05 November 2010

Konsep ketaatan kepada pemimpin

Ahmad Baei Jaafar

Ketaatan kepada pemimpin sering diperbincangkan dalam kuliah pengajian di masjid dan surau tetapi kefahaman tentang konsep ketaatan itu selalunya tidak mencapai maksud sebenar. Maka pada kali ini, marilah kita cuba kupas sedikit mana-mana yang dilihat kurang tepat.

Taat kepada pemimpin adalah wajib berdasarkan firman Allah s.w.t.:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآَخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً

Maksudnya: Wahai orang yang beriman taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan pemimpin dalam kalangan kamu. Jika kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara maka rujuklah kepada Allah dan Rasul (al-Quran dan Hadis) jika kamu benar-benar beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, demikian lebih baik dan sebaik-baik tindakan. (Surah al-Nisa’: 59)

Ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah mutlak, maka tidak siapa yang boleh berpaling daripada mentaati kedua-duanya. Mereka yang ingkar daripada perintah itu dalam bahasa kasarnya boleh disebut sebagai kafir. Firman Allah s.w.t.

قُلْ أَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: Katakanlah Muhammad kepada umat Islam, taatlah kepada Allah dan Rasul, maka jika kamu berpaling sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang Kafir. (Surah Ali Imran : 32)

Jadi, ketaatan kepada Allah dan Rasul ini semua sudah maklum, dan semua umat Islam sudah akur dengan perintah itu. Cuma dalam hal ini, ketaatan kita masih rendah. Kita sembah Allah dalam solat sekadar perbuatan dan amalan, tidak pada hati dan jiwa. Kita kata taat kepada Allah tetapi kita masih mengumpat orang, kita kata taat kepada Allah tetapi kita masih mendedahkan aurat, kita kata taat kepada Allah tetapi kita masih cuai dalam melaksanakan ibadah lain.

Bayangkan kalau ketaatan kepada Allah pun masih tidak boleh diberi 100 peratus, bagaimana ketaatan kepada pemimpin. Di sinilah barangkali kita lihat ramai umat Islam gagal untuk mentaati pemimpin mereka. Malah kadang-kadang kita taat kepada pemimpin kerana ada udang di sebalik batu, kita taat tetapi ada maksud yang kita harapkan daripada pemimpin itu.

Tetapi siapa pemimpin sebenar? Apabila menyebut pemimpin, tidak seharusnya kita rujuk hanya kepada pemimpin negara atau negeri sahaja. Sabda Rasulullah s.a.w:

عَنِ ابْنِ عُمَرَ، عَنِ النَّبِيِّ - صلى الله عليه وسلم - قَالَ: كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ، وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَمَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَامْرَأَةُ الرَّجُلِ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ، وَمَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ، وَعَبْدُ الرَّجُلِ رَاعٍ عَلَى مَالِ الرَّجُلِ، وَمَسْئُولٌ عَنْهُ، أَلا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، مِنْ هُنَا لَمْ يُخَرِّجَاهُ.

Maksudnya: Daripada Ibnu Umar daripada Nabi s.a.w. katanya, setiap kamu adalah pemimpin, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin, maka ketua negara yang memerintah adalah pemimpin, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang diperintah, dan lelaki itu pemimpin terhadap keluarganya, dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Dan isteri seseorang lelaki (suami) itu pemimpin terhadap rumah suaminya dan anaknya, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang diamanahkan kepadanya. Dan hamba seorang tuan adalah pemimpin terhadap harta tuannya, dan dia bertanggungjawab terhadapnya. Ketahuilah semua kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang diperintahkan. Di sinilah kedua pihak itu tidak mungkin dipisahkan.

Jelas di sini, pemimpin terdapat banyak jenis dan kategori. Maka bapa pemimpin kepada keluarga, isteri pemimpin kepada rumah dan anak suami, hamba juga pemimpin kepada harta tuannya. Dan setiap seorang itu ada tanggungjawab terhadap apa yang diamanahkan kepadanya.

Dalam kariah ada pemimpin, dalam masjid ada pemimpin dan dalam organisasi ada pemimpin. Itulah pemimpin yang boleh dinamakan dengan pelbagai gelaran mengikut kedudukannya: PM, menteri, YDP, ketua, pengerusi, presiden, nazir dan pegawai dll.

Ketaatan Tidak Mutlak

Ketaatan kepada pemimpin walaupun tidak mutlak tetap penting dalam proses pentadbiran dan pengurusan manusia. Tanpa ketaatan, pengurusan akan jadi tidak terurus malah boleh jadi pemimpin akan melakukan semua kerja seorang diri. Apalah ertinya sesuatu pentadbiran kalau arahan pemimpin tidak dipatuhi oleh orang bawahnya.

