19 Oktober 2011

Lambaian kaabah makin terasa


لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ،
إنَّ الْحَمْدَ وَالنّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ، لاَ شَرِيْكَ لَكَ
Lambaian kaabah makin terasa, lambaian Allah terus terasa dan hati ini bagaikan tidak sabar lagi untuk menemui-Nya. Dan Allah sudah tentu sedia menungguku dan isteriku sebagai tetamu-Nya di Baitulllahi Haram.
Tanggal 25 Oktober 2011 akan menyaksikan kesungguhan kami untuk menemui-Nya. Hari itu kami dikehendaki berada di Tabung Haji Kelana Jaya jam 11.00 malam bagi membuat persiapan akhir sebelum berlepas ke Tanah Suci pada awal pagi 26 Oktober 2011. Kami sahut panggilan itu walaupun pada waktu itu sepatutnya berehat.
Maka dalam debaran menunggu tarikhnya, hati yang masih banyak dosa ini ingin mengambil kesempatan pada waktu ini untuk memohon kemaafan kepada semua rakan seperjuangan, teman blogku, pembaca dan peminat fikrah Islamiah juga rakan-rakan facebook kerana sepanjang perhubungan kita, tentu terdapat salah dan silap. Banyak yang menyakitkan hati. Jadi, maafkan saya semoga pemergian saya ke Tanah Suci tanpa dosa yang dibawa.
Selain itu saya juga mengharapkan doa kalian agar saya dan isteri sihat sebelum bertolak dan selamanya sihat sepanjang berada di perantauan semoga dengan itu kami boleh mengerjakan haji dengan sempurna dan seterusnya beroleh hajj-mabrura. Itulah impian semua jemaah haji.
اَللَّهُمَّ بَلِغْنَا مَكَّةَ وَالْمَدِيْنَةَ وَالْعَرَفَةَ وَارْزُقْنَا الْحَجَّ الْمَبْرُوْرَ وَارْضَ عَنَّا وَاغْفِرْلَنَا وَارْحَمْنَا اَنْتَ مَوْلاَنَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِيْنَ
Ya Allah, sampaikanlah kami ke Makkah dan Arofah dan Madinah, dan berilah rizqi kepada kami haji yang mabrur, dan berilah keredaan kepada kami, dan ampunilah kami, dan sayangilah kami. Engkaulah kekasih kami, maka tolonglah kami atas golongan orang yang kafir. 

