28 Ogos 2011

Salam Eidul Fitri kepada semua pengunjung

Hari ini warga kota sudah mula mengosongkan rumah kediaman mereka dan mula bergerak ke kampung masing-masing. Berhati-hati di jalan raya kerana dalam kesesakan jalan raya ada kemungkinan yang terlalai. Jadi, sepanjang perjalanan ingat Allah dan ingat orang yang tersayang. Inilah kunci keselamatan.
Saya doakan anda semua selamat sampai ke distinasi dengan selamat. Pada kesempatan saya dahului ucapan selamat hari raya eidul fitri:

تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ، مِنَ العَائِدِينَ وَالفَائِزِينَ، كُلُّ عَامٍ وَأَنْتُمْ بِخَيرٍِ
Ucapan ini sebagai penambahbaikan untuk ucapan yang selalu kita gunakan selama ini. Semoga ucapan ini menjadi doa untuk kita semua. Dan untuk membalas ucapan itu gunakan ucapan berikut:
مِنَّا وَمِنْكُمْ تَقَبَّلْ يَا كَرِيمٌ
Semoga ucapan ini boleh menjadi budaya baru untuk tahun-tahun mendatang.

25 Ogos 2011

Tasbih, Tahmid dan Tahlil Isytihar Kemenangan Islam

Oleh Ahmad Baei Jaafar
Sebaik-baik sahaja Pemegang Mohor Raja-Raja Melayu mengisytiharkan esok adalah hari raya Aidilfitri, maka berkumandanglah takbir raya di stesen-stesen radio dan televisyen. Walaupun sekadar rakaman, takbir yang dialun mendayu itu begitu menyentuh kalbu dan menerbitkan rasa sayu dihati lalu teringat akan kampung halaman. Demikian perasaan mereka yang tidak dapat pulang ke kampung kerana bertugas. Tetapi lain pula bagi mereka yang sudah berada di kampung atau sedang dalam perjalanan pulang, terbayang dalam fikiran mereka kegembiraan berhari raya di kampung.
Timbul persoalan di sini, dalam kesyahduan menikmati gema takbir berapa ramai dalam kalangan kita yang turut sama bertakbir? Realitinya mereka yang tidak pulang ke kampung, mungkin dek kerana sibuk membuat persiapan akhir mengemas rumah atau menyediakan juadah hari raya seperti membuat ketupat, terus terleka dan asyik sehingga tidak bertakbir. Alangkah baiknya jika pada waktu itu, sambil membuat persiapan kita turut sama bertakbir seiring takbir yang dikumandangkan di radio atau televisyen. Dan kalau takbir itu sudah tamat, kita boleh terus mengumandangkannya sendiri bagi menyemarakkan suasana malam raya. Ya, senario begitulah yang belum menjadi realiti dalam masyarakat Islam kita hari ini dan menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memperbetulkannya.
Demikian juga dengan mereka yang sudah berada di kampung atau yang sedang dalam kenderaan untuk pulang ke kampung. Perjalanan yang memakan masa yang agak lama disebabkan jarak yang jauh atau keadaan jalan raya yang sesak pada malam raya itu sebaik-baiknya dimanfaatkan untuk bertakbir daripada dipenuhi dengan perbualan kosong yang mungkin bertujuan untuk memecah kesunyian bagi mengelakkan mengantuk. Mari sama-sama kita cetuskan tradisi yang akan diwarisi oleh generasi muda selepas kita.

Tanda Kemenangan
Tasbih, tahmid dan tahlil adalah pujian yang wajar diucapkan oleh umat Islam sebagai tanda. kemenangan selepas menghadapi ujian besar. Ya, sepanjang bulan Ramadan kita diuji dengan pelbagai latih tubi; segala yang halal serta merta diharamkan, ibadah pada bulan Ramadan ditawarkan ganjaran yang banyak berbanding pada bulan-bulan biasa bagi mereka yang membanyakkan ibadah lalu kita pun berlumba-lumba merebutnya.
Selain itu, walaupun gangguan syaitan sudah tiada kerana telah dirantai fizikalnya, kita masih dibekalkan nafsu yang sifatnya sangat mengajak kepada keburukan. Nafsu inilah yang cuba menghalang amalan yang cuba ditingkatkan, nafsu jugalah yang cuba menggagalkan usaha kebaikan sepanjang bulan Ramadan. Jika umat Islam berjaya melepasi ujian berat di atas terutama ujian nafsu, maka itulah kemenangan yang dimaksudkan.
Jadi, setelah kita berjaya melepasi ujian itu amat wajarlah kita mengucap syukur dengan bertasbih, bertahmid dan bertahlil kepada Allah. Walaupun merasakan masih gagal mencapainya, syukurilah juga atas kemenangan Islam keseluruhannya.
Syaitan dikatakan dirantai di penempatannya supaya tidak mengganggu manusia secara langsung. Namun, kita harus sedar bahawa ia masih boleh menyaksikan tindak tanduk manusia. Jika syaitan mahu menggoda tentu dengan perantaraan sistem kawalan jauh ia boleh dilaksanakan, lantaran sistem komunikasi antara musuh nombor satu manusia ini dengan nafsu  yang masih terbuka luas.
Oleh sebab itu adalah menjadi keutamaan bagi umat Islam untuk mendidik nafsu agar tunduk kepada kehendak hati yang baik.  Nafsu yang sudah dapat dijinakkan dalam bulan Ramadan pasti akan merosakkan hubungannya dengan syaitan. Di sini kita boleh melihat kepada perkembangan diri sendiri, apakah kita semakin baik pada bulan ini? Andainya bertambah baik, itulah kemenangan yang perlu disyukuri.
Kemenangan yang paling besar ialah sifat taqwa yang diberikan kepada umat Islam yang dapat mengatasi semua halangan. Mereka ini takut untuk melakukan dosa walaupun peluang sudah di hadapan mata. Mereka ini juga akan melakukan kebaikan sebanyak mungkin walaupun pelbagai halangan datang menduga. Dan mereka akan mencari peluang menabur kebajikan walaupun dalam keadaan yang sukar.
Atas rasa kemenangan itulah pada malam hari raya itu Rasulullah mengajak semua umat Islam mengalunkan pujian, tasbih, tahmid dan tahlil.
 اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَلَا نَعْبُدُ إِلَّا إِيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْنَ. لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
Bacaan ini biasanya kita baca sebagai penutup takbir raya iaitu:
اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَالله أَكْبَرُ، الله أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
Hari ini alasan tidak boleh mengalunkan takbir seperti mana petikan itu sudah tidak boleh diterima lagi kerana kita boleh mengikut takbir yang dikumandangkan di radio dan televisyen dan boleh juga merujuknya dalam majalah atau buku agama. Jadi, marilah kita meriahkan malam raya ini dengan takbir.

