29 Januari 2011

Rakyat penentu wakil mereka di DUN Tenang

Ahmad Baei Jaafar

Tempoh berkempen di N05 bagi memenangi calon yang dipertandingkan berakhir jam 12.00 malam ini. Walau apapun cara dan pendekatan kempen dilakukan, dijangkakan tidak banyak memberi perubahan kepada pemikiran pengundi. Itulah pengalaman yang dilalui setiap kali berlaku pilihan raya.
Maknanya kalau kawasan itu pengundinya berpihak kepada sesuatu parti, dia sukar diubah dengan kempen yang terhad itu. Hati mereka bagaikan termatri beku, apatah lagi persepsi mereka terhadap parti lawan adalah buruk.
Walau bagaimanapun kehendak Allah terhadap seseorang pimimpin itu boleh membawa perubahan yang sebaliknya. Bagaimana? Allah campakkan ke dalam hati pengundi rasa percaya kepada sesuatu calon dan rasa benci kepada calon yang lain.
Secara logiknya begini, kalaulah sesuatu calon yang dibanggakan tiba-tiba membuat sesuatu yang tidak menyenangkan hati mereka, secara sepontan datang rasa tidak selesa dengannya. Mungkin juga selama ini permintaan mereka tidak tertunai tetapi, pada saat pilihan raya baru datang bantuan itu, sudah tentu hati mereka terasa bagaikan pemberian tidak ikhlas.
Pada masa yang sama, kempen yang dilakukan calon dan wakil calon yang banyak membentangkan perancangan masa depan yang menarik boleh memberi kesedaran kepada pengundi. Pengundi tentu tidak mahu janji manis tetapi mahu dengar perancangan bagaimana memakmurkan kawasan mereka. Jika perancangan itu munasabah mereka akan menerima dengan senang hati.
Era kesedaran Islam ini seharusnya membawa perubahan baru bahawa kempen caci maki, fitnah dan mengumpat seseorang sudah tidak sesuai lagi. Bukan saja amalan itu diharamkan Allah tetapi rakyat juga tidak mahu mendengar lagi. Mereka pun tahu semua adalah dosa.
Sudah sampai masalah kempen bersih tanpa mencerita dan mendedahkan keburukan parti lawan, sebaliknya mempromosi apa yang kita mahu dan apa yang baik pada kita perlu diketengahkan. Dengan cara ini bukan sahaja Allah suka dan memberi pahala, malah orang ramai akan suka dan pastinya akan memberi sokongan.
Saya percaya esok, pengundi di N05 sudah tahu siapa yang mereka hendak pilih. Jadi, pilihlah yang terbaik yang boleh buat kerja bagi pihak pengundi untuk memakmurkan DUN Tenang. Ingatlah wakil rakyat yang dipilih secara bersuratnya adalah juru cakap yang akan membawa idea rakyat ke negeri. Dan Wakil Rakyat sekali gus menjadi pemimpin kepada rakyat kawasan itu.
Rakyat DUN Tenang saja yang tahu siapa yang layak memimpin mereka. Calon PAS Normala Sudirman tentu ada kelebihan yang boleh mereka pilih, manakala Calon BN, Mohd Azahar Ibrahim yang mempertahankan kawasan juga ada misi yang boleh dinilai rakyat. 

22 Januari 2011

Tahukah anda, tanpa akhlak rosak ibadah

Tanpa Akhlak Rosak Ibadah itulah yang menjadi fokus Solusi isu 28. Kita amat berdukacita dengan sikap umat Islam kini yang tidak pentingkan akhlak baik ketika berhadapan dengan Allah mahupun manusia.
Islam mengajar umatnya berakhlak ketika bercakap dengan seseorang, juga berakhlak ketika berpidato dan berdialog di halayak. Di sini Islam melarang umatnya membuat fitnah, mengumpat dan bersangka buruk terhadap umat Islam yang lain. Malah dalam Islam diajar supaya kita menutup keaiban diri dan orang lain. Semua itu termasuk dalam dosa besar.
Percayalah kalau semua umat Islam boleh berakhlak mulia seperti yang dikehendaki oleh Islam, nescaya tidak akan ada lagi orang Islam bermusuhan sesama sendiri seperti yang berlaku dalam negara Islam hari ini. Walaupun mustahil melahirkan orang yang tidak buat salah, tetapi setidak-tidaknya jumlahnya dapat dikurangkan.
Sedarlah semua orang suka kepada akhlak mulia, hatta orang yang suka berbuat jahat pun suka kepada orang yang berakhlak baik. Mereka juga tidak suka orang lain berbuat jahat kepadanya. Malah kalau kita boleh berakhlak baik dengan orang yang jahat, jiwanya juga akan tersentuh dan ingin bertaubat.
Bacalah rencana ini seterusnya dalam Solusi isu 28. Dapatkan di kedai berhampiran anda sekarang.

