25 Februari 2013

Beza haiwan ternakan dengan haiwan liar



Saya teruja dengan tamsilan tok guru Datuk Nik Aziz Nik Mat tentang sumbangan BR1M kepada rakyat oleh kerajaan seperti memberi kepada binatang. Tamsilan ini nampak keras sehingga sesetengah pihak mendakwah orang yang menerima BR1M itu haiwan. Melihat kepada kenyataan asal dengan yang difahami oleh pihak lawan saya dapati pihak terbabit menggunakan pendekatan yang berbeza.
Jelas Nik Aziz mengunakan pendekatan ilmu balaqah (sastera) dan pihak satu lagi pula mengunakan pendekatan mantiq. Dalam hal ini orang awam yang tidak memahami pendekatan itu mula keliru dan sesetengahnya tidak menemui jawapan yang sebenar. Yang pastinya penyokong parti tetap tidak berganjak.
Suka yang menjelaskan di sini kedua-dua pendekatan tersebut semoga dengan itu kita dapat temui siapa yang lebih bijak dalam mengatur sterategi politik.
Balaqah:
Kata Nik Aziz; “langkah kerajaan Persekutuan memberi bantuan wang termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) kepada rakyat umpama memberi makanan kepada haiwan, untuk menarik sokongan.”
Maksud kata-kata tersebut, sumbangan kerajaan seperti memberi makan haiwan untuk menarik sokongan. Pihak yang memberi sumbangan ialah kerajaan, merekalah yang sedang memberi makan kepada haiwan. Pihak yang menerima bantuan itu diibaratkan seperti haiwan yang sedang dipelihara oleh tuannya iaitu kerajaan. Apabila disebut seperti atau umpama, maknanya manusia yang menerima itu bukanlah haiwan tetapi seolah-olah haiwan yang kelaparan. Mereka dahagakan sumbangan kerajaan.
Bayangkan haiwan yang dikurung, tak tahu nak buat kerja untuk makan seharian, tiba-tiba dapat makanan, berserebulah mereka walaupun sekadar untuk mendapat sebutir beras. Bayangkan berapa ramai rakyat Malaysia yang bertaraf “tak cukup makan”, yang selama ini tidak dibela. Cuma mereka bernasib baik pada saat akhir (nak pilihanraya) mereka dapat juga makan. Kesian rakyat Malaysia yang bertaraf haiwan ternakan.
Beruntung kalau kita menjadi haiwan liar yang terlepas bebas mencari makan di mana-mana.  Di mana sahaja ada rezeki mereka boleh ambil. Kerajaan bagi mereka ambil kerana itu hak mereka dan kalau kerajaan tak beri pun tidak mengapa, kerana rezeki Allah itu amat luas.
Mantiq:
Kata Nik Aziz; “langkah kerajaan Persekutuan memberi bantuan wang termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) kepada rakyat umpama memberi makanan kepada haiwan, untuk menarik sokongan.”
Mereka tidak lihat siapa yang memberi bantuan tetapi terus kepada orang yang menerima bantuan kerajaan iaitu seperti haiwan. Maka dengan itu mana-mana orang PAS yang menerima bantuan BR1M itu adalah haiwan. Jadi Nik Aziz seolah-olah mengatakan orang PAS haiwan. Kesian orang PAS yang mengambil BR1M, walaupun wang itu hak rakyat dan mereka layak mengambilnya namun dihina secara tidak langsung.
Antara dua pendekatan itu,  pendekatan balaqah lebih tajam kerana menampakkan betapa zalimnya kerajaan membiarkan rakyat tanpa pembelaan dan mereka kini mengharapkan bantuan kerajaan untuk terus hidup. Yalah, kita selalu dengar ucapan mereka yang menerima: “Terima kasihlah dapat sumbangan kerajaan, dapat juga menampung keperluan harian.”
Sebaliknya rakyat terutama orang PAS tidak terkesan dengan pendekatan mantiq kerana mereka tidak percaya Nik Aziz sanggup menghina mereka sebegitu. Malah mereka meletakkan diri mereka sebagai haiwan liar yang boleh terbang bebas mengambil apa sahaja rezeki yang ada di hadapan mata.
Selain itu, mereka yakin orang PAS tidak mengisi borang untuk BR1M. Manakala gambar  peserta yang memakai baju T “bersih” yang dibesarkan dalam media itu bukanlah orang PAS, tetapi orang yang diupah supaya memakai baju tersebut untuk majlis tersebut.
Namun anda lebih layak menentukan siapa yang lebih bijak. Walau bagaimanapun sebagai umat Islam kita harus berhati-hati dalam setiap ucapan agar tidak menyinggung mana-mana pihak apatah lagi sewaktu pilihan raya nanti. Sebaiknya sebagai orang parti kita harus mengambil peluang berkempen secara bersih iaitu mempromot kehebatan dan kemampuan kita, tanpa memburukkan produk orang lain. Biar rakyat yang menilai kemampuan kita.