Walau bagaimanapun ketaatan kepada pemimpin ini ada syarat yang ditetapkan. Maka ketaatan yang dimaksudkan itu boleh gugur apabila pemimpin itu mengarahkan kepada perkara maksiat atau melanggar syariat. Sabda Rasulullah s.a.w:

لا طَاعَةَ لِمَخْلُوقٍ فِي مَعْصِيَةِ الْخَالِقِ

Maksudnya: Tiada ketaatan terhadap makhluk pada hal-hal maksiat kepada pencipta. (Riwayat Ahmad, Tabarani)

Sebaliknya ketaatan kepada pemimpin adalah pada arahan yang baik sahaja. Sabda Rasulullah s.a.w:

لا طاعة لأحد فى معصية الله إنما الطاعة فى المعروف

Maksudnya: Tiada ketaatan kepada seseorang pada perkara dosa kepada Allah, sesungguhnya ketaatan pada yang baik sahaja. (Riwayat al-Bukhari Muslim dan Abu Daud, Nasai dan Ibn Hibban)

Berdasarkan dua hadis di atas, ketaatan kepada pemimpin di semua peringkat adalah kerana kebaikan perintah dan arahannya. Ciri-ciri kebaikan sesuatu arahan pemimpin ialah:

  1. Arahannya tidak bercanggah dengan dasar Islam
  2. Dasar dan arahannya memberi manfaat kepada umum/rakyat
  3. Arahannya ada maslahah untuk menyelamatkan Islam dan umat
  4. Tindakannya tidak merugikan Islam dan umatnya.

Ciri-ciri kebaikan itu jika dirujuk kepada pemimpin negara dan negeri wajiblah kita memberi ketaatan dan jika sebaliknya boleh ditolak. Oleh sebab tidak semua arahan yang datang daripada pemimpin kesukaan kita perlu ditaati dan tidak juga semua arahan yang datang daripada pemimpin yang dibenci boleh ditolak. Semuanya mestilah bersandarkan kepada ciri-ciri di atas.

Katalah suatu arahan beerbunyi begini: “Semua umat perlu bertolak ansur dalam soal amalan agama lain ketika menyambut perayaan demi perpaduan.” Arahan ini jelas bertentangan dengan Islam kerana menggugat aqidah dan merugikan Islam dan umatnya. Menyedari keadaan itu, kita tidak wajib taat arahannya. Malah tidak berdosa kita abaikan arahan itu.

Walau bagaimanapun arahan lain yang baik daripada pemimpin yang sama masih wajib ditaati. Tidak wajarlah dengan penolakan satu arahan, maka semua arahan yang lain kita tolak juga.

Peraturan Bukan Menyusahkan

Sebenarnya kebanyakan dasar dan arahan yang dikeluarkan oleh pemimpin baik negeri mahupun pusat tidak berkait secara langsung dengan ibadah dan Islam. Sebaliknya arahan itu berkaitan dengan kehidupan yang melibatkan rakyat dan pembangunan.

Dalam hal ini kadang-kadang ada peraturan yang ditetapkan sama ada kerajaan pusat atau negeri dilihat seperti menyusahkan, tetapi kalau dilihat di sebaliknya akan kita temui kebaikan kepada rakyat secara umum. Oleh sebab itu peraturan tersebut wajib dipatuhi.

Sebagai contoh; untuk berkahwin sesuatu pasangan itu perlu mengikuti kursus pra perkahwinan, mengambil ujian saringan HIV, dan mendapatkan pengesahan daripada Penolong Pendaftar Nikah tempatan. Peraturan itu memang seperti menyusahkan, tetapi kesannya adalah untuk kebaikan umat Islam walaupun peraturan itu tidak ada dalam Islam.

Jika arahan ini tidak dipatuhi, mereka tidak mahu berkursus, tidak mahu ambil ujian saringan hiv, kemudian berkahwin sendiri di rumah pengantin perempuan dengan berwalikan bapa sendiri dan dua saksi. Walaupun perkahwinan itu sah mengikut Islam, tetapi proses perkahwinan yang dijalankan itu adalah satu kesalahan. Pasangan itu telah tidak taat kepada pemimpin, hakikatnya mereka berdosa. Dan setiap yang berdosa ertinya ke neraka.

Begitu juga dengan peraturan lalu lintas, semua aturan itu jelas untuk kepentingan pengguna jalan raya. Jika kita membantah lalu tidak mahu ikut peraturan, selain berdosa, dia mendedahkan dirinya kepada bahaya. Bayangkan kalau dia meninggal dunia dalam keadaan melanggar peraturan jalan raya, sudah tentu dia berdosa.

Tiada ulasan: