27 Februari 2012

Contohilah Tujuan Rasulullah Berpoligami


Ahmad Baei Jaafar
Berdasarkan perkahwinan Rasulullah dengan beberapa orang isteri, kita dapat ambil keputusan bahawa poligami yang diamalkan oleh Rasulullah sangat berkait dengan sosial dan kebajikan. Bukankah Rasulullah SAW mengahwini Saudah binti Zam’ah untuk membela kebajikannya kerana beliau sudah kematian suami. Bukan itu sahaja, kaum kerabat Saudah adalah orang musyrik. Bayangkan kalau Saudah yang ketika itu berusia 66 tahun terbiar, sudah tentu Islamnya terancam.
Di sudut sosial pula, Rasulullah berkahwin dengan Aisyah dan Hafsah sebagai penghargaan kepada orang tua mereka yang sangat membantu baginda iaitu Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khatab. Begitu juga perkahwinan Rasulullah dengan Ummu Salamah (Hindun binti Abi Umayah bin Almuqirah) yang turut serta dalam penghijrahan ke Habsyah dan Madinah. Waktu suaminya, Abu Salamah meninggal dunia anaknya Salamah masih kecil dan memerlukan didikan.
Selain itu, poligami Rasulullah juga ada kaitan dengan politik dan dakwah. Ini seperti Ummu Salamah selain memiliki sifat terpuji dalam kalangan orang yang awal menganut Islam beliau adalah anak orang kenamaan. Rasulullah mengahwininya untuk menguatkan ikatan kasih sayang antara kerabat dan kabilah isteri-isterinya supaya mereka memeluk Islam.
Supaya lebih jelas, perhatikan senarai tujuan perkahwinan Rasulullah seperti berikut;
1.            Memberi penghormatan serta perlindungan kepada wanita, di mana sebilangan besar dari isterinya adalah janda-janda yang memerlukan pelindungan.
2.            Memuliakan serta memberi penghormatan kepada kaum keluarga ataupun para sahabatnya, sepertimana beliau telah mengahwini Hafsah binti Umar bin Khattab dan Zainab binti Jahsyi.
3.            Melalui perkahwinan, Rasulullah dapat meredakan rasa dendam serta permusuhan antara kabilah-kabilah Arab.
4.            Untuk menarik tokoh-tokoh berpengaruh Quraisy ke dalam agama Islam yang kemudiannya sama-sama berjuang untuk menegakkan Islam.
5.            Memberi perlindungan serta kasih sayang kepada anak-anak yatim yang kehilangan ayah ketika berjuang menegakkan agama Allah.
6.            Mengahwini isteri-isteri sahabat untuk meneruskan tanggungjawab melindungi rumahtangga sebagai tanda penghormatan kepada para sahabat yang menjadi syahid.
7.            Menjelaskan kedudukan hukum, bahawa Islam memperbolehkan seseorang itu mengahwini bekas isteri anak angkatnya sebagaimana terjadinya peristiwa Zaid bin Haritsah.
8.            Memerdekakan para tawanan perang dari sesuatu kabilah melalui perkahwinan dengan salah seorang wanita yang menjadi tawanan.
9.            Sebagai penghargaan sikap lemah-lembut orang yang bukan beragama Islam, sebagaimana baginda menikahi Mariah al-Qibtiyah yang dihadiahkan oleh Raja Muqauqis dari Mesir.
10.         Untuk menambah penyokong serta penganut Islam yang seterusnya akan memperjuangkan agama Allah itu dari masa ke masa.
Kebaikan poligami cara Rasulullah
Berdasarkan tujuan poligami Rasulullah itu dapat kita lihat banyak kebaikannya malah menjadi penyelesaian kepada masalah masyarakat. Yang pastinya dalam poligami suami beroleh kebaikan dan isteri juga memperoleh kebajikan.
Bagi suami, tentu mereka akan berusaha memiliki sikap adil kepada isteri-isterinya. Dalam hal ini seseorang suami yang sering kali sakit dan mengalami kesukaran keluar untuk mencari rezeki tidak wajar impikan hidup poligami kerana dia tentu tidak dapat menanggung isteri-isterinya dengan adil.
Jadi, mana-mana suami yang berniat hendak berpoligami kenalah persiap diri dengan sifat dan sikap adil dan sihat tubuh badan. Manakala isteri, mereka tentu akan mendapatkan hak masing-masing daripada suaminya. Dalam soal ini, suami tidak boleh mengurangi nafkah seorang isterinya dengan alasan isteri mempunyai sumber kewangan sendiri.
Apabila suami dapat berpegangan kepada prinsip adil yang sebenar pasti dia akan mengadili giliran isterinya tanpa mengira sama ada mereka gadis atau janda, muda atau tua atau taraf pendidikan. Semuanya mempunyai hak sama rata sebagai isteri. Ketahuilah sikap adil suami ini menggambarkan betapa suaminya orang yang bertanggungjawab.
Dengan itu, isteri-isteri akan tenang malah boleh mengelak daripada berlaku pertengkaran atau saling cemburu antara mereka. Mengenai susunan giliran sebenarnya banyak memberi kebaikan kepada isteri terutama pada aspek penjagaan kesihatan kerana waktu ketiadaan suami mereka boleh membuat rawatan dan kerehatan yang secukupnya. Pada masa yang sama mereka berpeluang untuk melakukan ibadah terutama pada waktu malam. Tidakkah ini satu kebaikan buat isteri yang berpoligami?