15 Oktober 2011

Rukuk dan sujud tidak selaras

Ahmad Baei Jaafar
Bahagian kedua 
Meskipun kita sudah lama melakukan solat, malah ada yang 40 tahun, ini jika mula bersolat di usia 10 tahun, namun mutu solat sesetengah umat Islam masih rendah. Demikian mungkin pada waktu mula belajar solat di usia 10 tahun, tetapi selepas itu tidak pernah dibaharui ilmunya. Jadi, ilmu yang digunakan untuk solat adalah ilmu pada tahap sekolah rendah.
Tangan diletakkan pada lutut
Golongan ini apabila ada kelas fardu ain di masjid dan surau tidak mahu hadir kerana tidak mahu buang masa, kononnya. Sesetengah pula memberi alasan, asyik-asyik soal solat, tak ada ilmu lain ke? Ertinya dia merasai ilmu solatnya sudah baik dan sempurna. Inilah realiti yang ada dalam masyarakat kita hari ini.
Sebenarnya ilmu solat perlu dipelajari dari masa ke masa kerana hukumnya walaupun tidak berubah tetapi ilmu amalinya pada waktu kanak-kanak tidak sama dengan waktu dewasanya. Bayangkan pelajaran matematik waktu sekolah rendah perlu diajar lagi pada waktu sekolah menengah kerana tahapnya tidak sama. Jadi, mengapa pula ilmu solat tidak mahu diberi nilai tambahanya?
Pada kesempatan ini mari kita lihat semula bagaimana kita rukuk dan sujud. Apakah cara yang kita lakukan itu sama dengan tahap umur 10 tahun atau sudah diberi nilai tambah. Dengan penilaian ini kita boleh buat perubahan jika tidak menepati ibadah Rasulullah SAW.
Hadis tentang rukuk
Rukuk adalah rukun fi’li yang kelima, dalam rukuk ini disyaratkan tamakninah malah dikira sebagai satu rukun. Di sinilah kadang-kadang kita lihat mereka rukuk dalam keadaan tidak tamakninah. Untuk menjadikan rukuk itu tenang (tamaninah) Rasulullah SAW dalam solatnya meletakkan kedua telapak tangan di atas lutut. (HR Bukhari dari Sa'ad bin Abi Waqqash).
Saya sendiri pernah melihat seorang lelaki ketika rukuknya dia meletakkan kedua-dua telapak tangannya ke betis yakni di bawah lutut. Keadaan itu menjadikan tulang belakangnya ke bawah. Di sinilah amalan salah yang sangat bertentangan dengan sunah.
Sebenarnya kalau seseorang itu boleh rukuk dengan tenang, dia dapat merawat kelenturan tulang belakang yang berisi sumsum tulang belakang (sebagai syaraf sentral manusia) beserta aliran darahnya.
Hadis tentang sujud
Cara sujud juga kadang-kadang kita lihat pelbagai cara. Kalau dilihat pada syarat sujud ialah dengan tujuh anggota. Itulah asasnya, tetapi kita perlu ambil perhatian dengan sabda Rasulullah SAW:
اِعْتَدِلُوْا فِي السُّجُودِ وَلَا يَبْسُطُ أَحَدُكُمْ ذِرَاعَيهِ انْبِسَاطَ الكَلْبِ
Maksudnay "Luruskanlah kalian dalam sujud dan jangan kamu menghamparkan kedua lengannya seperti anjing menghamparkan kakinya" (Riwayat al-Bukhari no:788, Muslim n:493) 
Dan dalam hal ini Sheikh Ibn Utsaimin (Al-Sharh Al-Mumti', 3/168) berkata:

اِجْعَلُوْهُ سُجُوداً مُعْتَدِلاً ، لَا تَهْصَرُونَ فَيَنْزِلُ البَطْنُ عَلَى الفَخْذِ، وَالفَخْذُ عَلَى السَاقِ وَلَا تَمْتَدُّونَ أَيْضاً كَمَا يَفْعَلُ بَعْضُ النَّاسِ إِذَا سَجَدَ، يَمْتَدُّ حَتَّى يَقْرَبَ مِنَ الاِنْبِطَاحِ، فَهَذَا لَا شَكَّ أنَّهُ مِنَ البِدْعِ وَلَيْسَ بِسُنَّةٍ، فَمَا ثَبَتَ عَنِ النَّبيِّ صَلَّى الله عَلَيهِ وَسَلَّمَ وَلَا عَنِ الصَّحَابَةِ فِيمَا نَعْلَمُ أَنَّ الإنْسَانَ يَمُدُّ ظَهْرَهُ فِي السُّجُودِ، إنَّمَا مَدُّ الظَهْرِ فِي حَالِ الرُّكُوعِ ، أَمَّا السُّجُودُ فًإنَّهُ يَرْتَفِعُ بِبَطْنِهِ وَلَا يَمُدُّهُ
Maksudnya: "Hendaklah kamu menjadikan sujud dalam keadaan tenang, tidak membengkokkan lalu perut hampir terletak di atas peha, dan peha pula terletak di atas betis, dan tidak pula melunjur sebagaimana sesetengah orang lakukan semasa mereka sujud yang kelihatan seolah-olah sedang berbaring. Tidak syak lagi, inilah satu bid'ah dan jelas bukan sunnah. Tidak pernah diriwayatkan dari Nabi SAW, atau mana-mana Sahabat. Sejauh yang kami tahu, seseorang itu meluruskan tulang belakangnya semasa sujud. Dia juga meluruskan tulang belakangnya semasa rukuk, tetapi semasa sujud dia mengangkatkan perutnya dan bukan mendatarkannya." 
Jelas di sini menghamparkan tangan yang dilihat seolah-olah berbaring merupakan satu kesalahan di dalam solat, dan ia bertentangan dengan Hadis Nabi SAW di atas yang secara lahirnya seperti tabiat anjing.
Tulang belakang lurus
Nabi SAW bersabda: “Dan jangan berbaring seseorang di atas lengannya seperti berbaring anjing” dan di dalam riwayat lain: “dia tidak menghamparkannya." 
Panduan ini diharapkan ibadah umat pada masa hadapan akan lebih daripada sebelumnya. Ingatlah, rukuk dan sujud itulah simbol pengabdian kita kepada Allah, kalau simbol ini rosak apalah ertinya ibadah kita kepada Allah.

