29 Ogos 2009

Berita kematian Datuk Ismail bukti kebenaran al-Quran


Ahmad Baei Jaafar


Seluruh rakyat Malaysia terkejut dengan berita kematian Datuk Dr Ismail Salleh pada Khamis, 27 Ogos 2009 kerana serangan jantung. Beliau dalam pernerbangan pulang dari China ke Singapura disahkan meninggal dunia di Hospital Besar Singapura sebaik tiba di hospital itu pada kira-kira pukul 8 pagi.


Pakar Ekonomi yang dikagumi dunia ini adalah cacat penglihatan. Kematiannya mungkin sukar diganti apatah lagi dalam kalangan orang kurang upaya (OKU). Jenazah Allahyarham Datuk Dr Ismail dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Sungai Kantan Kajang pada malam Jumaat, 10 malam.

Belumpun hilang kesedihan rakyat tentang kematian itu, tersebar pula melalui SMS bahawa Dato’ Ismail Kamus meninggal dunia di Tanah Suci Makkah. Berita asal dari orang pertama itu, diperpanjangkan keseluruh negara. Sekali lagi rakyat Malaysia gempar.

Sepantas kilat SMS tersebar ke seluruh negara, ribuan umat Islam sempat membaca al-Fatihah untuknya. Peliknya sehingga hari ini masih ada lagi orang tertentu yang menerima mesej tersebut. Hanya beberapa orang kenalan rapat Dato’, cuba mendapatkan kepastian daripada keluarga Dato’ sendiri.

“Ustaz masih sihat, saya baru bercakap dengannya, dia kata akan balik esok,” kata keluarga Dato’.

Mengapa umat Islam yang menerima berita itu terus percaya? Mengapa mereka tidak boleh bertindak seperti dua tiga orang cuba mencari kepastian dari keluarga terdekatnya? Bukankah Islam mengajar begitu?

Oleh sebab itu orang pertama yang mengeluarkan berita itu perlu diletakkan pada tahap orang fasiq, iaitu orang yang boleh jadi melakukan dosa. Hal ini kerana hanya rasul sahaja dalam kalangan manusia yang tidak fasiq. Jadi, sebarang berita yang sampai kepada kita perlu dipastikan kesahihannya.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah al-Hujurat: 6).

Sebenarnya, orang pertama yang mendapat berita itu terkeliru dengan berita kematian Datuk Prof Dr Ismail Salleh, lalu menyangka Dato’ Ismail Kamus. Jadi, kalau semua umat Islam memahami ayat al-Quran itu sudah pasti mereka tidak akan keliru dan membuat orang lain keliru.

Percayalah dengan peristiwa ini dapat membuktikan kepada kita bahawa perkhabaran al-Quran itu adalah benar dan tepat, meragui adalah kafir.

26 Ogos 2009

500 Ahli UMNO tidak keluar mengundi

Ahmad Baei Jaafar

Syabas dan tahniah kepada calon PAS kerana memenangi kerusi DUN Permatang Pasir dengan majoriti besar walaupun merosot beberapa ratus undi daripada keputusan yang dicapai pada pilihan raya umum tahun lepas. Calon PAS, Mohd Salleh Man mendapat 9,618 undi, meninggalkan calon BN, Rohaizat Othman dengan 5,067 undi.
Majoriti yang diraih Salleh 4,551, kurang 882 daripada pilihan raya lalu. Namun kekurangan ini sudah dijangka kerana pengundi dari luar kawasan tidak mendapat cuti, selain menganggap bahawa calon PAS akan tetap menang walaupun tanpa kepulangan mereka.
Walau bagaimanapun kekalahan calon BN yang jumlah undi yang diperoleh lebih rendah dari sebelumnya, amat tidak diduga. Ahmad Sahar Shuib memperoleh 5,571, manakala Rohaizat hanya mampu mengumpul 5,067 undi. Kekurangan lebih 500 undi daripada orang UMNO adalah tamparan hebat buat Perdana Menteri dan Timbalannya.

