25 Ogos 2010

Sejauh Mana Cinta Kita Kepada-Nya?


Solusi isu no 23 akan menemui anda Jumaat ini. Semua pembaca dan peminat Solusi bolehlah mula mencari di kedai-kedai majalah anda mulai hari Sabtu 28 Ogos. Paparan kali ini "Sejauhmana Cinta Kita Kepada-Nya?, mendedahkan erti cinta sebenar. Kita kata cinta kepada Allah, apa buktinya?

Kita telah melakukan solat, puasa dan sebagainya, adakah semua cukup membuktikan kita cinta kepada Allah? Inilah persoalan yang harus anda baca dan cuba menilai sejauhmana kecintaan kita kepada-Nya.

Kita selalu baca al-Quran, sudahkah kita mengambil manfaat daripada isu dan mesejnya. Itulah surat cinta Allah terhadap hamba-Nya. Tetapi apakah kita membaca cinta itu, mungkin kita baca sambil lewa sahaja. Padahal kalau kita baca surat cinta, kita amat khusyuk maksyuk.

Jadi, milikilah Solusi 23 untuk membaiki cinta kita kepada Allah.

17 Ogos 2010

Sempurnakan zakat fitrah anda tahun ini

Ahmad Baei Jaafar

Saban tahun kita membayar zakat fitrah. Alhamdulillah, tidak ada yang terkecuali untuk membayarnya walaupun mereka dalam kalangan orang miskin. Pengalaman saya sebagai amil zakat beberapa tahun kebelakangan ini, tidak ada yang enggan membayar kecuali yang terlupa atas kesibukan bekerja, lalu mereka membayarnya juga selepas solat hari raya.

Tahukah anda mengapa umat Islam berlumba-lumba membayar zakat fitrah walaupun mereka miskin? Adakah kerana kadar zakat fitrah terlalu rendah dan mampu untuk membayarnya? Adakah kerana ketiadaan membayar zakat fitrah itu akan menyebabkan puasanya tergantung? Adakah kerana ramai orang membayarnya lalu mereka perlu ikut orang ramai? Atau adakah kerana promosi tentang kewajipannya sering dibuat?

Empat kemungkinan itu sedikit sebanyak mempengaruhi fikiran umat Islam untuk membayarnya. Tetapi faktor nilai atau kadar rendah bukanlah alasan yang kuat. Buktinya, kadar yang tinggi diperkenalkan pada tahun lalu masih tidak menjejaskan jumlah pembayarnya. Begitu juga faktor ikut orang ramai, kerana masing-masing sudah tahu kewajipannya. Malah lazimnya orang ramai ingat akan zakat fitrah kerana sudah sinonim dengan puasa Ramadan.

Namun saya percaya, ramai yang terpanggil untuk membayar zakat fitrah ini kerana pengaruh promosi yang berterusan di mana-mana media massa. Apatah lagi dalam promo yang disiarkan itu menjelaskan kewajipannya dan kesan bagi yang tidak menunaikannya. Semua itu telah menimbulkan kesedaran kepada orang ramai untuk segera menunaikannya.

Memang benar, peranan iklan dalam menyedarkan masyarakat amat tinggi. Sebab itu apa-apa yang hendak dilakukan dengan jayanya perlukan iklan yang kerap dan menarik. Malah dikatakan jika seseorang itu mendengar atau melihat sesuatu itu berulang kali sebanyak 40 kali, perkara itu akan terlekat pada hati seseorang itu. Syabas diucapkan kepada pusat zakat negeri-negeri kerana anda telah berjaya memainkan peranan itu dengan sebaiknya.

Kadar bayaran zakat fitrah
Menyentuh soal kadar zakat yang agak tinggi mulai tahun lalu, mungkin agak mengejutkan umat Islam. Tetapi tidak ada yang mahu membantahnya kerana menyedari bahawa zakat fitrah adalah ibadah yang wajib. Di negeri Selangor sebelum ini zakatnya bernilai RM5.70 tetapi terus melonjak ke RM7.00. Kadar ini meningkat mengikut kadar harga beras yang dimakan oleh rakyat Selangor waktu ini. Begitu juga yang berlaku pada negeri-negeri lain.

Persoalannya mengapa kadarnya mengikut nilai harga beras? Sebenarnya, zakat fitrah pada asal hukumnya ialah mengeluarkan segantang makanan asasi masyarakat setempat. Maknanya kalau di negara Arab yang makanan asasinya kurma, maka segantang kurma perlu dikeluarkan sebagai zakat fitrah. Bagi rakyat negara ini, makanan asasi kita ialah beras maka perlu dibayarkan segantang beras itu sebagai zakat fitrah.

