22 April 2010

Hikmah Musibah menyingkap rahsia


Hikmah Musibah menjadi isu Solusi pada kali ke 19 ini. Kupasannya menjurus kepada kesan musibah kepada umat Islam dan bukan Islam. Musibah yang sering berlaku di dunia termasuk yang berlaku di negara kita dipandang pada perbagai sudut, ada yang menakutkan dan ada yang tidak mengambil kisah.
Dalam Islam, musibah adalah takdir atau ketentuan yang Allah sediakan untuk menguji umat manusia. Umat Islam melihatnya sebagai kebaikan dan menilai musibah itu di sebalik peristiwa ngeri itu. Apakah kebaikan musibah itu kepada umat Islam dan dunia?
Untuk mengetahuinya, anda perlu memiliki Solusi segera sebaik sahaja berada dalam pasaran awal Mei ini. Bagi mereka yang berada di lembah kelang boleh meninjau-ninjau di kedai-kedai yang selalu anda melanggannya mulai hujung minggu ini. Tempah lebih awal untuk mengelak kehabisan stok.

18 April 2010

Adab membentuk peribadi dalam Islam

Ahmad Baei Jaafar

Setiap orang yang dilahirkan ke dunia ini dibekalkan dengan akhlak semula jadi. Mereka ada nilai kasih sayang, nilai pemurah, nilai simpati dan nilai kawan. Tetapi semua nilai ini belum sempurna selagi tidak diberi suntikan iman dan Islam.

Umat Islam pada zaman awal Islam mewarisi akhlak Arab Jahiliah dan Arab Badawi, namun Rasulullah s.a.w. berjaya mengubah mereka menjadi manusia yang paling sempurna. Sabda Rasulullah s.a.w.:

إِنَّمَا بُعِثْتُ ِلأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الاَخْلاَقِ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

Rasulullah Berjaya membina akhlak mulia dalam kalangan para sahabat, malah Arab Badawi yang kasar juga dapat dibentuk supaya menjadi murni. Akhlak Rasulullah sendiri berjaya menarik minat orang lain untuk menerima Islam.

Wanita Yahudi yang sering memarahi Rasulullah dengan pelbagai tuduhan buruk, meletak halangan najis pada laluan Baginda, pada suatu hari jatuh sakit. Baginda yang menyedari laluannya tidak ada halangan najis dan sebagainya cuba bertanya orang ramai akan keadaan wanita itu.

“Wanita itu sakit,” jawab mereka.

Mendengar berita sakit itu, Baginda terus menziarahinya. Akhlak Baginda yang tidak ambil hati terhadap sikap wanita itu, menyebabkan wanita itu jatuh hati kepada Islam. Akhlak sebaik Rasulullah itulah yang harus kita warisi pada hari ini.

Akhlak Islam dibina dengan adab-adab yang baik. Adab dalam Islam mencantikkan setiap perjalanan hidup umat Islam dalam memenuhi aturan dan syariat. Orang Islam yang menghiasi diri dengan adab perilaku ataupun perbuatan yang bersopan.

Dalam pergaulan Islam menyediakan beberapa adab seperti:

Bil

Adab

Contoh

1

Adab sopan dalam bercakap

Tidak berbohong, mengumpat dan buat fitnah.

2

Adab hormat-menghormati sesama manusia

Orang besar mengasihi orang kecil dan orang kecil memuliakan yang besar

3

Adab berpakaian (Jilbab, Hijab, Niqab)

Menutup aurat

4

Adab dalam keluarga

Anak dengan ibu bapa dan adik beradik

5

Adab ketika berhadapan orang yang meninggal dunia

Membaca doa untuk kebaikan arwah dan keluarga

6

Adab memberi salam

Orang di atas kepada yang di bawah, orang kecil terhadap orang besar

7

Adab menepati janji

Masa dan tempat, meminta maaf jika gagal

8

Adab mengucapkan selawat ke atas Nabi

Menyebut dengan baik

9

Adab antara bukan mahram

Tidak berkhalwat dan menyentuh tubuh antara satu sama lain

Adab-adab itu boleh didapati dalam kitab-kitab akhlak Islam terutama yang ditulis oleh Imam al-Ghazali. Jika diizinkan akan saya paparkan dari masa ke masa mengikut keperluan dan keadaan.