Jelas di sini sebahagian Ahli UMNO tidak keluar mengundi kerana protes kepada calon dan pemimpin UMNO sendiri. Dengan kekalahan ini seharusnya menyedarkan pemimpin UMNO dan ahli semua bahawa mereka sudah ketandusan pemimpin yang berwibawa. Pemimpin yang ada sekarang sudah tidak bernilai kepada mereka lagi.

Sekali lagi tahniah kepada ADUN baru dan PAS Pulau Pinang, semoga pada pilihan raya akan datang, banyak lagi kerusi diberikan kepada PAS. Selamat bertugas kepada ustaz Mohd Salleh Man, dan tengok-tangoklah kampung keluarga saya, Sama Gagah yang masih ketinggalan itu.

Selain itu, jika sudah menerajui Majlis Agama Islam Pulau Pinang, lihat-lihatlah kelemahan pengurusan agama dan perbaikilah dengan segera. Harta wakaf perlu dilihat semula dan diberi nafas baru. Islam dan umatnya mesti lebih mulia dan baik daripada orang lain. Jadi, pentadbiran agama Islam perlu lebih canggih daripada pentadbiran lain.

21 Ogos 2009

Salam Ramadhan Mubarak buat rakan taulan

Hari yang dinantikan sudah tiba. Ramadhan Karem membuka tirainya tepat pada waktu terbenamnya mata hari petang ini. Sebagai hamba Allah, kita sudah bersedia menerima dan menyambutnya dengan sukaria.

Marilah kita buktikan semua itu pada malam ini memenuhi masjid dan surau untuk memulakan Tarawih, lakukan sebanyak yang kita mahu, selama masa yang kita mahu. Lagi banyak masa kita ambil bersama dengan Allah, tentulah besar nilaiannya di sini Allah. Lagi banyak rakaat yang kita lakukan untuk Allah, lagi besarlah Allah menilainya.

Yang penting Allah ampun dosa kita dan tambahkan keberkatan. Sabda Rasululah s.a.w:
من صام رمضان إيمانًا واحتسابًا غفر الله له ما تقدم من ذنبه (رواه أحمد ، والبخارى ، ومسلم ، وأبو داود ، والترمذى ، والنسائى ، وابن ماجه ، وابن حبان عن أبى هريرة . ابن النجار عن أنس)

Sesiapa yang berpuasa dengan penuh rasa keimanan dan keinsafan, akan Allah ampun dosanya mana yang terdahlu daripada dosanya.

Satu pesanan untuk semua kawan dan rakan juga teman, janganlah kita beribadah bagai hangat-hangat tahi ayam yang bersemangat pada minggu pertama saja. Sebaiknya kita bayangkan Lailatul Qadar yang kita cari itu ada sepanjang Ramadan. Dan sehari berlalu anggaplah malam berkenaan belum turun lagi. Ini memberi motivasi untuk terus beribadah

Ingatlah jika kita rasa bosan dan malas hendak beribadah kepada Allah, pasti Allah akan malas dan bosan untuk mengingati hambanya. Jadi, seriuslah dalam beribadah pada kali ini.

13 Ogos 2009

Ustaz Asri Ibrahim Meninggal Dunia - al-Fatihah

Inna lillah wa inna ilaihi rajiun, itu sahaja yang boleh diucapkan dengan pemergian ustaz Asri bin Ibrahim. Beliau yang terjatuh di RTM di satu persembahan sempena sambutan Idulfitri pagi ini disahkan meninggal di Hospital Pantai jam 10.30 pagi.
Pemergiannya tidak disangka-sangkakan kerana tidak pernah tahu bahawa beliau sakit jantung. Saya mengenali beliau sewaktu masih kecil sebagai budak baik sewaktu mengajarnya di sekolah dahulu. Beliau adalah anak murid paling baik dan berakhlak. Tetapi setelah menjadi terkenal dalam kumpulan nasyid dia adalah rakan saya yang amat dikagumi.
Menurut rakan-rakannya yang lain beliau adalah seorang yang warak, tidak pernah dilihat meninggalkan solat malam walaupun sibuk dan letih dengan persembahan.
Al-Fatihah buat, Ustaz Asri Bin Ibrahim - Rabbani semoga rohnya dirahmati Allah.
Kepada isteri dan anak-anaknya, bersabarlah dengan ujian ini dan ingatlah Allah sayangkannya.

