23 Disember 2009

Solusi isu 15 mengupas isu hijrah atau kalah


Hijrah atau Kalah itulah isu yang akan membuka minda anda dalam Solusi isu no 15 ini. Kita sudah menyambut Maal Hijrah pada 18 Disember 2009 lalu, tetapi apa yang kita tahu tentang hijrah? Malah setiap tahun kita menyambutnya, dan setiap kali itulah kita mendengar pihak tertentu bercakap tentang hijrah, tetapi sejauh mana kita sudah berhijrah.

Umat Islam pada zaman awal dahulu terpaksa berhijrah demi menyelamatkan iman dan Islam. Dan kesan daripada penghijrahan itu mereka membina kekuatan dan akhirnya mereka beroleh kejayaan dengan pembukaan Makkah.

Jadi, sumber kekuatan ialah berhijrah, tetapi apa yang hendak kita hijrahkan pada zaman ini? Kalau kita tidak berhijrah, kita tidak akan menang. Tidak memang bererti kita akan kalah selama-lamanya. Dapatkan jawapannya dalam Solusi terbaru akan akan berada di pasaran anda pada minggu hadapan. Anda juga boleh membuat langganan bagi yang sukar bertemu di pasaran.

Salam Maal Hijrah dan menempuh kejayaan.

20 Disember 2009

Maskahwin atau hantaran jadi penghalang perkahwinan?

Ahmad Baei Jaafar

Apabila kerajaan Selangor mengisytiharkan kenaikan nilai maskahwin daripada RM 80 kepada RM 300, ramai yang memberi komen tidak bersetuju ditetapkan kadar maskahwin. Yang peliknya, rakyat luar Selangor pun bersuara dan melahirkan rasa bimbang kadar baru itu akan menjadi penghalang baru untuk lelaki berkahwin di negeri Selangor.

Namun bagi wanita, kadar itu amat baik dan sesuai dengan keadaan ekonomi sekarang. Malah mereka mahu seluruh negeri di negara ini mencontohi Selangor. Menurut mereka ada negeri yang mengekalkan maskahwin zaman sebelum merdeka, RM 20 dan RM 30, sedangkan nilainya ketika itu amat mahal pada lelaki.

Saya percaya semua ini adalah kerana salah faham umat Islam terhadap nilai maskahwin berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sebaik-baik maskahwin ialah yang mudah” (Riwayat Abu Daud)

Dalam hadis lain baginda bersabda: “Sebaik-baik wanita ialah yang memudah untuk diri maskahwin” (Riwayat at-Tabrani)
Rasulullah sebut, wanita yang paling baik ialah bila maskahwinnya paling mudah (mudah bukan murah). Ya, mudah bagi lelaki untuk memberi maskahwin kepada isterinya. Perlu dijelaskan di sini, maskahwin yang mudah itu adalah hanya sekali seumur hidup sama seperti kita menjadi ahli seumur hidup dalam sesuatu persatuan.

Maksud mudah bolehlah saya anggarkan begini, kalau gaji lelaki itu sebulan RM 3,000 tentulah hendak beri maskahwin RM300 sekali seumur hidup tidak susah, mudah sahaja. Tapi kalau gajinya RM10,000 sebulan tentu mudah baginya untuk memberi kepada isteri RM1,000 sebagai maskahwin.

Jadi, kalau seseorang lelaki bergaji besar tetapi sewaktu hendak beri maskahwin hanya RM 30 atau RM 80 tentulah tidak sepadan, dan dia boleh dikatakan lelaki kedekut. Tetapi dia tidak merasai begitu dan tidak pula malu kerana menganggap itulah kadar maskahwin yang wajib baginya.

Hal ini kerana mereka tidak faham maskud hadis di atas. Sebaliknya memahaminya sebagai maskahwin itu hendaklah murah. Lalu padanya kadar maskahwin yang paling rendah itu menggambarkan wanita yang baik.

