26 Februari 2011

Salahkah Pas ubah nada perjuangannya?


Ahmad Baei Jaafar
Sewaktu isu PAS mahu utamakan orang Melayu dimainkan media arus perdana, ramai yang bertanya kepada saya tentang pendirian Pas itu. Saya tidak berminat untuk mengulas isu itu kerana tidak tahu isu sebenar. Pada fikiran saya, sesuatu isu yang dimainkan oleh media perdana mengenai parti pembangkang, belum boleh dibuat pegangan. Mungkin ada udang di sebalik batu.
Hal ini berdasarkan pengalaman lampau. Yalah, kalau perkara itu betul dan menguntungkan parti pembangkang, buat apa disiarkan secara meluas. Mereka tentu sudah tahu, isu yang akan dimainkan itu boleh membawa kepada kemerosotan keyakinan orang Melayu kepada Pas. Tetapi mereka mungkin lupa, orang Melayu zaman sekarang bukan seperti orang Melayu zaman penjajah dahulu.
Walaupun saya tidak mahu mengulas secara rasmi, tetapi di dalam hati terdetik juga beberapa persoalan; salahkah pas menukar nada?; benarkah pas menukar nada?; betulkah tukar nada kerana kemerosotan pengundi Melayu?
Dalam mencari jawapan itu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Ahmad Fadhli, seperti yang disiarkan dalam Melaysiakini, menyebut petikan teks asal ucapan Nik Aziz yang antara lain menyebut: “Bagi PAS, Melayu perlu diutamakan dalam agenda dakwah pada hari ini kerana mereka merupakan bangsa yang terdahulu menerima Islam di Tanah Melayu ini". 
Katanya lagi, akhbar Mingguan Malaysia sengaja membuat isu dengan membuang dan menambah perkataan dalam ayat di atas. Akhbar itu menyebut: "Bagi Pas, orang Melayu perlu diutamakan dalam perjuangan kerana ia adalah kaum terdahulu." Dibuangkan agenda dakwah dan digantikan dengan perjuangan.
Ucapan Nik Aziz Nik Mat tersebut adalah ketika merasmikan Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan Pas di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) baru-baru ini
Dengan petikan ini, tidak salah lagi media perdana itu tersilap strategi dalam membuat laporan. Malah laporannya tidak menggugat keyakinan orang Pas terhadap partinya. Sebaliknya, orang Melayu yang di atas pagar pula hilang keyakinan kepada media perdana itu.
Walau bagaimanapun dalam mencari jawapan di atas, saya baru temuinya dan jawapan pada soalan tersebut adalah:
Secara ringkasnya saya berani tegaskan, memang tidak salah sesuatu parti itu menukar nada. Malah memang wajar kena tugar nada sesuai dengan perubahan zaman. Tidak mungkin sewaktu kanak-kanak nadanya sama dengan waktu dewasa dan tua. Dalam perjuangan mesti ada strategi yang perlu diubah.
Tetapi kalau nada itu dimaksudkan sebagai dasar, saya dapati tidak ada yang berubah lagi. Adapun “Mengutamakan Melayu” bukan dasar baru. Mungkin dalam perlembagaan tidak disebut Melayu, tetapi meletakkan perjuangan Islam tentulah merujuk kepada Melayu kerana waktu itu orang Islam adalah orang Melayu. Orang Cina dan India Islam masih belum ramai.
Akhirnya, pertukaran nada itu langsung tiada kaitan dengan kemerosotan undian orang Melayu kerana sokongan orang Melayu masih sama. Orang yang mahu perjuangan Melayu tetap berpihak kepada Umno, dan orang Melayu yang mahu perjaungan Islam tetap berada di pihak PAS. Yang berubah hanya orang yang di atas pagar.
Jadi, orang Melayu di atas pagar ini perlu diberi perhatian oleh pejuang-pejuang parti. Berikan perhatian serius kepada mereka dengan menjelaskan kepada mereka, mana lebih baik Melayu atau Islam. Alangkah baiknya kalau mereka menjadi orang Melayu Islam yang benar-benar takut kepada Allah.

15 Februari 2011

Anak tak sah taraf, ibu perlu bertanggungjawab

Ahmad Baei Jaafar
Dalam enakmen undang-undang keluarga Islam negeri-negeri memperuntukkan seseorang bayi yang dilahirkan enam bulan satu lahzah selepas ibu bapa bayi tersebut berkahwin, adalah dikira anak sah taraf. Namun kerajaan Selangor mengenakan syarat yang hendaklah kedua ibu bapa tersebut tidak menyedari akan kehamilannya. Persoalannya, apakah akan terjadi kepada anak perempuan kalau kedua-dua ibu bapanya menyembunyikan fakta?
Dalam masyarakat Melayu dahulu, apabila pasangan lelaki perempuan ditangkap khalwat, terus dikahwinkan. Istilah yang digunakan ialah tangkap basah. Istilah ini relevan pada masa itu kerana lazimnya mereka yang ditangkap itu sedang tenggelam dalam lautan zina.
Mereka yang berjaya dikahwinkan pada masa itu, mungkin berasa malu seketika kerana berkahwin secara instant. Kahwin tanpa belanja sesen pun. Namun ada juga lelaki yang tidak mahu bertanggungjawab lalu dia menghilangkan diri setelah pasangannya disahkan mengandung. Maka untuk menyelamatkan keadaan ibu bapa wanita itu terpaksa mencari lelaki lain untuk dijadikan pak sanggup bagi anak yang kandung anaknya. Teruskan

14 Februari 2011

Selamat menyambut Maulidul Rasul

Ahmad Baei Jaafar

Maulidul Rasul datang lagi dan untuk itu sebahagian umat Islam telah membuat persiapan bagi menyambutnya dengan pelbagai cara sebulan sebelumnya. Di peringkat negeri dan negara, perarakan dan perhimpunan dilakukan pada 12 Rabiulawal. Tetapi di peringkat kampung surau dan masjid turut mengadakan majlis ceramah dan marhaban.
Perarakan Maulidul Rasul tahun lalu
Sambutan meriah dapat dilihat di peringkat kariah masjid apabila majlis itu disediakan makanan dan pesembahan nasyid dan juga kemuncaknya syarahan daripada penceramah yang terkenal di peringkat nasional.  Namun dalam keghiarahan kita menyambut, apakah yang umat Islam dapat. Adakah mereka gembira kerana dapat cuti, dapat penat kerana berada dalam majlis sebegitu, atau seronok sebab boleh makan dan jumpa kawan-kawan.
Saban tahun kita membuat sambutan dengan acara yang sama tetapi bagaimana tahap kecintaan kita kepada Rasulullah. Realiti yang dapat dilihat pada hari ini, tidak terdapat sebarang perubahan pada diri umat Islam. Bukan sahaja ibadah tidak berkualiti, dosa dan maksiat pula bertambah. Inilah yang perlu kita lihat semula fungsi sambutan Maulidul Rasul malah perlu dibedah siasat bagi menambahbaikkan program itu pada masa hadapan.

