31 Julai 2012

Mengapa kita masih buat dosa dalam bulam Ramadan


Ahmad Baei Jaafar
Kalau syaitan sudah dibelenggu pada bulan Ramadan dan pintu Neraka ditutup mengapa masih ramai umat Islam yang tergoda untuk melakukan dosa dan maksiat? Ini persoalan yang boleh kita perpanjangkan dalam perbahasan kali ini.
Memang ada hadis Rasulullah dengan jelas menyebut:
 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : " إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ ، فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ ، وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ " .(مسلم)
Maksudnya: Daripada Abu Harairah r.a bahawa Rasulullah bersabada: “Apabila dating Ramadan, dibuka pintu syurga dan ditutup pintu neraka dan dirantai syaitan.” (Riwayat Muslim)
Cuma persoalan, sepanjang bulan Ramadan tabiat buruk umat Islam masih berjalan lancar. Cerita umpat, hina dan buat fitnah terus berlaku dalam kalangan umat Islam baik orang awam mahupun orang politik. Siapa yang mempengaruhi mereka supaya melakukan itu semua? Bukankah syaitan sudah tiada.
Jawapan mudahnya ialah nafsu yang masih bersarang dengan sifat mazmumah. Nafsu itu telah dilatih oleh syaitan sekian lama, maka memori godaan itu masih menjadi ingatannya. Dengan sebab itu dosa dan maksiat itu masih boleh dilakukan dengan senang hati.
Syaitan yang dirantai mungkin tidak boleh bergerak kepada manusia tetapi mungkin dia boleh gunakan kawalan jauh untuk mempengaruhi nafsu. Oleh sebab itu, walaupun neraka ditutup pintunya, orang ramai tidak nampak syurga. Dia tidak nampak peluang untuk masuk ke syurga. Mungkin pintu neraka di hiasi cantik mengalahkan syurga.
Apapun kemungkinan, saya merasai umat yang berpuasa masih ada masa untuk bertaubat dan kembali melihat syurga. Hentikan tabiaat buruk yang bukan sahaja boleh mengurangkan palaha puasa tetapi menambahkan dosa dan mendekatkan ke neraka. Insafilah Ramadan yang menjanjikan banyak kebaikan dan pahala kepada umat Islam.
Perhatikan tawaran ini:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُبَشِّرُ أَصْحَابَهُ : " قَدْ جَاءَكُمْ شَهْرُ رَمَضَانَ ، شَهْرٌ مُبَارَكٌ فَرَضَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ تُفْتَحُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَتُغْلَقُ فِيهِ أَبْوَابُ النَّارِ وَتُغَلُّ فِيهِ الشَّيَاطِينُ وَفِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ خَيْرًا كَثِيرًا " .(احمد)
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW memberikan berita gembira kepada sahabatnya: “Telah dating Ramadan Bukan barakat, Allah fardukan kepada kamu puasanya, dibukan pada pintu syurga dan dikunci padanya pintu neraka, dibelenggu syaitan, dan padanya ada satu malam yang lebih daripada 1000 bulan maka siapa yang bertemu kebaikannya dia sesungguhnya berboleh kebaikan dengan banyaknya. (Riwayat Ahmad)
Jadi, jadilah orang mukmin yang bertakwa.