Cara Sujud yang Praktikal Diamalkan

Ahmad Baei Jaafar
Bahagian Pertama

Sehingga ke hari ini, masih kedengaran suara-suara pertikaian berhubung cara sujud Rasulullah SAW. Golongan lama mempertahankan cara bersujud dengan menurunkan lutut dahulu ke tempat sujud, sementara golongan muda mempertahankan cara bersujud dengan menurunkan tangan dahulu. Malangnya isu itu membuatkan sesetengah pihak bermasam muka. Padahal masing-masing mahu mempertahankan sunnah Rasulullah SAW.
Pada ruangan kali ini elok kita pelajari sedikit sunah Rasulullah SAW berhubung cara sujud yang lebih praktikal pada zaman ini. Secara zahirnya kita lihat terdapat dua cara umat Islam melakukan sujud selepas iktidal. Ada yang bersujud dengan meletakkan tangan dahulu ke tempat sujud dan ada juga yang lutut dahulu.
Saya sendiri kadang-kadang turun bersujud tangan dahulu, dan kadang-kadang dengan lutut dahulu. Yang pasti ada sebab mengapa begitu dan mengapa begini. Tetapi dalam keadaan tertentu kita lihat cara turun sujud itu seperti tidak cantik. Itu kata hati kecil kita.
Bagi membincangkan isu ini mari kita lihat sebuah hadis yang datang daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda:
Sujud dengan menurunkan lutut, tangan dan dahi.
إِذَا سَجَدَ أَحَدُكُمْ، فَلاَ يَبْرُكُ كَمَا يَبْرُكُ الْبَعِيْرُ، وَلْيَضَعْ يَدَيْهِ قَبْلَ رُكْبَتَيْهِ
Maksudnya: “Apabila salah seorang antara kamu melakukan sujud, maka janganlah dia melakukan sebagaimana yang dilakukan seekor unta (melakukan gerakan seperti gerakan unta) dan hendaklah dia meletakkan kedua-dua tangannya sebelum meletakkan kedua-dua lututnya.”
Kita di Malaysia sukar melihat unta dan bagaimana ia duduk serta berdiri. Mungkin sebahagian rakyat negeri Selangor di sekitar Shah Alam pernah melihat unta pada musim korban. Tetapi saya tidak pasti sama ada mereka pernah melihat bagaimana unta itu duduk dan berdiri.
Unta ada empat kaki, sama seperti haiwan lain juga cuma unta ada sedikit kelainan. Iaitu terdapat dua sendi pada kaki belakangnya. Apabila unta itu hendak duduk, dilipatkan kaki belakang dan lutut diturunkan dahulu. Kemudian sendi pada paha pula dilipat.
Cuma timbul persoalan di sini, kaki hadapan itu tidak boleh disamakan dengan tangan. Jadi, kalau tidak boleh ikut cara unta kenapa pula Rasulullah mengatakan letakkan tangan dahulu sebelum lutut? Lainlah kalau kaki depan itu tidak boleh disamakan dengan tangan kita.
Selain hadis di atas ada satu lagi hadis yang menceritakan perbuatan Rasulullah yang antara lain menyebut bahawa ketika hendak bersujud, Baginda meletakkan kedua-dua lututnya terlebih dahulu sebelum kedua-dua tangannya. Setelah meletakkan kedua-dua lutut, Baginda kemudian meletakkan kedua-dua tangan, lalu kening, kemudian hidung. Hadis tersebut diriwayatkan dalam sebuah hadis oleh Syarik, dari Ashim bin Kulaib, daripada ayahnya, daripada Wa`il bin Hajar. Wa`il mengatakan bahawa dia pernah melihat ketika Rasulullah hendak sujud, Baginda meletakkan kedua-dua lututnya sebelum kedua-dua tangannya. Dan ketika bangkit, Baginda mengangkat kedua-dua tangan sebelum mengangkat kedua-dua lututnya. Dalam soal sujud ini, tidak ada yang meriwayatkan hadis yang bertentangan dengan keterangan tersebut.
Melihat kepada dua hadis di atas, ramai yang beranggapan terdapat fakta yang bercanggah. Tetapi secara realiti, memang terdapat beberapa keadaan yang pada suatu ketika Rasulullah melakukan sesuatu tetapi pada masa yang lain Baginda melarang. Sebenarnya, dalam kes seperti ini Baginda ingin menunjukkan keadaan yang harus. Namun kita perlu ingat, setiap yang harus jika diniatkan meniru Rasulullah akan diberi pahala mengamalkan sunnah.
Jadi, dalam keadaan kita sihat dan kuat lakukanlah sujud dengan menurunkan lutut dahulu sebelum tangan dan dahi. Tetapi bagi mereka yang uzur seperti sakit kaki, pinggang atau kerana tua maka bolehlah menurunkan tangan dahulu ke tempat sujud. Tangan itu berfungsi menampan badan yang berat. Dengan cara ini kita hakikatnya telah melaksana semua sunah Rasulullah.
Apa yang penting dalam sujud ialah anggota-anggotanya. Berdasarkan hadis anggota sujud ada tujuh, iaitu dahi termasuk hidung, dua telapak tangan, dua lutut dan hujung jari kedua-dua kaki.   
Hadis tersebut daripada Ibnu ‘Abbas dia berkata, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Aku diperintahkan untuk bersujud (dalam riwayat lain; Kami diperintahkan untuk bersujud) dengan tujuh (7) anggota badan; iaitu dahi sekali gus hidung, dua tangan (dalam lafaz lain; dua telapak tangan), dua lutut, jari-jari kedua-dua kaki.” (Hadis dikeluarkan oleh al-Jama’ah)   
Semoga dengan panduan ini kita tidak lagi saling berbalah soal sujud sebaliknya terus beramal dengan sunah Rasulullah. Ketika itu barulah kita layak dipanggil umat Muhammad.

