24 Jun 2013

Puasa elak penyakit tingkatkan taqwa

Ahmad Baei Jaafar

Selalu kita dengar orang berkata, jangan pentingkan diri sendiri, malah ustaz-ustaz juga sering mengingatkan anak muridnya supaya selalu mementingkan orang lain. “Jika kita selalu memberi nanti kita akan mendapat pulangannya,” kata pakar motivasi.
Persoalannya berapa ramai yang selalu memberi dan terus memberi, tetapi tidak mendapat pulangan yang sewajarnya? Tidak dinafikan, terdapat beberapa orang yang sering menyumbang hingga akhirnya dia pula yang jatuh miskin. Di manakah silapnya teori di atas.
Jawapan yang sering diterima ialah, boleh jadi dia tidak ikhlas dalam memberi, apatah lagi kalau dalam memberi itu dia mengharapkan pulangan pula. Ya keikhlasan hati kita amat besar nilaiannya di sisi Allah. Oleh sebab itu betulkan hubungan dengan Allah zahir dan batin.
Isu di atas ada kaitan dengan formula berikut,” dalam hubungan kita dengan Allah kita perlu pentingkan diri sendiri, tetapi dalam hubangan dengan manusia kita perlu pentingkan orang lain.” Pelikkan bunyinya, tetapi itulah kaedah yang sewajarnya dipraktikkan oleh umat Islam.
Oleh sebab kita sudah hampir masuk ke bulan Ramadan, formula ini cuba kita kaitkan dengan Ramadan dan amalan puasa. Sebaik sahaja kita melangkah masuk ke bulan Ramadan kita secara semula jadi akan berhadapan dengan Allah dan Manusia, malah akan lebih kerap mengadakan hubungan dengan dua pihak ini.
Hubungan dengan Allah
Puasa adalah ibadah yang menghubungkan manusia dengan Allah, sama juga dengan ibadah lain termasuk ibadah zakat.  Bukan itu sahaja, malah semua ibadah sunat mesti wujud hubungan antara manusia dengan Allah. Sebaliknya ibadah itu akan menjadi sia-sia jika dalam melakukan sesuatu ibadah hatinya terpaut kepada manusia.
Berdasarkan formula itu, apabila seseorang itu berpuasa, mereka perlu pentingkan diri sendiri. Maknanya mereka perlu pastikan bahawa sahur dilakukan mengikut peraturan yang sebaiknya. Semasa berpuasa pastikan mereka tidak melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa. Pada masa yang sama jangan pedulikan orang lain sama dia puasa ke, dia bersahur ke, dia jaga mata ke, tidak perlu diberi komen. Biar urusan mereka dengan Allah.
Pada waktu malam pula, kita bersiap-siap untuk melakukan solat sunat tarawih. Jadi, pastikan kita hadir awal dan solat Isya’ berjemaah dan sunatnya dengan sempurna. Kita perlu pastikan solat itu terbaik yang hendak kita persembahkan kepada Allah. Malah perlu kita pastikan yang solat sunat tarawih yang dilakukan terbaik dan paling sempurna. Sebaliknya jika terasa kurang disesali dan diusahakan peningkatannya.
Bayangkan jika semua umat Islam boleh jaga kepentingan diri sendiri dalam ibadah di atas, tentu mereka tiada masa untuk memikirkan kepentingan orang lain. Mereka tiada masa lagi untuk memikirkan ibadah orang lain sama ada betul atau tidak, sempurna atau tidak, sah atau tidak. Percayalah kalau kita tidak fikirkan kepentingan orang lain, kita telah selamat daripada dosa bertekak, dosa mengumpat dan dosa melakukan kerja yang sia-sia.
Kalau begitu kedudukannya, setiap kali kita berpuasa hubungan kita dengan Allah bertambah rapat dan tidak syak lagi dengan perhatian serius dalam hubungan ini akan menjadikan ibadah puasa kita itu lebih berkualiti. Ketika itu kita bukan sahaja sihat fizikal, malah sihat mantel dan segala-galanya. Hal ini kerana kita sudah tidak stres dalam memikirkan hal orang lain. Pada masa yang sama kita akan dianugerahkan sifat taqwa kerana takut untuk melakukan dosa terhadap manusia.
Hubungan dengan manusia
Dalam bulan Ramadan juga kita perlu melakukan hubungan dengan manusia seperti berniaga, bertolong bantu, berderma, memberi hadiah, nasihat ke arah kebaikan dan mengajar. Dalam menjayakan urusan ini, kita diminta supaya selalu menjaga kepentingan orang lain. Elak daripada mengambil kesempatan bagi faedah diri sendiri.
Seorang peniaga sebagai contoh, sewaktu menjual barangannya kepada pembeli perlu pastikan barangan itu berkualiti dan tidak rosak supaya pembeli mendapat manfaatnya. Tawaran harga yang ditetapkan perlu difikirkan nilainya berpatutan dan mampu dibayar oleh pembeli. Dan komunikasi antara penjual dan pembeli juga perlu dilunakkan agar tidak mengecilkan hati pelanggan.
Selain itu jika kita membuat juadah makanan untuk berbuka puasa pastkan baik, sedap dan banyak. Maka menjelang waktu berbuka puasa, bawakan sebahagian juadah itu ke rumah jiran. Semoga dengan itu mereka dapat merasai hasil kerja tangan kita. Biasanya jiran itu akan pulangkan kuih yang lain jika dia juga ada membuat kuih. Amalan seperti ini termasuk dalam menjaga kepentingan orang lain.
Begitu juga kalau kita boleh mengajar atau memberi nasihat kepada kawan-kawan dalam soal makruf tentu perbuatan itu termasuk dalam menjaga kepentingan orang lain. Dan amalan yang paling bermanfaat ialah membantu orang susah dengan berderma atau bersedekah dalam bulan Ramadan. Amalan ini semua akan dinilai oleh Allah sebagai kebajikan.