Kenapa sambut maulidul rasul
Walaupun di sana sini kedengaran suara sumbang yang menyatakan sambutan maulidul Rasul satu bidaah tetapi umat Islam di negara ini tidak perdulikan itu semua, sebaliknya terus menyambutnya dengan pelbagai cara. Apakah ertinya sambutan itu kepada kita hingga kita sanggup terus mempertahankannya hingga kini?
Sebenarnya sambutan hari kelahiran baginda Rasulullah kalau hendak disamakan dengan sambutan hari kelahiran kita setiap tahun tentulah tidak ada apa ertinya. Yalah kalau kita sambut hari kelahiran kita hanya sekadar mengingati pertambahan usia. Selepas meniup lilin, dan makan-makan, semua tetamu yang diundang pulang begitu sahaja. Mungkin hadiah yang dibawa tetamu satu keistimewaan namun hanya sekadar tanda ingatan.
Tetapi lain halnya kalau kita menyambut maulidul Rasul, iaitu tokoh agung yang sudahpun meninggal dunia. Tentulah sambutan itu adalah sebagai tanda rasa cinta kepada Rasul, bukan saja nak meraikan majlis itu. Secara logiknya begini, umat Islam selalu menyebut nama Rasulullah s.a.w., namanya diulang berkali-kali walaupun tidak pernah kita berjumpa dengannya. Walaupun selama ini kita digambarkan watak dan sifat rasul begitu dan begini, sedangkan kita tidak bertemu dengannya. Jadi wajarlah kita merindui malah mencintainya.
Sungguhpun begitu, rasa rindu dan cinta umat Islam terhadap Rasulullah hanya bermusim setahun sekali. Hanya datang setiap kali tibanya 12 Rabulawal, lalu kisah sirahnya disebut sepanjang bulan. Tetapi mengapa tidak dapat diteruskan setiap hari sepanjang tahun? Susahkah bagi seseorang untuk merindui Rasulullah dan mencintainya?
Sebenarnya untuk mencintai rasul amat mudah, iaitu cukup dengan ikut apa kata Rasulullah. Untuk itu umat mesti membaca hadis yang terdapat di dalamnya pesanan nabi tentang kehidupan ini. Pendek kata, kita perlu ikut sunnah nabi iaitu apa yang disabdakan, apa yang diperintahkan, dan apa yang dilarang semuanya mesti kita ikut.
Selain itu sebagai tanda cinta kepada baginda, kita perlu mewarisi tugas rasul iaitu berdakwah. Sebagai pendakwah kita hendaklah mengikut strategi dakwah sebagaimana yang pernah dilakukan sepanjang tugas Baginda. Baginda memiliki adab sopan dalam berdakwah, baginda juga sabar dan serius dalam mengajar seseorang kepada Islam.
Bayangkan baginda berdakwah di Makkah dalam berhadapan dengan tentang orang dalaman yang sangat mengenalinya sebagai orang baik. Namun baginda bersabar sehingga Allah perintahkan baginda berhijrah ke Madinah. Waktu di sana baginda tidak serik sebaliknya mengatur strategi dakwah sehingga membawa kepada pembukaan kota Makkah dengan cara aman.
Jadi, buktikan kecintaan kita kepada Rasulullah dengan membuat kerja rasulullah dan mengutamakan baginda dalam semua hal. Jika ada pertentangan amalan kita dengan apa yang dibawa rasul, batalkanlah dan ambillah yang dibawa Rasul. Kalau anak kita nak pakaian mendedah aurat, halanglah dan gantikan dengan pakaian sopan dan menutup aurat kerana itulah kehendak Rasul.

12 Februari 2011

Di sebalik pengunduran Hosni Mubarak

Ahmad Baei Jaafar
Memang wajar Umat Islam seluruh dunia mengucapkan tahniah kepada rakyat Mesir yang telah berjaya meruntuhkan tembok besi yang melindungi Hosni Mubarak. Mereka dilihat tidak berganjak mengadakan bantahan selama 18 hari walaupun dihalang oleh tentera Presiden Mesir itu.
Lautan manusia melahirkan kegembiraan
Kebangkitan rakyat Mesir tentu berpunca daripada detik-detik pemerintahan Hosni yang banyak mempenjarakan fikiran mereka. Ya, berapa lama manusia yang normal boleh dikongkong kebebasan mereka? Apabila sampai masanya, mereka boleh hilang sabar.
Sepanjang pemerintahan Hosni Mubarak selama 30 tahun, bukan sahaja ulama tidak boleh bersuara dalam membetulkan pemerintahannya, universiti Al-Azhar berjalan tidak mengikut cita rasa ulama berwawasan Rasulullah. Akhirnya mahasiswa al-Azhar yang pulang berkhidmat di negara masing-masing berfikiran sempit. Tiada kreatif untuk membangunkan negara dan rakyat ke arah yang islami.
Saya tidak pasti apakah kebangkitan rakyat ini ada kaitan dengan kesusahan rakyat akibat kos sara hidup yang semakin melonjak dan kadar pengangguran yang tinggi, tetapi yang saya pasti rakyat sudah mual dengan keganasan pihak keselamatan. Apa sahaja yang diperintahkan oleh presiden, tentera pasti bertindak.
Antara keganasan tentera Mesir yang kita boleh lihat secara jelas ialah usaha bantuan kemanusian ke Gaza melalui Mesir dihalang. Mengapa? Tentu kerana tidak mendapat lampu hijau daripada Presiden. Dan yang terbaru, tentera bertindak tidak berperikemanusian terhadap penunjuk perasaan di Madinatul Tahrir. Ini tidak termasuk beberapa orang ulama yang hilang tanpa diketahui kuburnya.
Tetapi tahukah anda tentera yang ganas itu sebenar manusia yang hidup mereka seperti robot apabila di suruh itu, maka dibuatlah yang itu. Sebaliknya kalau mereka tidak diperintahkan itu dan ini oleh pihak yang berwajib, mereka mampu kembali kepada perikamanusian. Mereka juga tahu erti baik dan kebaikan.
Bukti yang jelas boleh anda lihat pada sikap tentera Mesir itu, setelah Mubarak meninggalkan pemerintahan, jiwa mereka kembali normal. Walaupun rakyat masih berkumpul di dataran tahrir, melakukan acara bagi menyambut kegembiraan menggulingkan presiden Mesir, tentera hanya melihat sahaja tanpa sebarang tindakan.
Tentera itu bukan sahaja tidak marah dengan sikap rakyat yang telah menjatuhkan majikannya, tetapi ada yang turut bersama mereka bergembira. Ertinya apa? Tentera juga tidak suka kepada keganasan, tidak suka juga kepada Mubarak. Mereka juga suka kepada kebaikan. Tetapi mereka telah dibisukan dan ditulikan pemerintah.
Itulah fitrah manusia apabila mereka kembali kepada normal. Manusia di manapun mereka adalah sama, mahukan kebaikan. Tetapi kalau mereka jahil malah apabila dikuasai nafu, syaitan sama ada syaitan manusia atau jin, fikiran mereka akan berubah. Jadi, berhati-hatilah agar anda tidak dikuasai semua makhluk itu.
Berbalik kepada peristiwa di atas, suka saya hendak ingatkan kepada orang-orang politik terutama mereka yang memegang tampuk pemerintahan negara mahupun negeri, peristiwa yang sama boleh berlaku di sini. Maksud saya, kalau kebencian rakyat sudah tidak dapat dibendung lagi, pelbagai usaha boleh mereka lakukan.
Jangan ingat, orang Melayu baik semua dan tidak suka berperang. Lihat sejarah orang Melayu masa silam. Mereka boleh bertindak apabila terdesak dan mendesak. Ketika itu boleh jadi, tentera yang selama ini bersikap “samikna waatakna” kami dengar dan taat, akan bertindak secara tidak ikhlas lagi. Boleh jadi mereka juga akan belot.
Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan negara kita tidak sama dengan Mesir, riak-riak kebencian rakyat sudah ada. Oleh sebab itu berpadalah dalam pemerintahan. Kalau sudah ada isyarat bahawa mereka tidak suka kepada anda, tukarlah kepada yang lebih baik. Tanyalah kepada yang pakar, ulama dan sebagainya. Jika anda masih rasa ego dengan cara anda, tunggulah kehancurananya.

07 Februari 2011

Adakah pakaian kita sesuai dengan Islam atau tidak?