Waktu membaca
Secara umum pujian terhadap Allah tidak mempunyai had masa, tetapi bagi takbir raya terdapat waktu-waktu yang dikhaskan. Berdasarkan itu sebarang bacaan yang dilakukan di luar waktu tersebut tidak dikira sunah, malah sesetengah ulama meletakkannya sebagai makruh. Ini kerana bacaan takbir didatangkan dalam bentuk pakej untuk sambutan hari raya.
Takbir hari raya terbahagi kepada dua; takbir mursal dan takbir muqaiyad. Malangnya, kedudukan kedua-dua jenis takbir ini kurang diberi perhatian oleh umat Islam. Malah kadang-kadang atas kejahilan, mereka bertakbir bukan pada tempatnya.
Takbir mursal;  takbir yang dibaca tanpa terikat pada solat atau tempat. Menurut definisi dalam kitab Mathla’l-Badrain m/s 48, disebutkan bahawa: “Takbir mursal dan iaitu takbir yang tidak mengiringi sembahyang.”
Maknanya takbir ini boleh dibaca pada waktu berjalan, dalam kenderaan, sewaktu menonton tv, memasak ketupat dan juga ketika di pasar. Dan waktunya pula bermula pada waktu maghrib (malam raya, sama ada hari raya haji mahupun hari raya puasa) dan berakhir apabila imam memulakan solat Aidilfitri ataupun Aidiladha.
Berdasarkan ini, mereka yang balik kampung pada malam raya boleh mengalunkan takbir itu secara beramai-ramai. Boleh juga bertakbir secara bergilir-gilir sehingga letih. Bagi mereka yang sedang memasak lemang misalnya boleh terus bertakbir, begitu juga mereka yang masih di pasar raya, bolehlah bertakbir secara perlahan. Dan akhirnya pada pagi sebelum menunggu solat hari raya, bertakbirlah beramai-ramai bagi menterjemahkan rasa syukur atas kemenangan mengharungi Ramadan dan kurniaan nikmat-nikmat daripada-Nya.
Takbir muqaiyad; takbir yang dibaca mengiringi solat sama ada fardu atau sunat dan terdapat sedikit perbezaan antara Aidilfitri dengan Aidiladha di sudut waktunya.
Aidilfitri; bermula selepas solat Maghrib satu Syawal hingga sebelum imam memulakan solat Aidilfitri. Ini bermakna selepas solat Maghrib boleh bertakbir. Dan setelah selesai solat sunat ba’diah Maghrib boleh bertakbir lagi. Begitu juga selepas solat sebelum solat Isyak, boleh bertakbir raya. Kemudian selepas solat Isyak dan selepas solat sunat yang mengiringinya. Begitu juga sewaktu bangun bertahajud, bolehlah bertakbir lagi. Bahkan andainya pada pagi raya itu diadakan solat jenazah, sunat juga bertakbir raya.
Walau bagaimanapun bagi mereka yang tidak melakukan solat raya atas sebab keuzuran dan tidak pula hadir sewaktu khutbah, dia boleh bertakbir hingga sebelum gelincir matahari. Begitu juga dengan mereka yang bersolat sendirian kerana tidak sempat bersama jemaah atas urusan tertentu, maka waktu akhir untuk bertakbir ialah sebelum mengangkat takbiratulihram untuk solat hari raya.
Aidiladha; takbir muqaiyadnya bermula pada subuh hari Arafah sehingga jatuh matahari hari akhir tasyrik. Waktu yang panjang ini memberi peluang umat Islam bertakbir dengan sebanyak-banyaknya. Maknanya kita di Malaysia boleh mulakan pada pagi 9 Zulhijah selepas solat Subuh. Kemudian jika mendirikan solat Duha, bolehlah bertakbir lagi. Takbir ini boleh dilanjutkan hingga selepas solat Asar 13 Zulhijah. Namun begitu kalau kita masuk masjid sebelum waktu maghrib, bolehlah lakukan solat sunat Wuduk dan Tahiyatul Masjid kemudian bertakbir raya selepasnya.

Takbir yang Diabaikan
Berdasarkan hukum ini, kita dapati ramai umat Islam yang tidak mengambil peluang yang baik ini untuk bertakbir raya, sekurang-kurangnya pada dua keadaan berikut:
1. Selepas solat Aidiladha, sama ada imam itu lupa atau tidak tahu, takbir raya tidak dikumandangkan selepas solat hari raya haji. Sedangkan takbir muqaiyat ini waktunya termasuk selepas solat sunat hari raya haji.
2. Selepas solat sunat, jarang kita lihat orang kita bertakbir raya selepas solat sunat Rawatib, Tahajud dan Tahiyatul Masjid. Jauh sekali bertakbir selepas solat jenazah.
Sebaliknya terdapat kesilapan pada dua keadaan berikut:
1. Bertakbir selepas solat Aidilfitri.
2. Bertakbir di rumah yang diziarahi selepas solat Aidilfitri.
Dua keadaan ini pernah berlaku walaupun tidak selalu. Meskipun tidak sampai kepada peringkat haram, amalan yang salah atas kejahilan ini amat tidak patut berlaku. Umat Islam mempunyai banyak peluang dan ruang untuk menambahkan ilmu pengetahuan dengan membaca, melayari Internet dan meneroka berbagai-bagai-bagai sumber maklumat. Maka peluang yang ada itu perlulah dimanfaatkan sebaik-baiknya agar segala amalan kita berteraskan ilmu yang tepat untuk dinilai oleh Allah sebagai ibadah di sisi-Nya.