Sebenarnya maskahwin bukan harga bagi wanita atau isteri tetapi pemberian yang selayaknya diberikan oleh suami sebagai tanda dia rela mengambil tanggungjawab menjaganya. Kalaulah wanita itu hendak dinilai dengan harga dan perlu ditawarkan dengan maskahwin, sudah tentu tidak ternilai dengan wang, mungkin satu juta pun bukan nilainya.

Hantaran vs Maskahwin
Hantaran bukan wajib dalam Islam, tetapi menjadi adat dalam masyarakat setempat. Walaupun bakal suami tidak wajib memberi tetapi kalau tidak memberinya, akan dipandang sebagai kurang adab. Walaupun masyarakat tidak menghinanya, tetapi dia sendiri akan rasa malu dengan keadaan itu. Itulah nilai adat seperti wajib juga.

Adat seperti ini dibenarkan oleh Islam tetapi sepatutnya kadar hantaran itu tidaklah membebankan lelaki, malah sebaiknya mengikut keikhlasan bakal suami berdasarkan kemampuannya. Dalam keadaan ini, ramai yang tidak menyedari bahawa adat yang dilaksanakan di kebanyakan tempat melanggar hukum dan adab Islam.

Sebenarnya hantaran mengikut adat itu ditentukan keluarga wanita. Malah sesetengah tempat bukan ibu bapa yang menentukannya tetapi ada wakil yang diberi kuasa menentukannya. Di sinilah kadang-kadang kadarnya membebankan pihak lelaki terutama yang tidak berpendapat tinggi.

Berdasarkan itu, hantaran yang membebankan seperti yang diamalkan pada hari ini, itulah antara yang menyebabkan lelaki lambat berkahwin atau wanita sukar dipinang lelaki. Jadi, bukan maskahwin yang menjadi punca segala-galanya kerana kalau kadar RM 300 itu lelaki boleh berkahwin sebulan seorang kalau dia mahu, apatah lagi kalau sekadar RM 20.

Selain itu adalah tidak benar dan tidak wajar sesuatu perkahwinan itu ditanggung kosnya oleh lelaki yang hendak berkahwin. Sebaliknya ibu bapa wanita menanggung semua kos kerana majlis itu untuk mengisytiharkan perkahwinan anaknya. Begitu juga Ibu bapa lelaki mereka juga harusa bertanggungjawab membuat kenduri di rumahnya bagi mengisytiharkan bahawa anaknya sudah berkahwin.

Jadi, ibu bapa tidak seharusnya mengambil duit anaknya untuk mengadakan majlis tersebut apatah lagi mengambil wang menantunya. Sedarlah, kalau mereka benar-benar tidak mampu untuk mengadakan majlis seperti itu kerana kos yang tinggi, tidak perlu buat besar-besaran tetapi cukuplah dengan buat kenduri doa selamat untuk sekadar 50 orang di sekitarnya.

Adat yang Baik
Seperti yang dijelaskan di atas, tujuan kenduri kahwin diadakan adalah untuk mengisytiharkan perkahwinan anak mereka bagi mengelak timbul fitnah selepas itu. Oleh sebab itu tidaklah salah jika kedua-dua pengantin itu dibawa kepada khalayak dan bermesra dengan mereka. Walau bagaimanapun bersanding dengan mendedahkan aurat pengantin perempuan dan ditambahkan pula dengan pelbagai acara seperti tepung tawar yang jelas membazir adalah dilarang dalam Islam.

Selain itu suasana kenduri perkwahinan itu juga hendaklah ceria bagi menghiburkan pengantin. Oleh sebab itu tidak salah disulami muzik yang menghiburkan dan menceriakan suasana. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Iklankan majlis perkahwinan dan adakannya di masjid dan pukulkan gendang,” (Riwayat Ahmad dan at-Tabrani).