02 Februari 2013

Ciri-ciri ulama suk mudah dilihat


Ahmad Baei Jaafar

Ulama suk atau yang diistilahkan sebagai fasik boleh kita lihat secara jelas pada akhir zaman ini. Ulama fasik yang disebut dalam hadis adalah pakej yang Allah datangkan pada akhir zaman bersama dengan ahli ibadah yang jahil. Hal ini kerana ulama pada akhir zaman tidak begitu berperanan dalam mendidik umat Islam ke arah ibadah yang betul.
Hadis yang dimaksudkan ialah:
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " يَكُونُ فِي آخِرِ الزَّمَانِ عُبَّادٌ جُهَّالٌ ، وَعُلَمَاءُ فُسَّاقٌ " . ابن حبان
Maksudnya, daripada Anas r.a dia berkata, Sabda Rasulullah: “Akan berlaku pada akhir zaman ahli ibadah yang jahil dan ahli ilmu yang fasik.” (Riwayat ibnu Hibban)
Wujudnya ahli ibadah yang jahil mungkin tidak memeranjatkan kita kerana mereka menjadi jahil kerana tidak diajarkan ilmu yang betul oleh ulama atau mereka tidak mahu belajar ilmu yang betul daripada ulama. Tetapi bagaimana dengan ulama fasik, bagaimana pula boleh wujud ulama fasik sedangkan ulama itu adalah dalam kalangan orang yang cerdik pandai Islam. Inilah yang perlu kita lihat secara tepat sekali gus mengenali ciri-ciri ulama fasik ini.
Sebelum mengenal pasti ciri-ciri ulama fasik itu, elok juga kita memahami maksud fasik. Sebenarnya fasik kalau kita sandarkan kepada seseorang bermakna dia itu mengekalkan dosa besar dan meremehkan dosa kecil. Jadi kalau ulama fasik bererti ulama itu mengekalkan dosa besar dan meremehkan dosa kecil. Bayangkan kalau ulama ini berada di dunia ini, sudah pasti akan menjadi masalah kepada masyarakat dan negara.
Apa tidaknya, ulama yang mengekalkan dosa besar mengajar umat Islam, tentu ilmu itu tidak berkat atau ilmunya tidak tepat atau terseleweng. Maka dengan sebab itu lahir ahli ibadah yang jahil. Jelas, wujudnya dua golongan ini menjadi cabaran kepada Islam akhir zaman, malah mereka inilah yang banyak mengganggu perkembangan Islam.
Rasionalnya begini, apabila pendakwah cuba mendekati para ahli ibadah yang jahil, cuba didik mereka ke arah membetulkan cara mereka melakukan ibadah, tiba-tiba datang ulama rosak ini dengan beberapa ulasan yang meremehkan ilmu yang disampaikan itu. Kesannya, mereka yang baru hendak disedarkan itu terus tawar hati dan kembali kepada asal.

Ciri-ciri Ulama Fasik
Secara umumnya ulama ini akan selalu menyanggah pandangan dengan apa yang dibawa oleh ulama amilin, apatah lagi suara mereka disokong oleh golongan ramai. Walaupun secara zahirnya, kita tidak dapat membezakan antara dua golongan ulama ini di sudut pakaian dan percakapan, namun kita dapat menilai mereka melalui tindakan dan kesan daripada tindakannya. Antara ciri-ciri ulama fasik ialah:
  1.  Takut untuk menyampaikan kebenaran
  2.  Menyembunyikan ajaran sebenar
  3. Perjuangan kerana dunia yang ditawarkan
  4. Cakap berbolak balik dalam sesuatu isu atau tidak berani berterus terang
  5. Hasad dengki dengan yang lain
  6. Bercakap agama atas kepentingan orang lain.