Ahmad Baei Jaafar

Meneliti gaya dan fesyen pakaian umat Islam kini kita dapati kebanyakannya tidak menepati citarasa Islam. Hal ini mungkin ada kaitan dengan ilmu pereka fesyen tentang aurat wanita. Mungkin sebahagian mereka tidak mengambil kira hukum sebenar, sebaliknya lebih melihat kepada peluang dan keuntungan yang boleh diambil.
Selain itu wanita Islam sendiri tidak begitu arif tentangnya lalu berpakaian mengikut cita rasa sendiri. Antara mereka ada yang memakai tudung sekadar tutup rambut, memakai tudung dengan memakai baju T yang berlengan pendek, memakai tudung dengan baju berserta keluar yang ketat. Pemakaian secara inilah yang menjadi kegemaran remaja masa kini.
Apakah cara ini diiktiraf oleh Islam? Di sini mari kita lihat apa kata hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Dua golongan dari ahli neraka yang tidak pernah aku melihat kedua-duanya: iaitu seorang yang membawa cemeti seperti ekor lembu yang dia memukul manusia, dan satu lagi perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggok-lenggok, kepalanya bagaikan bonggol unta yang bergoyang. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mendapatkan baunya, sedangkan baunya boleh dihidu dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” (Riwayat Muslim).
Tutupkah aurat cara ini?
Kita fokuskan kepada perempuan yang berpakaian tetapi seperti telanjang. Ya sebagaimana yang disifatkan dalam hadis di atas adalah dia tidak menutup aurat. Bukan itu sahaja, perempuan ini menari dan berpesta di khalayak ramai. Inilah sifat sebahagian wanita pada hari ini, mereka ini termasuk dalam kategori tidak berpakaian walaupun memakai tudung seperti berikut:
  1.     .       Pakai tudung tetapi nampak rambut, leher dan dada
  2.       Pakai tudung lengkap tetapi pakai baju T berlengan pendek
  3.       Pakai tudung lengkap tetapi pakai kain ketat yang terbelah di bahagian bawah
  4.       Pakai tudung lengkap tetapi pakai baju dan seluar yang ketat.
  5. Dada yang perlu ditutup
      Selain itu terdapat juga pemakaian tudung masa kini yang menyerupai pakaian padri (sister). Perhatikan panduan memakai tudung yang dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Wahai nabi katakanlah kepada isteri-isteri kamu dan anak-anak wanita kamu juga wanita muslim supaya mereka melabuhkan tudung ke atas jilbab mereka, demikian itu lebih baik supaya dikenali sebagai wanita yang baik, dan Allah itu Maha Pengampun dan Pengasih.” (Surah al-Ahzab : 59)
Berdasarkan firman itu, tudung mesti dilabuhkan ke atas baju sehingga menutup dada. Tetapi kalau seseorang itu memakai tudung sekadar menutup rambut dan masih nampak dada dan leher tidaklah menepati penutupan aurat. Bukan itu saja, pakaian seperti itu kalau kita amati hampir sama seperti tudung padri wanita.
Apakah umat Islam tidak sedar akan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, dia tergolong dalam golongan itu.” (Abu Daud dan Ibnu Hibban)
Ulama dalam keadaan ini perlu mengambil pendekatan mengajak umat Islam khususnya wanita agar kembali menggunakan tudung yang benar-benar menutup aurat. Sudah sampai masanya semua umat Islam kembali berpakaian dengan niat menutup aurat bukan untuk kelihatan cantik di hadapan orang ramai.

Salah Faham Wanita
Lihatlah beza tudung ini.
Melihat panduan di atas, saya percaya ramai wanita Islam salah faham tentang konsep aurat dan konsep berpakaian dalam Islam. Sebab itu mereka mudah terikut-ikut dengan apa yang dilihat di sekeling mereka? Kebanyakan wanita Islam tahu bahawa menutup aurat itu wajib tetapi tidak tahu bagaimana harus mereka pakai.
Kalau kita tanya seorang wanita yang memakai tudung sekadar menutup rambut, dia dengan tegas berkata, “aku pakai tudung ini sudah cukup menutup aurat.”
Kalau kita tanya mereka yang pakai baju kurang tetapi dadanya tidak ditutup, dia dengan berani berkata, “aku pakai baju kurung ini dah cukup menutup aurat, kan bersopanni.”
Begitu juga kalau kita bertanya wanita yang pakaiannya ketat, dia berkata, “aku sudah menutup aurat yang sempurna, mana nampak kulit dan rambut lagi.”
Salah faham ini mungkin kerana peluang ulama untuk menjelaskan hukum ini terbatas atau umat Islam tidak berpeluang untuk menuntut ilmu mengenainya. Jika benar begitu, bolehlah dimaafkan tetapi kalau ulama tidak begitu bertegas dalam menyampaikan ilmu sebenar, adalah suatu jenayah yang harus dibasmikan.
Selain itu ibu bapa juga dilihat sebagai tidak begitu serius dalam soal aurat. Ramai di sekeliling kita, para ibu yang memakai tudung malah ada yang berpurdah, tetapi anaknya sendiri dibiarkan tanpa menutup aurat. Adakah mereka berasa takut untuk mendidik anak ke arah menutup aurat atau rasa masih awal untuk dibuat teguran atau dirasakan, pemakaian itu soal individu.
Terdapat juga suami yang tidak ambil kisah tentang penutupan aurat, sama ada isteri hendak pakai tudung atau tidak, tidak mengapa. Ada juga suami yang tidak boleh kata apa-apa dengan sikap isteri yang tidak mahu menutup aurat. Tidakkah mereka sedar bahawa sikap itu hakikatnya adalah manusia dayus yang tidak dijamin syurga. Wallahua’lam