11 April 2010

Jual agama dengan harga yang murah

Ahmad Baei Jaafar

Pernahkah anda ditanya, pendakwah dan juga penerbit buku agama boleh dikira menjual agama kerana mereka yang terbabit mendapat wang untuk kesenangan mereka di dunia ini. Bukankah firman Allah yang bermaksud: “Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit (untuk kepentingan dunia), lalu mereka menghalangi (dirinya dan orang-orang lain) daripada agama Allah; sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah at-Taubat :9)

Sahabat baharu saya, Azmi yang kebetulan berkenalan di sebuah restoran mamak di Bandar Baru Bangi telah menyedarkan saya betapa isu ini masih kurang difahami. Malah kerana tidak faham itu, ramai umat Islam yang termasuk dalam kategori menjual agama.

Azmi berkata, agama tidak boleh jual, bagaimana kalau kita buat majalah agama dan menjual kepada orang ramai. Yang pasti motif daripada jualan itu adalah untuk keuntungan. Sudah tentu menjual majalah termasuk dalam menjual agama.

“Allah sebut dalam al-Quran, jangan menjual ayat Allah dengan harga yang murah, merujuk kepada sikap orang munafiq dan orang Yahudi yang mengambil peluang menyebarkan fahaman agama Islam seolah-oleh mereka tersangat faham ajaran Islam. Tetapi apabila orang ramai sudah percaya kepadanya, maka dia mula mempengaruhi pengikutnya ke arah dirinya,” jawabku.

Memang wujud pada hari ini golongan yang menjual agama untuk kepentingan diri, kumpulannya atau pemimpin politiknya. Golongan ini akan berhujjah dengan ayat al-Quran dan hadis atau hujjah tokoh-tokoh tertentu untuk meyakinkan orang ramai kepadanya. Tetapi dia cuba selewengkan kefahaman sebenar untuk kepentingannya.

Golongan ini tidak berani menggunakan al-Quran dan Hadis sepenuhnya terutama yang mesejnya agak bertentangan dengan dasar perjuangan mereka. Hujjahnya ialah, perkara ini tidak boleh disebut secara umum kerana terlalu sensitif dan boleh menyinggung perasaan orang lain. “Kita mesti jaga hati orang lain, kita perlu bersikap toleransi, itulah ajaran Islam,” kata mereka.

Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (al-Quran) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan ia dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayat-Ku (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah 41)

Umat Islam yang beriman tidak seharusnya menjadi penjual agama untuk kepentingan diri, tetapi sebaliknya mereka seharus menjual diri, harta dan nyawa mereka untuk kepentingan agama. Inilah yang membezakan orang yang beriman dengan orang munafiq dan kafir. Orang yang beriman sanggup menjual diri demi agama. Mereka sanggup dihina demi mempertahankan agama.

Mereka inilah yang dikatakan berjihad pada jalan Allah. Harta dan nyawa sanggup digadai, dihabiskan untuk menyebarkan Islam. Mereka tidak perduli tentangan orang ramai asalkan agama terus boleh didaulatkan. Mereka ini sudah pasti tidak termasuk dalam golongan yang menjual ayat al-Quran dengan harga yang murah.

Dengan penjelasan ini diharapkan umat Islam terutama pejuang Islam agar terus bermotivasi untuk mengangkat Islam ke tempat yang sewajarnya. Sabahat-sahabat yang seperjuangan dengan saya harus membetulkan kedudukan masing-masing agar ayat al-Quran tetap dirujuk dalam semua keadaan.

06 April 2010

Anda menabung, boleh menyelamatkan orang lain

Ahmad Baei Jaafar

Seorang Ahli jawatankuasa (AJK) Masjid al-Mukarramah, Seri Damansara diumumkan telah meninggal dunia setelah menderita sakit kencing manis kritikal. Semua jemaah yang menunggu untuk memulakan solat Jumaat kelihatan sedih lebih-lebih lagi mereka yang sama-sama menyumbang derma untuk rawatannya sejak dua minggu lalu.

“Tuan-tuan jemaah sekalian, seorang AJK masjid kita menderita sakit kencing manis dan disahkan doktor untuk dipotong kakinya, tetapi beliau memilih untuk membuat rawatan di Terengganu (yang tidak perlu potong kaki) dan untuk itu beliau memerlukan RM10 ribu lagi,” kata bilal sebelum mengalunkan azan.

Tiba-tiba pada hari ini, bilal sekali lagi mengumumkan pemergian Allahyarham dan wang derma yang berjaya dikumpulkan sebanyak RM12 ribu telah diserahkan kepada isterinya. Keprihatinan jemaah dalam hal ini memang terpuji, tetapi kelambatan untuk mengumpulkan sejumlah wang yang diperlukan itu amat dikesalkan.