Percayalah dengan amalan menjaga kepentingan orang lain ini, taqwa kita akan meningkat dan bertambah baik. Paling baik lagi kalau amalan itu diteruskan walaupun selepas bulan Ramadan. Jadi, mana-mana umat Islam yang dapat menjaga kedua-dua kepentingan itu, sahlah mereka akan beroleh sehat dan taqwa.

11 Jun 2013

Kenapa Perintah Keluar Zakat Diremehkan?

Ahmad Baei Jaafar

Zakat kalau dilihat pada susunan rukun Islam berada di tempat ketiga selepas solat. Namun amalan mengeluarkan zakat ini jarang diperkatakan seperti yang selalu diulang-ulang pada ibadah solat. Apakah zakat tidak penting dalam Islam sepertimana pentingnya solat dan puasa? Padahal perintah zakat ini datang sekali dengan perintah solat.
Semua kita sedia maklum bahawa zakat wajib dikeluarkan berdasarkan al-Quran dan Sunnah juga Ijmak. Firman Allah:
!!$tBur (#ÿrâÉDé& žwÎ) (#rßç6÷èuÏ9 ©!$# tûüÅÁÎ=øƒèC ã&s! tûïÏe$!$# uä!$xÿuZãm (#qßJÉ)ãƒur no4qn=¢Á9$# (#qè?÷sãƒur no4qx.¨9$# 4 y7Ï9ºsŒur ß`ƒÏŠ ÏpyJÍhŠs)ø9$# ÇÎÈ  
Maksudnya: "Mereka tidaklah disuruh melainkan supaya menyembah Allah dengan penuh ikhlas demi agama yang lurus dan juga supaya mereka mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan yang demikian itu adalah agama yang teguh." (Surah al-Bayyinah :5)
Sehubungan dengan itu sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Islam dibangun di atas lima rukun; bersaksi bahawa tidak ada sembahan yang berhak disembah kecuali Allah dan Muhammad SAW adalah hamba dan utusan-Nya, menegakkan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji di Baitullah dan berpuasa di bulan Ramadan." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Berdasarkan dalil di atas, perintah mengeluarkan zakat ini bukan perkara kecil malah dikategorikan sebagai rukun Islam. Sebenarnya rukun adalah perkara asas yang menentukan kukuh atau tidaknya sesuatu binaan. Jadi, sudah tentu zakat merupakan rukun yang kuat setaraf dengan rukun-rukun yang lain. Merujuk kepada kepentingan, zakat diwajibkan adalah kerana dua sebab:
1.       Taabbud; tunduk dan patuh kepada perintah Allah
2.       Taawun; membantu golongan yang layak dibantu.

Sikap umat Islam terhadap zakat
Perintah mengeluarkan zakat ini semestinya ada kaitan dengan harta yang dimiliki oleh umat Islam. Sebenarnya harta yang saban hari dicari oleh umat Islam terdedah kepada halal dan haram, mungkin dalam kesebukan mencari harta itu, mereka terlepas pandang lalu termasuk juga harta yang haram. Namun dalam Islam sesuatu yang tidak dijangka boleh dimaafkan Allah. Ketika itu harta tersebut sudah menjadi milik mereka yang sah. Sungguhpun begitu, dalam harta tersebut terdapat hak orang lain juga. Maka hak orang lain itulah yang perlu dikeluarkan sebagai zakat.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka yang dengan zakat itu kamu dapat membersihkan dan mensucikan mereka." (Surah al-Taubah : 103)
Dalam ayat di atas Allah dengan tegas memerintahkan Rasulullah atau pemerintah sesuatu negeri agar mengambil sebahagian harta umat Islam sebagai zakat atas dua tujuan iaitu membersihkan harta dan membersihkan pemilik harta itu. Maknanya setiap umat Islam yang memiliki harta akan terjamin bersih hartanya sekali gus bersih diri mereka sendiri.
Cuma persoalan di sini, apakah sikap umat Islam terhadap perintah berzakat ini? Menurut laporan pihak yang mengurus zakat di negeri-negeri, jumlah pengeluar zakat amat rendah. Kalau dinisbahkan orang yang menunaikan solat 100 % maka pengeluar zakat tidak sampai 10%. Ini seolah-olah 90% lagi itu adalah golongan yang layak menerima zakat.
Jelas di sini ramai umat Islam yang belum layak untuk mengeluarkan zakat. Sungguhpun begitu mereka juga tidaklah semuanya layak untuk menerima zakat. Mengapa keadaan ini boleh terjadi? Apakah mereka tidak faham perintah Allah ini?
Sebenarnya umat Islam selama ini telah diberikan ilmu pengetahuan yang salah tentang ibadah zakat. Mereka telah diberitahu bahawa mereka yang tidak ada harta tidak perlu keluar zakat. Maka dengan fahaman itu, mereka tidak perlu membanyakkan harta. Apatah lagi apabila umat Islam selalunya diberi kefahaman bahawa pemburu harta dunia adalah anjing.
Selain itu umat Islam juga sering diingatkan bahawa zakat adalah ibadah orang-orang kaya. Atas fahaman itu, maka supaya harta kita tidak berkurangan jangan jadi kaya. Jadi, tidak perlulah keluar zakat. Biar hidup sederhana, bukankah Islam mengajar kita hidup secara sederhana. Jelas, mereka seolah-olah diajar supaya mengelak daripada aktiviti zakat.
Di samping itu umat Islam juga diajar bahawa harta zakat adalah hak orang fakir dan miskin. Oleh sebab itu sebahagian umat Islam berasa bangga kalau menjadi fakir dan miskin. Malah kalau mereka tidak terpilih sebagai asnaf, mereka akan marah dan terus merayu kepada pihak berkuasa. Sepatutnya umat Islam berasa malu kalau diisytiharkan miskin.
Memang pelik, umat Islam kini boleh berasa bangga dengan kemiskinan itu. Adakah ini kerana mereka ada terbaca sebuah hadis yang antara lain menyebut Rasulullah berdoa agar dia hidup miskin dan dibangunkan semula bersama golongan orang miskin.
Atas dasar itu barangkali mereka lebih rela jadi miskin dan dengan itu tidak perlu fikirkan soal zakat. Padahal dengan sikap itu mereka telah terlepas daripada satu rukun Islam yang asas iaitu zakat. Kalau begitu keadaannya kukuhkah Islam mereka tanpa zakat?

