26 September 2012

Fahami Hak dan Tanggungjawab dalam membina rumah tangga


Ahmad Baei Jaafar

Masyarakat Melayu pada zaman ini sesetengahnya terpengaruh dengan kehidupan budaya Barat. Mungkin kerana banyak sangat menonton drama atau filem dari Barat. Malah drama dan filem tempatan juga memaparkan cerita persis drama kehidupan orang Barat. Lalu dengan sebab itu suami isteri melayari rumah tangga mengikut cita rasa yang dipaparkan itu.
Umat Islam pasca merdeka jauh daripada peraturan Islam kecuali masyarakat kampung yang tidak terdedah dengan kehidupan Barat. Rata-ratanya masyarakat bandar hidup seperti tiada peraturan tertentu kecuali apa yang dilihat pada kehidupan orang-orang terdahulu. Selebihnya mereka terpengaruh dengan filem atau drama. Ada yang lebih malang daripada itu, merek tidak mahu mendirikan solat secara istiqamah.
Mereka ini walaupun tahu, suami adalah pemimpin yang wajib memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak yang dilahirkan, tahu juga sebagai isteri wajib taat kepada suami dan menyediakan keperluan suami secukupnya namun tidak mampu dipatuhinya. Pada mereka peraturan itu sudah tidak releven lagi pada masa ini.
Sering berlaku dalam masyarakat kita, isteri keluar rumah tanpa meminta izin suami. Ada juga suami yang tidak berusaha mencari keperluan hidup kerana isterinya sudah mempunyai pendapatan yang besar. Manakala anak-anak boleh keluar masuk rumah tanpa perlu memuliakan atau menghormati ibu bapanya. Semua ini bertitik tolak daripada kekurangan ilmu pengetahuan agama yang dimiliki oleh mereka.

Hak dan tanggungjawab
Hak dan tanggungjawab adalah dua hukum yang berlainan tetapi sebahagian umat Islam tidak memahaminya malah kadang-kadang bertukar antara keduanya. Hak ialah sesuatu yang menjadi keperluan, wajib dipenuhi. Maka suami ada hak atau keperluan yang wajib dipenuhi, begitu juga isteri ada hak yang wajib dipenuhi.
Hak suami dan hak isteri tidak sama, tetapi kedua-dua hak itu kalau dapat dipenuhi akan menjadi kehidupan mereka bahagia dan tenang. Maknanya hak suami dan hak isteri saling kait mengait. Firman Allah yang bermaksud:
Para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf.” (Surah al-Baqarah : 228)

Begitu juga dengan suami jika difahami ayat itu secara terbalik iaitu, “para suami mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf.” Ertinya hak yang dimiliki oleh seorang isteri atas suaminya sama seperti hak suami atas isterinya dari sudut masing-masing mesti mematuhi baik perintah mahupun larangan Allah. Oleh sebab itu Ibn Abbas pernah berkata:
Sesungguhnya aku suka berhias untuk isteriku, sebagaimana ia berhias untukku. Aku pun suka meminta agar ia memenuhi hakku yang wajib dia tunaikan untukku, sehingga aku pun memenuhi haknya yang wajib aku tunaikan untuknya.”  

Tanggungjawab suami bermaksud beban yang dipikulkan kepada suami dan begitu juga tanggungjawab isteri, maka isteri dipikulkan kepada isteri supaya memenuhi hak suami. Suami sebagai contoh dipikulkan beban melindungi isteri, memberi nafkah dan mendidiknya. Tanggungjawab ini tidak boleh diabaikan kerana sabda Rasulullah SAW bermaksud:
Engkau (suami) harus memberinya makan jika engkau makan dan memberinya pakaian jika engkau berpakaian. Janganlah engkau menempeleng wajahnya, janganlah engkau menghinanya, dan jangan pula membiarkannya kecuali di dalam rumah.” (Riwayat Ahmad, Abu Dawud, Ibn Hibban)

Isteri juga dipikulkan tugasan bagi memenuhi keperluan atau hak suami. Contoh dalam hal ini ialah isteri dipertanggungjawabkan menjaga tempat tidur suami. Maka isteri tidak boleh meninggal tempat tidur suami selagi suami berada di rumah. Apabila isteri berjaya memikul beban ini dengan sempurna, akan bahagia dan tenanglah suami dan isteri tersebut.

Bina keluarga dengan ilmu yang betul
Suami isteri perlu mengambil pendekatan menghayati ilmu Islam sebelum dan semasa membina rumah tangga. Selain menghadiri kursus pra perkahwinan selama dua hari, mereka masih perlu membaca ilmu tentang rumah tangga Islam dalam buku-buku yang tersedia dijual di pasaran. Ilmu yang penting dalam rumah tangga ialah tentang hak dan tanggungjawab masing-masing.
Perhatikan carta berikut:
Hak Suami
Tanggungjawab Isteri
Dihormati
Tidak membawa masuk ke rumah orang yang dibenci suami, meminta izin ketika keluar rumah
Disayangi dan dihargai
Menerima seadanya pemberian suami
Ditaati
Taati perintah suami selagi tidak melanggar hukum
Dilayani
Tidak meninggalkan tempat tidur suami

Hak Isteri
Tanggungjawab Suami
Mendapat nafkah secukupnya
Menyediakan makanan, pakaian dan tempat tinggal
Dilindungi maruah
Menjaga keselamatan isteri, sentiasa berada di dalam rumah
Disayangi
Tidak memukul muka isteri, tidak menghinanya dan membelai tubuh isteri dengan penuh kasih sayang
Diadili dan mendapat keadilan
Memberi secukupnya keperluan isteri terutama yang bermadu