Berdasarkan itu, tidaklah salah diadakan sedikit muzik yang bersesuaian dengan majlis tersebut bagi membezakan antara kenduri kahwin yang mengembirakan dengan kenduri arwah yang mendukacitakan. Namun janganlah dirosakkan majlis itu dengan lagu Hindustan dan pop yang melalaikan apatah lagi pada waktu azan solat.

Adat yang tidak kurang penting juga ialah adat menyambut pengantin dan tetamu yang mengiringinya. Mereka yang datang dari daerah lain tentu tidak tahu adat resam di situ, maka mereka perlu disambut dan diberi layanan sebagai tetamu. Dalam hal ini tidak salah kita bezakan jamuan untuk mereka berbanding orang tempatan.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seburuk-buruk makanan (jamuan) kenduri kahwin ialah menjemput orang kaya dan meninggalkan orang miskin,” (Riwayat Darulqati’i).

Tidak menjemput orang miskin ke majlis kenduri kahwin itu kerana mengganggap kedatangan mereka tidak sesuai atau tiada pulangan hadiah adalah menyalahi sunnah. Orang kaya dan miskin harus dilayan sama sahaja. Namun perbuatan membezakan jamuan tetamu khas dengan orang tempatan tidak termasuk dalam hadis di atas.

Jadi, adat menyambut tetamu tidak bercanggah dengan Islam. Walau bagaimanapun jamuan untuk mereka tidaklah pula boleh berbeza yang melampau hingga membazir. Adat yang sedemikian itu tidak dikehendaki dalam Islam.

17 Disember 2009

Salam Maal Hijrah tahun 1431


Ahmad Baei Jaafar

Menjelang bulan Muharam, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sibuk membuat persiapan untuk menyambut “Maal Hijrah”. Beberapa stesen radio dan televisyen turut menyiarkan iklan atau promo mengenainya selain daripada rencana dan drama bagi membangkitkan semangat hijrah dalam kalangan umat Islam.

Pada malam satu Muharam pula setiap masjid negeri mengadakan ceramah atau forum mengenai hijrah dan pada esok harinya kerajaan sama ada pusat atau negeri pula mengadakan sambutan rasmi. Pada hari itu juga beberapa orang diangkat sebagai tokoh Maal Hijrah.

Tetapi sebagai umat Islam, apa yang anda fikirkan untuk menerima dan menyambut kedatangan tahun baru, awal Muharam 1431H ini. Sudah bersediakan anda untuk berhijrah daripada sikap berlebih kurang tentang agama kepada yang lebih serius untuk melaksanakan Islam dalam diri, masyarakat, kampung dan negeri serta negara.

Apakah kita masih ada rasa takut untuk melakukan hukum Allah kerana takut apa kata orang, takut nanti orang bukan Islam kata apa-apa, dan takut nanti orang menentang dan memusuhi kita. Kita lebih takut kepada manusia daripada takut kepada Allah, inilah golongan syirik yang ramai tidak tahu.

Sebenarnya untuk melaksanakan hukum Allah di muka bumi ini adalah hak kita. Tidak ada sesiapa pun di dunia ini yang boleh menghalang kita melaksanakannya. Tidak undang-undang yang boleh menyekat pengamalan Islam kita. Tetapi yang menyebabkan pengamalan Islam kita tidak sempurna pada masa kini adalah kerana kita sendiri.

Sudah tentu tiada siapa yang boleh menghalangnya melakukan solat di rumahnya. Kalau pun isteri atau ayah menghalang, kita boleh melawannya. Di tempat kerja, tiada majikan yang mah menghalang kita untuk solat. Kadang-kadang ada majikan yang menghalang tetapi adalah kerana sikap pekerjanya yang menyalahgunakan peluang bersolat, mereka tidur atau berborak. Ertinya bukan majikan yang menghalang.

Mungkin ada orang berhujjah, kerajaan menghalang kita melaksanakan hukum hudud. Di sinilah kesilapan umat Islam dalam menilai haknya, dan mana pula hak kerajaan. Sebenarnya, hak melaksanakan hukum hudud dan qisas adalah kerajaan, tidak kena mengena dengan umat Islam. Kita tidak berdosa dengan kegagalan kerajaan melaksanakan hukum hudud.