25 Julai 2012

Ambil iktibar, syukur atas nikmat keamanan


Ahmad Baei Jaafar
Berucap pada Majlis Berbuka Puasa Sempena Penyampaian Sumbangan Aidilfitri dan Pelajar Cemerlang Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Perkayatim) di Dewan Besar Tabung Haji semalam Perdana Menteri mengajak umat Islam bersyukur dengan keamanan yang dikecapi di sini.
Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak keamanan yang dikurniakan oleh Allah kepada negara kita suatu nikmat yang membolehkan kita melaksanakan ibadah termasuk berpuasa tanpa rasa takut.
Merujuk kepada apa yang berlaku di Syria beliau berkata, umat Islam di Malaysia wajar mengambil situasi di negara itu sebagai satu pengajaran bahawa pergolakan boleh mengancam keselamatan semua pihak.
"Kita wajib berasa syukur bahawa dalam bulan yang penuh kemuliaan dan kerahmatan ini kita dapat menjalankan ibadah puasa dalam keadaan yang begitu selamat, tenang, tanpa rasa gentar dan takut,” katanya.
Menginsafi ucapan PM itu, elok juga kita melihat kembali mengapa keadaan negara kita boleh sering tenang walaupun sesekali dikhabarkan sebagai berlaku kekecohan. Hal ini mungkin kerana kita boleh lihat beberapa kebaikan di negara kita berbanding negara Islam lain di dunia ini.
Bil
Kebaikan Malaysia
Kelemahan negara Islam lain
1
Rakyat termasuk bukan Melayu masih taat dan patuh kepada Raja
Mereka tidak kenal raja
2
Majoriti orang Melayu masih ada budi bahasa
Mereka hilang budi bahasa
3
Orang bukan Islam masih rasional dalam bertindak dan profesional dalam perjuangan
Mereka berjuang ikut emosi
4
Parti-parti politik masih bertindak mengikut undang-undang
Sebahagian mereka tidak ikut undang-undang
5
Umat Islam masih disegani oleh lawan
Umat Islam dimusihi
6
Orang bukan Islam dalam parti masih hormat kepada setia kawan
Ada yang sudah tidak hormat kawan
7
Orang Melayu masih kuat sabarnya
Mereka sudah hilang sabar
8
Allah masih sayangkan Malaysia
Allah sudah menghukum mereka dengan bala bencana
Berdasarkan senarai ini, Perdana Menteri juga harus bersyukur kerana masih disayangi Allah. Namun begitu lapan senarai itu tidak mungkin boleh bertahan lama jika sikap Perdana Menteri terus mengecewakan mereka (rakyat). PM juga perlu mengambil iktibar daripada kekecohan di luar negara, semua itu berlaku kerana mereka sudah tidak hormat kepada pemimpin mereka lagi. Oleh sebab itu, belajarlah untuk menjadi pemimpin yang terus disenangi kawan dan lawan. Yang penting jangan terus kecewakan rakyat nanti mereka juga boleh memberontak. Semoga puasa yang kita lakukan pada hari ini boleh menginsafkan semua pihak.

20 Julai 2012

Semoga puasa kita terbaik kali ini


Ahmad Baei Jaafar
Beberapa jam lagi kita akan memasuki Ramadan, semoga kita dapat masuk ke dalamnya sehingga berakhirnya Ramadan dengan sempurna. Semoga persiapan yang kita buat sebelum ini dapat memberi ruang yang baik untuk kita menunaikan pausa dengan sempurna.
Sebelum itu saya mengambil kesepatan ini untuk memohon kemaafan kepada semua umat Islam khususnya yang menziarahi blog sayaa dan yang lain juga. Sesungguhnya saya manusia biasa yang tidak terlepas daripada berdosa dan bersalah. Jadi, kemaafan kalian boleh memudahkan saya melaksanakan puasa dengan yang terbaik.
Saya bimbang, tanpa kemaafan, saya terus berdosa di sisi Allah maka dengan ini puasa yang dilakukan tidak diterima oleh Allah. Nanti banyak tawaran Allah dengan Ramadan tidak boleh dikecapi.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَة رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ” : خُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَّبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ . قَالَ : قَالَ رَبُّكُمْ عَزَّ وَجَلَّ : عَبْدِي تَرَكَ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ وَشَرَابَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِي ، فَالصَّوْمُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ “. هَذَا حَدِيثٌ صَحِيحٌ . أَخْرَجَهُ أَحْمَدُ
Daripada Abu Hurairah r.a, daripada nabi SAW dia bersabda: “Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bauan miski (kasturi).” Bersabda lagi, Allah berfirman: “Hambaku meninggalkan keinginannya, makan dan minumnya demi mendapat keredhaanku, maka puasa itu untukku dan Aku akan menilai berdasarkan puasa itu.” (Riwayat Ahmad – Sahih)
Marilah kita sama-sama berpuasa dan melaksanakan ibadah yang diperuntukkan di dalamnya. Salam Ramadan Karim.