Untuk mudah kita kenali ulama ini suka saya membawakan satu contoh terdekat iaitu isu perkataan Allah. Baru-baru ini ramai ulama bercakap tentang perkataan Allah, namun tidak seorang pun sanggup menjelaskan dengan baik sesuai dengan kehendak Allah. Akhirnya orang ramai termasuk orang politik memahaminya secara tidak tepat.
Isu asalnya amat kecil iaitu memohon kebenaran menggunakan kalimat Allah bagi menggantikan perkataan God dalam bible berbahasa Melayu. Isu ini boleh selesai dengan mudah iaitu dengan menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah tidak tepat bagi menggantikan God, sebaliknya adalah lebih tepat kalau mereka menggunakan kalimat Tuhan. Siapakah dalam kalangan ulama yang berani menjelaskan hal ini kepada orang Kristian?
Kalau mereka masih berdegil mahu menggunakan perkataan itu, kita boleh tanyakan kepada mereka untuk apa digantikan Allah dalam bible Melayu sahaja? Belumpun mereka memberi alasan, boleh kita jelaskan begini, kalau bible dalam bahasa Melayu menyebut Allah sudah tentu untuk tujuan menarik perhatian orang Melayu. Perbuatan ini adalah salah dan melanggar Perlembagaan Persekutuan, maka janganlah diteruskan demi perpaduan. Adakah mana-mana ulama kerajaan yang cuba menjelaskan begitu?
Jelas, tiada ulama yang berani menjelaskan begitu kepada mereka. Sebaliknya mereka mengulas bukan merujuk kepada isu sebenar. Lalu lahirlah pelbagai pandangan yang antaranya, “siapa yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah adalah kafir.” Pandangan ini sepatutnya bukan lahir daripada seorang ulama.
Ulama sepatutnya bukan sekadar ulas tetapi memberi ilmu kepada umat Islam termasuk pemimpin politik; “Allah adalah tuhan sekelian Alam, tuhan manusia tuhan binatang dan tuhan alam seluruhnya.” Kita wajib bertuhankan Allah tanpa syirik tanpa sekutu dengan yang lain. Inilah yang sepatutnya diulang-ulang ke telinga umat Islam. Perlu dijelaskan juga, selain orang Islam ada golongan lain yang dinamakan kafir dan ada lagi yang dinamakan musyrik, mereka ini menyengutukan Allah dengan tuhan-tuhan lain.
Sebenarnya Umat Islam juga boleh menjadi musyrik sama seperti orang yang bukan Islam jika mereka bertuhankan harta, bertuhankan pangkat dan jawatan di samping beriman dengan Allah. Bahkan orang Kristian juga termasuk dalam golongan musyrik kerana mereka turut bertuhankan Isa dan Mariam di samping percaya kepada Allah.
Selain itu kita tidak boleh nafikan agama hindu, budha dan lain-lain juga percaya kepada Allah tetapi Allah itu telah disyirikkan dengan patung dan berhala. Ilmu ini perlu dijelaskan kepada umat Islam dari sejak kecil lagi. Bahkan kalau mampu maklumkan juga kepada orang bukan Islam. Mereka juga hendakkan maklumat yang betul. Sama ada mereka hendak terima atau tidak terserah kepada mereka. Allah yang boleh memberi hidayah kepada mereka.
Kalau ilmu ini dapat dijelaskan kepada anak-anak kita, apa yang hendak dibimbangkan kalau ada risalah bible disebarkan ke sekolah-sekolah. Mereka tidak akan terpengaruh dengan sebaran itu kerana ilmu asas sudah tertanam dalam kepala mereka. Tetapi, kalau ilmu ini tidak disampaikan kepada mereka, itulah sebabnya mengapa mereka bising dan riuh rendah degnan isu sebaran risalah itu di sekolah baru-baru ini.
Saya hairan, mengapa sukar sangat ulama kita untuk menjelaskan hal ini kepada umum. Kita takutkan siapa? Kita akur dengan larangan menggunakan beberapa perkataan khusus untuk Islam seperti yang diwartakan. Tetapi kita tidak ada hak untuk menghalang orang lain menyembah Allah kerana Allah adalah tuhan sekelian alam.

Syirik tempatnya neraka
Soal mereka syirik kepada Allah tidak timbul sebab keadaan mereka telah dijelaskan dalam al-Quran. Mereka yang syirik tempatnya adalah neraka walaupun mereka beriman kepada Allah. Malah orang Islam sendiri kalau syirik kepada Allah, nerakalah tempatnya.
Tegasnya, ulama yang tidak berani menjelaskan semua ini dengan betul, maka hakikatnya mereka tergolongan dalam ulama fasik. Bagaimana dengan anda? Marilah kita bertaubat dan kembalikan peranan kita dalam menyampaikan ilmu kepada semua pihak. Percayalah kalau ulama kita bangun nescaya anak-anak kita boleh terima dan faham tentang Allah sekali gus tidak mensyirikkan Allah. Pada masa yang sama kita boleh jelaskan kepada mereka yang bukan Islam, agar mereka faham dan kemudiannya memeluk Islam. Inilah kerja ulama amilin.
Ingatlah ulama fasik atau suk selain tidak ada tempat di sini Allah di akhirat nanti, mereka di dunia ini akan dibenci oleh orang ramai. Hal ini dijelaskan oleh hadis berikut:
عَنْ أَبي بَكْرٍ ، يَقُولُ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "مَنْ يَعْمَلْ سُوءًا ، يُجْزَ بِهِ فِي الدُّنْيَا." أحمد بن حنبل
Maksudnya, daripada Abu Bakar dia berkata sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang melakukan kerja jahat akan dibalas di dunia ini lagi.” (Riwayat Ahmad ibnu Hanbal)
Jadi, hentikan kerja jahat, lakukan kebaikan dan sebarkan Islam dengan penuh tanggungjawab. Kita tentu tidak sanggup dihukum Allah di dunia ini lagi. Kita tidak mahu dihina dan dicaci masyarakat kerana kita sangat perlukan masyarakat. Wallahu aklam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...