18 Februari 2012

Solat orang sakit kena tahu cara duduknya


Ahmad Baei Jaafar

Dua tiga kali juga saya memerhatikan seorang pegawai keselamatan di hospital, solat dengan cara duduk sedangkan kaki kanannya melunjur ke hadapan. Satu hari saya menegurnya, “tuan kenapa dengan kaki tuan?” jawabnya, saya kemalangan dan dengan sebab itu saya tidak boleh lipat kaki seperti orang biasa.
Saya terus bertanya, tuan boleh berjalan dengan baik tetapi mengapa tuan tidak boleh solat berdiri? Jawabnya mudah, “kalau saya berdiri, sukar pula saya hendak duduk semula. Mungkin alasan itu boleh diterima dan caranya itu boleh memudahkan urusan solatnya.
Tetapi anda mungkin pernah bertemu dengan orang yang solat duduk di atas kerusi. Dia bawa kerusi itu dari rumah, malah mampu berjalan dengan baik. Setelah diletakkan kerusi itu dia duduk dan memulakan takbir. Sepanjang empat rakaat isyaknya dia solat dalam keadaan duduk. Sahkah solatnya?
Mari kita lihat rukun solat iaitu rukun pertama, berdiri tegak dengan tidak condong atau miring hinggakan sampai ke tahap rukuk tanpa keuzuran bagi mereka yang berkuasa berbuat demikian dalam sembahyang fardu.
Berdasarkan rukun itu, perlu kita tanya mereka yang solat duduk itu, adakah dia boleh berdiri? Dalam kes di atas tentu kita tidak perlu bertanya lagi kerana memang kita nampak dia boleh berjalan dengan baik. Ertinya dia boleh berdiri lama. Jadi, bagaimana solat itu boleh terjadi kalau rukun pertama sudah tidak dipatuhi.
Inilah perkara yang jarang diperhatikan oleh umat Islam. Kita tidak nafikan amalan dalam Islam tidak membebankan umatnya. Perkara yang susah akan dimudahkan jika perlu, rukhsah namanya. Tetapi rukhsah itu ada syarat yang perlu dipatuhi.
Mari kita telitikan cara yang betul solat orang yang sakit sebegini.
  1. Untuk dua kes di atas, mereka hendak berdiri terlebih dahulu. Lakukan rukun berikutnya dalam keadaan itu sehingga rukuk dan iktidal.
  2. Untuk sujud, duduklah di atas kerusi atau melunjur kaki ke hadapan bagi yang duduk atas lantai. Kemudian tundukkan kepala ke hadapan setakat yang mampu. Bacalah zikir sujud seperti biasa. Kemudian duduk antara dua sujud dan lakukan sujud sekali lagi seperti pertama.
  3. Untuk rakaat kedua, berdiri lagi sekali bagi yang duduk di atas kerusi, tetapi yang duduk melunjur bolehlah duduk dalam keadaan itu jika sukar untuk bangun semula.
  4. Ulangilah amalan itu sehingga selesai empat rakaat, iaitu salam.
Merujuk kepada mereka yang duduk melunjur itu, bergantung kepada kesihatan dan kemampuannya. Jika dia boleh bangun semula tanpa menyusahkannya dan tidak mengganggu orang yang solat di sebelahnya (solat jemaah) hendaklah dia bangun berdiri seperti orang lain juga.
Walau bagaimanapun bagi  mereka dalam kes di atas, jika untuk duduk melunjur pun perlukan bantuan orang atau boleh mengganggu jemaah lain bolehlah dia duduk sepanjang solatnya walaupun dia boleh berjalan dengan baik.
Perlu diingat juga, berdasarkan rukun di atas hukum berdiri ini ini hanya khusus untuk solat fardu sahaja. Ini bermakna untuk sembahyang sunat, berdiri tegak tidak diwajibkan sebaliknya hukumnya adalah sunat. Jadi, jika mampu solat berdiri, lakukan dengan berdiri.
Bagi mereka yang terus duduk, rukuknya hendaklah dengan menundukkan kepala ke hadapan sedikit dan bacalah zikir rukuk. Cara ini hendak dibezakan dengan sujud yang tundukannya sampai ke tahap yang paling bawah yang dia mampu.
Adalah diharapkan umat Islam dalam dalam keuzuran ini dapat memberi perhatian untuk solat akan datang. Ingatlah kalau solat tidak sah, bermakna ibadah yang lain boleh jadi tiada nilaiannya di sisi Allah. Selamat mencuba yang terbaik untuk Allah.