04 Oktober 2011

Solat mengajar umat Islam jaga disiplin

Ahmad Baei Jaafar
Kita biasa dengar orang berkata, sesiapa yang tidur selepas subuh tertutup pintu rezekinya. Kenapa subuh dan apa rasionalnya pintu rezeki tertutup untuk mereka? Saya percaya bagi mereka yang makan gaji, isu ini tidak timbul kerana pada hujung minggu mereka boleh tidur semahunya. Walaupun mereka tidak bekerja gaji tetap dibayar.
Yalah, sama ada mereka tidur selepas subuh atau tidak, rezeki tetap ada. Malah sesetengahnya tidak bangun untuk solat Subuh, tetapi terus tidur sehingga tengah hari. Gaji bulanannya tetap sama. Jadi, berdasarkan itu, kurang tepatlah kenyataan di atas bagi mereka. Namun kalau dinilai di sudut kesihatan, ada juga kebenarannya.
Apa tidaknya, kalau tidur dalam tempoh yang lebih lama, akan mengakibatkan mereka ditimpa penyakit. Bagaimana? Ya, kalau tidur selepas Subuh tubuhnya akan lemah. Bayangkan kalau mereka bersikap begitu, boleh jadi umurnya akan pendek. Dengan itu sumber pendapatannya akan terhenti.
Sebenarnya Rasulullah telah mengingatkan umat Islam dalam sabdanya yang bermaksud: “Berpagi-pagilah (subuh) dalam mencari rezeki, sesungguhnya berpagi-pagi itu adalah keberkatan dan kejayaan.” (Riwayat at-Tabarani dalam al-Awsath)
Rasulullah mahu umat Islam bangun awal untuk mencari rezeki kerana Allah menurunkan rezeki dan keberkatan pada waktu pagi. Maknanya kalau mereka bangun lambat, keberkatan sudah tiada. Maka rezeki juga akan menjadi kurang. Sebab itu Abdullah Ibnu Abbas (Ibnu Abbas) ketika melihat anaknya tidur di waktu pagi. Baginda berkata kepada anaknya: "Bangun! Apakah kamu tidur di waktu rezeki dibahagi-bahagikan?