Walau bagaimanapun dalam hal ini kita jangan lupa bahawa terdapat juga hak kita ialah hak tidak melakukan kesalahan hudud. Hak ini kekal walaupun kerajaan tidak melaksanakan hukum itu. Maknanya, semua manusia terutama umat Islam tidak boleh berzina, tidak boleh mencuri, tidak boleh murtad, tidak boleh minum arak dan tidak boleh membunuh orang.

Hukum ini tetap berjalan walaupun kerajaan belum melaksanakan hukum hudud dan qisas. Kalau semua umat Islam boleh menghindarkan diri walaupun belum ada hukum hudud dan qisas, kitalah sebenarnya umat Islam yang paling baik. Hal ini kerana kita dapat meninggalkan kesalahan tersebut bukan kerana takut hukuman yang disediakan tetapi kerana takut Allah.

Jelas di sini, tiada siapa yang boleh menghalang kita daripada tidak melakukan zina, rogol, mencuri, minum arak dan sebagainya. Namun kalau ada orang memaksa kita supaya berzina, mencuri dan minum arak dengan ancaman akan membunuh kita, maka ketika itu jika kita lakukan tidaklah dikira berdosa.

Jadi, sempena Maal Hijrah ini marilah kita bersihkan hati dan jiwa kita, dengan satu keazaman untuk melakukan segala perintah Allah, meninggalkan larangan-Nya dan membuat baik kepada semua orang termasuk musuh. Ingatlah jika kita boleh berbuat baik dengan musuh, dia akan mengenali hati kita sebagai orang yang jujur. Orang yang jujur mampu menarik orang ramai bagaikan magnet.

15 Disember 2009

Sultan Selangor tegur siapa? - Satu analisis

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin tegur siapa semasa titah baginda pada hari keputeraannya baru-baru ini? Berdasarkan pembacaan surat khabar arus perdana teguran sultan Selangor itu ditujukan kepada sikap Menteri Besar Selangor dan pemimpin PR yang suka membesarkan isu politik daripada memikirkan pembangunan negeri. Begitu juga seperti yang dipaparkan dalam berita utama televisyen.

Membaca laporan Malaysiakini dan meneliti teks ucapan baginda, didapati terdapat beberapa mesej yang hendak disampaikan oleh baginda. Jelasnya teguran itu tidaklah bermaksud begitu semata-mata. Baginda tegur parti pemerintah, tegur parti pembangkang Selangor dan rakyat keseluruhannya.
Kepada kerajaan Selangor, baginda mengingatkan semua pimpinan tertinggi negeri Selangor agar jangan banyak bercakap sahaja malah melaksanakan perkara-perkara yang berfaedah kepada rakyat di negeri itu.
"Beta percaya rakyat pada masa sekarang ini lebih selesa berbincang dan bercakap mengenai pembangunan dan kesejahteraan daripada bertelagah mengenai soal-soal politik.

"Oleh yang demikian, beta mengingatkan bahawa kerajaan Selangor pada masa kini adalah bertanggungjawab membina dan membuat landasan bagi keharmonian dan kesejahteraan rakyat pada masa akan datang," titahnya.
Sultan Selangor turut menyeru Menteri Besar Selangor dan barisan exconya agar melaksanakan tugas-tugas mentadbir dan membangunkan negeri dengan penuh dedikasi.

Kepada pembangkang baginda mahu mereka hentikan sikap mencari kesalahan dan kelemahan pemberintah.
"Masa untuk mencari kesalahan dan kelemahan telah berlalu dan telah tiba pula masanya untuk kerajaan sekarang melaksanakan segala perancangan dan janji-janji yang dibuat ketika berkempen (dalam pilihan raya umum lepas) dan mengatasi semua masalah yang dihadapi rakyat demi kemajuan dan kemakmuran negeri ini," titah baginda.
Kepada rakyat Selangor baginda mahu mereka rebut peluang yang disediakan kerajaan. Rakyat sepatutnya berkerja dengan sungguh untuk kejayaan sendiri dan kerajaan.

13 Disember 2009

Selamatkan bahtera anda daripada karam

Ahmad Baei Jaafar

Dalam hubungan suami isteri ramai yang tersilap percaturan hidup. Mereka silap dalam menilai kasih sayang dan kebahagiaan. Mereka selalu terjebak dalam kancah dosa dan maksiat apabila gagal dalam menyampaikan rasa cinta. Lalu suami dan isteri itu memilih jalan sendiri tanpa merujuk kepada ajaran dan panduan Islam.

Berdasarkan pengalaman saya dalam berhadapan dengan masalah pasangan suami isteri, jelas mereka tidak benar-benar faham akan apa yang seharusnya mereka mahu dalam kehidupan berumah tangga. Mereka juga tidak tahu apa yang seharusnya mereka lakukan untuk kebahagian rumah tangga mereka. Bahtera kehidupan mereka berlayar tanpa tujuan.

Saya berkesempatan menonton beberapa drama TV tempatan yang menggambarkan kepincangan rumah tangga. Walaupun ia sekadar cerita andaian penulis skrip, namun saya percaya 70 peratus daripada sesuatu cerita itu adalah realiti yang sukar dinafikan. Sikap suami dan isteri yang membelakangkan ajaran Islam itulah punca sebenarnya.

Persoalannya, sejauh mana pasangan suami isteri itu tahu ajaran Islam khususnya dalam hubungan antara mereka. Adakah mereka belajar semua itu sebelum berkahwin? Adakah mereka secara peribadi sanggup bertanya pengamalan orang lain terutama ibu bapa mereka dalam membina rumah tangga?

Ramai pasangan yang hendak berkahwin berjumpa saya tetapi sekadar untuk mendapat sokongan bagi membolehkan permohonan mereka untuk berkahwin itu diluluskan oleh pejabat agama daerah. Tetapi mereka tidak pernah bertanya kepada saya apakah rahsia kebahagiaan rumah tangga. Adakah mereka malu atau rasa sudah tahu atau rasa tidak perlu tahu?

Seperti yang pernah saya jelaskan sebelum ini, kursus pra perkahwinan yang dijalankan seluruh negara gagal memberikan ilmu kebahagiaan rumah tangga kepada pesertanya bukan kerana korikulumnya tetapi kerana sikap peserta yang ambil tidak kisah dengan pengajaran yang diberi. Kesannya, ramai yang berkahwin selepas itu menghadapi masalah.

Sebenarnya untuk bahagia suami perlu tahu apakah yang isterinya mahu daripadanya, dan isteri juga perlu tahu apakah yang dimahukan oleh suami daripadanya. Untuk mengetahuinya mereka perlu saling bertanya dengan pasangan masing-masing. Tetapi lazimnya mereka malu untuk bertanya lalu masing-masing menganggap boleh jadi pasangannya sudah tahu.

Oleh sebab ramai yang malu bertanya, maka dalam ruangan ini biar saya jelaskan rahsia kebahagiaan rumah tangga. Sekurang-kurangnya ada dua perkara yang menjadi asas kebahagiaan, maka selagi pasangan itu dapat menerima dua perkara ini dan mengabadikan dalam kehidupan pasti akan ada kebahagiaannya.

1. Suami sentiasa mengharapkan belaian kasih isterinya.
2. Isteri sentiasa mengharapkan kasih sayang suami.

Pada pandangan anda bahagiakah rumah tangga itu kalau setiap kali suami balik rumah, akan dipersoalkan itu dan ini? Masing-masing ada jawapannya. Inilah realiti yang selalu terjadi, apabila balik rumah tidak disambut dengan belaian kasih. Pada waktu makan, suami diminta melayan diri. Pada waktu tidur, suami berpusing sebelah kanan dan isteri berpusing di sebelah kiri. Mungkin pada waktu hubungan seks, dilakukan dalam keadaan terpaksa. Walau bagaimanapun tindakan itu mungkin lebih baik daripada suami tidur dalam bilik berseorangan dan isteri tidur bersama anak-anak.