21 Ogos 2011

Layakkah anda berhari raya?


Sebenarnya sambutan hari raya yang kita sambut selama ini lebih kepada adat budaya yang langsung tidak ada nilai ibadah. Bayangkan berapa ramai yang pada malam hari raya itu bertakbir, bertasbih dan bertahmid. Realitinya lebih ramai membuat persiapan akhir menyambut raya; pasang langsir, kemas rumah dengan layout yang baru, dan tidak kurang juga yang sibuk dengan memasak ketupat dan lemang.
Malangnya pada pagi raya pula terlambat bangun lalu secara tergesa-gesa mandi dan kerana itu terlupa untuk niat mandi sunat hari raya. Kemudian tergesa-gesa pula ke masjid, lalu acara bersalaman dengan ibu bapa dilakukan tanpa terlebih dahulu bersarapan pagi sebelum ke masjid. Inilah ibadah yang sering mereka lupa dalam mengejar tradisi.
Kemudian semasa menunggu solat Eidul-Fitri diimamkan imam, ada jemaah yang tidak sama-sama bertakbir, tasbih dan tahmid. Malah ada yang tidak tahupun untuk menyebut takbir itu dengan betul. Ada juga beberapa perkataan yang tidak boleh disebut dengan baik sedangkan mereka tidak mahu belajar bagi membetulkan kesilapan.
Baca jawapannya dalam Solusi 35 di pasaran sekarang.
Selain itu cara bertakbir hari raya tidak sangat diberi perhatian oleh orang yang pandai bertakbir. Lalu mereka bertakbir pada waktu yang bukan sepatutnya. Sebenarnya takbir ini terbahagi kepada dua; takbir muqaiyat dan takbir mursal. Kedua-duanya ada pada hari raya sama ada Eidul-Fitri dan Eidul-Adha.
Dapatkan ulasan lanjut dalam majalah Fardu Ain edisi 4