Kemunduran umat mana puncanya
Realiti yang dapat dilihat di negara ini, orang Cina yang beragama Bhuda akan bangun awal pagi apatah lagi kalau mereka golongan peniaga atau petani. Mereka bangun sebelum orang Islam bangun untuk solat Subuh. Lihatlah, kalau mereka membuka kedai, perkara pertama yang dilakukan ialah sembahyang dengan menyalakan colok di hadapan gerai atau kedai mereka.
Keadaan yang sama berlaku kepada orang India yang beragama Hindu, mereka bangun awal pagi sebelum matahari terbit. Apabila terbit matahari mereka akan menyembah tuhan mereka dengan menghadap kepada matahari. Istiqamah mereka dalam hal ini menjadikan mereka berjaya dalam mencari rezeki.
Jelas di sini mereka yang hendak berjaya perlu membiasakan disiplin diri iaitu bangun awal sebelum Subuh. Tetapi persoalannya berapa ramai umat Islam ikut disiplin di atas? Walaupun banyak hadis Rasulullah yang mengajar kita ke arah itu. Sudah banyak panduan dan disiplin yang disediakan untuk kita ikut. Tetapi bagaimana dengan kehidupan umat Islam kini, bolehkah mereka bangun awal pagi untuk solat Subuh dan keluar kerja awal pagi?
Ya, kalau kita ke masjid waktu Subuh, jemaahnya hanya satu saf berbanding dengan waktu Maghrib dan Isyak. Ertinya masih ramai yang bangun lambat lalu melakukan solat Subuh di rumah bersendirian. Malah ada juga yang tidak melakukan solat Subuh lalu terus keluar ke tempat kerja. Demikian sIkap mereka yang bekerja, tetapi bagi yang menganggur mereka akan terus sambung tidur.
Kalau begitulah keadaan orang Islam pada zaman ini, apakah mereka beroleh kejayaan seperti yang dimiliki oleh Cina dan India di atas? Inilah realiti orang Islam pada hari ini, malah inilah jawapan kenapa umat Islam mundur dalam segala lapangan. Kalau adapun yang berjaya, keberkatannya tidak ada.
Rasulullah ketika melewati anaknya, Fatimah r.ha didapati dia sedang berbaring pada waktu pagi, maka Baginda bersabda: “Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau tergolong dalam kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari.” (Riwayat al-Baihaqi)
Anak Rasulullah juga perlu bangun awal dan tidak boleh tidur waktu pagi sebaliknya terus bekerja mencari rezeki. Di dunia ini kita tidak boleh rasa senang hati tidur dan mengharapkan rezeki datang melayang.
Bangunlah segera wahai umat Islam
Umat Islam diperintahkan bangun awal sebelum terbit fajar lagi. Allah perintah umat Islam bangun untuk solat tahajud dan solat witir sebelum masuk waktu Subuh. Sebaik sahaja masuk waktu Subuh, mereka diminta pula melakukan solat sunat fajar. Walaupun solat ini termasuk dalam kategori sunat, tetapi percayalah, solat itu yang menjadikan solat Subuh senjata yang digeruni musuh.
Bayangkan kalau semua umat Islam boleh melakukan solat Subuh sama seperti solat Jumaat, dan solat itu dilakukan setiap pagi, tidakkah keadaan itu boleh menjadi senjata kekuatan umat Islam. Kalau setakat seminggu sekali umat Islam berkumpul, apalah ertinya kepada Islam. Hal ini kerana solat Jumaat hanya berjaya menonjolkan syiar Islam tetapi belum boleh digeruni musuh.
Barangkali sebahagian anda pernah mendengar kenyataan tokoh Yahudi mengenai sikap umat Islam. Di sini saya paparkan sebahagian yang ditulis: “Pernah, salah seorang Yahudi, menyatakan bahawa mereka tidak takut dengan orang Islam kecuali pada satu hal iaitu apabila jumlah jemaah solat Subuh menyamai jumlah jemaah solat Jumaat.¨
Kebanyakan kita tidak sedar, betapa sudah banyak peluru kita hilang entah ke mana. Oleh sebab itu musuh kita Yahudi sudah tidak takut dengan kita. Malah mereka kini boleh menghancurkan kita kalau mereka mahu. Di segi agama mereka telah berjaya merosakkan akidah umat Islam. Pada masa yang sama mereka berjaya melalaikan kita agar tidak berminat untuk melakukan solat subuh.