Walau bagaimanapun jenis gantang yang diambil kira ialah gantang baghdadi yang bentuk dan saiznya kecil sedikit daripada gantang Malaysia. Kalau beras diisi dalam gantang Malaysia dan ditimbang, beratnya ialah 3.6 kg. Tetapi kalau beras yang sama diisi dalam gantang baghdadi beratnya hanyalah 2.7 kg, ertinya kecil sedikit.

Berdasarkan itu, rakyat Selangor yang makan beras dengan kadar harga di sini perlu didarabkan dengan 2.7kg dan kadar harganya itulah yang dibayarkan sebagai zakat fitrah. Majlis Agama Islam Selangor dengan mengambil kira jenis beras yang kebanyakan rakyat Selangor memakannya iaitu beras yang bernilai RM2.60 sekilo ditentukan kadar zakat fitrah pada tahun ialah RM7.00.

Cara mengiranya begini, 2.60 X 2.7 = 7.02. Maka digenapkan kadar itu menjadi RM7.00. Kadar purata ini dikira munasabah bagi rakyat Selangor yang berpendapatan sederhana.

Cuma di kesempatan ini saya ingin bertanya kepada semua rakyat Malaysia, berapa ramai yang menyedari cara kiraan ini. Mengikut kajian saya, ramai yang tidak tahu. Dan mereka boleh membayar mengikut apa yang ditetapkan oleh kerajaan. Tidak mengapa, yang penting kita perlu membayar mengikut kadar yang tepat.

Tetapi tahukah anda bahawa kita seharusnya perlu membayar zakat fitrah mengikut kadar beras yang kita makan setiap hari. Sekali lagi soalan ini apabila ditanyakan kepada mereka, katanya, “kami tidak tahu”. Ya, betul kita membayar zakat fitrah mengikut kadar harga beras di negeri tersebut, tetapi jenis beras yang kita makan tentu tidak sama harganya. Sedangkan kadar yang ditetapkan oleh majlis itu hanya berdasarkan lazimnya rakyat awam di Selangor makan. Apa halnya dengan orang kaya yang harga berasnya lebih daripada RM3.00?

Jadi, sempurna atau tidak zakat fitrah kita yang dibayar RM7.00 sedangkan kita makan beras yang bernilai RM2.80, RM3.00 atau lebih? Mari kita kira kadar sebenar, 2.80 X 2.7 = 7.56, 3.00 X 2.7 = 8.10, kalau itulah yang sepatutnya kita perlu bayar maka kita sebenarnya telah terhutang sebanyak 56 sen atau RM1.10. Bayangkan berapa banyak umat Islam yang tidak sempurna zakatnya.

Saya tidak katakan zakat mereka tidak sah, tetapi tidak sempurna kerana masih terhutang. Semoga Allah ampun dosa yang lalu dengan taubat kita pada hari ini. Tetapi untuk tahun ini saya mengajak umat Islam secara jujur mengira kadar zakat sendiri. Oleh sebab itu anda perlu terus membayar kepada amil zakat pada kadar yang ditetapkan, tetapi baki daripada kadar itu bolehlah diberikan kepada asnaf yang lain secara sendiri.

Terdapat lapan asnaf yang boleh menerima zakat fitrah iaitu; fakir, miskin, amil yang mengurus soal zakat, muallaf, orang yang berhutang (dalam proses membayarnya), orang bermusafir, hamba yang dalam proses tebusan, dan yang berjuang fi sabilillah. Jadi, mana-mana dalam kalangan lapan jenis orang ini bolehlah diberikan kadar yang baki itu.

Semoga zakat fitrah anda semua pada tahun ini sempurna dan diberi ganjaran keberkatan. Nantinya, Idulfitri yang disambut akan lebih bermakna.

13 Ogos 2010

Kenapa Melayu susah bersatu?

Ahmad Baei Jaafar

Isu bersatu atau perpaduan sudah lama dilagukan oleh pemimpin negara. Baru-baru ini ditimbulkan lagi oleh pihak tertentu dengan nada yang sama. Tegasnya, isu ini timbul bermusim. Bila berlalu musim itu berlalulah isu itu, bak kata orang sekarang macam biskut, sekejap ada dan sekejap tiada. Mengapa?

Susahkah orang Melayu hendak disatukan? Adakah isu ini sengaja dibesarkan sedangkan realitinya orang Melayu sudah bersatu. Atau adakah bersatu atau perpaduan yang dimaksudkan itu lain daripada yang difahami oleh orang Melayu?

Sebenarnya orang Melayu tidak susah untuk bersatu, buktinya apabila berlaku kematian orang jauh mahupun dekat akan datang berziarah mengucap takziah kepada keluarga itu walaupun mereka tidak pernah kenal. Selepas itu mereka boleh bergaul mesra dengan tetamu yang datang. Di sini sudah wujud kerjasama tanpa terancang.

Begitu juga apabila berlaku kenduri kahwin, semua sanak saudara, rakan taulan dan mereka yang menerima jemputan boleh datang dengan hati yang tenang. Antara tetamu itu dapat berbual mesra tanpa ada sebarang sangka buruk. Malah ada yang boleh bergurau senda yang mencuit hati.

Selain itu orang Melayu juga boleh bersatu dan bekerjasama ketika bergotong-royong untuk membersihkan kampung, taman, masjid dan surau. Berdasarkan itu apakah halangan untuk orang Melayu bersatu dan berpadu pada waktu-waktu lain?

Jawapan mudahnya ialah faham politik sempit dan amalan berpolitik yang tidak secara profesional dalam kalangan orang Melayu menjadi puncanya. Mereka menganggap golongan dalam parti lawan sebagai musuh lalu tidak boleh bertegur sapa kerana benci.

Kita bukan nak salahkan politik, malah politik itu perlu dalam membina negara yang cemerlang. Kita juga tidak salahkan orang yang menyertai parti politik tertentu, tetapi yang salahnya ialah matlamat orang yang menyertai politik itu tidak benar-benar jelas. Matlamat perjuangan parti tidak difahami oleh mereka. Hal ini kerana mereka tidak diberi ilmu tentang kepentingan politik dalam Islam.

Perlu difahami di sini bahawa bersatu dan berpadu adalah tuntutan agama disebut oleh Allah dan Rasul dalam banyak tempat. Bersatu dalam soal bertuhan, bersatu dalam matlamat hidup dan bersatu dalam perjuangan. Namun bersatu dalam konteks ini perlu diasaskan oleh hati yang tulus dan mulus.

Sungguhpun begitu tuntutan bersatu di atas asas itu tidak menghalang daripada umat Islam berfikir dan berhujah dalam sesuatu perkara. Malah Islam mahu umatnya kreatif dalam memberi pandangan dalam memajukan hidup di dunia ini.

Menyedari halangan di atas, usaha menyatukan umat Islam dan mengukuhkan perpaduan orang Melayu dua perkara berikut perlu diberi perhatian:
1. Parti politik berasaskan orang Melayu perlu diberi penjenamaan baru. Parti yang bukan mencipta musuh tetapi mendekatkan dan menjinakkan musuh. Selain itu, politik bukan untuk kepentingan kelompok tertentu tetapi untuk kepentingan rakyat.
2. Penyatuan ummah ini perlu ditaja oleh pihak berkecuali dan tiada berkepentingan dengan mana-mana parti politik.

Sesuai dengan bulan Ramadan, bulan yang boleh menghimpunkan orang Melayu dan Islam di masjid dan surau, sebaiknya perpaduan ini diterjemahkan kepada semua jemaah. Guru-guru yang memberi tazkirah Ramadan harus menyedarkan umat Islam agar mengelak permusuhan. Begitu juga mimbar-mimbar masjid harus memberi ilmu tentang perpaduan ummah.

Perpaduan tersebut seharusnya atas tujuan membina kekuatan ummah, meningkatkan ekonomi dan memantapkan kedudukan bangsa dan memelihara maruah Islam dan umatnya. Kalau semua orang Melayu sedar akan kepentingan itu, tidak mungkin mereka menolak untuk bersatu. Dan percayalah jika dengan bersatu atas dasar ini tidak mustahil orang Melayu yang berada dalam parti yang berlain juga boleh bersatu.

Mereka boleh bersatu dan berpadu dalam memperakui pandangan lawannya jika hujahnya munasabah dan relevan. Tetapi jika pandangan itu berlainan dan tidak elok, dibantu bagi mencantikkannya. Inilah kesan perpaduan yang dikehendaki Islam.

Dalam keadaan sekarang kita seharusnya berhati-hati dengan orang yang berjuang ke arah bersatu atau perpaduan tetapi mempunyai kepentingan politik tertentu. Sebagai contoh, mereka inginkan orang Melayu bersatu supaya menyokongnya dalam pilihan raya akan datang. Maka dengan cara ini kedudukan parti yang satu lagi akan lenyap.

Sudah sampai masanya kesatuan orang Melayu berani menaiktarafkan Islam di negara ini. Orang Melayu perlu bergerak atas semangat Islam, jiwa Islam dan akhlak Islam supaya dengan itu orang bukan Islam akan hormat dan tidak menghina Islam dan umatnya.

Pada masa yang sama orang Melayu seharus tidak menjadi batu penghalang kepada orang lain untuk mengenali Islam dengan sikap kita. Jangan sampai orang lain takut kepada Islam kerana sikap kita yang suka bermusuhan. Jangan juga sampai orang lain membenci Islam kerana sikap buruk yang kita miliki kini. Malah lebih malang lagi kalau ada orang lain yang hendak mengenali Islam, kita gambarkan yang negatif tentang Islam.

10 Ogos 2010

Salam Ramadan buat semua pelawat fikrah islamiah

Ahmad Baei Jaafar

Malam ini kita akan mula bertarawih, malam ini juga kita akan mula berniat untuk melakukan puasa Ramadan dengan penuh rasa keimanan dan ketaqwaan. Malam ini jugalah kita akan mula bangun sahur dengan penuh rasa bersemangat untuk memulakan puasa. Mungkin pada malam pertama ini juga ada yang sudah memulakan amalan taddarus al-Quran. Selamat memulakan ibadah atau amalan yang baik pada malam ini kerana lazimnya sesuatu yang bermula pada malam pertama dengan baik akan berakhir dengan yang baik juga.

Ramadan 1431H mungkin merupakan ulang tahun ke 40 bagi sesetengah orang, boleh jadi juga ada yang pada kali ini menyambut ulang tahun ke 60 malah 70 tahun bagi yang kini berusia 85 tahun. Kiraan ini mengambil kira usia seseorang ketika mula berpuasa iaitu pada usia 15 tahun. Tapi kalau seseorang itu berpuasa lebih awal daripada usia itu, tentu lebih lama dia bersama Ramadan.

Walau bagaimanapun mereka yang baru memulakan puasa pada usia yang agak lewat kerana terleka, tidak tahu atau malas, mereka masih ada peluang untuk menyemai kedudukannya dengan ibadah orang sebaya dengannya. Mereka masih diberi peluang untuk mengqada mana-mana yang tertinggal.

Bayangkan dalam usia yang begitu lama kita mengerjakan puasa dan saban tahun kita telah melakukan ibadah sunat, tentu sudah banyak manfaat yang telah diperoleh. Puasa yang dilakukan dengan penuh rasa keimanan dan ketaqwaan itu telah dijamin kebaikannya oleh Rasulullah. Sabdanya:

إن الله فرض صيام رمضان وسن لكم قيامه فمن صامه وقامه إيمانًا واحتسابًا خرج من ذنوبه كيوم ولدته أمه (أحمد ، والنسائى عن عبد الرحمن بن عوف)

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memfardukan puasa Ramadan dan disunatkan bagi kamu qiyam pada malamnya. Maka sesiapa yang berpuasa dan qiyam dengan penuh rasa keimanan dan ketaqwaan akan dikeluarkan dosanya seperti hari dia dilahirkan ibunya.”(Riwayat Ahmad, Nasai daripada Abdulrahman bin Auf)

Subhanallah, sudahkah kita berada di tahap itu? Sekian lama kita berpuasa saban tahun, berapa banyak dosa yang telah digugurkan. Masya-Allah, kalau kita sudah tiada dosa, sudah tentu mudahlah kita beroleh ketakwaan. Kalau ini yang terjadi tercapailah matlamat puasa seperti yang dikehendaki oleh Allah. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, difardukan kepada kamu puasa sebagaimana yang pernah difardukan kepada orang sebelum kamu, semoga kamu beroleh taqwa.” (al-Baqarah 2: 183)

Peningkatan taqwa kepada seseorang dapat dilihat pada setiap hari mereka berpuasa dan kemuncaknya dapat diserlahkan pada malam hari raya. Pada hari-hari berpuasa tutur katanya terkawal daripada dosa, ibadahnya lebih baik dari sebelumnya. Bukan itu sahaja, malah kesihatannya lebih bermutu. Dan pada malam raya, dia terus beribadah, memuji Ilahi dengan tahmid, tasbih dan takbir. Mereka ini sedih untuk meninggalkan Ramadan.

Saya percaya anda sekalian sudah mampu memperoleh ketaqwaan seperti yang disebut di atas. Namun jika anda berasa belum memperolehnya, belumlah lagi terlambat untuk anda memilikinya. Mulakan pada malam ini dengan mengikut panduan yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Jadi, tidak ada yang mustahil dalam dunia ini. Allah mahu kita beroleh kebaikan dengan pelbagai cara. Puasa adalah jalan pintas untuk mereka beroleh taqwa. Maka rebutlah dengan sebaiknya semoga anda dan saya juga berjaya dalam mengharungi ibadah sepanjang Ramadan kali ini.