02 Februari 2011

Anda lelaki yang tidak layak berpoligami

Ahmad Baei Jaafar

Kalau sebelum ini saya menyatakan berita baik untuk lelaki tetapi kali ini saya hendak perluaskan lagi skop ini kepada siapa sebenarnya yang layak berpoligami dan siapa pula yang tidak layak. Dengan tulisan ini, diharapkan anda yang disenaraikan boleh membuat persiapan sama ada untuk meneruskannya atau menarik diri daripada poligami.
Bil
Tidak layak
Layak
1
Takut kepada isteri
Takut kepada Allah
2
Kurang komunikasi lalu menyalahkan isteri
Selalu komunikasi dan mendidik iman isteri
3
Tidak sayang isteri lalu suka memukulnya
Cintakan isteri kerana Allah
4
Isteri lebih kaya lalu hidupnya dikawal isteri
Suami kaya dan kehidupan isteri ditentukannya
5
Putus hubungan dengan Allah
Selalu berhubung dengan Allah apatah lagi waktu susah

Anda boleh nilai diri sendiri di mana kedudukan anda. Terpulanglah kepada anda sama mahu buat perubahan atau tidak. Untuk lebih jelas, saya perpanjangkan dua bahagian tersebut supaya alasannya dapat diterima oleh semua pihak.
Takut kepada Isteri, ini penyakit kebanyakan suami sama ada suaminya kaya atau miskin. Dia tidak berani berterus terang dengan isterinya tentang dia mahu berkahwin lagi. Akhirnya dia buat keputusan untuk kahwin di luar negara. Memang lelaki ini tidak layak berkahwin kerana lazimnya suami ini akan menipu isterinya atau berlaku zalim terhadap isterinya sama ada isteri pertama atau isteri baru.
Takut kepada isteri juga berlaku kepada suami yang apabila menyatakan hasrat hendak berkahwin lain kepada isterinya, lalu ditentang oleh isterinya itu. Dengan tentangan itu dia jadi kecut lalu tidak berani untuk meneruskan hasratnya lagi. Dengan hati yang sedih bakal isteri barunya akan mendesak. Maka untuk memuaskan desakan dia berkahwin di luar negara. Dengan perkahwinan ini dia sekali lagi akan menipu isterinya. Bukan itu sahaja, kehidupannya juga tidak selesa kerana asyik dengan penipuan sepanjang hidup.
Takut kepada isteri juga berlaku kepada suami yang tidak mampu buat keputasan untuk kebaikan dirinya dan isterinya. Setelah dia memberitahu isterinya tentang hasrat berkahwin lagi, isterinya meminta dia menceraikannya atau mengugut untuk bunuh diri. Kerana sayangkan isteri dia batalkan perkahwinan keduanya. Suami ini memang tidak layak berkahwin lagi kerana tidak pandai mendidik isteri ke arah takut kepada Allah.
Kurang komunikasi dengan isteri secara baik, tidak melayakkannya berkahwin lain kerana keadaan yang sama akan berlaku kepada isteri yang baru. Suami ini akan selalu menyalahkan isterinya atas kegagalan rumah tangganya. Dia tidak ada masa untuk mendidik isterinya supaya takut dan bertaqwa kepada Allah. Atau isterinya tiada peluang untuk berbincang dengannya apa yang terbaik untuk rumah tangga mereka.