Menyedari keadaan itu, umat Islam perlu kembali menghayati ajaran Islam dengan memenuhkan masjid pada waktu solat Subuh. Mungkin untuk memulakannya agak sukar kerana sudah terbiasa dengan bangun lambat. Inilah cabaran yang perlu diikuti oleh umat Islam. Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan begitu saja, katakan: ‘Kami telah berfirman?’ Sedangkan mereka tidak diuji lagi? Sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya, Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut: 1-3)
Munafik musuh dalam selimut
Perlu dijelaskan di sini, golongan yang banyak menggagalkan kemajuan Islam dan kecemerlangan umatnya ialah golongan munafik. Mereka ini bukan sahaja tidak serius untuk melaksanakan perintah Allah, malah cuba menghasut orang Islam yang lain agar bersikap sepertinya.
Rasulullah menjelaskan sifat orang munafik dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik ialah solat Isya’ dan solat Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalam dua solat itu, nescaya mereka akan mendatangi kedua-duanya dengan merangkak. Sungguh, aku ingin menyuruh melaksanakan solat, lalu solat itu ditegakkan, kemudian aku perintahkan orang lain untuk solat bersama dengan orang ramai. Kemudian beberapa lelaki berangkat bersamaku dengan membawa kayu yang terikat, dan segera mendatangi suatu kaum yang tidak menghadiri solat berjemaah, sehingga aku bakar rumah mereka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis yang lain sabda Rasulullah SAW, ”sesungguhnya dua solat iaitu isyak dan subuh adalah solat yang berat bagi orang munafik. Sesungguhnya apabila mereka mengetahui apa yana ada dalam solat subuh dan isyak nescaya maka mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak.” (Riwayah Ahmad dan An-Nasa’i)
Sebenarnya ganjaran pahala untuk solat Subuh mengatasi keindahan dunia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka dia berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan Allah SWT dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam api neraka.” (Riwayat Muslim).
Apabila golongan munafik telah memenuhi sesuatu kariah atau negeri, maka masjid tidak akan dipenuhi oleh umat Islam lagi, lebih-lebih lagi pada waktu Subuh. Apabila keadaan ini terjadi, musuh Islam akan memandang umat Islam golongan yang lemah. Dengan itu mereka boleh mempermainkan malah memperbodohkan umat islam.
Atas kesedaran itu, selamatkan diri kita daripada sifat munafik. Untuk itu, umat Islam perlu penuhkan masjid pada waktu subuh seperti solat Jumaat. Dengan ini sahaja yang boleh mengembalikan kekuatan Islam termasuk dalam soal ekonomi.
Solat dhuha
Bagi merealisasikan kemenangan Islam dalam semua bidang, Islam menganjurkan umat Islam melakukan solat sunat Dhuha. Waktu dhuha yang bermula dari 28 minit selepas terbit matahari sehingga tergelincir matahari. Percayalah mereka yang istiqamah melakukan solat dhuha ini akan diberi ganjaran termasuk dibukakan pintu rezeki.
Alangkah cantiknya, kalau semua umat Islam boleh melakukan solat Dhuha selepas sama-sama menunaikan solat Subuh. Selain mereka terhindar daripada golongan munafik, mereka juga akan diberi rezeki yang tidak disangkakan.
Jadi, apa yang menghalang kita daripada menunaikan solat Subuh dan solat-solat sunat yang mengiringinya? Bukankah solat ini suatu bahagian yang begitu besar berbanding dunia dan seisinya? Sudah sampai masanya umat Islam keluar dari zon selesa lalu mengharapkan kejayaan tanpa usaha.
Sesungguhnya kejayaan yang dimaksudkan itu sangat bergantung kepada diri kita sendiri bukan orang lain. Kalau kita boleh mendisiplinkan diri dalam perkara di atas, umat Islam mampu menguasai ekonomi dunia.