Sememangnya malang itu kita tidak mahu tetapi siapa yang boleh mengelak daripada berlaku terhadap diri kita. Siapakah dalam kalangan kita yang tahu bila kita akan berlaku kemalangan atau sakit yang kritikal. Walaupun kita pada hari ini sudah mengidap sakit tiga serangkai, tahukah kita bagaimana kesudahan kita, dalam keadaan senang atau menyusahkan keluarga.

Jika berlaku seperti peristiwa di atas, bukan sahaja keluarga malah orang ramai boleh menolong tetapi adakah menepati keperluan kita? Jika suami meninggal dunia, isteri dan anak akan hidup ala kadar bergantung kepada bantuan orang ramai. Lainlah kalau isterinya ada pekerjaan atau anak-anak sudah bekerja.

Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Tinggalkan anak dan isteri kamu dengan kesenangan, keadaan ini adalah lebih baik daripada ditinggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta.” (Riwayat Bukhari)

Keadaan di atas mungkin boleh menjadi sebaliknya jika suami dan isteri telah menyediakan tabungan yang secukupnya semasa mereka senang. Wang gaji yang sebahagiannya dicarumkan dalam KWSP, Tabung Haji, dan ASB. Semua itu mungkin boleh membantu masa depannya dan keluarganya. Tetapi berapa banyak yang boleh disimpankan jika berlaku perkara yang tidak diingini dalam tempoh bekerja. Mungkin tabungan akan terhenti sebelum jumlah yang sepatutnya terkumpul.

Kalau gaji anda RM4000 sebulan, anda simpan/melabur 10% RM400, belanja RM 1000, minyak dan tol RM 1000 dan selebihnya bagi melangsaikan hutang bulanan, bolehlah diteruskan kehidupan jika tiba-tiba anda hilang pekerjaan. Pada masa yang sama juga anda jatuh sakit, maka bagaimana anda harus mendapatkan wang untuk merawat. Mungkin apa yang anda simpan dan labur itu boleh digunakan. Tetapi cukupkah?

Di sini cuba anda renung sejenak, kalau kita beli kereta, kita akan beli insurans. Kenapa? Memang ada yang menjawab telah diwajibkan kerajaan. Tapi kebanyakannya menjawab untuk melindungi kereta, kerana kereta adalah barang kesayangannya. Rumah dan barang dalam rumahnya yang berharga turut diinsuranskan. Tetapi berapa ramai yang menginsuranskan dirinya sendiri? Apakah dirinya tidak termasuk dalam barang berharga? Ya, orang Islam akan menjawab, insurans adalah haram.

Alhamdulillah kini sudah ada takaful, yang memberi perkhidmatan yang lebih baik daripada insurans. Adakah alasan lagi untuk kita tidak mengambilnya?

Bagaimana kalau anda mencarumkan dalam takaful dalam jumlah tertentu dan tempoh tertentu, anda sebenarnya telah melakukan tiga perkara baik; menabung, membantu ahli yang memerlukan dan khairat kematian. Dengan cara ini bukan sahaja anda tidak kehilangan wang, dan beroleh pahala membantu orang lain, malah wang khairat anda akan meringankan bebanan keluarga yang anda tinggalkan.

Perhatikan carta berikut:

Sumbangan bulanan

RM150

RM100

Tabung khairat kematian biasa

RM87,100.00

55,800.00

Tabung hilang upaya biasa

RM87,100.00

55,800.00

Tabung khairat kematian kemalangan

RM107,100.00

70,800.00

Tabung hilang upaya kemalangan

RM107,100.00

70,800.00

Tabung penyakit kritikal

RM20,000.00

15,000.00

Pampasan kemalangan

RM20,000.00

15,000.00

Elaun harian hospital

RM100.00

RM80.00

Merujuk kepada AJK masjid di atas, kalau dia beringat semasa muda, dengan menabung atau mencarum RM100 sahaja dia boleh mendapat RM15,000.00, selain elaun hospital dan khairat kematian. Jadi, anda yang belum tahu masa depan anda, segeralah menabung dengan takaful.

Akhirnya sebagai renungan, siapa sangka Din Beramboi boleh meninggal dalam keadaan apa yang saksikan baru-baru ini. Mungkin ramai yang bersimpati dengannya akan menyumbang derma untuk biaya kos hospital, perkebumian. Bagaimana dengan isteri dan anak-anak? Siapa yang akan membantu mereka untuk meneruskan kehidupan jika Din tidak meninggalkan sesuatu untuk mereka.

Yang pasti, isteri akan bekerja semula untuk meneruskan kehidupan. Dialah bapa dan ibu untuk anak-anaknya. Inilah yang dimaksudkan dengan hadis di atas. Jadi, segeralah dapatkan perunding takaful di tempat anda secara percuma.