Ubah sikap sebagai pengeluar zakat
Umat Islam sepatutnya mengubah sikap ke arah menjadi pembayar zakat. Bukankah tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah, maka wajib kita berada di atas sebagai pembayar. Untuk merealisasikan perintah mengeluarkan zakat ini, umat Islam seharusnya berusaha agar mereka menjadi kaya raya, malah jutawan. Firman Allah yang bermaksud:
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan kepada mereka kekuatan (kekayaan) di atas muka bumi nescaya mereka akan mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka juga akan menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan." (Surah al-Hajj: 41)
Berdasarkan ayat itu Allah bersedia memberikan kekayaan kepada umat jika mereka mahu. Oleh sebab itu mereka perlu rebut peluang ini dengan bersungguh-sungguh. Jadi, umat Islam harus menjadi usahawan dan jutawaan supaya dengan itu mereka boleh melakukan ibadah dengan lebih baik lagi sempurna. Bukan sahaja mereka boleh melakukan solat dan zakat malah mereka juga akan aktif berdakwah.
Sebenarnya melalui konsep zakat ini, umat Islam tidak boleh duduk diam, sebaliknya merasa malu kepada Allah kalau tidak mampu mengeluarkan zakat. Oleh sebab itu kita perlu berazam untuk menjadi kaya malah jutawan. Namun pada masa yang sama mereka perlu hindari daripada sifat tamak dan bakhil kerana harta zakat yang dikeluarkan itu tidak akan menjadikan mereka miskin sebalik bertambah subur dan kaya.
Daripada Abdul-Rahman bin Auf daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda yang bermaksud: "Tiga perkara yang aku bersumpah kerananya: Tidak akan berkurang harta kerana sedekah maka sedekahkanlah dan tidaklah kemaafan seseorang lelaki kerana kezaliman yang dizalimi melainkan Allah tambahkan kepadanya kemuliaan, maka maaflah nanti Allah akan muliakan kamu. Dan tidaklah seorang lelaki yang membuka ruang masalah melainkan Allah akan membuka baginya pintu kefakiran." (Nuruddin al-Haitami Kitab al-Astar)
Jadi sebagai umat Islam kita perlu terus berusaha untuk menjadi kaya supaya dengan itu kita menjadi orang yang selalu memberi daripada menerima. Kalaupun kita belum cukup nisabnya kita boleh memberi sedekah sunat. Untuk mencapai ke tahap itu, kita tidak boleh menampakkan masalah atau membuka peluang kepada masalah kerana menurut hadis di atas Allah akan bukan pintu kekafiran kepada kita pula.
Percayalah kalau umat Islam boleh berazam untuk mengeluarkan zakat dalam jumlah yang banyak. Kita akan lihat hasil pencapaiannya. Ketika itu zakat akan dapat dikeluarkan mengikut kaedah dan sistem yang ditetapkan. Dan kesannya, zakat itu boleh diagihkan dengan sempurna kepada sasarannya. Namun sebaliknya jika orang kaya enggan mengeluarkan zakat mereka akan menerima akibat di akhirat nanti.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang Allah telah berikan harta kepadanya kemudian dia tidak menunaikan zakatnya maka pada hari kiamat nanti hartanya akan menjadi ular botak yang mempunyai dua titik hitam di atas kepalanya lalu mengalungkannya sambil berkata: "Aku adalah simpananmu, aku adalah hartamu". Kemudian ular itu membaca ayat: "Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang telah Allah berikan kepada mereka dari karnia-Nya, menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka, sebenarnya bahawa kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka, harta-harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan di lehernya kelak di hari kiamat." (Riwayat Bukhari Kitab Zakat 3:268 no.1403)

Inilah cara basmi kemiskinan
Bayangkan suatu hari nanti, negara kita dihuni oleh ramai ushawan, ahli korperat dan jutawan dari perbagai bidang, dan mereka pula setiap tahun mengeluarkan zakat, tentu ketika itu asnaf zakat akan memperoleh agihan zakat dalam jumlah yang besar. Bayangkan juga kalau semua asnaf boleh memperoleh setiap bulan sudah tentu mereka tidak akan meminta-minta lagi selepas itu.
Tetapi bagaimana kalau zakat yang dikeluarkan setiap tahun itu diagihkan kepada asnaf secara berpilih dengan harapan zakat itu boleh dijadikan modal perniagaan, sudah tentu dalam tempoh beberapa tahun lagi mereka sudah tidak perlu zakat lagi sebaliknya mereka pula yang akan mengeluarkan zakat. Saya difahamkan kerajaan Selangor melalui Lembaga Zakat Selangor telah mempelopori agenda ini, tetapi belum menyeluruh kerana pembayar zakat masih rendah.
Saya percaya, kalau jumlah pembayar zakat semakin bertambah, dan sistem pengagihan dapat disampaikan kepada sasaran dengan tepat pasti kita akan menikmati satu zaman seperti zaman Khalifah Umar al-Khattab yang susah untuk mencari orang yang miskin. Kalau ini yang terjadi pasti wang zakat boleh disalurkan ke baitulmal yang kemudiannya boleh digunakan untuk pembangunan negara.
Dengan cara ini, golongan fakir miskin boleh dibasmi secara beransur-ansur. Nanti zakat yang dikeluarkan itu boleh diagihkan kepada asnaf yang lain dalam jumlah yang besar juga.



10 Jun 2013

Kemesraan suami isteri bawa bahagia

Kebahagian rumah tangga menjadi idaman semua pasangan yang berkahwin. Bukan sahaja mereka idamkan semua itu pada awal perkahwinan tetapi sampai ke akhir hayat malah sampai ke dalam syurga.
Tetapi kadang-kadang idaman itu tidak tercapai kerana hanya beberapa punca yang kecil. Mungkin kerana suami mengharapkan sesuatu yang tidak difahami oleh isteri dan isteri pula mengharapkan sesuatu yang tidak difahami oleh suami.
Suka dijelaskan di sini, suami dan isteri masing-masing mempunyai rahsia yang mereka terpaksa simpan kerana tidak mampu untuk menjelaskannya secara lisan. Di sinilah titik mula masalah sebenar.
Dalam hal ini pasangan itu perlu memahami rahsia diri pasangannya secara pandangan mata hati dan merasainya melalui gerak hati. Dengan cara itu sahaja mereka dalam lakukan yang terbaik untuk keluarga mereka.
Tetapi kalau sesama mereka ada hijab yang menutup hati kecil mereka, pasti mereka tidak nampak apa yang dihajati pasangannya. Perlu diingat, untuk membuka hijab itu mereka perlulah bertolak ansur dan cuba menurunkan ego masing-masing terutamanya isteri.
Sebenarnya seseorang suami ada menyimpan beberapa rahsia yang malu untuk dijelaskan kepada isterinya kerana takut ditertawakan isterinya. Antara rahsia itu ialah suami mahu “bermanja” dengan isteri apatah lagi pada usia tuanya. Selain itu suami mahu dia dibelai dan hormati isteri sepanjang masa.
Supaya lebih jelas suka dipaparkan contoh terbaik dan yang pasti rujukannya ialah Rasulullah. Baginda adalah panduan kita ke arah memacu bahteri keluarga bahagia. Perhatikan dua perkara yang sering dilakukan baginda.
1. Berbaring dipangkuan isteri
Daripada Aisyah r.a, beliau berkata: "Nabi s.a.w. biasa meletakkan kepalanya di pangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian beliau membaca Al-Quran" (Hadis Riwayat Abdurrazaq).
Kalau para isteri sedar, suami anda sesekali menyandar dan menyentuh bahu anda. Malah kadang-kadang dia berbaring di atas paha anda. Itulah tandanya dia hendak bermanja.
Tetapi kadang-kadang isteri cuba mengelak dan bangun. Sebenarnya suami pada ketika itu akan berasa kecewa, tetapi dia tidak berani untuk melahirkan rasa kecewa itu.
Suami memang hendak bermanja dengan isteri, bukan sahaja pada waktu malam tetapi juga pada waktu berehat di siang hari.
Bayangkan kalau rasulullah mahu bermanja dengan isterinya, dan isterinya pula reda dengan sikap baginda, mengapakah isteri-isteri pada hari ini tidak boleh melakukan begitu juga.
Percayalah kalau suami boleh bermanja dengan suami, dan isteri sanggup melayan kehendak suami itu, pasti akan tercantum rasa sayang yang berkekalan. Pastinya, isteri yang memahami sikap manja suami itu akan diberi pahala oleh Allah.
2. Memanggil dengan panggilan mesra
Rasulullah s.a.w biasa memanggil Aisyah dengan beberapa nama panggilan yang disukainya seperti Aisy dan Umairah yang memberi maksud pipi merah bak delima.
Dalam budaya masyarakat kita, suami memanggil isterinya dengan namanya yang manja atau “yang” bagi maksud sayang. Ada juga yang menyebut “bib” yang bermaksud habibi, kekasihku dan banyak lagi. Sebaliknya isteri akan memanggil suami dengan panggilan “abang” atau “bang” yang juga dengan nada manja.
Panggilan sebeginilah yang akan membuahkan rasa sayang sentiasa berputik di hati suami. Namun begitu terdapat juga panggilan manja kerana sudah biasa dengan panggilan itu. Lahirnya panggilan itu bukan kerana ikhlas dari hati lagi.
Dalam masyarakat Melayu, panggilan manja itu lazimnya hanya berlaku pada awal perkahwinan, tetapi semakin pudar apabila sudah beransur tua. Malah mereka malu untuk memanggil dengan panggilan manja, kononnya malu kepada anak dan cucu. Inilah keadaan yang tidak kena kepada masyarakat kita, malah sikap mereka jauh daripada kehendak Rasulullah.
Seharusnya sebagaimana suami memanggil isteri dengan kasih sayang itulah yang sepatutnya disambut oleh isteri. Panggilan mersa pada setiap kali memulakan ucapan dan kata-kata merupakan sentuhan yang boleh membangkitkan rasa sayang antara mereka.
Jadi, binalah kemesraan dengan saling manja bermanja dan sebagainya. Semoga kita beroleh bahagia. Wallahu aklam.