09 Februari 2012

Apa di sebalik kempen Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam?


Ahmad Baei Jaafar
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perak (JAIPk) baru-baru ini menyerbu forum anjuran Kelab Isteri Taat (KTS) yang dikatakan mahu mempromosikan "seks suci". Seperti yang dilaporkan Berita Harian, jabatan itu menyerbu sebuah banglo mewah di Ipoh, tempat kelab itu menganjurkan forum kempen "Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam".
Sebelum itu menurut laporan itu lagi, KTS menjemput wartawan untuk menghadiri persidangan media mengenai program yang pada mulanya dijadualkan pada waktu pagi tetapi ditunda waktu petang. Namun, sesi berkenaan bertukar kepada sesi soal jawab bersama Ahli Lembaga Pengarah Global Ikhwan Sdn Bhd, Ahmad Bakhtiar Ahmad dan Hamdan serta empat ahli KTS Perak.
Ahmad Bakhtiar berkata, kempen itu bermula semalam sempena 1 Rabiulawal dengan acara kemuncaknya ketika sambutan Maulidur Rasul pada 5 Februari yang bertujuan menampilkan Rasulullah sebagai tokoh hebat yang perlu dicontohi dalam semua aspek, termasuk kemampuannya memuaskan hati semua 11 isterinya.
Beliau mendakwa seks dalam Islam lebih hebat daripada seks yang dicanangkan oleh masyarakat Barat dan Yahudi. Seks suci Islam harus dibezakan dengan seks haram yang dipelopori Barat dan Yahudi. Nabi (Muhammad) adalah insan yang sangat takut kepada Tuhan, jadi Allah bagi keistimewaan dengan diberi tenaga manusia yang kuat dalam seks dan memberi layanan terbaik kepada isteri sebagai balasan kuat ibadat kepada Allah.
JAIM menurunkan backdrop majlis sambutan 
Jelas mereka kini semakin berani mahu mencemarkan nama baik Nabi Muhammad SAW. Kalau sebelum ini didakwa Rasulullah membuat ramalan itu dan ini, tetapi ternyata kemudiannya tidak berlaku. Maka secara tidak langsung, Rasulullah boleh dianggap menipu dalam membuat ramalan. Sedangkan baginda sodiqul masduq, cakapnya benar.
Sementara itu Utusan Malaysia di Kota Bharu mendapatkan ulasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom katanya, penubuhan kelab tersebut baik di sisi Islam tetapi promosi seks yang dilakukannya menyimpang daripada ajaran agama suci itu.
"Cantik kelab taat suami ini, cuma yang tidak cantik ialah yang dipromosi tentang seksnya, kemudian diletakkan Rasulullah sebagai ikon yang membicarakan dengan panjang lebar tentang seks.
"Sedangkan tanggungjawab dalam Islam banyak, lebih-lebih lagi mengenai pendidikan anak-anak, pembangunan ekonomi sosial dan masyarakat termasuk rumah tangga.
"Kempen ini menggambarkan kita merendah-rendahkan martabat Rasulullah SAW sebagai nabi yang membawa utusan untuk kebaikan dunia dan akhirat,” katanya
Ekoran itu bahagian Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bertindak menyerbu sambutan Maulidur Rasul yang dipercayai dianjurkan KTS. Sambutan yang diadakan di sebuah khemah berdekatan rumah kedai di Krubong Perdana, Krubong di sini menggunakan tema Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAIM, Rahimin Bani berasa kesal dengan sikap mereka yang berani menganjurkan majlis sendiri dengan menggunakan perkataan seks yang dikaitkan dengan Rasulullah. Tindakan mereka adalah jauh menyimpang daripada ajaran Islam.
Syabas diucapkan kepada Jabatan Agama Islam Perak dan Melaka kerana berada bertindak. Negeri lain belum ada laporan mengenainya. Adakah di negeri-negeri tersebut mereka bebas atau mereka telah membatalkan segala perancangan yang telah dibuat sebelum ini. Walau apapun diharapkan ulasan Menteri mengenai kegiatan mereka itu diambil perhatian oleh semua negeri di Malaysia.
Cuma di sini saya ingin mengajak semua pembaca berfikir sejenak apakah di sebalik penganjuran KTS ini. Mungkin mereka yang tidak kenal dengan kumpulan ini berasa pelik dan karut. Kenapa pula Rasulullah dilabelkan sebegitu. Tetapi bagi ahli kumpulan itu, label itu dianggap biasa.
Tapi tahukah anda, penubuhan KTS dan penulisan buku Sek Suci Islam dan juga penganjuran forum di atas adalah dirancang oleh Ummu Jah atau Khadijah Aam yang kini berada di Makkah. Inilah fower seorang wanita yang tiada siapa yang berani menyangahinya.
Sebenarnya ramai yang tidak tahu terutama ahli global ikhwan baik yang masih aktif mahupun tidak, juga bekas pengikut al-Arqam bahawa ummu Jah ini bukan sahaja baharu sekarang merancang program seperti ini tetapi dia jugalah yang merancang semasa ustaz Ashaari masih hidup. Dialah master mind yang melumpuhkan perjuangan ustaz Ashaari sedikit demi sedikit.
Saya tidak mahu menyebut sesuatu yang telah berlalu, tetapi cukup saya sebutkan apa yang berlaku hari ini untuk kita fikirkan bersama. Kalau anda perasan atau pernah mendengar komen orang tertentu termasuk pemimpin dan pendakwah bahawa ustaz Ashaari kahwin poligami kerana seks. Kerana hendak kahwin perempuan muda, isteri tua diceraikan. Semua itu adalah kerana seks.
Tuduhan itu kita tidak boleh terima waktu itu, semua orang Arqam tentang dan menafikannya dengan pelbagai alasan demi maruah pemimpin mereka. Tetapi setelah kematian ustaz Ashaari, buku Seks Suci Islam dikeluarkan. Di dalamnya ditulis betul-betul mengambarkan bahawa Ashaari gila seks. Antara lain menurut buku itu, Ashaari membenarkan kami (suami dan isteri-isteri) bertelanjang sambil tangan meramas payu dara kami.
Apa perlunya kenyataan itu dikeluarkan dan didedahkan kepada umum. Bukankah itu semua menjadi rahsia rumah tangga? Inilah perancangan bijak Ummu Jah. Keluarnya buku ini untuk mengiakan bahawa ustaz Ashaari memang berkahwin kerana seks bukan kerana ikut sunnah atau syariat. Bukan sahaja nama ustaz Ashaari dicemarkan, malah dikaitkan pula dengan Rasulullah sebagai tokoh seks.
Jadi, penulisan buku dan penganjuran kelab serta forum di atas sebenarnya untuk menamatkan nostalgia kehebatan Ashaari dalam bidang dakwah. Dia benar-benar telah menghina Ashaari secara tidak langsung, menghina Rasulullah secara terhormat.
Dengan maklumat ini, anda boleh buka lembaran sejarah al-Arqam bermula ustaz Ashaari berada di Thailand sehingga ditangkap. Semoga anda bertemu di manakah niat jahat Ummu Jah terhadap perjuangan al-Arqam.
Di sini saya menyeru kepada semua ahli GISB insafikan kesilapan yang dilakukan oleh golongan atasan. Sampai bila kita sanggup ditipu oleh mereka. Selamatkan iman masing-masing sebelum al-Mahdi benar-benar tiba.