12 Julai 2012

Fahami Konsep ketaatan kepada pemimpin


Ahmad Baei Jaafar
Baru-baru ini berlangsung Seminar Fiqh Mentaati Pemimpin di Kuala Lumpur bagi membincangkan isu ketaatan kepada pemimpin sesebuah negara. Isu ini penting bagi menjelaskan konsep ketaatan kepada pemimpin agar umat tidak terbabas dalam memberi ketaatan kepada pemimpin.
Sebenarnya ketaatan kepada pemimpin sering diperbincangkan dalam kuliah pengajian di masjid dan surau tetapi kefahaman tentang konsep ketaatan itu selalunya tidak mencapai maksud sebenar. Apatah lagi kalau perbincangan itu menyentuh isu politik.
Taat kepada pemimpin adalah wajib berdasarkan firman Allah s.w.t.:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآَخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً
Maksudnya: Wahai orang yang beriman taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan pemimpin dalam kalangan kamu. Jika kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara maka rujuklah kepada Allah dan Rasul (al-Quran dan Hadis) jika kamu benar-benar beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, demikian lebih baik dan sebaik-baik tindakan. (Surah al-Nisa’: 59)

Ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah mutlak, maka tidak siapa yang boleh berpaling daripada mentaati kedua-duanya. Malah mereka yang ingkar daripada perintah itu dalam bahasa kasarnya boleh disebut sebagai kafir. Firman Allah s.w.t.
قُلْ أَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: Katakanlah Muhammad kepada umat Islam, taatlah kepada Allah dan Rasul, maka jika kamu berpaling sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang Kafir. (Surah Ali Imran : 32)
Jadi, ketaatan kepada Allah dan Rasul ini semua sudah maklum, dan semua umat Islam sudah akur dengan perintah itu. Cuma dalam hal ini, tahap ketaatan kita masih rendah. Kalau kita sembah Allah dalam solat sekadar perbuatan dan amalan, tidak pada hati dan jiwa. Kita kata taat kepada Allah tetapi kita masih mengumpat orang, kita kata taat kepada Allah tetapi kita masih mendedahkan aurat, kita kata taat kepada Allah tetapi kita masih cuai dalam melaksanakan ibadah lain.
Bayangkan kalau ketaatan kepada Allah pun masih tidak boleh diberi 100 peratus, bagaimana ketaatan kepada pemimpin. Di sinilah barangkali kita lihat ramai umat Islam gagal untuk mentaati pemimpin mereka. Malah kadang-kadang kita taat kepada pemimpin kerana ada udang di sebalik batu, kita taat tetapi ada maksud yang kita harapkan daripada pemimpin itu.
Siapa Pemimpin Kita
Apabila menyebut pemimpin, tidak seharusnya kita rujuk hanya kepada pemimpin negara atau negeri sahaja. Sabda Rasulullah s.a.w:
عَنِ ابْنِ عُمَرَ، عَنِ النَّبِيِّ - صلى الله عليه وسلم - قَالَ: كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ، وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَمَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَامْرَأَةُ الرَّجُلِ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ، وَمَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ، وَعَبْدُ الرَّجُلِ رَاعٍ عَلَى مَالِ الرَّجُلِ، وَمَسْئُولٌ عَنْهُ، أَلا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، مِنْ هُنَا لَمْ يُخَرِّجَاهُ.
Maksudnya: Daripada Ibnu Umar daripada Nabi s.a.w. katanya, setiap kamu adalah pemimpin, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin, maka ketua negara yang memerintah adalah pemimpin, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang diperintah, dan lelaki itu pemimpin terhadap keluarganya, dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Dan isteri seseorang lelaki (suami) itu pemimpin terhadap rumah suaminya dan anaknya, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang diamanahkan kepadanya. Dan hamba seorang tuan adalah pemimpin terhadap harta tuannya, dan dia bertanggungjawab terhadapnya. Ketahuilah semua kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang diperintahkan.  Di sinilah kedua pihak itu tidak mungkin dipisahkan.
Jelas di sini, pemimpin terdapat banyak jenis dan kategori. Maka bapa pemimpin kepada keluarga, isteri pemimpin kepada rumah dan anak suami, malah hamba juga menjadi pemimpin untuk menjaga harta tuannya. Maka setiap seorang daripada mereka itu dipertanggungjawab terhadap apa yang diamanahkan kepadanya.
Dalam sesebuah kariah ada pemimpin, dalam masjid ada pemimpin dan dalam organisasi ada pemimpin. Pemimpin tersebut boleh dinamakan dengan pelbagai panggilan mengikut kedudukannya: PM, menteri, YDP, ketua, pengerusi, presiden, nazir dan pegawai dll.
Ketaatan Kepada Pemimpin Tidak Mutlak
Ketaatan kepada pemimpin seperti yang dijelaskan di atas tidak mutlak berbanding ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Namun walaupun tidak mutlak ketaatan itu tetap penting dalam proses pentadbiran dan pengurusan manusia. Tanpa ketaatan, pengurusan akan jadi tidak terurus malah boleh jadi pemimpin itu akan melakukan semua kerja seorang diri. Apalah ertinya sesuatu pentadbiran kalau arahan pemimpin tidak dipatuhi oleh orang bawahannya.