05 Ogos 2009

Malam nisfu Syaaban

Sabda Rasulullah s.a.w:
ينزل الله إلى السماء الدنيا ليلة النصف من شعبان فيغفر لكل شىء إلا رجل مشرك أو رجل فى قلبه شحناء (ابن زنجويه ، والبزار وحسنه ، والدارقطنى ، والبيهقى فى شعب الإيمان عن القاسم بن محمد بن أبى بكر الصديق عن أبيه أو عمه عن جده)
Maksud: Allah turun ke langit dunia pada malam nisfu Syaaban, maka Dia mengampunkan bagi sesiapa yang memohon kecuali lelaki (orang) yang musyrik dan lelaki yang di dalam hati penyakit dengki dan permusuh.
Rasulullah menyebut bahawa Allah akan bersama dengan orang yang beramal melakukan kerja baik pada malam nisfu Syaaban dan yang pasti Dia akan mengampunkan dosa umat Islam. Tetapi baginda menjelaskan bahawa Allah tidak akan memberi pengampunan kepada dua orang iaitu orang musyrik dan orang yang suka berdendam dan bermusuhan.
Wahai orang Islam insaflah pada malam mini. Hentikan dendam anda sesama umat Islam, semoga Allah mengampuni kamu semua. Orang politik carilah tidak pertemuan demi Islam dan umat Islam.
Apa ibadah yang wajar anda lakukan, terpulang kerana Rasulullah tidak tentukan. Cuma ulama terdahulu menganjurkan bacaan Yassin pada waktu Maghrib. Ini amalan baik tetapi bukan itu sahaja yang boleh dibuat. Semoga Allah menilai kerja baik kita. Selamat Menyambut Nisfu Syaaban.

04 Ogos 2009

Yakinkah kita Allah tidak bertempat?

Ahmad Baei Jaafar
(Bahagian kedua)

Golongan tua yang mendakwa mengikut fahaman Ahli Sunnah wa-Jaamah menuduh golongan Wahabi mempercayai Allah bertempat. Dakwaan ini berikutan jawapan Ibnu Taimiah ketika diajukan soalan anak muridnya tentang bagaimana Allah turun dari Arasy. Bagi menjawab soalan itu, beliau yang berada di pentas turun ke bawah sambil berkata, inilah cara turun.

Soalan ini adalah berikut huraiannya tentang ayat, الرحمن على العرش استوي yang maksudnya: “Iaitu (Allah) Ar-Rahman bersemayam di atas Arasy.” (Surah Taha: 5).
Oleh sebab golongan Wahabi merujuk persoalan aqidah kepada Ibnu Taimiah maka golongan tua melabelkan golongan itu berfahaman seperti itu juga. Apatah lagi Mohammad Abdul Wahab berpegang kepada fahaman salafi dalam memahami ayat mutasyabihat.

Salaf dan Khalaf
Sebenarnya dalam ilmu tauhid terdapat dua pandangan dalam memahami ayat mutasyabihat; salaf dan khalaf. Ahli Salaf ialah mereka yang berada dalam tempoh tiga ratus tahun yang terdiri daripada Sahabat dan Tabiin. Manakala Ahli Khalaf ialah mereka yang hidup selepas 300 tahun itu apabila muncul fahaman Abu Hasan Asyaari dan Abu Mansur al-Maturidi yang dinamakan Ahli Sunnah wa-Jamaah.

Bagi ahli salaf, ayat mutasyabihat diterima seperti makna asal, tidak diberikan sebarang tafsiran kecuali difahami bahawa maknanya itu selayaknya pada Allah dan pastinya tidak sama dengan makluk ciptaan-Nya. Maka firman Allah, يد الله فوق ايديهم bermaksud tangan Allah menguasai tangan-tangan mereka itu difahamkan bahawa Allah mempunyai tangan juga tetapi tangan Allah itu tidak sama dengan makhluk ciptaan-Nya.