04 Februari 2012

Selamat Menyambut Maulidur Rasulullah 1433H

Ahmad Baei Jaafar

12 Rabiulawal 1433 tarikh yang dinantikan oleh umat Islam khususnya di Malaysia bagi menyambut hari ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW. Malam ini sesetengah masjid telah mengadakan sambutan dengan ceramah. Esok hari peringkat kerajaan diadakan perarakan dan penyampaian anugerah kepada orang yang berjasa kepada agama dan negara.
Alhamdulillah pada hari ini sudah tidak ada lagi suara sumbang yang menganggap bidaah sambutan ini. Malah sudah banyak bukti lain bagi menguatkan sambutan ini. Antara yang baru saya dengar, memang Rasulullah tidak  sambut, tetapi sahabat sangat membesarkan Rasulullah. Rasulullah tidak larang sahabat memuliakan baginda. Kalau waktu hidup dimuliakan, salahkah kita muliakan selepas wafatnya? Tentu lebih patut.
Sesuatu yang Rasulullah tidak larang termasuk dalam sunah juga iaitu taqrir. Sama macam Rasulullah tidak larang sahabat makan dhab. Baginda tidak makan tetapi baginda tak larang, maka ini sunah taqrir. Sama juga dengan selamat dan marhaban, sahabat sambut Rasulullah ketika tiba di Madinah dari Makkah. Rasulullah tidak suruh dan tidak larang perbuatan sahabat. Maka ini juga termasuk sunnah secara taqrir.
Oleh sebab itu, tidak salah kita berarak pada hari sambutan Maulidurrasul. Wallahu Aklam.

صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
صَلَّى اللهُ عَلَىٰ مُحَمَّدٍ
صَلَّى اللهُ عَلَىٰ مُحَمَّدٍ
يَا رَسُوْلُ سَلاَمٌ عَلَيْكَ
صَلَوَاتُ اللهِ عَلَيْكَ
يَا نَبِيْ سَلاَمٌ عَلَيْكَ
يَا حَبِيْبُ سَلاَمٌ عَلَيْكَ
فَاخْتَفَتْ مِنْهُ الْبُدُوْرُ
قَطُّ يَا وَجْهَ السُّرُوْرِ
أَشْرَقَ الْبَدْرُ عَلَيْنَا
مِثْلَ حُسْنِكَ مَا رَأَيْنَا
أَنْتَ نُوْرٌ فَوْقَ نُوْرٍ
أَنْتَ مِصْبَاحُ الصُّدُوْرِ
أَنْتَ شَمْسٌ أَنْتَ بَدْرٌ
أَنْتَ إِكْسِيْرُ وَغَالِي
يَا عَرُوْسَ الْخَافِقَيْنِ
يَا إِمَامَ الْقِبْلَتَيْنِ
يَا حَبِيْبِيْ يَا مُحَمَّدُ
يَا مُؤَيَّدُ يَا مُمَجَّدُ

Tidak kufu punca perkahwinan tidak bertahan lama?


Ahmad Baei Jaafar
Punca sesebuah rumah tangga tidak harmoni dan berakhir pula dengan perceraian adalah kerana perkahwinan itu tidak kufu. Itulah antara pandangan yang sering kita dengar daripada beberapa orang tokoh agama. Alasan yang diberi, apabila tiada kufu akan terjadilah tindakan tidak kesefahaman.
Persoalannya, sesetengah mereka sudah lama berkenalan, tetapi mengapa pula setelah berkahwin tidak boleh wujudkan kesefahaman? Bagaimana masih tidak kufu sedangkan mereka sudah lama bercinta, malah sudah saling mengenali antara satu sama lain? Apakah ukuran kufu pada mereka? Adakah kalau suami buruh kasar dan isteri bos maka dianggap tidak sekufu?
Adakah suami miskin atau tidak berpendidikan tinggi bersama isteri kaya dan berpendidikan tinggi tidak kufu? Bukankah sebelum berkahwin mereka sudah bersetuju untuk bertolak ansur dalam rumah tangga? Tetapi tahukah anda, Rasulullah berkahwin dengan Khadijah yang secara zahirnya tidak setaraf atau tidak sekufu tetapi mereka bahagia.
Berdasarkan itu, taraf kekayaan, kedudukan tidak boleh dimasukkan dalam senarai tidak kufu seperti yang disabdakan Rasulullah. Jadi, tidak harmoni dan berlaku perceraian bukan kerana kedudukan yang tidak setaraf antara suami dan isteri. Kalau begitu apakah puncanya?

Kehendak Rasul
Sememang sekufu itu penting dan demikian itu adalah hak calon isteri dan walinya. Namun begitu kufu yang dimaksudkan ini bukan merujuk kepada urusan duniawi tetapi yang menjadi ukurannya adalah agama. Hadis daripada Aisyah menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Pilihlah olehmu untuk keturunan kamu dan bernikahlah dengan orang yang sekufu.” (Riwayat al-Baihaqi)