15 Januari 2011

Berita baik buat suami di Selangor

Ahmad Baei Jaafar
Kerajaan Selangor telah melonggarkan prosedur permohonan untuk berpoligami mulai tahun ini. Kalau sebelum ini isteri pertama mesti hadir di mahkamah bagi mendengar permohoan suaminya untuk berpoligami, tetapi kini mahkamah boleh dengan budi bicara hakim tidak memanggil isteri pertama bagi memberi keterangan.
Dengan prosedur baru ini, diharapkan tidak ada lagi rakyat Selangor yang mengambil tindakan kahwin lagi ke negara jiran. Kelonggaran ini boleh membantu mereka yang berhasrat untuk berkahwin lebih tanpa menyusahkan mana-mana pihak baik suami mahupun isteri.
Walau bagaimanapun bagi merealisasikan agenda poligami ini saya ingin berpesan kepada suami dan isteri.
Wahai suami, jika anda berhasrat hendak berkahwin lebih daripada satu, jangan bertindak membelakangkan isteri anda. Jangan kerana hendak berkahwin isteri muda anda sanggup menipu isteri yang pertama kali dalam hidup anda. Ertinya, beritahulah dia hasrat anda dengan baik.
Memang betul, dia akan membantah, dia akan menangis kerana dia sayangkan anda. Tetapi percayalah kalau dia membantah, sedangkan dia tahu anda tetap hendak berkahwin, nescaya dia akan merelakan atas keikhlasan anda memberitahunya. Dia akan marah dan sedih tidak lebih daripada tiga bulan, tetapi kalau anda dapat memberi kebaikan yang sama kepadanya, segala duka nestapanya akan hilang.
Pendekatan ini lebih baik daripada anda merahsiakan perkahwinan anda yang kesannya anda akan mencuri masa untuk bersama isteri pertama atau kedua. Mahukah anda hidup seperti seorang pencuri, terhendap sana terhendap sini, takut isteri tahu.
Pada masa yang sama anda akan menipu isteri pertama, hendak metinglah, ada jumpa pelangganlah dan sebagainya, sedangkan anda tahu penipu itu adalah dosa besar. Apa kata, setelah beberapa lama berkahwin, tiba-tiba isteri anda mendapat tahu yang anda sudah ada isteri baru, kesannya anda akan berperang besar dengannya. Kalau sudah perang besar, tiga tahunpun belum tentu reda.
Jadi, mana yang anda hendak pilih, isteri marah hanya selama tiga bulan atau perang besar yang belum tentu reda selepas tiga tahun? Anda tentu bijak untuk memilih yang terbaik untuk anda dan keluarga anda.
Wahai isteri, kalau suami anda menyatakan hasrat untuk berkahwin satu lagi, jangan bimbang tentang kasih sayang kepada anda akan berbelah bahagi. Sebenarnya, kasih sayang dia kepada anda tetapi 100 peratus jika selama ini memang dia sayang anda seratus peratus. Tetapi ingat, kalau selama ini dia hanya memberi kasih sayang kepada anda hanya 70 peratus, mungkin selepas anda meredai perkahwinannya dia akan memberi kasih sayang 100 peratus kepada anda pula.
Kasih sayang suami banyak bergantung kepada sejauhmana kometmen anda kepada suami anda. Jika anda memberi persembahan yang baik kepadanya, makan minum yang dihidangkan, budi bahasa, pergaulan yang menceriakan tentulah semua pengikat kasih sayang yang berpanjangan. Jadi, kalau anda lihat suami seperti kurang saying kepada anda, cek semulalah kometmen anda kepadanya. Mungkin ada kelompangan di sana sini. Baiki kekurangan itu dengan segera, nescaya kasih suami akan bertambah semula.
Ingatlah wahai isteri, kalau pun suami anda ada empat orang isteri, kasih sayang suami anda tetap tidak berubah jika kometmen anda tidak berubah. Suami boleh beri 100 peratus kasih sayang kepada semua isterinya tanpa mengurangi mana-mana pihak jika semuanya memberi kometmen yang terbaik kepadanya. Malah suami mahu dan mengharapkan setiap kali pertemuan dengan isterinya itulah malam pertamanya.
Bayangkan kalau suami balik ke rumah anda, dan hari ini anda anggap sebagai hari pertama anda berkahwin tentu mesranya amat tinggi. Kalau itu yang anda boleh lakukan pasti kasih sayang 100 peratus adalah milik anda. Kalau begitu kenapa hendak sekat dia berkahwin dengan wanita lain, bukankah dengan itu anda boleh membantu kaum sejenis anda mendapat kasih sayang daripada orang yang anda sayang. Bayangkan betapa besarnya pahala anda ketika itu sedangkan kasih sayang suami anda tetap sama.
Selain itu wahai isteri, anda perlu sedar kelemahan anda. Sewaktu anda hanya berdua dengan suami anda sayanginya 100 peratus, tetapi setelah ada anak seorang sayang anda kepada suami anda sudah berkurangan dan dilebihkan kepada anak. Layanan kepada suami sudah berkurangan dan suami kadangan terpaksa membawa diri. Bayangkan kalau anak sudah sepuluh, tentu suami dilupakan langsung. Anda tidak boleh beri kasih sayang kepada suami anda 100 peratus seperti yang mampu diberi oleh suami anda walaupun ramai isteri.
Jika anda sedar kelemahan itu, ubahlah sikap segera. Berilah kometmen yang terbaik kepada suami jika anda sayang dan cinta kepadanya. Sesungguhnya suami anda seorang yang amat manja lalu dia hendak bermanja dengan anda dan dia mahu dimanjai. Inilah kunci kebahagiaan rumah tangga. Wallahu aklam

08 Januari 2011

Kenapa pasangan suami isteri tidak serasi?

Ahmad Baei Jaafar

Apabila perkahwinan sudah menjangkau enam bulan, salah dan silap sesuatu pasangan akan mula diungkit, padahal sebelumnya dibiarkan sahaja, konon masih baru. Lalu suami yang tidak senang hati dengan sikap isteri, cuba menasihati isterinya begitu dan begini. Percayalah ketika itu, nasihat suami sudah tidak bernilai lagi, sebaliknya isterinya menjawab, “dulu tak salah, kenapa baru sekarang salah?”
Ternyata pasangan itu memang sudah tidak serasi. Tetapi demi cinta, mereka tetap mengharungi rumah tangga walaupun dalam keadaan tidak selesa. Walaupun dalam tidak selesa itu, mereka tetap menikmati saat-saat kebahagiaan rumah tangga. Anihnya dalam keadaan benci, isteri tetap mengandung dan mereka terus dikurniakan anak.
Sebab itulah kadang-kadang, kita rasa hairan dan terkejut apabila dalam diam-diam pasangan itu dikatakan bercerai. Lalu orang ramai pun berkata, “kenapa la bercerai, kesian anak terpaksa berpisah dengan ibu atau bapa.” Kita hairan kenapa setelah lama berkahwin, masih tidak temui serasinya.
Itu kata kita, tetapi sebenarnya mereka berdua sudah lama menderita. Namun hati kecil mereka masih ada harapan. Maka walaupun menderita, hidup masih diteruskan di samping mencari penawarnya. Tetapi apabila sampai kemuncak masalah dan penyelesaian masih tidak ditemui, perceraian terpaksalah dipilih.
Sebenarnya mereka sudah menyedari ketidakserasian itu sejak awal pernikahan mereka, namun mereka gagal untuk merawatnya dengan baik. Tetapi percayalah isu ini masih belum terlewat untuk dirawat.
Sebenarnya isu tidak serasi ini hanya ibarat retak mencari belah. Sebab itu jika pasangan yang terlibat tidak dapat mengesan ketidakserasaian itu lebih awal, perceraian boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Jadi, beruntunglah mereka yang berusaha mencari punca penyebabnya.
Sebenarnya punca tidak serasi itu bermula daripada tidak serasinya iman pasangan tersebut. Mungkin suami kuat imannya, tetapi isteri lemah imannya. Apatah lagi kalau kedua-dua mereka tidak ada iman. Hakikatnya mereka tidak meletakkan Allah di dada mereka.
Percayalah mereka yang ada iman, pasti akan takut kepada Allah, iaitu takut untuk melakukan dosa, takut untuk melakukan zalim kepada orang lain apatah lagi isteri dan anak-anaknya. Begitu juga kalau isteri beriman, sudah pasti dia akan takut untuk menderhakai suaminya, dan akan takut untuk meminta cerai daripada suaminya.
Selain itu pasangan yang beriman itu akan melakukan solat lima waktu dan sunat-sunatnya. Malah mereka yang taat solat, akan berasa tenang sewaktu berhadapan dengan pasangan. Malah jika sesekali mereka berkesempatan melakukan solat berjemaah, pasti hati pasangan itu mudah disatukan Allah.
Percayalah apabila pasangan itu boleh berasa takut kepada Allah, dan dapat pula mendirikan solat dengan sempurna, bibit perceraian tidak akan terjadi. Keserasian pasti akan diperoleh oleh pasangan tersebut semasa berkahwin bahkan sampai bila-bila.
Sungguh pun begitu, jumlah golongan ini tidak ramai. Di sana sini kita temui mereka yang lemah iman, buktinya ramai yang tidak melakukan asolat dengan sempurna, dan ramai juga suami yang takut kepada isteri. Mereka ini kalau pun kelihatan seperti serasi, tetapi hakikatnya mereka mahu hidup secara bebas, berseronok suka dalam kancah dosa dan maksiat.

Peranan Suami Didik Isteri
Mana-mana pasangan yang boleh mengekalkan iman dan taqwa dan boleh melaksanakan solat dengan sempurna, pasti suami dan isteri mampu berperanan dalam rumah tangga seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Inilah pasangan yang serasi malah boleh berkekalan sehingga ke dalam syurga.
Suami dalam keadaan ini perlu berperanan sebagai pendidik selain memimpin isteri ke jalan yang selamat. Maknanya pada malam pertama perkahwinan mereka, suami perlu menjelaskan pantang larang yang perlu isteri taati. Dalam pada itu kalau isteri tersalah dan tersilap, segeralah menegurnya dengan penuh hikmah.
Isteri juga perlu diingatkan agar sentiasa mematuhi kehendak suami dan meminta izin sebelum melakukan sesuatu pekerjaan yang luar jangkaan. Peringatan ini penting dalam membina kehamonian rumah tangga. Semua ini akan memudahkan suami memimpin isteri ke arah jalan yang bahagia.
Manakala rumah tangga yang telah didapati tidak serasi perlulah menamatkan sengketa itu dengan saling memaafkan kesalahan masing-masing. Percayalah setelah kedudukan telah menjadi kosong-kosong, suami bolehlah membuat penjenamaan baru dengan menyenaraikan garis panduan, pantang larang seperti yang dinyatakan di atas.
Ingatlah selagi mereka mampu mengikut garis panduan dan pantang larang yang ditetapkan Allah dan Rasulullah, mereka akan terdorong ke arah hidup yang bahagia selama-lamanya.

06 Januari 2011

Kenapa ADUN BN perlu sokong usul pindaan?

Ahmad Baei Jaafar
Hari ini 300 penunjuk perasaan berhimpun di perkarangan Bangunan SUK yang kononnya rakyat Selangor mendesak supaya Menteri Besar, Tan Seri Abdul Khalid Ibrahim letak jawatan. Mereka mendakwa Menteri Besar itu menderhaki Sultan kerana membantah perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri. Alasannya MB berkata sultan tiada kuasa melantik dan menolak seseorang yang dicadangkan.
Saya tidak tahu pula bila MB itu berkata begitu, tetapi apa yang saya baca dalam laporan media beliau menyebut akan mengusulkan pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa sultan.
"Kita dapati enakmen yang ada sekarang tidak memberikan kuasa jelas kepada Tuanku Sultan dan seterusnya Menteri Besar dalam atur cara pemilihan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan juga Penasihat Undang-undang," kata Menteri Besar Selangor pada sidang media, di Shah Alam hari ini.
Adakah dengan kata-kata MB itu bermakna beliau derhaka? Berdasarkan kenyataan itu beliau mengatakan enakmen yang sedia ada tidak memberi kuasa kepada sultan. Maknanya kalau seseorang itu dicadangkan untuk jawatan, sultan kena terima dan tidak boleh menolak.
Rasanya kenyataan itu tidak ada penghinaan.  Penjelasan itu bagi menyatakan realiti yang berlaku pada hari ini. Jadi, usul yang akan dibawa nanti akan memberi kuasa kepada sultan bukan menggugurkan. Dengan sebab itu ADUN dari BN wajar menyokong usul pindaan itu kalau mereka mahu mendaulatkan Sultan. Kalau mereka menolak usul itu bermakna mereka yang menderhakai sultan.
Sebagai rakyat Selangor, kita mengharapkan kepimpinan negeri bijak menggunakan kuasa yang ada untuk kepentingan rakyat. Segala keadaan yang tidak menyenangkan rakyat hendaknya dapat diatasi dengan berhikmat.

01 Januari 2011

Selamat Menyambut Tahun 2011

Kini anda berada dalam tahun baru, 2011. Apakah azam anda untuk sepanjang tahun ini? Saya percaya, masing-masing kita sudah ada azam dan target untuk dicapai pada tahun ini. Saya sendiri ada azam, akan saya usahakan bagi mencapainya. Tapi bolehlah kita mencapainya tanpa perancangan?
Jadi, rancanglah kehidupan kita dengan baik mengikut kemampuan dan kesanggupan kita sendiri. Selain itu, iringi dengan doa agar Allah permudahkan kita memperoleh kejayaan. Allah yang Maha Mendengar akan memperkenankan doa kita.
Selamat Menyambut Tahun Baru dan Selamat Merancang Untuk Kejayaan Hidup Anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...