Walau bagaimanapun ketaatan kepada pemimpin boleh gugur apabila pemimpin itu mengarahkan sesuatu perintah ke arah perkara yang maksiat atau melanggar syariat. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w:
لا طَاعَةَ لِمَخْلُوقٍ فِي مَعْصِيَةِ الْخَالِقِ
Maksudnya: Tiada ketaatan terhadap makhluk pada hal-hal maksiat kepada pencipta. (Riwayat Ahmad, Tabarani)

Oleh sebab itu, setiap arahan dan perintah perlu dilihat kepada tujuannya. Jika jelas bercanggah dengan Islam, boleh abaikan dengan cara yang baik. Sebaliknya jika ada kebaikan daripada perintah itu maka perintah itu perlu ditaati. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w:
لا طاعة لأحد فى معصية الله إنما الطاعة فى المعروف
Maksudnya: Tiada ketaatan kepada seseorang pada perkara dosa kepada Allah, sesungguhnya ketaatan hanya pada yang baik sahaja. (Riwayat al-Bukhari Muslim dan Abu Daud, Nasai dan Ibn Hibban)
Berdasarkan dua hadis di atas, bolehlah dirumuskan bahawa ketaatan kepada pemimpin di semua peringkat adalah kerana kebaikan perintah dan arahannya. Ciri-ciri kebaikan sesuatu arahan pemimpin ialah:
  1. Arahannya tidak bercanggah dengan dasar Islam
  2. Dasar dan arahannya memberi manfaat kepada umum/rakyat
  3. Arahannya ada maslahah untuk menyelamatkan Islam dan umat
  4. Tindakannya tidak merugikan Islam dan umatnya.
Oleh sebab itu sebagai rakyat sesebuah negara atau negeri, kita perlu halusi ciri-ciri kebaikan yang ada pada perintah dan arahan pemimpin tersebut. Jika menepati ciri-cirinya wajiblah kita taat kepada pemimpin negara dan negeri, tetapi jika sebaliknya wajiblah kita menolaknya.
Berdasarkan itu, tidaklah semua arahan yang datang daripada pemimpin kesukaan kita perlu ditaati dan tidak juga semua arahan yang datang daripada pemimpin yang dibenci boleh ditolak. Semuanya mestilah dirujuk bersandarkan kepada ciri-ciri di atas.
Katalah suatu arahan pemimpin berbunyi begini: “Semua umat perlu bertolak ansur dalam soal amalan agama lain ketika menyambut perayaan demi perpaduan masyarakat.” Arahan ini jelas bertentangan dengan Islam dan merugikan Islam dan umatnya. Maka menyedari keadaan itu, kita tidak wajib taat arahan tersebut. Malah atas dasar itu tidak berdosa kalau kita abaikan arahan itu.
Walau bagaimanapun arahan lain yang baik daripada pemimpin yang sama masih wajib ditaati. Malah tidak wajarlah dengan penolakan satu arahan, maka semua arahan yang baik kita tolak juga.
Arahan Mengikut Peraturan dan Undang-undang
Sebenarnya kebanyakan dasar dan arahan yang dikeluarkan oleh pemimpin baik negeri mahupun pusat, belum pernah dibuat oleh Rasulullah dan kerajaan Islam terdahulu. Namun arahan tersebut sangat berkait rapat dengan kehidupan rakyat. Kalau semua yang diarah oleh kerajaan melibatkan rakyat di sudut pembangunan rohani dan jasmani wajiblah ditaati.
Cuma dalam arahan itu kadang-kadang ada peraturan yang ditetapkan sama ada kerajaan pusat atau negeri dilihat seperti menyusahkan. Banyak prosedur yang perlu dilalui, namun percayalah kalau dilihat di sebaliknya akan kita temui kebaikan kepada rakyat secara umum. Oleh sebab itu peraturan tersebut wajib dipatuhi.
Sebagai contoh; untuk berkahwin sesuatu pasangan itu perlu mengikuti kursus pra perkahwinan, mengambil ujian saringan HIV, dan mendapatkan pengesahan daripada Penolong Pendaftar Nikah tempatan. Peraturan itu memang seperti menyusahkan, tetapi kesannya adalah untuk kebaikan umat Islam walaupun peraturan itu tidak ada dalam Islam.
Jika arahan ini tidak dipatuhi, mereka yang hendak berkahwin tidak mahu berkursus, tidak mahu ambil ujian saringan hiv, kemudian berkahwin sendiri di rumah pengantin perempuan dengan berwalikan bapa sendiri dan dua saksi. Walaupun perkahwinan itu sah mengikut Islam, tetapi proses perkahwinan yang dijalankan itu adalah satu kesalahan. Pasangan itu telah tidak taat kepada pemimpin, dan boleh didakwa. Hakikatnya mereka berdosa kerana melanggar peraturan kerajaan. Dan setiap yang berdosa ertinya mereka menempa jalan ke neraka.
Begitu juga dengan peraturan lalu lintas, semua aturan itu jelas untuk kepentingan pengguna jalan raya. Jika kita membantah lalu tidak mahu ikut peraturan, selain berdosa, dia mendedahkan dirinya kepada bahaya kemalangan. Bayangkan kalau dia meninggal dunia dalam keadaan melanggar peraturan jalan raya, sudah tentu dia mati dalam keadaan berdosa.
Berbalik kepada seminar yang telah pun berakhir itu, kita tidak ada alasan untuk tidak mentaati pemimpin. Oleh sebab itu rakyat Selangor sebagai contoh, mereka wajib mentaati pemimpin negeri yang terdiri daripada Sultan, Menteri Besar dan EXCOnya. Dan pada masa yang sama mereka juga wajib mentaati pemimpin di peringkat pusat yang terdiri daripada Yang diPertuan Agung, Perdana Menteri dan Menteri selagi arahannya tidak bercanggah dengan Islam.
Jika semua ini dapat difahami dan dihayati oleh Rakyat Malaysia, kita akan berada dalam negara ini dengan selamat, maju dan jaya.

11 Julai 2012

Ahlan Ya Ramadan Karim


Ahmad Baei Jaafar
Ramadan datang lagi menemui orang-orang yang beriman dengan menjanjikan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Sebenarnya sebagai seorang mukmin yang rindukan Ramadan, mereka sudah mula menunggu kedatangannya sejak bulan Rejab lagi. Malah mereka mengharapkannya dalam doa mereka agar sempat bersama Ramadan sehingga akhirnya.
Sebuah hadis daripada Anas bin Malik menyebut:
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا دَخَلَ رَجَبٌ ، قَالَ : " اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ ، وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ " .
Maksudnya: Daripada Anas bin Malik r.a bahawa nabi SAW ketika masuk bulan Rejab berdoa: “Ya Allah berkati kami pada Rejab dan Syaaban dan sampaikan kami ke Ramadan.” (Riwayat Tabarani)
Persoalan sekarang, bagaimana pula dengan mereka yang tidak pernah rindukan Ramadan? Hal ini kerana pada mereka datang Ramadan atau tidak, sama sahaja, malah ada yang rasa susah dengan kedatangannya. Ertinya mereka tidak gembira dengan kedatangan Ramadan. Bolehkah mereka berpuasa Ramadan nanti dalam keadaan itu?
Ibadah setahun sekali ini tidak menjanjikan kepada kita bahawa setiap orang akan bertemu. Hal ini kerana umur kita bukan kita yang menentukannya. Ramai juga boleh berpuasa pada tahun lalu, puasa kali ini tidak bersama kita lagi. Malah ada yang sedang menunggu pada tahun ini pun belum tentu sempat berpuasa pada hari pertama. Oleh sebab itu peluang yang Allah berikan ini tidak harus disia-siakan.
Sebaiknya mulai bulan Rejab lagi mereka akan berpuasa sebagai persiapan awal sekali gus melatih untuk lebih maju ke hadapan. Malah mereka harus membuat persiapan untuk bertemu bulan Ramadan seperti berikut:
  1. Bersihkan hati daripada sifat tidak ikhlas.
  2. Banyakkan puasa sunat terutama puasa Syaaban.
  3. Banyakkan ibadah sunat seperti solat sunat, baca al-Quran dan bersedekah.
  4. Belajar tentang hukum hakam puasa, iaitu tentang sah batal dan seumpamanya.
  5. Berdoa supaya kita dapat sampai ke Ramadan dan dapat melakukan puasa dengan sempurna.
Seterusnya menjelang Ramadan, kita perlu berazam untuk melakukan puasa bagi memenuhi tawaran Allah dan Rasul-Nya iaitu diampunkan dosa mana-mana yang terdahulu. Tawaran ini terdapat dalam hadis berikut:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ" : مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ ، وَلَوْ عَلِمْتُمْ مَا فِي فَضْلِ رَمَضَانَ لَتَمَنَّيْتُمْ أَنْ يَكُونَ سَنَةً ".
Daripada Abi Hurairah dia berkata sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa dengan penuh rasa keimanan dan penuh rasa keinsafan, diampunkan dosanya mana-mana yang terdahulu. Dan kalau kamu tahu kelebihan Ramadan nescaya kamu mengharapkan Ramadan itu setahun.” (Riwayat al-Rabi’ bin Habib)
Dalam hadis yang lain juga daripada Abu Hurairah r.a baginda bersabada:
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang mendirikan malam Ramadan dengan penuh rasa keimanan dan penuh rasa keinsafan, diampunkan dosanya mana-mana yang terdahulu.” (Muttafa’ Alaih)
Hadis seterusnya berbunyi:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ" :مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ ".
Daripada Abu Hurairah sesungguhnya dia berkata, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang mendirikan Lailatulqadar dengan penuh rasa keimanan dan penuh rasa keinsafan, diampunkan dosanya mana-mana yang terdahulu.” (Riwayat Ahmad)
Berdasarkan hadis di atas, pembaca perlu mengambil perhatian serius bagaimana menghidupkan Ramadan sesuai dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya. Yang penting di sini, tawaran beroleh keampunan Allah mana-mana dosa yang terdahulu, harus disahut dengan sebaiknya kerana syaratnya amat mudah; puasa dengan penuh keimanan; dan puasa dengan penuh keinsafan.
Berpuasa dengan penuh keimanan bermaksud, puasa semata-mata kerana yakin kepada Allah dan rukun iman yang lain. Maka kerana yakin, mereka tidak sanggup menipu dalam berpuasa. Ternyata syarat ini ramai yang berjaya walaupun ramai juga yang berpuasa kerana takut kepada undang-undang dan malu kepada kawan-kawan. Ada juga yang berpuasa kerana isteri suruh atau bapa mentua suruh atau bos suruh.
Manakala syarat kedua, berpuasa dengan penuh keinsafan ramai yang gagal. Hal ini kerana ramai yang berpuasa, tapi kekal sifat sombongnya. Mereka tidak dapat rasa benar-benar sebagai hamba Allah. Mereka berpuasa tetapi tidak rasakan puasa ini boleh mendidik jiwanya. Dan mereka berpuasa tidak dapat rasakan bahawa dengan puasa ini boleh meninggikan maruah Islam dan umatnya. Dan kalaupun mereka bersimpati kepada orang susah, miskin sekadar mengharapkan pahala yang berganda.
Mereka gagal dalam hal ini mungkin kerana hadis di atas gagal difahamkan mesej sebenar. “Ihtisaban” dalam hadis di atas selalu difahamkan sebagai mengharap pahala, lalu kerana itu mereka berpuasa kerana hendakkan pahala. Mengapa kita mengharapkan pahala sedangkan Allah sudah tawarkan yang lebih besar iaitu pengampunan? Semoga selepas ini kita dapat betulkan semula bagaimana kita seharusnya berpuasa dalam bulan Ramadan.
Selamat menjalani ibadah Ramadan Karim, kulu ammin wa antum bilkhair