Tetapi bagi ahli khalaf, ayat tersebut ditafsirkan sebagai kuasa Allah mengatasi kuasa mereka. Tangan dalam ayat itu bukan bermaksud tangan tetapi kuasa. Tafsiran ini diguna terus sehingga ke hari ini. Walau bagaimanapun terdapat juga orang yang berada pada zaman itu masih berpegang kepada fahaman salaf tersebut.

Inilah yang dipegang oleh Ibnu Taimiah dan Mohammad Abdul Wahab serta pengikut-pengikutnya. Persoalannya, adakah salah pandangan dan pegangan mereka? Kalau mereka berpandukan salaf tentulah tidak mengapa kerana walaupun pegangan mereka tidak sama dengan pegangan Abu Hasan Asyaari dan Abu Mansur al-Maturidi, mereka saling mengiktiraf. Apatah lagi pegangan salaf itu adalah pengangan sahabat dan tabiin.

Kalau begitulah pegangan orang Ahli Sunnah wa-Jamaah yang berasaskan khalaf, apakah pula pandangan mereka, salafi terhadap khalafi. Wajarkah orang salafi memandang salah terhadap khalafi? Ya, seharusnya tidak berlaku kerana istilah salaf dan khalaf lahir selepas kewafatan Nabi. Kedua-duanya setaraf, malah pandangan yang berbeza itu diterima dalam Islam.

Sebenarnya salafi yang dipegang Ibnu Taimiah dan Mohammad Abdul Wahab berdasarkan pendekatan selamat yang dipakai oleh generasi sabahat dan tabiin. Mereka mempertahankan pegangan itu bagi mengelak tersalah tafsiran.

Sastera Arab
Tetapi saya percaya jika dua tokoh itu hidup sehingga sekarang atau tinggal di Malaysia dia boleh terima pandangan khalaf dan tidak menggunakan salaf lagi. Saya berani katakan begitu kerana mereka berdua pasti fasih bahasa Melayu dan faham sastera Melayu. Sama seperti fasih bahasa Arab dan memahami ilmu balaghah, sastera Arab.

Suka dijelaskan di sini, setiap ayat al-Quran mengandungi seni sastera, balaghah yang tinggi. Maka setiap ayat perlu ditafsirkan dengan teliti. Ada yang boleh difahami secara lahir tetapi ada juga yang perlu difahami secara balaghah. Oleh sebab itulah, mereka yang hendak menjadi ulama mujtahid mereka mesti pandai imu balaghah selain pandai bahasa Arab.

Asas ilmu balaghah ialah tasybih, contoh yang mudah ialah ayat محمدٌ أسدٌ bererti Muhammad itu singa. Muhammad dalam ayat itu bukan singa kerana tidak ada kaki empat, tidak ada taring, dan tidak pula berbulu garang. Kalau begitu ayat itu bermaksud Muhammad itu berani macam singa. Samalah seperti dalam bahasa Melayu, bila kita marah kepada seseorang, lalu kita katakan kepadanya, awak ini lembulah. Ertinya awak ni bodoh macam lembu.

Dalam hadis dan al-Quran, banyak ayat yang seperti itu. Perhatikan hadis الدنيا سجن للمؤمنين bererti dunia adalah penjara bagi orang mukmin. Penjara lazimnya dipagari dengan tembuk atau besi dan sentiasa dalam kawalan waden yang garang. Adakah dunia ini macam itu, tentu tidak. Jadi, apa maksud hadis itu? Jelas maksudnya, orang Mukmin ketika hidup di dunia ini seperti berada di dalam penjara yang sentiasa dikawal gerak kerjanya, mesti patuh undang-undang dan tidak boleh melakukan sebarang dosa.

Berdasarkan itu, apa sahaja ayat mutasyabihat perlu dilihat begitu. Maka merujuk kepada ayat di atas, ar-Rahman (Allah) bersemayam di atas Arasy. Adakah ayat itu menunjukkan Allah duduk di atas Arasy? Kalaupun betul, samakah Allah duduk seperti sultan bersemanyam? Dalam sebuah lirik lagu ada menyebut satu baris berbunyi, “Cintamu bertahta di hati” adakah cinta itu bertempat dan duduk macam sultan duduk?