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak berhak mengahwinkan seorang anak perempuan kecuali dengan wali, dan tidak berhak mengahwinkan wanita kecuali dengan lelaki yang sekufu dengannya.” (Riwayat Imam Muslim)
Berdasarkan hadis di atas, fuqaha berbeda pendapat tentang maksud kafa’ah (kufu) dalam pernikahan. Ibnul Qayyim dalam kitabnya, Zaadul Ma‘ad (4/22) menyebut, yang digolongkan dalam kafa’ah ialah urusan yang berkait dengan agama.
Pandangan ibnul Qayyim itu berasaskan beberapa ayat al-Quran, antaranya firman Allah yang bermaksud:
“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kalian daripada laki-laki dan perempuan dan Kami jadikan kalian bersuku-suku dan berkabilah-kabilah agar kalian saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kalian di sisi Allah ialah yang paling bertakwa.” (Surah al-Hujurat: 13)
Rasulullah SAW juga ada bersabda yang bermaksud:
“Tidak ada keutamaan orang Arab dibandingkan dengan orang ajam (non Arab) dan tidak ada keutamaan orang ajam dibanding orang Arab. Tidak pula orang berkulit putih dibanding orang yang berkulit hitam dan sebaliknya orang kulit hitam dibanding orang kulit putih, kecuali dengan takwa. Manusia itu daripada keturunan Adam dan Adam itu diciptakan daripada tanah.”
Berdasarkan dalil di atas, maka penilaian kufu itu sangat berkait dengan agama. Maknanya kalau seseorang wanita itu seseorang yang kuat pegangan agamanya, tidak layaklah bakal suaminya orang yang tidak kenal tikar sembahyang. Tetapi kalau seseorang wanita itu orang biasa sahaja, agamanya tidaklah kuat sangat, jika dipinang oleh lelaki yang kuat agamanya, boleh diterima sekufu. Hal ini kerana lelaki tersebut boleh mendidik isterinya nanti.
Walau bagaimanapun syarat kufu yang berkaitan keduniaan boleh juga dinilai asalkan agama mengatasi nilaian lain. Malah nilaian itu boleh digugurkan apabila kedua-dua, wali dan wanita terbabit mahu mengenepikannya.

Menilai kufu
Orang yang boleh menentukan kekufuan ialah wali, bapa wanita yang hendak dikahwini. Dalam hal ini wali perlu adil dalam membuat pernilaian terhadap bakal menantunya. Oleh sebab itu tidak salah bagi wali atau pihak wanita membuat risikan terhadap lelaki dan keluarganya. Kalau sebelumnya, pihak lelaki datang merisik, apa salahnya pihak wali pula menghantar merisik balas dengan tujuan melihat taraf kekufuan lelaki tersebut.
Memang dalam tradisi Melayu belum ada pihak wanita menghantar rombongan merisik, malah amalan itu boleh dianggap melanggar adat. Tetapi kalau dilihat dalam peruntukan Islam, wali wajar menentukan kekufuan tentu tidak salah wali membuat risikan balas. Cuma untuk itu tidak perlulah disediakan rombongan, tetapi cukup risikan itu dilakukan secara tidak langsung dalam perbualan atau bertanyakan kawan-kawannya.
Sebenarnya kufu yang perlu dilihat ialah adakah lelaki itu setaraf atau lebih baik daripada wanita di sudut agamanya. Nilaian agama yang dimaksudkan ialah merangkumi taraf pendidikan agama, amalan, kefahaman dan akhlaknya. Nilaian ini penting kerana taraf agama suami yang menentukan dia mampu mendidik isterinya ke jalan yang diredhai Allah.
Adapun nilaian taraf kekayaan, kedudukan dan keturunan tidak menjadi keutamaan kerana semua itu belum menjamin kemampuannya mendidik isteri ke jalan yang diredhai Allah. Sebaliknya boleh jadi dengan kekayaan, dia menzalimi isteri. Boleh jadi juga dengan kedudukannya yang tinggi dia menghambakan isterinya. Dan boleh jadi dengan keturunannya yang mulia dia memandang rendah kepada isterinya.
Walau bagaimanapun jika pihak wanita sendiri tidak mempunyai pendidikan, kurang agamanya, kurang akhlaknya, wali juga perlu berhati-hati dalam memilih bakal menantu. Kalau boleh biarlah menantunya itu lelaki yang mampu menyelamatkan anaknya daripada neraka. Namun lelaki yang baik lazimnya jarang mahu meminang wanita yang kurang baik.