01 Jun 2013

Fahami tiga kuasa suami demi kebahagiaan

Ahmad Baei Jaafar

Berbicara persoalan nikah ramai yang suka dengar. Orang yang duduk jauh pun akan datang dekat untuk mendengar perbincangannya. Tetapi kalau bercakap soal talak atau cerai ramai yang berkedut dahi, takut hendak membincang halnya lebih lanjut. Kenapa? Bukan kah kita perlu fahami dan dalami persoalan tentang cerai atau talak sama seperti nikah supaya hidup kita terarah kepada panduan yang betul?
Memang orang yang tahu dan faham berbeza dengan yang tidak tahu, berbeza sifatnya, berbeza perangainya, berbeza tindakannya. Orang yang tahu dan faham hukum Allah mereka akan berhati-hati dalam sebarang tindakan. Pada mereka semua yang hendak dilakukan mesti mengikut kehendak Allah dan rasul-Nya.
Sebenarnya dalam Islam ada tidak perkara yang perlu kita tahu. Hal ini kerana perkara tersebut jika dilakukan dengan serius akan jadi, dan jika bergurau juga akan jadi. Rasulullah bersabda:
ثَلَاثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ ، وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ
Yang bermaksud: “Tiga perkara yang apabila seseorang itu bersungguh-sungguh maka natiahnya berlaku sungguh-sungguh dan apabila dia bergurau, maka natijahnya tetap berlaku sungguh-sungguh. Tiga perkara itu ialah perkahwinan, talak dan rujuk.” (Riwayat Imam Tarmizi dan Ibnu Majah)
Berdasarkan hadis itu, seorang bapa kepada anak dara mahupun janda tidak boleh bergurau soal perkahwinan. Kalaupun secara berseloroh dia mengahwinkan seseorang lelaki dengan anak perempuannya, maka sah. Begitu juga dengan seorang suami tidak boleh bergurau dalam soal talak, kerana talak yang diucapkan itu sudah sah. Begitu juga dengan pasangan yang baru bercerai tidak boleh bergurau soal rujuk. Rujukan suami itu akan dikira sah.
Kedudukan hukum di atas sama sahaja dengan seseorang yang berada dipentas lakonan. Sebagai contoh yang mudah, jika pelakonnya terdiri daripada pasangan suami isteri dan mereka memegang watak yang sama seperti namanya, maka ucapan talak suami ketika itu dikira sah. Walau bagaimanapun kalau kedua-dua pelakon di atas melakonkan watak orang lain, maka ucapan talak itu tidaklah jatuh dengan sebab itu. Apatah lagi kalau pelakon itu bukan suami isteri.

Kuasa Suami
Allah menetapkan lelaki sebagai pemimpin, maka sebab itu seseorang suami diberi kuasa tertentu yang kuasa itu tidak diberikan kepada isteri. Tujuan kuasa itu diberi kepada suami adalah untuk mengekalkan keharmonian sesebuah perkahwinan. Suami diberi kuasa tersebut kerana lazimnya lelaki lebih sabar, lebih berhati-hati dan lebih ilmunya.
Sebenarnya suami dibekalkan kuasa mutlak berdasarkan hadis di atas. Kuasa itu adalah alat penting dalam menjaga keharmonian rumah tangga. Namun kuasa atau alat itu perlu disimpan rapat di dalam hatinya. Kuasa yang dimaksudkan ialah talak, iaitu kuasa yang hanya boleh digunakan apabila sangat-sangat diperlu demi kebaikan rumah tangga mereka.
Supaya suami benar-benar menjaga kuasa ini agar tidak digunakan sewenang-wenangnya, Rasulullah memberi peringatan yang berupa ancaman. Sabda Rasulullah SAW:
أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقُ .(ابن ماجه)
Maksudnya: Seburuk-buruk perkara halal di sisi Allah ialah Talak.” (Riwayat Ibnu Majah)
Memahami hadis daripada Abdullah bin Umar ini, Allah mahu umatnya hidup damai dan bersefahaman. Walaupun talak itu dihalalkan oleh Islam tetapi perbuatan dan tindakannya amat dibenci Allah. Oleh sebab itu berhati-hatilah dalam menggunakan kuasa talak ini kerana padahnya bukan kepada suami sahaja tetapi kepada isteri dan anak-anaknya.
Selain kuasa suami di atas, apabila dia menjadi bapa, kuasanya ditambah lagi menjadikan keseluruhannya tiga kuasa. Kuasa ini juga perlu difahami sebaiknya jika dia sayangkan anak kelahiran mereka. Jika kuasa itu digunakan secara salah, yang menderitanya adalah anaknya sendiri. Oleh sebab itu fahamilah kuasa tersebut dengan baik.
  1. Nikah, bapa tidak boleh sewenang-wenangnya menikahkan anak gadisnya dengan lelaki tanpa diselidiki latar belakang agama dan keturunannya. Walaupun bapa ada kuasa penuh, menikahkan anak tanpa persetuan anak sendiri adalah satu penyelewengan kuasa.
  2. Talak, suami walapun benci kepada isterinya, tidak boleh bertindak menceraikannya kerana anak-anak mereka akan kehilangan kasih sayang ibu dan bapa. Demi anak berhemahlah dalam menggunakan kuasa talak.
  3. Rujuk, suami yang masih sayangkan isteri dan anak-anak renunglah kehidupan lampau. Insafilah kesilapan lampau. Jika mereka benar-benar insaf dalam tempoh iddah bolehlah rujuk kembali. Tapi ingat, rujukan itu bukan kerana kehendak nafsu sahaja.
Kuasa suami ini perlu digunakan sebaiknya bagi pasangan yang rindukan kehidupan dalam syurga. Oleh sebab itu, jangan pilih jalan perceraian kerana bimbang dengan sebab itu mereka tidak berpeluang untuk masuk ke dalam syurga. Dan kalaupun salah seorang boleh masuk syurga, tentu pasangan itu tidak akan bertemu lagi. Itulah sebabnya mengapa Allah membenci talak itu.

