaz itulah yang perlu jelmakan dalam hati. Kalau begitu, niat bukanlah susah kerana tak perlu lafaz pada lidah, tak perlu disebut hingga mengganggu orang lain.
Sesuai dengan kedatangan Ramadan, saya contohkan di sini bagaimana kalau kita hendak berniat puasa Ramadan. Menurut Mazhab Syafi’i niat puasa Ramadan perlu dilakukan setiap hari pada malamnya sebelum terbit fajar. Lafaznya seperti yang tercatat dalam kitab ialah:
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ شَهْرِ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى
Itu lafaz dalam bahasa Arab, lafaz dalam bahasa Melayunya ialah: Aku berniat puasa esok hari dalam bulan Ramadan kerana Allah Taala.
Jadi, niat puasa yang sebenarnya ialah gerak hati seperti yang dilafazkan itu. Tentu niat itu tidak sampai sesaat, bahkan sedetik sahaja.
Berdasarkan itu, kalau seseorang itu bangun untuk bersahur, secara tidak langsung dia sudah berniat untuk berpuasa. Hal ini kerana bersahur hanya berlaku untuk ibadah puasa. Lainlah kalau dia bangun untuk bersolat tahajud, dan dikesempatan itu dia terus bersahur, maka ketika bersahur itu sudah dikira berniat untuk berpuasa.
Cuma kadang-kadang kita tidak sempat untuk bersahur kerana tak sedar. Untuk mengelak daripada terlupa atau tidak terbangun sahur, ulama mencadangkan kita menggunakan niat sebulan pada malam pertama. Pendapat ini bukan daripada Mazhab Syafi’i tetapi tidak salah kita meminjamnya untuk menyelamatkan keadaan. Lafaznya ialah
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كُلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى
Itu lafaz dalam bahasa Arabnya, dan lafaz dalam bahasa Melayu pula ialah, aku berniat puasa bulan Ramadan seluruhnya kerana Allah Taala.
Jadi, niat yang perlu dijelmakan dalam hati ialah seperti yang dilafazkan. Tidak perlu disebut dan dilafazkan oleh lidah. Mungkin dalam sekelip mata, niat itu sudah bertahta di hati kita. Dan niat ini hanya berlaku sekali pada malam pertama. Adapun pada malam-malam seterusnya niat harian masih diperlukan setiap malam. Dengan cara ini kalau mana-mana malah yang tidak sempat bersahur atau berniat, niat sebulan itu akan diambil kita.

Dengan penjelasan ini diharapkan umat Islam boleh menempuh puasa dengan baik lagi cemerlang. Maka di kesempatan ini saya mengucapkan selamat berpuasa dan melakukan segala ibadah bersangkutan dengan jayanya.