Merisik dan meminang tidak Islami
Hari ini budaya merisik masih lagi diamalkan dalam masyarakat Melayu, tetapi amalannya sudah tidak menepati syariat? Pernah kita temui pada hari ini, lelaki sudah berkenalan dan bermesra dengan seseorang wanita, malah berjanji hendak berkahwin. Apakah dengan ini mereka masih perlukan acara merisik?
Perlu dijelaskan di sini, budaya merisik adalah untuk mengenal pasti pasangan itu kufu atau tidak. Dan mereka yang layak mengenal pasti itu sudah pasti mereka yang berpengalaman dalam hal ini. Kalau pihak lelaki yang merisik adalah untuk mengenal pasti wanita tersebut sudah ada yang punya atau belum. Tetapi pihak wanita yang merisik adalah untuk menilai kekufuan lelaki tersebut.
Tetapi hari ini pasangan itu sudah lama berkenalan, maka perlu lagi mengadakan acara risikan. Sepatutnya semasa bertemu dan bercinta itulah mereka boleh mengenal pasti kekufuan mereka. Tetapi itulah yang tidak pernah berlaku, apa yang  berbincang hanyalah soal cinta malah ada perbincangan yang tidak menguntungkan mereka.
Kesilapan inilah yang kadang-kadang menjadikan perkahwinan mereka tidak boleh bertahan lama. Apa tidaknya setelah berkahwin dan mula hidup sebagai suami isteri, segala rahsia mula terbungkar. Segala keburukan pasangan baru dikenal pasti. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk bercerai.
Sepatutnya mereka tidak bercinta dalam tempoh yang lama. Malah adalah lebih baik selepas mengenal pasti pasangan masing-masing berkelayakan terus masuk meminang. Dan waktu bertunang itu pula boleh diambil peluang untuk mengenal pasti keserasian dan kekufuan mereka. Jika dalam tempoh bertunang itu didapati salah satu pihak tidak serasi dan tidak sekufu, maka bolehlah pihak terbabit menarik balik pertunang itu.
Selain itu, tempoh pertunangan tidak seharusnya terlalu panjang. Sebaik-baik tempoh pertunangan ialah singkat yang cukup untuk mereka menilai kebaikan masing-masing. Boleh jadi cukup enam bulan ke setahun. Walau bagaimanapun bagi pihak yang membatalkan pertunangan, jika boleh menjejaskan maruah dan kewangan pihak satu lagi, maka ganti rugi perlu dibayar.
Jelas di sini, kedudukan kufu amat penting diberi perhatian oleh pihak yang hendak berkahwin. Soal wang dan kekayaan penting juga tetapi bukan keutamaan. Jadi, mana-mana lelaki yang hendak berkahwin dan sedang mencari pasangannya perlulah menilai diri sendiri tentang kemampuan diri agar dengan itu boleh dinilai sebagai sekufu dengan wanita pilihannya.
Untuk itu dia perlu persiapkan diri dengan ilmu agama, amalan agama, akhlak yang diajar agama. Apabila persiapan itu sudah ada, keperluan lain seperti kewangan dan pekerjaan akan mengiringinya. Bukankah seseorang yang beragama sentiasa memikirkan kewibawaan dirinya. Manakala pihak wanita pula kalau dia berfikir hendak berkahwin, dia juga perlu membuat persiapan untuk menjadi seorang isteri yang baik. Jika dia sudah bersedia sudah pasti dia boleh menerima bakal suami yang sepadan dengannya.
Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: “Wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik…” (Surah al-Nur : 26)
Percayalah dengan cara itu ibu bapa atau wali tidak akan menghalang perkahwinan yang pada pasangan tersebut sudah sekufu atau serasi. Walaupun wali ada kuasa veto dalam soal perkahwinan anak perempuannya, tetapi dia akan menghormati pilihan anaknya. Cuma kalau bakal menantu itu didapati tidak sekufu setelah membuat risikan tertentu dia boleh menghalangnya.
Sehubungan itu perlu dijelaskan juga, bukan sahaja anak dara perlu kepada sekufu tetapi bagi janda atau balu juga perlukan suami yang sekufu dengannya. Ini berdasarkan pesanan Rasulullah SAW kepada Ali bin Abi Talib yang bermaksud: “Tiga perkara jangan kamu tangguhkan. Pertama, menunaikan sembahyang apabila masuk waktunya. Kedua, menguruskan jenazah, dan ketiga, janda sekiranya didapati ada lelaki yang sekufu dengannya, maka langsungkanlah pernikahannya.” (Riwayat Tirmizi)
Dengan ini diharapkan perkahwinan yang sekufu ini dapat menjadi contoh kepada sebuah rumah tangga bahagia baik di dunia apatah lagi di akhirat. Selamat mengenal pasti kufu anda.

01 Februari 2012

Mana salahnya tulisan Malaysia pada logo halal?