Kalau begitulah sikapnya, berapa ramai isterinya sekali pun, amalan yang sama akan berlaku. Salahnya bukan pada isteri tetapi kepadanya yang tidak pandai berkomunikasi yang terbaik. Dia mungkin boleh berkumunikasi dengan orang ramai apatah lagi wanita yang dia inginkan, tetapi itu sekadar lakonan. Nanti setelah menjadi isteri, semuanya akan terbongkar.
Tidak sayangkan isterinya mungkin berlaku setelah lama berkahwin apatah lagi setelah bertemu orang lain yang boleh dijadikan mangsanya. Lelakilah yang diibaratkan “habis madu sepah dibuang”. Kesan daripada tidak sayangkan isteri dia suka mendera isterinya. Padahal dia tidak pernah memberitahu isteri apa yang dia mahu kepada isteri untuk mengembalikan kasih sayang kepada isterinya.
Kalau dia tidak sayangkan isteri dalam keadaan itu, tidak mustahil setelah dia berkahwin dengan isteri baru, perkara yang sama akan berlaku. Dia juga akan rasa jemu kepada isterinya lalu tidak sayang kepadanaya. Penderaan juga akan dilakukan jika dia mahu. Oleh sebab itu dia tidak layak berpoligami. Jadi, mana-mana wanita yang mahu menerima tawaran poligami harus melihat sejarah bakal suaminya itu.
Isteri yang lebih kaya daripada suami malah isteri yang membiayai kehidupannya sememangnya tidak layak untuknya berkahwin lagi. Logiknya, kalau dia berkahwin lain, dengan apa pula dia boleh memberi nafakah kepada isteri barunya?
Putus hubungan dengan Allah merujuk kepada agama suaminya. Kalau si suami tidak pernah sujud kepada Allah atau sesekali sahaja sujud kepada Allah, bagaimana dia boleh berhubung dengan Allah. Mereka yang putus hubungan dengan Allah, dia akan putus hubungan dengan manusia. Mereka ini akan gelap masa depannya kerana tidak dapat bantuan Allah. Jelas, lelaki ini tidak layak berpoligami kerana orang yang berpoligami adalah orang hampir dengan Allah.
Adakah anda layak?
Jika anda tersenarai sebagai tidak layak dan boleh membuat perubahan seperti yang dijelaskan di atas, tidak mustahil anda layak untuk berpoligami. Tapi ingat, bukan senang untuk berubah, kalau anda tidak benar-benar memiliki ciri-ciri orang yang layak seperti yang disenaraikan di atas.
Secara mudahnya saya nyatakan di sini, mereka yang layak ialah orang yang ada iman dan taqwa yang mendalam terhadap Allah. Oleh sebab itulah kalau anda lihat realiti pada hari ini, siapa yang berjaya dalam poligami. Kita boleh lihat di kampung-kampung pak lebai yang sering ke masjid ada empat isteri atau sekurang-kurangnya dua isteri.
Kalau kita pergi ke pondok-pondok pengajian, kita lihat tok-tok gurunya ada dua atau tiga isteri. Begitu juga ustaz-ustaz yang merata di dunia ini, boleh memiliki dua isteri atau lebih. Mereka ini sudah pasti memiliki ciri-ciri di atas. Yang pasti isteri mereka bahagia dengan suami mereka.
Mahukah anda jadi seperti mereka? Jika mahu tingkatkan iman dan taqwa. Untuk itu belajarlah dengan mereka yang berjaya. Wallahu aklam. 

01 Februari 2011

Siapakah sebenarnya yang benci Rasulullah?