Apa yang diharapkan oleh suami tidak mencapai, hatinya tidak mendapat belaian kasih. Hatinya terus meronta meminta dan mengharap tetapi tidak mahu hendak menyatakan semua itu kepada isterinya. Jika keadaan ini berterusan, tiada jaminan rumah tangga mereka mencapai bahagia.

Manakala isteri dalam kes yang lain, sentiasa mengharapkan kasih sayang daripada suaminya. Dalam hal ini mungkin ramai yang tidak tahu bahawa suami amat sayangkan isterinya sebab itu dia sanggup bayar hantaran yang besar. Tetapi pada realitinya dia tidak pandai nak pamirkan kasih sayangnya kepada isteri. Suami boleh beri nafkah apa yang diperlukan oleh seorang isteri tetapi cara memberinya tidak dengan penuh kasih sayang lalu pemberian itu tidak dirasai sebagai kasih sayang.

Sebenarnya, selalu bertanya khabar akan keadaan isteri sama ada waktu berjauhan mahupun waktu di rumah adalah sebahagian daripada kasih sayang. Perhatian suami kepada keadaan isteri, pujian dan simpati suami adalah ubat kasih sayang yang diperlukan isteri. Tetapi perkara selalu dipandang oleh suami sebagai mengada-mengada padahal itulah yang diharapkan oleh isteri.

Perlu dijelaskan di sini, isteri yang baik tidak meminta dan mengharapkan wang dan harta daripada suami apatah lagi kalau suaminya miskin. Pada hati isteri, perhatian yang dipamirkan oleh suami sudah cukup menghiburkan hatinya. Perhatian itulah sebenarnya pembelaan suami yang menjadi impiannya semasa hendak berkahwin dahulu, namun semua itu tidak mampu hendak diucapkan isteri kepada suami.

Percayakan kalau dua perkara ini dapat dihayati oleh pasangan rumah tangga, kebahagiaan sebenar akan diperoleh dengan segera. Malah rumah tangga yang bermasalah pun boleh dipulihkan kembali jika mereka mahu kembali kepada dua perkara ini. Selamat melayari bahtera bahagia.

04 Disember 2009

BTN sepatutnya untuk negara bukan untuk parti

Ahmad Baei Jaafar

Benarkah BTN menyeleweng? Adakah sekarang masih terus menyeleweng? Di mana dan setakat mana menyelewengnya? Ramai yang tidak tahu kedudukan sebenarnya kerana ramai yang belum menyertai BTN itu. Tapi mereka pernah terlibat sudah tentu ada jawapannya yang tepat.

Saya tidak berani hendak memberi jawapan kepada persoalan itu kerana saya sendiri tidak pernah mengikuti kursus BTN. Tetapi saya pernah mengikut kursus yang dikendalikan oleh pegawai BTN. Malah saya antara orang yang sangat meminati Dr Nordin Kardi ketika menjadi pengarah BTN.

Saya bersetuju dengan tujuan kursus kenegaraan yang dianjurkan oleh Biro Tatanegara yang antara lain ialah:

1- Untuk memberi pendedahan dan pembentukan ketahanan diri anggota perkhidmatan awam dari segi fizikal dan mental bagi meningkatkan patriotisme kepada negara dan kerajaan;
2. Untuk memberi penjelasan tentang pengurusan disiplin dan pembentukan sahsiah anggota perkhidmatan awam dalam menjalankan tugas.