Di sinilah letaknya nilai sastera, sesuatu ayat itu tidak boleh diterjemahkan dan difahami secara zahir. Ayat al-Quran itu seharusnya difahami sebagai symbol pihak Yang Berkuasa. Ya, lazimnya pihak yang berkuasa berada di atas dari orang yang diperintah. Allah yang digambarkan berkuasa itu tidaklah bermakna dia duduk di atas singgahsana.

Begitu juga dengan Allah turun, sebuah hadis menyebut: ينزل الله إلى السماء الدنيا ليلة النصف من شعبان bererti Allah turun ke langit dunia pada nisfu Syaaban. Bolehkah kita bayangkan bahawa Allah turun macam kita turun tangga? Dalam al-Quran banyak ayat yang menyebut tentang turun, turun al-Quran, adakah al-Quran turun macam kita turun tangga?, turun hujan, adakah hujan turun macam kita turun. Dalam surah al-Qadr ayat 4 Allah berfirman yang bermaksud: “Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka,” adakah malaikat ada rumah dan turun macam kita juga?

Jawapannya, sudah tentu tidak, kalau sesama maklukpun tidak sama dengan kita cara turunnya, betapa Allah yang menciptakan kita, tentu turunnya bukan bermaksud begitu. Ya, dalam bahasa Melayu kita selalu sebut, “pemimpin turun padang” adakah perlu turun guna tangga? Jadi, ayat itu jelas sebagai simbolik kepada pihak yang berkuasa mahu bersama dengan orang bawahan.

Kita rujuk pula kepada ayat, “tangan Allah mengatasi tangan-tangan mereka.” Adakah Allah ada tangan? Dalam bahasa Melayu kita selalu menyebut, “kaki tangan kerajaan” adakah kerajaan ada tangan dan kaki? Kita juga pernah guna simpulan bahasa, “kaki botol” adakah botol ada kaki? Katalah kita bersetuju botol ada kaki, adakah kakinya sama dengan manusia? Tentu tidak. Yang jelasnya maksud kaki botol bukan begitu, tetapi orang yang suka minum arak. Oleh sebab itulah, tangan Allah itu kita fahamakan sebagai kuasa Allah.

Ada satu lagi ayat al-Quran yang berbunyi, ويبقى وجه ربك bererti, “dan yang kekal wajah tuhan kamu.” Tuhan ada wajah ke? Macammana wajah Allah. Bolehkah kita kata wajah Allah macam wajah kita? Tentu tidak. Dalam bahasa kita banyak menggunakan kata muka, muka surat, muka tembok, muka air dan banyak lagi. Ketiga-tiga contoh itu tidak sama maksudnya, dan yang pasti, muka yang dimaksudkan itu tidak sama dengan muka manusia.

Tidak Bercanggah
Melihat kepada hujjah yang dibentangkan di atas, apakah masih ada ruang untuk umat Islam bertelagah lagi? Golongan Wahabi yang dikata mendakwa Allah bertempat, benarkah mereka berfahaman begitu? Mungkinkah mereka faham bahawa kedudukan Allah di atas arasy itu sebenarnya adalah sebagai simbol semata-mata. Kalau begitu, tentu tidak bercanggah dengan fahaman Ahli Sunnah wa-Jamaah.

Saya percaya golongan Wahabi yang berada di negara ini akan bersetuju dengan saya. Dan pastinya mereka akan menilai semula hujjah salafi itu. Hakikatnya salafi dan khalafi tidak ada bezanya kalau difahami dengan sebaiknya secara ilmiah. Semuanya merujuk kepada firman Allah ليس كمثله شيء tidaklah sesuatu yang ada di alam ini seumpama dengan-Nya.

Jadi, hentikan pergaduhan tradisi yang berpanjangan. Banyak lagi yang perlu dilakukan oleh umat Islam untuk mentadbir bumi Allah ini. Banyak lagi kerosakan yang dibawa oleh manusia yang perlu dibasmikan. Bersatulah kita untuk kemajuan Islam dan ummatnya. Takutlah kepada Allah yang ketika ditanya di akhirat nanti, jawapannya tiada satupun pembangunan yang mampu kita lakukan untuk umat Islam.