Kunci Bahagia Pada Isteri
Selain suami perlu menyimpan kuasa talak, isteri pula perlu menjaga kunci kebahagiaan agar suami boleh masuk ke dalamnya bila-bila masa yang diperlukan. Kunci yang ada pada tangan isteri perlu berada dalam keadaan bersedia agar suami boleh masuk ke dalamnya dengan hati yang ceria dan tenang. Tetapi jika isteri menyalahgunakan kunci itu, bukan sahaja suami yang menderita malah anak-anak juga menerima nasib yang sama.
Untuk memestikan kunci itu dapat digunakan dengan baik, beberapa adab perlu diberi perhatian oleh isteri. Antara perkara yang penting ialah:
1. Jaga adab suami isteri, maka dalam hal ini isteri perlu meminta izin suami dalam semua aktiviti. Tetapi bagi suami, dia hanya cukup dengan memberitahu segala aktiviti. Selain itu isteri juga boleh meminta bantuan suami untuk membuat sesuatu bukan memerintah atau menyuruh dia membantu kerja-kerja isteri.
2. Jaga syariat, selain menunaikan solat fardu dan sunat, puasa fardu dan sunat isteri perlu menjaga aurat dan maruah diri dan maruah suami. Selain itu isteri perlu taat perintah dan kehendak suami selagi perintah itu tidak melanggar syariat. Contoh mudah dalam hal ini, suami ingin bersama isteri sewaktu dalam haid, maka tiada ketaatan dalam hal ini kecuali sentuhan pada bahagian selain di antara pusat dengan lutut.
3. Jaga emosi suami. Emosi suami boleh berubah bergantung kepada apa yang dialaminya baik di pejabat, jalan raya dan di rumah. Dalam keadaan ini isteri boleh mengawal emosi suami agar tenang dan bahagia semula. Sambutlah kepulangan suami dengan senyuman walaupun anda bermasalah, berikan pelukan sayang bersama air penyejuk hati. Berikan peluang kepada suami berehat jika dia mahu. Ketika itu segala masalah yang di dalam fikirannya akan dilupakan dengan sekelip mata.

Suami Tak Cakna
Tidak dinafikan dalam banyak-banyak pasangan yang berkahwin terdapat suami yang bermasalah. Terdapat suami yang tidak cakna dalam pergaulan dengan isteri, dia tetap dengan panas barannya walaupun isteri amat penyabar. Sebenarnya suami seperti ini sememang bermasalah sebelum mereka berkahwin lagi.
Mungkin pada waktu itu wanita tersebut tidak dapat mengesan keburukan bakal suaminya. Atau mungkin sudah dapat mengesannya, cuma dia bersangka baik bahawa perangai buruknya itu boleh berubah setelah berkahwin. Atas keyakinan itu mereka teruskan niat berkahwin. Tetapi biasanya andaian itu salah.
Lazimnya lelaki seperti itu apabila menjadi suami, dia tidak boleh sabar dengan karenah isterinya. Apabila dia menghadapi masalah dalam rumah tangga dia akan menyalahkan isterinya. Kadang-kadang boleh berlaku pergaduhan yang berpanjangan. Isu yang pada asalnya kecil bertukar menjadi besar hingga sukar dibendung lagi.
Selain itu ada juga suami yang tidak nampak kebaikan isterinya, malah isteri yang sering membantu kerja-kerjanya dia tidak mahu menghargainya. Pendek kata dia tidak peka dengan sikap isteri dan keadaan di sekelilingnya. Hasil tinjauan rambang sikap suami seperti ini berpunca daripada tidak taat kepada Allah dan tidak patuh kepada ajaran Islam.
Benar, suami seperti ini tidak solat atau cuai solat. Malah kalau isterinya hendak solat pun dia larang. Mereka ini bukan tidak tahu tentang agama tetapi lebih mementingkan kehendak nafsu. Tetapi apabila kehendak nafsu tidak tercapai akan berlaku pergaduhan. Keluarga seperti inilah yang sering membawa kepada perceraian.
Walau bagaimanapun kalau isteri pandai mengawal keadaan masalah ini tidak akan berpanjangan. Allah menyangi hambanya yang beriman walaupun imannya senipis kulit bawang. Walaupun nafsu amarah melonjak, namun perceraian tidak berlaku. Kalaupun berlaku juga mereka akhirnya menyesal dan rindukan pasangan masing-masing.
Ya, selagi isteri dalam tempoh iddah, tentu suami ada hak untuk merujuk kembali kepada perkahwinan mereka yang asal. Dalam mazhab Syafi’I, suami ada kuasa rujuk walaupun tanpa keizinan isteri. Semoga dengan kesedaran baru ini hubungan suami isteri akan lebih baik dan bahagia.

Sungguhpun begitu, setiap pasangan suami isteri wajar terus mempelajari ajaran Islam dan memahaminya dengan betul. Percayalah dengan pengetahuan yang jelas mereka boleh hidup bahagia tanpa gangguan luaran mahupun dalaman.