11 Ogos 2011

Cukup-cukuplah buat dosa, banyakkan pahala


Ahmad Baei Jaafar
Berapa banyak lagi umat Islam hendak buat dosa, meskipun berada dalam bulan puasa yang ditawarkan dengan banyak pahala. Apakah mereka tidak berpuasa atau tidak sedar apa yang mereka lakukan sekarang itu satu dosa atau setidak-tidaknya boleh mengurangkan pahala puasa. Atau adakah mereka sengaja mahu menghina Islam?
Sepatutnya bermula bulan puasa kita kunci mulut yang suka buat dosa, kunci kaki yang suka buat dosa dan kunci tangan yang suka buat dosa. Kalau selama ini bertimbun dosa, hendaknya bulan ini bertimbun pahala dan dosa yang lama boleh terampun dengan taubat setiap hari dalam bulan Ramadan. Yalah, Rasulullah sendiri menegaskan; Ramadan awalnya Rahmat, pertengahannya Maghfirah dan akhirnya itqunminannar.
Apakah mereka tidak mahu Rahmat Allah, apakah mereka tidak mahu Pengampunan Allah, dan adakah mereka tidak mahu pembebasan daripada api neraka Allah. Kalau mahu mengapa masih mahu buat dosa? Tidak takutkah dosa itu berganda seperti bergandanya pahala. Inilah yang sangat menghairankan saya.
Minggu pertama puasa lagi ada orang Islam yang secara sengaja menyakitkan hati orang bukan Islam. Mereka timbulkan isu orang bukan Islam hendak murtadkan orang Islam. Apakah orang Islam yang masuk gereja sudah jadi murtad? Pada masa yang sama kita sudah menyakitkan hati orang Islam dan organisasi Islam. Mereka tuduh orang Islam tidak mahu bertindak menyelesaikan masalah dengan bijak. Apakah masalah besar boleh diselesaikan dalam sehari dua?
Mengapa orang Islam sanggup jadi ejen musuh Islam bagi merosakkan perpaduan ummah? Apakah mereka tidak sedar bahawa mereka sedang diperalatkan oleh pihak lain untuk menghancurkan Islam? Ya, mungkin dia tidak kena musuh Islam. Kalau begitu siapa musuh Islam itu? Untuk pengetahuan semua, ada dua musuh Islam yang sangat hampir dengan kita iaitu Nafsu yang sangat mengajak ke arah kerosakan dan kedua Syaitan yang niatnya untuk menyesatkan umat Islam.
Kini syaitan dirantai dan kurang berperanan untuk menggoda manusia, maka tinggallah nafsu sebagai penggoda tunggal. Kenapa kita tewas dengan nafsu? Janganlah kerana bencikan seseorang kita tidak nampak kebaikannya lagi. Janganlah tutup kebaikan orang hanya kerana hendak menaikkan kebaikan kita, nanti kesannya kita tidak beroleh apa-apa.
Bertaubatlah wahai umat Islam. Insafilah diri kerana dosa yang bertimbun itu kalau dipohon ampun dengan cara ikhlas akan diampun sepenuhnya. Lakukan ibadah dengan sempurna tanpa dosa lagi. Kemudian bayarlah zakat fitrah kepada AMIL yang dilantik kerajaan. Biarlah nanti orang yang berhak mendapat zakat boleh menyambut raya sama seperti orang lain.
Zakat penting dibayar oleh umat Islam kerana zakat harta adalah untuk membersihkan harta kita yang bercampur dengan hak orang lain di dalamnya. Kalau zakat tidak dikeluarkan bermakna kita akan terus makan hak orang lain.
Manakala zakat fitrah adalah untuk membersihkan diri kita daripada dosa sekali gus menyempurnakan ibadah puasa yang mungkin ada kekurangan. Kalau tidak bayar, maka selain berdosa, puasa kita tidak sempurna. Jadi, bayarlah zakat fitrah kepada amil.
Tetapi di sini juga ada timbul persoalan, mereka tidak mahu membayar zakat kerana fobia dengan penyelewengan pihak pengurus zakat. Dengan ini mereka secara tidak langsung menuduh badan tersebut tidak amanah. Bayangkan dengan sekejab sahaja mereka beroleh dua dosa, dosa tak bayar zakat dan dosa membuat fitnah.
Sebenarnya soal siapa pengendali zakat itu tidak timbul kerana zakat yang kita bayar itu sudah sah dan Allah sudah terima. Kalau pengendali itu tidak amanah lalu menyelewengkan harta tersebut, maka dosanya kepada Allah dan pastinya mereka akan dihukum. Kita tidak perlu risau urusan Allah, tetapi risaulah dengan urusan kita yang belum selesai ada ada dengan Allah dan manusia.