Dengan memerhatikan hak dan tanggungjawab dua belah pihak, kita dapati antara satu sama lain ada kait mengait dan sokong menyokong. Maknanya apabila kedua-dua belah pihak menunaikan hak masing-masing akan terbina kasih sayang yang kukuh. Hal ini kerana hak masing-masing telah dipenuhi pasangan dengan sebaiknya.
Di sini suka saya contohkan satu hak dan tanggungjawab iaitu hak isteri untuk disayangi, selain dia tidak dihina suami, keperluan seksual isterinya diberi perhatian serius. Malah dalam Islam sekurang-kurangnya empat bulan sekali perlu dipenuhi jika keadaannya tidak mengizinkan. Maknanya kalau suami dengan sengaja meninggalkan atau mengabaikan seksual isteri dalam tempoh itu adalah satu kesalahan.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Kepada orang-orang yang hendak bersumpah untuk menjauhkan dirinya daripada isteri-isterinya, bagi mereka ada masa tangguh sampai empat bulan. Kemudian jika mereka kembali kepada isterinya maka sesungguhnya Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Baqarah : 226)

Walau bagaimanapun dalam keadaan biasa seseorang isteri itu perlukan belaian suami sekurang-kurangnya sekali dalam setiap empat hari. Pada zaman Umar bin al-Khattab ketetapan semacam ini pernah dilakukan berdasarkan firman Allah yang bermaksud:
Nikahilah wanita-wanita yang kalian senangi dua, tiga, atau empat.” (Surah an-Nisa’ : 3)

Difahami daripada maksud ayat di atas, jika seorang suami itu mempunyai empat orang isteri (maksimum) maka jarak giliran antara setiap orang isteri adalah empat hari. Oleh sebab itu, empat hari adalah had maksimum bagi suami melayani isteri. Maknanya, walaupun isterinya hanya seorang, panduan ini masih boleh dipakai.
Bayangkan kalau hak isteri ini dipenuhi suami dengan penuh kasih sayang, apa mungkin akan berlaku keretakan rumah tangga. Hakikatnya hak dan tanggungjawab inilah yang menjadi asas kebahagian rumah tangga. Sebaliknya kalau hak ini diabaikan atau dinafikan, pasti berlaku kemurungan yang akhirnya membawa pergaduhan besar.
Menyentuh soal seks, suka dijelaskan di sini Islam menetapkannya sebagai keperluan kedua-dua pihak. Seks bukan nafkah seperti yang difahami orang kebanyakan sebagai nafkah batin. Tetapi satu keperluan yang ada pada kedua-dua belah pihak. Apabila dikatakan keperluan, maka samalah kedudukannya dengan keperluan untuk makan dan minum. Maka jika suami perlukan seks, isteri wajib memenuhinya, dan jika isteri perlukan seks, suami perlu mempertimbangkannya.
Begitulah seterusnya hak dan tanggungjawab lain seperti yang dicatatkan dalam carta di atas. Percayalah kalau suami dan isteri dapat memahaminya dan melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna tiada siapa yang akan berkecil hati dan bermasam muka.

Elak Nusyuz
Nusyuz ialah pelanggaran isteri terhadap perintah dan larangan suami secara mutlak. Namun nusyuz ini hanya boleh berlaku apabila isteri melanggar hak suami dan mengabaikan tanggungjawabnya semasa suami berada di dalam rumah sahaja.  Antara hak suami yang boleh dicontohkan di sini ialah hak ditaati. Memanglah pada dasarnya isteri tidak ditugaskan untuk mengurus rumah tangga, membancuh teh, memasak nasi dan membasuh pakaian. Bahkan suami yang sayang isteri boleh menggajikan petugas untuk melakukan kerja-kerja itu.
Walau bagaimanapun jika suami menyuruh isterinya membancuh teh, membasuh pakaian, memasak makanan, maka isteri wajib melaksanakan pemintaan itu. Isteri wajib mentaati permintaan suami kerana perintah itu tidak melanggar syariat. Apabila permintaan itu diabaikan apatah lagi dengan penolakan yang kasar maka isteri tersebut telah melakukan nusyuz terhadap suaminya. 
Hukuman terhadap isteri yang nusyuz telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: 
Wanita-wanita yang kalian khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka, tinggalkanlah mereka di tempat tidurnya, dan pukullah mereka (dengan pukulan yang tidak membekas), jika mereka mentaati kalian, janganlah kalian mencari-cari alasan untuk menghukum mereka” (Surah an-Nisa’: 34)

Jelas di sini terdapat tiga bentuk hukuman yang boleh diambil oleh suami bagi memulihkan keadaan iaitu: 
1. Menasihatinya dan memberi peringatan kepadanya.
2. Mengasingkan tempat tidur.
3. Memukulnya dengan pukulan yang tidak membekas.
Jika dengan salah satu tindakan itu isteri tersebut boleh sedar dan kembali taat kepada suaminya, maafkan dia dan lupakan sengketa lama dan mulakan kehidupan baru. Semua itu bergantung kepada kebijaksanaan suami mengurus rumah tangga. Percayalah jika suami dapat memberikan kasih sayang kepada isterinya, sudah tentu akan berakhir dengan kebaikan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 
Sebaik-baik kamu ialah mereka yang paling baik terhadap keluarganya, dan akulah orang yang terbaik antara kamu terhadap keluargaku.” (Riwayat Muslim)