Tetapi dalam menyampaikan ceramah untuk mencapai tujuan di atas silibasnya tidak dipatuhi sepenuhnya. Hal ini kerana penceramah diberi kebebasan untuk memberi contoh dan bandingan yang munasabah. Mungkin Dr Nordin Kardi dalam ceramahnya agak mencapai sasaran, namun apa jaminan penceramah yang lain?

Berdasarkan pengalaman saya, penceramah BTN itu akan membuat kesimpulan pada akhir ceramahnya bahawa UMNO berjuang untuk menyelamatkan orang Melayu. Namun dia tidak pula mengajak peserta menganggotai UMNO. Dan pada peringkat negara, akan dinyatakan bahawa kerajaan Barisan Nasional berjaya membawa keamanan.

Pada saya, kenyataan itu adalah biasa dan tidaklah memberi apa-apa kesan, tetapi kalau dilihat pada tujuan kursus BTN, ternyata ada penyelewengannya. Inilah yang saya maksudkan dasar yang tercatat tidak sama dengan apa yang menjadi realiti.

Kalau tulisan itu turut dibaca oleh pemimpin BN dan UMNO, suka saya cadangkan satu pendekatan yang lebih releven pada masa ini. Saya percaya kalau pendekatan ini diambil, semua orang bersetuju termasuk pembangkang.

Semua penceramah yang dijemput sama ada pegawai BTN atau dari jabatan lain, mereka wajib kembali kepada tujuan dan maktlamat kursus. Biro Tatanegara tentu merujuk kepada negara Malaysia maka kecintaan kepada negara Malaysia perlu ditanamkan.

Oleh sebab itu penceramah tidak perlu menyebut soal parti dalam ceramahnya kerana ia akan menjadi halangan kepada pihak parti lain. Perlu diingat pegawai kerajaan bukan semua sokong satu parti, jadi dengan menyebut satu parti yang mereka tidak menyertainya tentu akan menimbulkan masalah. Yang pasti mereka tidak akan hadir atau hadir sekadar untuk memenuhkan ruang kuliah sahaja.

Selain itu, penceramah itu tidak seharusnya menyebut kerajaan BN kerana hakikatnya kerajaan BN tidak wujud. Yang wujud hanyalah kerajaan Malaysia. Walaupun kerajaan itu dipimpin oleh wakil BN, kerajaan itu bukan milik BN. Sebaliknya kerajaan itu milik rakyat Malaysia. Hal ini kerana rakyat Perdana Menteri bukan orang BN tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Jadi, kejayaan kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri perlu dipulangkan kepada rakyat Malaysia. Dengan cara itu semua orang dalam kalangan rakyat Malaysia boleh hadir kursus tanpa ragu. Malah mereka rasa bangga jadi rakyat Malaysia dalam kursus tersebut.

Oleh hal yang demikian, apa yang berlaku kepada negara, itu jugalah yang sepatutnya berlaku dalam negeri. Negeri Selangor sebagai contoh, seharusnya disebut kerajaan Selangor bukan kerajaan PR. Jika cara ini diterima, siapa yang memerintah di negeri itu tidak akan ditentang. Rakyat tahu pemimpin yang dipilih pasti akan membuat rakyat bahagia, aman dan makmur.

01 Disember 2009

Najib dan UMNO tidak harus takut doa Nik Aziz

Ahmad Baei Jaafar

Membaca laporan surat khabar hari ini, 30 November 2009 saya berasa lega dengan sikap Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak mahu meminta Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menarik balik kenyataan yang mahu berdoa supaya Allah memusnahkan masa depannya. Malah Perdana Menteri itu secara matang berkata mahu mencari penyelesaian dengan cara yang baik.

“Apa pun kita perlu berbincang untuk mencari penyelesaian dan bukan cari pergaduhan. Berbalah sesama sendiri terkutuk dalam Islam, malah untuk kita mengutuk orang lain pun tidak dibolehkan oleh Islam,” katanya kepada wartawan Malaysia pada hari terakhir Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM 2009).