06 Ogos 2011

Selamatkah iman mereka daripada sesat

Ahmad Baei Jaafar
Tiba-tiba sahaja kita dihidangkan satu kejadian di mana polis dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu majlis makan malam muhibbah di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya, malam tadi. Bagaimanapun polis dan JAIS boleh bekerjasama, siapa yang jemput siapa? Sejak bila pula polis ada kuasa menyerbu rumah ibadat kerana acara makan malam? Apakah JAIS ada kuasa menyerang rumah ibadat orang bukan Islam?
Atas sebab itu barangkali mengapa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berasa kesal dengan kejadian itu. Beliau kesal kerana tindakan boleh menjatuhkan maruah JAIS sekali gus maruah Islam yang tidak bijak sana dalam tindakan. Demi menyelamatkan keadaan beliau secara peribadi telah menghubungi Paderi kanan DUMC, Pastor Daniel Ho dan menyatakan kekesalan pihak kerajaan negeri berhubung insiden itu.
Syabas Datuk Menteri Besar, tindakan yang diambil itu setidak-tidak boleh meredakan kemarahan pihak gereja kepada kerajaan negeri dan Islam. Setidak-tidaknya mereka tidak bertindak menyaman polis dan JAIS kerana mengganggu majlis mereka.
Merujuk kepada kenyataan Exco kerajaan Selangor bagi hal ehwal Islam, Datuk Dr Hasan Ali, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya pada malam tersebut. Hal ini kerana terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.
Pemeriksaan itu merujuk kepada maklumat yang diterima mengatakan terdapat kehadiran orang Islam untuk majlis berbuka puasa di gereja berkenaan. Terdapat seramai 12 orang yang beragama Islam dalam majlis tersebut.
Persoalannya apakah niat asal majlis makan malam itu? Kenapa diadakan di gereja? Siapa yang menganjur majlis tersebut? Salahkah orang Islam masuk gereja? Apakah apabila orang Islam masuk gereja boleh dicap sebagai terpengaruh dengan Kristian?
Kalau pihak gereja menganjurkan majlis itu apakah niatnya untuk memujuk mereka menerima Kristian? Kalau tidak mengapa diadakan di gereja? Kalau sekadar 12 orang, cukup di restoran sahaja. Kalau orang Islam yang bertindak menganjur, apakah niatnya untuk berdiolog mengenai salah faham terhadap agama. Ya, mengenai niat adalah kerja hati yang sukar dinilai, malah kerana silap sedikit boleh menjemuskan mereka kepada dosa.
Tidak salah orang Islam masuk gereja, malah tidak salah kalau bersolat di dalamnya asalkan tempatnya bersih dan menghadap qiblat dan pada masa yang sama tidak menghadap kepada patung. Kalau begitu keadaannya, menghadiri jemputan makan malam atau buka puasa di gereja bukanlah isu besar atau salah.
Cuma persoalannya apakah orang Islam yang masuk ke gereja itu atas tujuan berbuka puasa kononnya melakukan solat Maghrib. Kalau tidak solat Maghrib bagaimana puasanya, benarkah mereka orang Islam? Kalau begitu kedudukannya ada dua pihak yang bersalah; individu berkenaan cuai dalam mengamalkan ajaran Islam; ibu bapa dan juga ulama gagal memberi didikan Islam sebenar kepada mereka hingga tersesat dari landasan sebenar.
Sepatutnya dalam kes ini penguatkuasa JAIS tidak terlibat dalam serbuan pada hari tersebut. Malah tidak perlu hadir ke gereja atas nama jabatan. Hal ini kerana kehadiran atas nama jabatan mewakili kerajaan. Walaupun mereka itu datang sekadar melihat majlis tersebut akan disalah tafsirkan sebagai serbuan. Walaupun tiada tangkapan dibuat, kehadirannya boleh disensasikan.
Sememangnya JAIS tidak ada hak masuk gereja sama ada untuk menyelidik apatah lagi menangkap orang yang disyaki. Kedudukannya samalah dengan masjid yang tidak boleh diserang dan cerobohi polis atau askar. Masjid dan rumah ibadah adalah kawasan aman. Adalah dibimbangkan kalau kita berbuat begitu, nanti satu hari orang lain pula menyerang masjid kita.
Jalan penyelesaian dalam kes sebegini, JAIS perlu serius dalam kerja dakwah, mendidik orang Islam terutama mereka yang goyah imannya. Pada masa yang sama jiran atau kawan perlu bantu membetulkan keadaan. Jika tidak mampu, maklumkan kepada pihak berkuasa atau ulama, semoga dengan itu mereka boleh diselamatkan daripada tersesat.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...