29 Jun 2012

Syabas Lim kerana pendirian yang tegas


Ahmad Baei Jaafar

Dalam program wacana khas di Shah Alam baru-baru ini, Lim Guan Eng mengulangi pendirian bahawa DAP "tidak bersetuju" dengan hudud kerana mereka "berpegang kepada perlembagaan dan tidak ada peruntukan untuk hudud" di dalamnya.
Inilah jawapan seorang politikus yang amat berhati-hati dan bersikap profesional dalam perjuangan politiknya. Hendaknya rakan-rakannya dalam PAS dan PKR boleh berfikiran politik sepertinya.
Sebenarnya berdasarkan jawapan itu, DAP tidak mengancam Islam seperti yang besar-besarkan oleh pihak parti lawan. Oleh sebab itu kerjasama ketiga-tiga parti itu boleh diteruskan.
"Kita berbincang untuk berpegang kepada yang sedia ada. Kita mesti mengikut amalan dan konvensyen yang ditetapkan.
"PAS ada pendirian, DAP ada pendirian. Tetapi ia tidak menghalang kerjasama dalam isu yang lebih besar," katanya dalam wacana bertajuk "Benarkah DAP mengancam Islam" anjuran akhbar web berbahasa Melayu DAP Roketkini yang dipetik daripada Malaysiakini.
Suka saya menarik perhatian semua pembaca Fikrah Islamiah sama ada penyokong BN/UMNO atau Pakatan Rakyat/PAS, isu hudud sebenarnya tidak kena mengena dengan isu politik. Hal ini kerana orang yang tidak ikut politik pun bincang hudud, jadi jangan politikkan hudud untuk kepentingan pihak tertentu.
Sebaiknya BN tidak perlu ulas isu hudud apatah lagi orang bukan Islam dalam kalangan mereka. Hal ini kerana mereka tidak faham dan tidak akan faham. Manakala PAS biarlah mereka membicangkannya kerana itu menjadi salah satu targetnya. Hal ini kerana mereka lebih tahu bagaimana untuk menghuraikannya.
Mengenai DAP dan PKR yang mempunyai matlamat berlainan, patut dipertahankan tanpa dibantah oleh PAS. Saling menghormati pendirian itu amat baik dalam sesebuah organisasi. Isu matlamat parti adalah kecil berbanding matlamat utama untuk tawan Putrajaya, jadi wajarlah hudud tidak dibesar-besarkan. Sebaliknya boleh dikembangkan maklumatnya melalui saluran lain iaitu perang saraf.
Saya bersetuju dengan jawapan Lim, “tidak bersetuju” atas alasan berpegang kepada perlembagaan yang tidak memperuntukkan hudud. Memang apa-apa undang-undang yang hendak dibuat selepas ini mestilah tidak boleh bercanggah dengan perlembagaan.
Jawapan itu betul dan tidak bercanggah dengan pendirian PAS dan Kerajaan Malaysia. PAS hanya merangka rang undang-undang hudud, walaupun lulus belum boleh laksanakan lagi sehinggalah perlembagaan dipinda. Kerajaan juga tahu hal ini sebab itu mereka sengaja mencabar PAS.
Tetapi kita perlu ingat, jawapan politik ini tidak statik hingga tidak boleh berubah. Sememangnya jawapan itu amat fleksibal. Ini bermakna kalaulah Pakatan berjaya tawan Putrajaya, mereka sudah ada kuasa untuk meminda perlembagaan dan menambah baik mana-mana yang tidak sesuai. Tentunya waktu itu undang-undang jenayah boleh ditambah sesuai dengan hudud. Ketika itu, hudud bukan lagi menjadi isu.
Selain itu mengenai orang bukan Islam, mereka sepatutnya tidak perlu bimbang dengan hudud kerana hukum itu hanya berkuatkuasa untuk orang Islam sahaja. Orang bukan Islam ada pilihan lain untuk kesalahan jenayah mereka, namun kalau mereka mahu mengikut hukuman cara Islam, kita tiada halangan.
Fikiran positif ini seharusnya ada ada hati umat Islam apatah lagi orang politik yang berjiwa Islam. Malah kalau orang bukan Islam berfikir begini, mereka juga akan sokong hudud kerana mereka tidak akan terlibat dengan hukuman itu.

21 Jun 2012

Penyakit 3 serangkai boleh dirawat sendiri


Ahmad Baei Jaafar

Anda tahu penyakit tiga serangkai? Penyakit ini dulu-dulunya dikenali dengan penyakit orang kaya-kaya. Tetapi sekarang penyakit itu sudah tidak memilih bulu, bahkan kanak-kanak juga ada yang terkena penyakit itu. Tahukah anda mengapa semua itu boleh berlaku dan bagai cara mengatasinya?
Sebenarnya penyakit ini apabila singgah pada seseorang, doktor tidak boleh memberi jaminan untuk sembuh. Apa yang boleh dilakukan ialah sekadar memberi ubat untuk bertahan sahaja. Lazimnya mereka akan makan ubat itu sehingga akhir hayatnya.
Walau bagaimanapun hasil tinjauan, pemerhatian, pembacaan dan keterangan doktor,  saya dapati ada isu yang boleh diperhalusi. Dalam hal ini saya simpulkan begini; ketiga-tiga penyakit itu adalah diundang sendiri oleh ampunya diri, lalu kerana itu dia sendirilah yang perlu menolaknya. Adapun ubat-ubatan yang dimakan hanya sebagai usaha luaran yang tidak banyak membantu ke arah penyembuhan.
Di sini saya perturunkan hasil kajian saya supaya dengan itu anda dapat merawatnya sendiri dengan izin Allah.
Bil
Penyakit
Punca
Rawatan
1
Kencing manis
Pemakanan yang tidak mengikut sistem yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul lalu jadilah makanan itu tidak seimbang. Gula berlebihan dalam badan bukan kerana banyak guna gula, tetapi kerana saluran dan fungsi tubuh badan yang tidak lagi mengikut sistem yang betul.
1.Makan dan minum mengikut sunnah iaitu 1/3 untuk udara, 1/3 untuk makanan dan 1/3 untuk air. 2.Seterusnya makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang.
3.Makanan yang seimbang diperlukan seseorang terdiri dari karbohidrat, lemak, dan protein yang darinya mengumpulkan 2000 kalori sehari.
2
Darah tinggi
Sikap dan tindakan manusia dalam kehidupan yang mudah stress, cepat marah orang, suka sangka buruk kepada orang lain, dan suka hasad dengki atas kejayaan orang lain. Hakikatnya dia tidak redha dengan ketentuan Allah ke atas dirinya dan orang lain.
1.Jangan stress maka apa yang berlaku diserahkan kepada Allah dan fikirkan positif yang pastinya ada hikmahnya.
2.Jangan cepat marahkan orang, sebaliknya nilai diri; mungkin kita yang bersalah. Setelah itu mintalah maaf.
3.Jangan sangka buruk sebaliknya bersangka baik apa yang kita lihat tidak sesuai dengan kita.
4.Jangan dengki dengan kejayaan orang lain sebaliknya kongsikan kegembiraan dengan kejayaannya.
3
Jantung
Ibadah terutama solat yang dilakukan untuk Allah tidak menepati kehendak Allah dan Rasul. Cara berdiri, rukuk, duduk dan sujud yang betul boleh mencantikkan jantung. Begitu juga dengan puasa, cara sahur, tidur, solat sunat dan cara berbuka puasa yang betul boleh mengaktifkan jantung.
1.Belajarlah solat cara Rasulullah.
2.Belajarlah cara puasa, sahur, imsak, berbuka puasa dengan yang betul.
3.Belajarlah cara zikir dengan betul.




Mungkin anda yang membaca artikel ini rasa tidak logik kerana tidak ada bukti saintifik dan tidak disokong oleh mana-mana doktor. Tidak mengapa, kalau tidak mahu mempercayainya. Malah kalau anda menentangnya saya tidak berkecil hati. Tetapi kalau anda cuba kaitkan apa yang ditulis dengan ciptaan Allah, anda akan lihat betapa semua yang terjadi di dunia ini sangat bersangkut paut dengan takdir Allah.
Allah menciptakan manusia tentu Allah tahu yang terbaik untuk manusia lalu disediakan panduan dan peraturan. Jadi, kalau manusia tidak mengikutnya pasti akan menerima akibat yang buruk. Bandingannya samalah kalau kita milik sebuah kerata, manual yang disediakan untuk memudahkan kita mengendalikan kereta itu. Sebagai contoh, had kelajuan, tempoh servis dan tempoh masa kegunaan sesuatu alat dalaman. Kalau kita tidak mematuhinya pasti pendek hayat kereta itu.
Kalau anda percaya dengan kajian saya dan bersetuju dengan punca dan cara merawatnya, cubalah dengan hati yang ikhlas. Nanti Allah akan kembalikan kesihatan anda kepada yang sebaiknya. Selamat mencuba.

09 Jun 2012

Belajar main politik cara bijak


Ahmad Baei Jaafar
Semasa belajar ilmu mantik di sekolah agama dulu, ustaz ada menyebut bahawa ilmu ini penting ketika berhujjah dan berbalas hujjah. Tetapi pada waktu itu aku tidak temui ilmu yang dimaksudkan itu. Mungkin contoh yang diberi ketika itu tidak relevan dengan apa yang berlaku pada waktu itu. Tetapi apabila tamat pengajian dan berkecimpung dalam masyarakat, ilmu itu mula tampak sedikit demi sedikit.
Rupa-rupanya ilmu ini amat berguna kepada orang politik. kepetahan mereka menjawab tuduhan dan mematah hujjah lawan adalah menggunakan ilmu mantik. Malah kadang-kadang upacan musuh akan diguna semula untuk membunuhnya secara KO.
Saya teringat suatu ketika dahulu, Datuk Mohamad Asri Muda, Presiden PAS merangkap Menteri Besar Kelantan, ketika kempen pilihanraya di RTM katanya, “Saya dengar Tunku Abdul Rahman dalam ceramahnya mengistiharkan akan membina lebuh raya timur - barat (Jeli – Grik sekarang) kalau Perikatan menang di Kelantan. Saya hubungi Tunku dan minta penjelasan, bagaimana kalau PAS memang juga? Tunku sepontan menjawab, kita akan buat juga.” Berdasarkan jawapan itu, Datuk Asri mengakhiri ceramahnya di RTM itu katanya, “Kalau PAS memang, kerajaan pusat akan buat lebuh raya juga, jadi tuan-tuan dan puan-puan undilah PAS.”
Tahun 2012 menjelang pilihanraya ke 13 kempen sudah bermula secara tidak rasmi. Semuanya bermula daripada demontasi minta kerajaan hapuskan bayaran balik pinjaman PTPTN. Dalam pada itu Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji, bayaran baliknya akan dimansuhkan jika Pakatan menawan Putrajaya dalan pilihan raya umum akan datang. Kempen ini memang menarik terutama pelajar yang terlibat dengan pinjaman itu.
Setelah isu itu dilupakan semua pihak, tiba-tiba sahaja pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan telah membekukan pinjaman kepada mahasiswa UNISEL. Keesokannya Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan PTPTN membekukan pinjaman kepada mahasiswa baru Universiti Industri Selangor (Unisel) milik kerajaan Selangor.

Alasan pembekuan itu adalah bertujuan memberi peluang kepada Pakatan Rakyat membuktikan mereka mampu memberikan pendidikan percuma di negeri itu. Pada masa yang sama Timbalan Perdana Menteri menyifatkan tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membekukan pinjaman kepada mahasiswa Universiti Industri Selangor (Unisel) sebagai "adil" kerana ia hanya reaksi kepada dasar PKR.
Ekoran tindakan itu, banyak pihak termasuk Menteri Besar Selangor, Exco kerajaan, ABIM menyatakan kekesalan terhadap tindakan kerajaan itu, malah tidakan itu dikira tidak adil dan menzalimi pelajar. Mereka mahu PTPTN tidak dibekukan pada waktu ini. Walau bagaimanapun bagi menyelamat keadaan MB mengumumkan untuk mencairkan harta UNISEL untuk membiayai urusan pendidikan sekali gus membolehkan pelajar meneruskan pengajian.
Berdasarkan itu, menteri dan perdana menteri segara mengumumkan penarikan balik pembekuan itu. Sehubungan itu, seorang pegawai tinggi PTPTN ketika menjawab SMS daripada wartawan Malaysiakini, mengesahkan keputusan menarik balik pembekuan pinjaman kepada Unisel dan KUIS. Cuma menariknya PM semasa berucap di Kedah semalam beliau berkata, “kita tarik balik pembekuan PTPTN setelah mendapati kerajaan Selangor tidak mampu membiayai pendidikan percuma kepada pelajar di negerinya.”
Nampaknya PM menggunakan peluru Pakatan Rakyat untuk membunuh balik mereka. Yalah kalau Pakatan berjuang supaya pelajar tidak perlu membayar balik pinjaman PTPTN, maknanya mereka belajar secara percuma. Jadi sekarang buatlah sebegitu. Agaknya itulah maksudnya. Tetapi yang paling penting di sini menampakkan, kerajaan BN baik hati dan bersimpati kepada pelajar di Selangor.
Begitulah fikiran orang politik, begitulah hujjah orang politik dan begitulah tektik orang politik. Cuma persoalannya adakah jawapan itu memuaskan semua pihak dan memberi mata kepada BN atau tidak?
Pembaca artikel ini tentu tahu jawapannya dan saya pasti, kisah yang berlaku pada zaman tunku dengan zaman najib amat jauh. Hujjah yang diberi ini bukan boleh menyelamatkan BN tetapi menggelapkan masa depannya. Mengapa?
Perhatikan, Pakatan Rakyat berjuang untuk menghapuskan bayaran balik, bukan pendidikan percuma. Pendidikan tetap berbayar tetapi ada pihak lain yang perlu membayarnya. Dan yang kedua, perjuangan ini hanya akan dapat direalisasikan setelah menguasai Putrajaya, maknanya setelah memerintah Malaysia. Jadi, perjuangan ini bukan untuk Selangor pada waktu ini.
Berdasarkan itu tindakan kerajaan pusat itu ternyata tersalah langkah. Rakyat tetap menilainya sebagai kerajaan tidak bertanggungjawab dan tidak adil kepada rakyat. Malah tindakan kerajaan menarik balik itu ada kemungkinan besar kerana tidak mahu aset beku UNISEL dicairkan. Hal ini kerana mereka kini menunggu peluang untuk merampas Selangor pada pilihanraya nanti. Ya, bagaimana kalau harta beku itu dicairkan? Kuranglah harta yang boleh diwarisi nanti.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...