Tanpa mempertikaikan kebenaran laporan Utusan Malaysia itu, Najib seharusnya tidak berasa bimbang dengan doa Nik Aziz itu jika beliau merasai bahawa tindakannya itu benar. Apatah lagi Menteri Besar itu belum lagi berdoa, sebalik berkata akan berdoa jika Najib berniat jahat dalam memberi royalti minyak kepada Kelantan.

Saya percaya Najib dan seluruh orang UMNO yang memahami ajaran Islam sudah pasti sedia maklum bahawa doa orang yang dizalimi tidak akan ditolak oleh Allah. Menyedari keadaan itu mereka sudah pasti berwaspada dan berhati-hati supaya tidak terjebak dalam menzalimi orang lain apatah lagi orang Islam. Jadi, kalau begitu kedudukannya apa yang hendak dibimbangkan.

Sebenarnya Nik Aziz dan rakyat Kelantan boleh berdoa sebanyak yang mungkin jika mereka berasa bahawa mereka sedang dan akan terus dizalimi. Tetapi Allah yang maha melihat dan mengetahui keadaan yang sebenar akan menilai doa itu sama ada mereka dizalimi atau tidak. Jika benarlah rakyat Kelantan dizalimi, pasti Allah segera mengabulkan permintaan mereka.

Dalam keadaan ini, Najib dan orang UMNO harus menilai semula hal royalti itu sama ada mereka telah bertindak secara zalim atau tidak. Jika mereka yakin dan pasti bahawa tindakan memberi wang ihsan dan tidak memberi royalti itu, tidak menzalimi rakyat Kelantan, tidak perlu dibimbangkan lagi. Sebaliknya jika dirasakan bahawa mereka bertindak secara zalim, bertaubatlah segera dan kembalikan hak mereka sebelum rakyat Kelantan berdoa.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahan tindakannya mahu berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO jika kerajaan Pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan. Malah beliau sanggup berhadapan dengan cemuhan ulama lain.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang membidas tindakannya itu mungkin tidak mendapat maklumat yang tepat, mengapa isu ini ditimbulkan. Saya percaya, jika beliau tahu pasti dia juga menyokong kerana dengan kenyataan itu membuatkan kerajaan pusat akan berfikir dan menilai semula tindakannya.

Selain itu Naib Presiden UMNO, Datuk Hashamuddin Hussein yang menganggap kenyataan itu sebagai tidak masuk akal, mungkin merujuk kepada tindakan seorang yang dianggap ulama terhadap umat Islam sendiri. Tetapi kalau dia merujuk kepada tindakan seorang pemimpin dalam menjaga hak kepentingan rakyat yang dizalimi pasti dia juga akan mengatakan wajar dilakukan.

Rasanya kita semua tahu sejarah Rasulullah semasa Taif, tatkala orang Taif menolak dakwah Baginda, dibaling dengan batu sehingga luka dan patah gigi, Baginda tidak bertindak mendoakan kemusnahan mereka. Walaupun telah ditawarkan oleh malaikat untuk menghempap mereka dengan gunung, Baginda sebaliknya berdoa, “Ya Allah beri petunjuk kepada kaum aku kerana mereka tidak tahu”.

Rasulullah tidak bertindak menghukum seseorang kerana kepentingan diri sendiri. Tetapi Baginda akan bertindak jika atas kepentingan rakyat umum. Dalam peperangan Khandak, Baginda berasa kedudukan umat Islam agak tertekan, kalau tatkala itu umat Islam kalah, nescaya tidak akan ada lagi orang yang akan menyembah Allah. Maka ketika itu Baginda berdoa kepada Allah agar membinasakan tentera Ahzab.

Jadi, dalam keadaan ini, semua umat Islam sama ada pemimpin mahupun rakyat jelata harus merujuk kepada ajaran Islam dan sejarah silam dalam mengatur hidup ini. Semoga kehidupan kita pada masa akan datang tidak ditimpa bala bencana lagi.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...