Ahmad Baei Jaafar

Membaca tajuk utama dalam ruangan Forum Utusan Malaysia hari ini (1 Februari 2012) menarik perhatian saya untuk membaca isi kandungnya. “Kesilapan ejaan Malaysia pada tulisan jawi logo halal Jakim” memang patut dibaca kerana kesilapan itu bukan sahaja melibatkan negara malah wibawa Jakim itu sendiri.
Tetapi setelah membaca tulisan Hamid Daud, Kuala Lumpur itu, timbul dua perasaan di dalam hati saya, malu kerana masih ada rakyat Malaysia yang jahil dalam mengenali nama-nama negara di dunia ini. Perasaan kedua ialah terima kasih dan syukur kerana ada orang yang secara sengaja mahu mempromosikan logo halal Malaysia.
Di sini saya petik satu perenggan daripada tulisan tersebut sebagai bahan kes, “Dukacita pada logo tersebut terdapat kesilapan pada ejaan jawi di mana nama negara Malaysia telah dieja kepada Malayzia. Dan difahamkan nama Malayzia tidak ada disebut oleh mana-mana negara di dunia ini. Di negara-negara Arab di Timur Tengah pula akan disebut atau dikenali sebagai Malasie.”
Saya tidak ada apa-apa kepentingan untuk mempertahankan Jakim, tetapi saya sebagai rakyat Malaysia yang beragama Islam bertanggungjawab untuk mempertahankan kebenaran.
Kepada Hamid Daud dan mereka yang seumpama dengannya suka dijelaskan di sini, Almarhum Tunku Abdul Rahman sewaktu bercakap mengistiharkan Malaysia dengan menggunakan bahasa Inggeris menyebut “Malayzia” kerana lazimnya “s” bunyinya “z”. Malah hari inipun, kalau orang Melayu bercakap bahasa Inggeris akan menyebut Malayzia. Saya tidak pasti adakah Hamid tidak pernah mendengar perkataan itu atau sengaja hendak menimbulkan isu.
Daripada sebutan itulah maka orang Arab (seluruh Negara Arab) menggunakan perkataan Malayzia (ماليزيا) sebagai sebutan rasmi untuk Malaysia. Mungkin Hamid tidak pernah mendengar orang Arab bercakap atau membaca surat khabar Arab, tetapi mungkin Hamid pernah tengok orang pergi Makkah (kalau Hamid belum pernah buat haji atau umrah) pada beg atau telekong jemaah wanitanya tertulis perkataan ماليزيا.
Sebutan dan tulisan yang berbeza sesuatu negara sudah iktiraf oleh dunia. Sebagai contoh, Jepun disebut oleh Malaysia, tetapi orang jepun sendiri tidak sebut jepun. Indonesia menyebutnya sebagai “Jepang” dan Arab pula menyebut “Yaban”. Apakah Hamid tidak perasan semua itu atau sengaja untuk memalukan diri sendiri.
Apalah peliknya kalau orang Arab sebut Malayzia kepada Malaysia, malah ada lagi sebutan Arab yang langsung tiada kaitan dengan asalnya seperti “Itali” seluruh dunia sebut Itali tetapi Arab sebut “alban”. Jadi, Hamid harus banyak pengetahuan sebelum membuat komen yang seperti ini.
Sebenarnya logo halal jakim ini bukan baru seperti itu. Rasanya sudah lama tertulis Malayzia sejak asal lagi. Tetapi kenapa baru hari ini ditumbulkan isu itu, adakah selama ini Hamid tidak perasan kerana tidak pernah beli barangan yang ada logo halal jakim. Kalau ini yang terjadi amat memalukan. Maaf kalau tulisan saya kali ini agak emosi.
Tidak timbul isu tulisan jawi salah di situ kerana pada logo itu bukan tulisan jawi tetapi tulisan Arab. Perkataan Malaysia sudah ada tercatat di atas, maka apa perlunya ditulis lagi dalam jawi, bahkan tulisan rumi itu, semua orang boleh membacanya dan boleh menyebutnya dengan betul. Tetapi di bawahnya dituliskan dalam bahasa Arab untuk pengguna Arab sekali gus memperkenalkan halal Malaysia kepada dunia Arab.
Untuk pengetahuan Hamid, logo halal ini bukan untuk Malaysia sahaja tetapi turut dibawa ke luar negara terutama negara Arab. Jadi, tulisan Arab itu penting dalam logo tersebut.
Ini logo baru yang berkuatkuasa 1 Jan 2012 dengan menambahkan kod H
Sebelum mengakhiri tulisan ini suka saya membetulkan pengetahuan Hamid tentang ayat terakhir daripada petikan di atas, “Di negara-negara Arab di Timur Tengah pula akan disebut atau dikenali sebagai Malasie.” Sebenarnya orang Arab sebut Malasie untuk menunjukkan orang Malaysia. Sepertilah kita sebut Arabi bermaksud orang Arab. Samalah seperti orang Inggeris berkata Malaysian bererti orang Malaysia.
Harapan saya selepas itu logo halal Jakim akan lebih dikenali sekali gus menjadikan kita orang yang peka dengan dunia sekeliling. Biarlah kita celek dunia dan celek akhirat.
Posted by Picasa