Ahmad Baei Jaafar

Isu menyambut Maulidul Rasul bidah sudah agak berkurangan sekarang. Pihak yang mendakwa bidah mula akur dengan keputusan kerajaan dan ulama. Malah ada masjid yang suatu ketika dahulu tidak membuat majlis tersebut turut menganjurkan juga kini.
Menyambut Maulidul Rasul pada setiap kali tarikh 12 Rabiulawal hakikatnya untuk menyatakan rasa kecintaan kepada Baginda Rasul. Mungkin pada sesetengah orang, rasa cinta kepada rasul semakin berkurangan dengan berlalunya masa. Jadi, dengan sambutan ini boleh mengingatkan kembali rasa cinta itu.
Cuma persoalan sekarang, adakah orang yang tidak mahu menyambut majlis Maulidul Rasul termasuk dalam kategori orang membenci nabi? Perlu dijelaskan di sini, tidak menyambut majlis sebegini tidaklah wajar dikatakan membenci nabi dan rasul. Hal ini kerana rasa cinta boleh dilakukan dengan pelbagai cara.
Sebenarnya mereka yang membenci nabi pada hari ini boleh didapati di mana-mana. Mereka ini bukan sahaja tidak mahu mengikut sunnah Rasulullah tetapi turut memperlecehkan sunnah itu. Solat sunat bukan sahaja mereka tidak melakukannya tetapi turut mengatakan bukan-bukan kepada yang melakukan solat itu.
Pakaian menutup aurat bukan sahaja mereka tidak mahu memakainya, tetapi turut mencipta pakaian yang berlawanan dengan perintah Allah. Mereka ini secara umumnya apabila menyebut sunnah akan melihatnya sebagai negatif. Hal ini adalah kerana mereka sendiri tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan sunnah.
Sebenarnya sunnah di sudut bahasa bukan sunat tetapi sesuatu yang menjadi istiqamah Rasulullah dalam hayatnya. Mungkin dalam ruang yang sedikit ini saya boleh contohkan beberapa sunnah yang wajar kita ikut:
  1. Solat pada awal waktu
  2. Puasa sunat Isnin dan Khamis
  3. Makan berjemaah dengan keluarga atau sahabat
  4. Bermanja dengan isteri
  5. Membantu kerja isteri
  6. Segera memberi nasihat sesuatu yang dilihat tidak betul
  7. Berpakaian kemas dan sopan.
Ramai yang salah faham dalam soal sunnah ini kerana mereka hanya melihat kepada memakai serban dan jubah. Dan sunnah juga selalu dirujuk kepada amalan poligami. Padahal banyak lagi sunnah yang mudah kita lakukan setiap hari namun selalu kita abaikan. 
Menyentuh soal ini, umat Islam perlulah memahami apa yang diajar oleh Rasulullah dan amalkan dengan sebaiknya kalau tidak mahu dikatakan “membenci sunnah rasul”.  Selain yang disenaraikan di atas, umat Islam juga perlu sedar bahawa Rasulullah datang dengan membawa dua perkara besar bersandarkan firman Allah yang bermaksud:
“... dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Hasr: 7)
Dua perkara yang dimaksudkan ialah: Apa yang dibawa oleh baginda, kita kena terima dan amalkan; dan apa yang dilarang olehnya hendaklah dipatuhi dan tinggalkan.
Oleh sebab itu apa sahaja yang disuruh oleh rasul, kita wajib patuh kerana apa yang dibuat oleh rasul itu adalah perintah Allah. Sebaliknya apa yang rasulullah larang, wajiblah kita tinggalkan. Maknannya haram ke atas kita melakukannya.
Semua perintah dan larangan itu perlu diketahui oleh umat Islam. Untuk itu mereka perlu belajar sama ada dengan berguru atau membaca sendiri buku-buku yang telah ditulis dan dikumpulkan oleh ulama.
Percayalah kalau semua umat Islam ada ilmu yang cukup, aqidah mereka akan mantap, ibadah mereka lebih bermutu dan akhlak mereka akan lebih baik. Mereka inilah yang layak dikatakan beriman dan bertaqwa.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...